“Alangkah seronoknya jika syarikat aku besar 2 kali ganda sekarang!”

Itu impian yang mungkin ada pada diri anda sekarang.

Juga pada ramai lagi usahawan lain di luar sana.

Tak kira besar manapun saiz bisnes anda sekarang, angan-angan untuk syarikat besar 2 kali ganda adalah perkara biasa.

Bukan sekadar 2 kali ganda. Malah berganda-ganda membesar adalah impian biasa kebanyakan usahawan yang bercita-cita besar.

Impian syarikat besar 2 kali ganda

Antara soalan yang saya suka tanya pada kawan-kawan yang berniaga adalah, apa sasaran terhadap perniagaan dalam jangka masa 5 tahun akan datang.

Dan jawapan paling popular adalah,

“Bisnes besar 2 kali ganda.”

Mereka gambarkan keadaan syarikat naik besar 2 kali ganda tu dengan meletakkan nilai jualan naik 100%. Kalau sekarang jualan syarikat setahun adalah RM500 ribu. Akan datang, jualan syarikat mahu dijadikan RM1 juta!.

Selain dari itu, jawapan yang memberikan gambaran sama tapi dalam ayat berbeza adalah, mahu syarikat buka banyak cawangan di banyak tempat. Itu bukan saja 2 kali ganda, berkali ganda jadinya kalau bisnes ada banyak cawangan merata tempat.

Semua ada impian nak besar berganda-ganda

Bukan saja dalam dunia perniagaan. Dalam apa saja perkara pun, keinginan nak besar sekurangnya 2 kali ganda tetap juga ada di mana-mana.

Yang ada rumah 3 bilik 2 tingkat dengan saiz 22′ x 60′ sekarang, punya keinginan rumah 2 kali ganda dengan saiz 44’x120′. Semua yang ada sekarang mahu digandakan 2 kali.

Yang kerdil tak berapa besar saiz badan sekarang seronok kalau dapat besarkan saiz 2 kali ganda tinggi dan besar.

Muncul juga kisah fantasi seperti King Kong atau Godzilla. Juga kisah makhluk besar berganda-ganda dengan rupa bentuk sama macam saiz normal dunia sekarang, tapi digandakan saiznya.

Saiz besar tapi hasil tak sama

Apa yang anda bayangkan akan berlaku seandainya apa saja yang anda ada sekarang digandakan 2 kali  atau lebih, sebenarnya adalah sangat jauh meleset.

Ada undang-undang alam yang telah lama ditemui oleh orang bijak pandai dulu-dulu yang mungkin anda tak perasan.

Undang-undang itu menyebut, jika sesuatu membesar dan membesar naik berganda-ganda dengan keadaan sama rupa bentuk dan pembinaannya, ia akhirnya membawa kepada rebah tersungkur sebab tak dapat bertahan dengan bebanan yang dia sendiri bawa bila saiz diganda sebesar itu.

Cara mudah nak terangkan adalah macam ni.

Jika anda semakin membesar dari segi saiz, tenaga anda akan semakin berkurangan secara relatifnya.

Satu lagi cara mudah nak faham.

Seorang lelaki kerdil dengan ketinggian 3 kaki mungkin akan mampu angkat 2 orang kawannya dengan saiz yang sama macam dia. Tapi seorang lelaki yang saiznya 2 kali ganda lelaki kerdil itu, 6 kaki, paling kuat akan mampu angkat seorang saja lelaki yang sama saiz dengannya.

Galileo jelaskan masalah konsep besar berganda

Konsep membesar berganda-ganda dan masalahnya diterangkan oleh pemikir, ahli matematik, ahli falsafah terkenal 400 tahun dahulu, Galileo.

Untuk anda yang tak fobia dengan sains tentu dah biasa dengar nama Galileo ni.

Barat menggelarnya sebagai Bapa Sains Moden.

Tapi untuk mendapat gelaran itu, dia telah menerima akibat yang menyedihkan. Dia berakhir dengan dikurung dalam rumah dalam tempoh 10 tahun terakhir sebelum kematiannya.

Bukan kena kurung sebab arahan kerajaan untuk kawal Covid-19.

Tapi kena kurung sebab dia lawan fahaman terhadap kepercayaan ketika itu.

Galileo ni memang pencetus kontroversi dizamannya. Antara perkara yang dia lawan, yang orang semua terima sejak 2 ribu tahun sebelum dia adalah tentang objek yang jatuh ke bawah.

Beribu tahun orang terima bahawa benda yang lebih berat akan jatuh lebih laju dari pada benda yang ringan. Kalau seketul batu 2 kilo, dijatuhkan serentak dari tempat tinggi bersama dengan seketul batu bersaiz 4 kilo. Batu yang 4 kilo tu akan jatuh terlebih dahulu 2 kali lebih cepat. Itu pegangan lama ketika itu.

Galileo ambil pendekatan penting untuk pastikan samada perkara itu betul atau salah dengan buat eksperimen dan pemerhatian sendiri.

Dia ambil berbagai benda berbeza berat dan tengok tempoh masa diambil untuk setiap benda itu jatuh ke bawah kena lantai.

Bila dia buat berkali-kali, ternyata kepercayaan orang ramai itu salah.

Apa yang dia perhatikan, semuanya jatuh dalam masa yang sama!.

Itulah konsep sains moden. Jangan nak main percaya bulat-bulat sebelum diuji terpebih dahulu. Selagi tidak dibuktikan salah, anda bolehlah terima apa yang diberitahu.

Usahawan perlu ambil pendekatan ni. Buat andaian dan pegang dengan pasti sebelum mencubanya terlebih dahulu bakal membawa padah.

Galileo kena kurung tolak matahari pusing bumi

Satu lagi sumbangan Galileo adalah tentang sistem solar. Dia perbaiki teleskop jadi lebih canggih untuk teropong pergerakan planet. Didapati, bumi dan planet lain berpusing keliling matahari.

Kepercayaan masa tu, dipegang kuat oleh golongan agama, adalah sebaliknya.

Dia disuruh bertaubat dan tarik balik pendapat tersebut tapi dia tolak.

Sikap degil tak mau buang apa yang dia perhatikan akhirnya membawa padah. Dia kena hukum kurung diasingkan dari orang ramai ketika keadaan dirinya yang dah tua 69 tahun dan tak berapa sihat.

Buku tulisannya di masukkan ke dalam senarai buku larangan Vatican, Index Librorum Prohibitorum. Negara kita juga ada konsep senarai tulisan diharamkan macam tu sekarang.

Hanya selepas 2 ratus tahun barulah bukunya dikeluarkan dari senarai.

Dan 4 ratus rahun kemudian Pope John Paul II membuat permohonan maaf secara terbuka menyatakan rasa kesalnya bagaimana Galileo dilayan 400 tahun dahulu!.

Tulis konsep menarik ketika kena kurung

Orang kalau dah biasa mengerakkan akal ni, kena kurungpun tak ada masalah untuk sentiasa gerakkan akalnya.

Masa kena kurung itulah dia tulis pasal ilmu sains yang sangat hebat dan menarik. Tajuk buku itu adalah Discourses and Mathematical Demonstrations Relating to Two New Sciences.

Buku itu merupakan hasil terbaik dari Galileo yang dia pelajari dan rumuskan dalam tempoh 40 tahun mendalami ilmu sains. Dia kongsikan konsep penting untuk memahami alam kejadian sekeliling kita secara logik dan waras.

Buku itu juga jadi asas kepada hasil kerja Isaac Newton dan pengkaji ilmu sains lainnya selepas itu.

Dalam buku itu juga dia terangkan betapa tak boleh berlaku kejadian di mana pokok, bangunan, atau binatang yang dibesarkan dengan cara menggandakan apa saja yang ada pada objek itu menjadi saiz gergasi.

Tak boleh besar sekadar main ganda saja apa yang ada.

Itu semua akan membuatkan objek itu tersungkur rebah sebab tak akan mampu tahan bebenan yang dia bawa dalam keadaan bersaiz gergasi itu. Objek yang digandakan sedemikian tidak akan dapat berfungsi dengan baik seperti keadaannya yang kecil bersaiz normal.

Itu konsep asas yang Galileo terangkan yang mungkin anda tak perasan selama ini.

Agak mencabar kalau nak terangkan dengan cara mudah yang boleh difahami. Sebab ini jurusan yang melibatkan penggunaan keupayaan imaginasi yang perlu dibayangkan secara logik dan matematik.

Saya cuba terangkan sedikit. Saya yakin penuh anda dapat faham.

Katakan anda buat sebatang tiang batu dengan keluasan tapak 2’x2′. Kekuatan tapak tiang itu bertahan atas keluasan tapaknya untuk berdiri tegak. Katakan tinggi tiang itu adalah 10′. Ini menjadikan isipadu tiang itu bersaiz 40 kaki padu.

Dalam keadaan itu dia masih mampu tegak berdiri.

Katakan anda besarkan 2 kali ganda tiang itu. Keluasan tapaknya sekarang akan jadi 4’x4′ iaitu bersamaan dengan 16 kaki persegi. Dan ketinggiannya jadi 20′. Isipadu tiang itu sekarang dah jadi 320 kaki padu.

Nampak tak?

Tapaknya membesar dari 4 kepada 16 kaki persegi sahaja. Sedangkan isipadu, jesteru beratnya dah naik dari 40 kepada 320 kaki padu!!!.

Isipadu naik sebanyak 8 kali ganda sedangkan tapak yang jadi kekuatan menahan tegak tiang hanya membesar 4 kali ganda sahaja.

Anda boleh gandakan lagi tiang itu dan berat isipadu tiang akan terus naik berganda-ganda meninggalkan saiz tapak yang kadar membesarnya jauh lebih perlahan. Akhirnya tiang tu akan hancur rebah begitu sahaja sebab tak akan mampu bertahan.

Faham ke?

Saya yakin anda faham.

Besarkan syarikat berganda-ganda

Ada persamaan kah dengan pembesaran tiang batu tadi secara berganda dengan pembesaran syarikat secara berganda?

Kalau imaginasi anda untuk besarkan saiz syarikat macam gandakan apa saja yang ada sekarang.

Main darab dengan berapa kali ganda yang nak dibesarkan, maka anda akan pasti temui kesan yang sama.

Syarikat akan jatuh berantakan juga sebab tak dapat menampung bebanan yang dia bawa berbanding ketahanan yang tidak meningkat seiring dengan bebanan itu.

Itu yang sering berlaku pada syarikat yang selama ini buka kedai satu pintu. Hasil jualan mungkin RM30 ribu sebulan.

Tiba-tiba dapat dana RM500 ribu dari PUNB, MARA atau agensi kewangan lain lalu dibesarkan berdasarkan ilmu dan maklumat yang dia ada ketika bisnesnya kecil itu.

Dia scale-up jadi sampai lebih dari 2 kali kali ganda.

Taukeh yang tak sangka apa sedang menunggunya didepan, ini ditutup oleh perasaan ego dan tinggi diri biasanya akan jadi seperti cacing yang diletak atas kuali panas.

Habis fening kepala. Ingatkan bebanannya sama saja, tapi ternyata jauh berbeza.

Bukan tak boleh nak gandakan saiz perniagaan atau syarikat anda itu. Tapi perlu disedari bahawa permainannya adalah jauh berbeza. Perlu disesuaikan dengan perubahan bebanan yang kian membesar berkadar lebih laju berbanding tapak atau kekuatan yang ada selama ini.

Membesar secara organik adalah lebih bagus. Anda punya masa untuk buat adaptasi terhadap perubahan secara selesa tanpa disedari.

Berbanding tiba-tiba mendapat suntikan dana yang jatuh bergolek masuk dalam akaun syarikat. Minda, disiplin dan tabiat masih tahap lama tiada perubahan. Itu akan membuatkan anda kepanasan. Silap hari bulan masuk wad.

Kalau nak paham lebih lanjut baca buku Scale: The Universal Laws of Life Death in Organisms, Cities and Companies

Saya jumpa buku tu dan baca sempena perintah kurungan kerajaan. Sekurangnya, tak jadi macam Galileo tu, dapat belajar konsep dari diapun kira ok juga.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge