Kalau anda seorang usahawan, antara buat untung dan tolong orang. Mana satu yang jadi tujuan anda jalankan perniagaan?

Soalan tu rasa macam simple saja kan.

Tapi tak semudah itu. Terutamanya bila dengar jawapan dari mereka yang dah lama berniaga. Ada jawapan yang berbagai.

Berkecamuk jawapan itu bila soalan simple tersebut dihadam pakai emosi. Emosi akan bagi tahu apa yang dia rasa berdasarkan pengalaman yang dia dah lalu. Nanti saya terangkan kat bawah ni.

Saya tulis pasal tajuk ini sebab tertarik dengan perbincangan sesama ahli grup kelab usahawan hidup ringkas. Mereka bincang pasal nasihat niaga yang saya kongsikan.

Nasihat niaga tu pulak saya ambil dari posting yang lintas di facebook, dari page Puan Ainon Mohd. Saya follow page tu dah lama sebab banyak perkongsian ilmu bermanfaat darinya.

Rasanya ramai orang yang kenal siapa Puan Ainon Mohd ni. Terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan dan aktif dalam media sosial facebook.

Puan Ainon Mohd ialah seorang pendidik. Dia sangat fokus pada subjek keusahawanan. Ada beberapa buku tentang keusahawanan yang dia dah tulis.

Dia sangat aktif dalam media sosial. Selalu buat posting relevan dengan dunia perniagaan. Kalau dia buat posting yang umum pun, ianya sangat berkait rapat dengan dunia perniagaan.

Antara sebab lain kenapa saya suka dengan Puan Ainon ni. Dia tak campur aduk urusannya dengan bab politik berak kapur cari salah orang lain.

Kalau adapun mungkin tak pernah lalu kat akaun FB saya. Jadi saya anggap memang tak ada. Puan Ainon Mohd fokus buat kerja dia sahaja dari dulu sampai sekarang.

Tujuan berniaga nak buat untung

Saya kongsikan apa yang Puan Ainon Mohd tulis,

“Tujuan kita buka bisnes adalah kita nak buat untung. Bukan nak tolong orang Setakat nak tolong orang, tak perlu kita bakar ribu-riban duit modal. Dengan bekerja makan gaji pun kita dapat tolong banyak orang. Jadi, bisnes kita mesti buat untung dulu. Bisnes sudah buat untung, kalau hendak tolong orang, barulah boleh digunakan duit keuntungan itu untuk tolong orang”

Mudah sangat nak faham jika anda baca dalam keadaan neutral tanpa campur adukkan emosi. Secara neutral saya maksudkan dengan cara tengok perkataan utama dan rujuk definisinya.

Macam mana nak lihat sesuatu secara neutral?

Neutral akan jadi seandainya anda bayangkan ayat atau pendapat datang dari seseorang yang tidak dikenali. Boleh cuba bayangkan macam ayat yang puan Ainon sebut tu dikatakan oleh seorang perempuan yang datang dari planet Mars.

Bila bayangkan macam tu, emosi tak akan masuk campur tangan dalam menentukan rasa hati dalaman anda.

Saya kata macam itu sebab dah lama saya perasan yang, apa saja ayat keluar dari mulut seseorang, ia akan berubah tafsirannya bergantung pada siapa yang cakap tu.

Ayat yang sama jika disebut oleh P Ramlee mungkin anda akan faham berbeza jika ia disebut oleh Farid Kamil.

Ayat sama disebut oleh TS Muhyiddin Yassin akan mendapat tafsiran berbeza jika disebut oleh Lim Kit Siang.

Macam itulah kita alami selama ini. Jadi susah nak dapatkan pemahaman yang neutral tanpa membuat keputusan atau hukuman betul salah baik buruk.

Oleh kerana saya tak kenal secara peribadi Puan Ainon. Tak pernah jumpa dengan dia. Tak pernah ikuti segala programnya. Tak pernah rasa terkilan berurusan tak menjadi dengan dia. Dan paling penting tak pernah mendewakannya.

Jadi ada potensi untuk pandangan saya terhadap apa yang dia kata adalah neutral. Maka saya secara peribadi, tak nampak kat mana salahnya nasihat Puan Ainon tu.

Tapi tidak bagi sesetengah pembaca lain yang nampaknya tolak nasihat itu. Ada yang labelkan kenyataan sedemikian sebagai amalan kapitalis. Ada yang rasa amalan itu macam tak seiring dengan apa yang dianjurkan dalam agama Islam.

Berat juga semua pendapat tu.

Jika yang tolak pandangan Puan Ainon itu tak kenal puan Ainon, barangkali dia tolak sebab rujukan kepada sejarah dirinya sendiri. Macam orang yang kena pukul dengan lelaki Cina akan dendam dengan semua orang Cina.

Orang macam itu tahu itu salah. Tapi emosi benci tu tentu melekat juga. Susah nak kawal.

Itulah yang saya sebut kat atas tu. Soalan simple tapi sebenarnya mampu timbulkan kekecohan pemahaman.

Saya buat ayat yang lebih selesa. Tapi sebenarnya sama saja. Saya yakin tak ada sesiapa nak bangkang kalau macam ni.

“Saya berniaga buat untung dengan bantu orang selesaikan masalah mereka”

Nampak lebih selesa bila saya gabungkan antara buat untung dalam bisnes dengan aktivit bantu orang.

Petua yang sama sering disebut oleh guru-guru hebat perniagaan. Juga dalam buku-buku pasal keusahawanan.

Bisnes – Antara untung dan bantu orang

Untuk nak cerahkan pemahaman saya sendiri, supaya lebih jelas, saya asingkan dua aktiviti penting dalam perniagaan seperti berikut.

  • Bantu orang
  • Buat Untung

Dari 2 aktiviti utama itu, akan berlaku 4 kemungkinan seperti berikut:

  1. Anda bantu orang dan buat untung dari bantuan yang diberikan – Inilah yang dimaksudkan dengan perniagaan. Bukan tolong buta-buta tapi perlu ada keupayaan jana duit agar lebih banyak bantuan dapat diberikan secara lebih luas. Juga penting supaya bantuan dapat terus diberikan dalam tempoh yang lama.
  2. Anda bantu orang tapi tak buat untung lansung – Inilah yang selalu NGO buat. Semua badan tak ambil untung bergerak secara sukarela keluarkan duit sendiri atau kutip duit orang untuk bantu orang susah dan yang memerlukan. Tak minta apa-apa balasan. Kalau yang dibantu itu menipu atau buat khianat sekalipun, kebajikan masih tetap berjalan. Ini namanya buat kebajikan.
  3. Anda tak bantu orang tapi buat untung – Tak perlu terangkan panjang lebar amalan sebegini sebab jelas dan nyata ianya adalah kes penipuan. Buat aniaya kat orang saja. Kalau orang tak pukul, atau report polis nasib baik. Tapi apapun keuntungan tu tak akan dapat bertahan lamapun.
  4. Anda tak bantu orang dan tak buat untung – Ini budaya orang malas atau bermasalah. Mereka yang macam ni biasanya tak akan kacau orang sebab akan duk diam saja. Mungkin dah terbiasa bermalas-malasan atau mungkin tak bermaya untuk lepaskan diri dari cengkaman masalah yang besar.

Kalau kita buat carta dia boleh nampak lebih jelas macam kat bawah ni:

Jadi, jelas dan nyata apa yang Puan Ainon Mohd kata tu lansung tak salah. Tak ada kena mengena dengan kapitalis atau benda lain.

Ia hanya berkaitan nak panggil apa dengan gabungan dua aktiviti penting dari berniaga, iaitu tolong orang dan buat untung.

Itu saja.

Buat untung dengan bantu orang

Berbalik kepada apa yang saya tulis kat atas tadi pulak. Iaitu, ‘saya buat untung dengan bantu orang selesaikan masalah mereka’.

Soalan yang sudah pasti boleh timbul adalah,

“Adakah saya akan selesaikan masalah orang seandainya saya akan alami kerugian?”

Rujuk balik kepada 4 kemungkinan kat atas tu.

Kalau saya buat kebajikan, sudah tentu saya akan selesaikan juga masalah orang tu. Tapi kalau rujuk kepada perniagaan, dah tentu saya tak akan buat sebab berniaga bukan macam itu.

Takkan saya nak terima tawaran ‘Khidmat Pest Control’ untuk Bangunan Kementerian Kewangan seandainya saya ditawarkan bayaran sebanyak RM10 ribu sebulan, sedangkan kos untuk saya buat semua aktiviti khidmat pest control itu adalah sebanyak RM15 ribu sebulan!.

Adakah saya akan dikatakan Kapitalis?

Kalau anda nak kata saya kapitalis, pun katalah. Saya malas nak layan sebab saya yakin anda ada masalah jiwa yang tak berapa segar.

Anda mungkin kata perlu beri contoh lain.

Apa kata jika seorang individu pulak.

Adakah saya akan buat kerja pest control rumah ‘Pak Mat’ yang banyak anai-anai dengan harga RM300 sedangkan kos untuk saya sediakan pekerja profesional dan bahan kawal anai-anai saja adalah RM900.

Kalau saya buat juga, maksudnya bantu Pak Mat selesaikan masalahnya, maka saya akan rugi. Kecuali Pak Mat ada anak dara yang saya berkenan lama dah. Itu akan jadi peluang untuk saya mengorat anak dara Pak Mat.

Maka saya buat juga.

Itu dah bukan kira berniaga. Itu menggatal namanya yang tak ada kena mengena dengan berniaga.

Dalam keadaan biasa, saya akan tolak. Sekalipun Pak Mat kata saya kejam, kapitalis dan tidak ikut ajaran Islam yang suruh penganutnya bersedekah dan berbuat baik pada orang lain.

Kalau setahun sekali atau dua kali ada Pak Mat masih ok lagi. Kalau seminggu sekali ada ‘Pak Mat’ kata kat saya macam tu Taukeh Balak pun boleh lari!.

Jika ada yang bertanya, ‘takkan tolong masjid berikan dana seminggu RM10 pun tak boleh?’

Tentulah boleh. Ia tak ada kaitan dengan berniaga.

Samada anda berniaga, makan gaji. Suri rumah sepenuh masa atau apa saja kerja anda, sedekah masukkan dalam tabung masjid untuk bantu masjid tak ada kena mengena dengan berniaga.

Berniaga rugi, kenapa tak henti

Sejak tahun 2017, saya ambil alih kembali salah satu dari perniagaan saya dan uruskannya sendiri. Sebelum itu ada orang lain yang uruskan. Saya ambil alih sebab syarikat dah tak buat untung lagi. Setiap bulan, duit yang masuk lebih rendah dari duit yang keluar.

Syarikat boleh teruskan lagi operasi dan aktiviti sebab duit tunai masih ada dalam akaun bank.

Bila saya ambil alih, banyak perkara perlu dibetulkan. Kena ubah struktur syarikat. Ubah strategi. Kira balik semua kos dan pendapatan. Buat semula perancangan dan seribu satu usaha lagi. Akhir sekali saya buat keputusan buang semua orang dan hanya tinggalkan 2 orang staff saja. Staff jaga akaun dan sales.

Sebab apa saya buat macam tu?

Sebab saya faham yang berniaga perlu ada untung. Saya wajib cari jalan untuk realisasikan sasaran itu. Itu saja caranya saya dapat pastikan syarikat akan hidup dan dapat terus berbakti bantu orang dan dalam masa yang sama buat untung.

Apakah saya kejam berperangai kapitalis sebab buang semua pekerja?

Kenapa saya tak bantu mereka?

Soalan macam itu tentu keluar dari anda jika anda seorang jutawan yang ditinggalkan harta yang banyak oleh tok nenek anda selama ini. Tak ada maslaah kewangan.

Kalau tak jutawan, mungkin anda dari hari pertama sampai sekarang hanya tahu makan gaji sahaja. Gaji tak pernah naik sebab majikan rasa anda tak layak. Pernah anda ugut nak berhenti kerja jika tak naik gaji dan majikan dengan gembira suruh anda buat secepat mungkin.

Jadi selama ini anda sentiasa anggap majikan adalah seekor babi yang menyerupai manusia.

Keputusan itu saya buat bila rasakan itu yang terbaik yang boleh dibuat. Bila buat macam itupun syarikat masih rugi. Tapi taklah rugi berganda-ganda kalau saya terus kekalkan semua staff.

Bila saya kecilkan semula syarikat, saya ada sumber yang mencukupi untuk bina balik.

Sekarang syarikat yang sama itu yang hanya tinggal 2 orang staff ketika itu, dah ada balik kenderaan sendiri 4 buah, 4 orang staff yang buat sales, ada ramai staff yang buat operasi dan ada staff yang saya ambil sebagai pekerja kontrak.

Adakah syarikat itu menjana keuntungan sekarang?

Bagi saya masih tidak untung lagi. Masih rugi. Malah duit personal saya sendiri tersadai dibenamkan untung tampung segala kos pembinaan semula dan pengurusan syarikat sejak dulu sampai sekarang dah lebih kurang RM400 ribu.

Sehingga sekarang saya masih bertahan walaupun masih rugi sebab saya ada sasaran yang mahu dicapai. Jadi walaupun rugi, saya anggap ianya adalah strategi pelaburan untuk masa depan. Macam itulah konsep melabur.

Kita keluarkan duit untuk dapat sesuatu yang dilihat tidak bernilai sekarang, sebab yakin ia sangat bernilai di masa akan datang. Sebab itu kita melabur.

Bila melabur tentu ada risiko.

Dalam tengah bagus momentum bisnes, tiba-tiba datang pulak Covid-19. Saya serba salah telan mati emak buang mati ayah. Usaha perlu digandakan berali-kali untuk capai apa yang saya sasarkan selama ini. Masa pulak tentu akan jadi lebih panjang.

Saya terpaksa ambil risiko lagi. Terpaksa bertahan lagi.

Macam itulah orang berniaga. Main risiko. Sentiasa buat pertimbangan berdasarkan prinsip berniaga yang berlandaskan kiraan untung dan rugi. Bab emosi kena tolak tepi.

Tak boleh campur adukkan bab sedekah, tolong orang susah, tolong kawan. Derma kat jiran. Masukkan duit dalam akaun masjid. Belanja kawan makan dan minum. Bantu orang yang hadapi kesukaran dan sebagainya.

Itu hal peribadi dan tak masuk dalam bab perniagaan. Kalau duit keluar untuk buat semua aktiviti kebajikan itu, ianya adalah duit poket saya sendiri tak akan dilibatkan syarikat.

Sebab walaupun syarikat adalah milik taukeh. Kena faham bahawa pekerja juga ada hak untuk semua perjalanan syarikat. Mereka juga perlu dipertimbangkan dengan keputusan keluar dan masuk duit syarikat.

Kalau Taukeh asyik keluarkan duit sedekah sana sini, bantu orang sana sini, sampai gaji staff lambat, tak mampu bayar bonus, tak mampu besarkan dan selesakan syarikat. Itu adalah tidak adil untuk semua pekerja.

Dengan panjang lebar saya tulis bab buat untung dan bantu orang dalam berniaga hanya nak pesan satu perkara. Berniaga ada disiplinnya sendiri. Buat kerja amal juga ada disiplinnya sendiri. Bila emosi tak jelas semuanya akan dicampur adukkan sampai menyusahkan diri sendiri.

Moga ada manfaatnya artikel ini.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge