Trendy-Sunglasses-In-The-Sand-On-A-BeachDalam perniagaan ada banyak peringkat. Dua daripada peringkat yang amat terkenal dilalui oleh kebanyakan mereka yang pernah bergelar usahawan adalah,

  1. Mula berniaga – samada secara sepenuh masa atau separuh masa, mereka yang bergelar usahawan akan melalui peringkat memulakan perniagaan.
  2. Gulung tikar – ini merupakan peringkat akhir sesebuah perniagaan. Untuk sampai ke tahap ini, ada banyak lagi proses yang usahawan perlu lalui. Yang pastinya, usahawan yang sampai ke peringkat ini samada gagal sebab masalah dalaman ataupun disebabkan faktor luaran yang tak dapat dielakkan.

Semua orang sudah tentu tak nak lalui dua pengalaman berniaga seperti di atas. Terutamanya peringkat no 2 tu.

Kalau boleh semua orang mahu agar perniagaan yang dia mulakan berkembang naik dan bukannya terpaksa gulung tikar.

Perniagaan boleh bungkus disebabkan dua faktor yang saya sebutkan di atas tadi, iaitu:

  • Faktor dalaman – majoriti daripada faktor dalaman ini boleh kita elakkan jika dipelajari segala teknik untuk menjayakan perniagaan agar berkembang dan meningkat naik. Usahawan ada keupayaan untuk pastikan segala usaha dilakukan dengan baik dan kena pada tempatnya.
  • Faktor luaran – ini tak boleh nak elak. Usahawan tak ada keupayaan menguasai apa yang bakal berlaku dari luar. Contohnya malapetaka atau bencana melanda ataupun kegawatan ekonomi yang teruk. Mungkin juga polisi kerajaan, atau kecenderungan pengguna yang tiba-tiba berubah, mampu menggagalkan perniagaan kita.

Apa yang saya nak tulis kali ini adalah menyentuh tentang mengelakkan perniagaan bungkus dengan elakkan kesilapan yang berpunca daripada faktor dalaman.

Dan salah satu daripada faktor dalaman yang boleh membuatkan perniagaan kita bungkus adalah salah faham antara kejar jualan dengan kejar untung.

Mula-mula kejar jualan dan lupakan kejar untung

Sehebat manapun idea perniagaan anda, tak akan dapat jana keuntungan dalam masa yang singkat.

Kecuali jika anda buat perniagaan trading beli dan jual barang sekali sekala dan tak ada niat untuk kembangkan empayar perniagaan atau syarikat anda, mungkin anda boleh jana untung dengan sekali transaksi sahaja.

Perniagaan yang saya maksudkan di sini adalah satu usaha membina syarikat yang terus membesar dan bertapak selama mungkin. Sekurang-kurangnya selama pengasasnya hidup. Dan kalau boleh tetap hidup dan terus berkembang selepas beberapa jenerasi yang akan datang.

Pilihan terbaik yang anda boleh buat bila mula berniaga adalah dengan kejar jualan.

Jangan bagi apa-apa alasan untuk pastikan jualan dapat dilakukan.

Anda mesti sentiasa cari jalan agar perniagaan mula menjana jualan sehinggalah ke satu tahap di mana perniagaan tersebut mula mencatatkan keuntungan.

Paling cepat, tempoh masa yang diperlukan mungkin sepantas enam bulan sahaja. Hasil jualan yang anda jana mampu menanggung segala kos jualan dan juga kos tetap perniagaan anda.

Dalam istilah perniagaan, orang putih panggil tahap itu sebagai Breakeven. Kalau dalam bahasa kita orang panggil titik pulang modal.

Apa yang saya terangkan di atas memberikan beberapa fasa dalam perniagaan anda.

Saya boleh rumuskan prosesnya seperti berikut,

Mula berniaga > kejar jualan > sampai titik pulang modal…

Bila dah sampai kat situ, apa yang anda perlu lakukan?

No 1 kejar untung, no 2 kejar jualan

Kat sini ada juga usahawan yang leka atau terlupa atau mungkin tak faham.

Ramai usahawan yang terus menerus kejar jualan tanpa henti dan tidak memikirkan bahawa mesti ada satu perubahan terhadap pendekatannya dalam menjalankan perniagaan.

Dari pengalaman saya, ramai usahawan yang tak perasan tentang perkara yang saya sebutkan ini.

Bila diterangkan pada mereka baru perasan bahawa mereka terikut-ikut dengan fasa mula kejar jualan walaupun titik pulang modal sudah tercapai.

Mereka terlupa salah satu nikmat berniaga dari segi kewangan adalah menjana keuntungan yang optimum.

Keuntungan yang kita jana itu amat diperlukan oleh setiap syarikat untuk meneruskan kesinambungan perniagaan kita. Untuk menyara pembinaan masa depan yang tidak ada siapapun yang tahu.

Dengan adanya keuntungan perniagaan maka kita boleh gunakannya untuk buat pembaikan, latihan, kajian, perancangan, dan macam-macam lagi usaha agar perniagaan terus hidup dan berkembang maju.

Oleh itu jika dah ada jualan, pastikan fokus anda mula beralih untuk kejar untung.

Malah jika anda cukup bijak, sejak awal, fokus untuk kejar untung dah boleh dimulakan sedikit demi sedikit.

Cara kejar untung

Cara paling mudah untuk kejar untung adalah dengan mula menyemak kesemua produk dan juga pelanggan yang telah berjaya anda kumpulkan.

Ikut saja prinsip pareto. Pernah dengar tak prinsip pareto?

alau tak pernah pergi cari buku dan khatam sampai faham. Ada banyak kegunaannya dalam perniagaan jika anda nak maju ke depan.

Anda tentu akan dapati hanya 20% daripada produk yang menjana 80% daripada hasil jualan atau hasil keuntungan.

Anda juga tentu dapati hanya 20% sahaja daripada pelanggan anda yang menymbang kepada 80% daripada keuntungan atau jualan perniagaan anda.

Bila dah tahu produk mana dan dah tahu jenis pelanggan macam mana, maka anda perlu buat perubahan pada strategi perniagaan anda.

Pastikan anda kejar pelanggan dalam kategori 20% tersebut dan perbanyakkan jumlah mereka. Itulah sebenarnya pelanggan yang perlu anda sasarkan.

Pastikan juga anda kembangkan dan mantapkan produk yang 20% tersebut di atas. Itulah sebenarnya produk asas perniagaan anda yang perlu anda tolak naik setinggi-tingginya.

Dengan berbuat begitu, anda sebenarnya telah mula melaksanakan proses seterusnya dalam perniagaan, iaitu kejar untung.

Saya harap penerangan ringkas ini dapat difahami oleh semua yang berniaga kat luar sana.

Moga kita semua dapat manfaat daripada perkongsian ini dan mula kejar untung sebagai keutamaan beranding kejar jualan.

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge