lock-up-texture-1500x999Sejak dua tiga bulan kebelakangan ini saya sering mendengar rungutan tentang ekonomi meleset dan keadaan bisnes teruk yang merisaukan ramai orang.

Semalam selepas selesai bersolat tarawih saya berbual dengan Ann Wan Seng, seorang penceramah bebas yang amat aktif dalam usaha dakwah.

Isu palng hot yang kami bincangkan adalah berkisar dalam masalah yang sama juga. Iaitu ekonomi meleset dan bisnes teruk.

Ann Wan Seng kongsikan cerita ramai rakan-rakannya yang mengalami zaman kemelesetan hasil perniagaan.

Jualan perniagaan merudum teruk. Ada rakannya yang menjalankan perniagaan perabut membuat hasil jualan secara purata hanya RM9 sehari !.

Pendapatan sebegitu sudah tentu tidak akan mampu menyara kos perniagaan yang semakin lama semakin tinggi sekarang.

Jika dibiarkan berlarutan, kemungkinan untuk gulung tikar adalah hampir pasti !.

Bisnes teruk bila pelanggan berjimat

Dalam perniagaan saya sendiri, kesan daripada keadaan ekonomi yang meleset sekarang sudah terasa sejak awal tahun ini lagi.

Pelanggan menekan harga lebih rendah untuk menjimatkan kos operasi mereka yang juga dalam keadaan tertekan.

Ada pelanggan yang panggil dan memberi pilihan samada saya berikan diskaun 50% daripada harga yang ada atau ditamatkan kontrak.

Dalam keadaan itu, saya tak ada pilihan melainkan memberikan mereka juga kata dua, samada terima tawaran diskaun hanya 30% daripada saya atau cari syarikat lain. Alhamdulillah mereka terima juga.

Pengalaman bisnes teruk ekonomi meleset

Keadaan yang sama telah pernah saya alami lebih kurang 10 tahun yang lalu. Memag betul kata orang bahawa keadaan ekonomi meleset ini adalah putaran roda dalam tempoh 10 tahun sekali.

Sebab itu sekarang nampaknya kitaran tersebut muncul lagi. Tetapi apa yang sedang dialami sekarang nampaknya jauh lebih mencabar.

10 tahun yang lalu, dalam keadaan bisnes teruk, saya ambil pendekatan yang berlawan arus daripada orang lain.

Hampir semua orang mengejar untuk tambah jumlah pelanggan yang mereka ada untuk pastikan mereka terus bertahan. Saya buat terbalik.

Dalam keadaan ekonomi semakin meleset, dalam keadaan bisnes teruk, saya berikan arahan untuk senaraikan kesemua pelanggan yang saya ada dan kemudiannya tamatkan perkhidmatan lebih dari separuh pelanggan yang saya ada.

Orag sibuk cari dan tambah pelanggan, saya pula sibuk untuk buang lebih dari separuh pelanggan yang dah ada !.

Sudah tentu pendekatan saya itu mendapat tentangan daripada semua orang. Rakan bisnes yang ada melenting dan tidak puas hati sebab merekalah yang bertungkus lumus membawa pelanggan masuk sedangkan saya mudah-mudah nak buang pula.

Oleh kerana saya seorang yang agak degil, saya tetap dengan keputusan dan teruskan juga pendekatan tersebut. Saya sebenarnya tahu apa yang saya nak buat dan beritahu mereka, tapi emosi mereka menguasai pemikiran.

Bila semua itu dilakukan, dalam masa yang sekejap sahaja keadaan bisnes teruk menjadi pulih semula. Perniagaan mencatatkan keuntungan dengan pengurusan penjadi lebih baik daripada biasa.

Itulah yang saya buat terhadap salah satu daripada syarikat yang saya ada pada masa itu. Dan sekarang, syarikat tersebut berjalan lancar dengan kesan yang tidak berapa ketara walaupun dalam keadaan ekonomi meleset.

Bisnes teruk sekarang lebih teruk

Sebelum masuk tahun baru 2015, saya dah menjangkakan apa yang bakal berlaku pada tahun ini. Berdasarkan pengalaman lalu, masalah ekonomi meleset dan bisnes teruk akan muncul jua.

Tambahan pula dengan berbagai polisi dan cukai yang tidak menggalakkan rakyat dan pengguna berbelanja, para peniaga akan menghadapi kesan yang lebih teruk.

Hujung tahun lepas, saya terpaksa ambil alih semula salah satu lagi syarikat saya untuk dipulihkan dan dibetulkan semula hala tujunya.

Sebelum berlaku, saya buat pendekatan yang sama juga terhadap syarikat tersebut. Awal Januari 2015, saya senaraikan kesemua pelanggan dan kemudiannya menamatkan perkhidmatan lebih dari separuh pelanggan yang saya ada.

Kali ini jauh lebih drastik. Saya hentikan dan buang terus salah satu daripada perkhidmatan yang saya tawarkan selama ini daripada senarai.

Dengan tiadanya perkhidmatan itu, separuh daripada pelanggan saya hilang. Selepas itu saya buang lagi separuh daripada pelanggan yang tinggal.

Proses kali ini agak berbeza kerana saya memilih untuk membuag senarai produk yang saya rasa tak menarik. Saya ambil pendekatan untuk hanya kekalkan beberapa produk sahaja dan memberikan tumpuan pada hanya konsep B2B (Business to business).

Setelah selesai semua itu, sekarang perniagaan saya hanya ditumpukan pada pelanggan bisnes sahaja. Tiada lagi pelangan individu perseorangan yang saya ambil. Jika ada juga permintaan, saya akan berikan pada salah satu daripada sub kontraktor saya.

Dalam tempoh enam bulan ini, keadaan agak tenang semula. Saya dah berjaya pulihkan perjalanan syarikat dengan satu hala tuju yang jelas. Aktiviti pemasaran, aktiviti pembaikan dan perancangan menjadi lebih mudah dan fokus.

Memang itu yang diperlukan untuk pastikan perniagaan bergerak lancar dalam keadaan ribut taufan sedang melanda.

Bisnes teruk juga,  aktifkan tindakan kedua

Oleh kerana keadaan masih tidak memberansangkan dari segi kewangan. Keuntungan yang masih tidak mencukupi bagi memastikan syarikat dapat dilonjakkan lagi, saya terpaksa buat pendekatan kedua.

Sebab itu saya katakan kali ini, saya terpaksa lalui pengalaman bisnes teruk yang jauh lebih hebat. Saya terpaksa buang pekerja pulak untuk potong kos operasi.

Dalam keadaan biasa, saya mungkin boleh pejam mata untuk kekalkan mereka yang kurang cekap. Masa tenang boleh digunakan untuk membimbing mereka yang lembab dan tak cekap agar menjadi pekerja yang lebih baik dan berjaya.

Tapi keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak boleh buat begitu. Saya perlu pastikan semua kakitangan yang ada adalah cekap dan lebih laju daripada yang saya harapkan.

Syarikat perlukan pekerja yang sebegitu untuk pastikan kapal tidak karam dan mampu meneruskan pelayarannya. Bila cuaca tenang kembali, masih ada kapal untuk ditumpang oleh semua orang.

Jika pengendali kapal tidak cekap, kapal yang karam akan membunuh semua orang samada cekap atau tidak. Bila tenang nanti dah tak ada kapal untuk semua orang.

Yang makan gaji, jangan tunggu bisnes teruk

Nasihat saya pada anda semua yang makan gaji, tolong jangan tunggu bisnes syarikat anda teruk baru nak berubah.

Dalam keadaan apa sekalipun, ambil peluang bekerja makan gaji untuk melatih diri anda menjadi secekap mungkin.

Cabarlah diri anda sendiri dan minta pandangan boss dan rakan kerja untuk ketahui kedudukan anda secara jujur. Buat perubahan dan tambahkan ilmu.

Saya amat jarang lihat para pekerja ambil inisiatif untuk tambah ilmu mereka. Bila diberikan tugasan sebagai salesman, tidak ada langsung usaha beli buku sebanyak mungkin untuk mendalami kerja tersebut.

Ramai yang hanya tunggu dan gunakan apa yang ada saja. Mereka hanya harap syarikat yang berikan latihan dan tunggu boss berikan arahan dan tunjuk ajar. Inisiatif sendiri tidak ada !.

Dalam keadaan laut tenang, anda boleh rasa lega dengan prestasi yang hidup segan mati tak mahu. Tapi bila ribut melanda dan anak kapal perlu dihumban untuk ringankan beban, anda teka siapa yang akan dipilih…?

Oleh itu sendiri mau ingat !

Anda bertanggung jawab untuk pastikan diri anda sentiasa berharga dan diperlukan dalam keadaan apa sekalipun.

Jangan asyik merasakan diri anda sebagai mangsa kepada semua orang kerana itu adalah sikap manusia yang lemah yang tidak boleh maju.

Usahawan perlu bersedia bila bisnes teruk

Jika anda usahawan pula, ada masanya saat genting begini amat mencabar minda.

Sebaik manapun anda cuba betulkan keadaan, semua orang akan rasa anda adalah seorang kaki menganiaya orang lain.

Itu adalah lumrah manusia. Dalam bab menilai sumbangan dirinya pada orang lain, dia akan memberikan nilai berlebihan dan langsung tak nampak sumbangan orang selain dari dirinya sahaja.

Jadi, sebagai pemilik perniagaan, anda perlu cekal dan yakin dengan apa yang anda buat. Sentiasa perhatikan maksud besar yang hendak dicapai dan abaikan gangguan kecil yang sentiasa mengharapkan simpati anda dan menggesa anda agar merasa bersalah dengan tindakan yang diambil.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya buat anda diluar sana. Jika anda seorang usahawan, ingat bahawa langit tidak selalu cerah.

Jika anda makan gaji pula, ingat jangan buang masa untuk sentiasa jadikan diri anda berharga dan diperlukan.

Untuk jadikan anda diperlukan, itu adalah tugas diri anda sendiri dan bukannya tugas syarkat !

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

23 comments

  1. Saya setuju dengan nasihat tuan. Bila kita bekerja makan gaji, memang kita perlu upgrade diri kita dengan ilmu tentang bisnes yang kita nak ceburi dan juga pemasaran.

    Lihat saja MAS, satu syarikat penerbangan yang besar pun boleh buang 6000 orang pekerjanya. Jadi, tak mustahil syarikat tempat kita bekerja makan gaji akan mengalami nasib yang sama.
    Pakar Merawat Sihir recently posted…Wujudkah Sihir Pemisah & Bagaimana Melawannya?My Profile

  2. tidak dinafikan situasi semasa amat genting dan getir untuk para usahawan..walaupun saya masih bekerja makan gaji tetapi terlibat secara langsung untuk menilai prestasi kos operasi maka boleh disimpulkan ada penurunan 30 peratus sejak kebelakangan ini..
    mrhanafi recently posted…Kerja Separuh Masa Yang SantaiMy Profile

  3. Tuan Subhi ,
    Kalau ikut putaran 10 tahun ekonomi merudum..Tahun 2018 adalah klimaks masalah ekonomi ini..
    Tapi Wallahu a’lam..benda ke hadapan hanya Allah yang Mengetahui..saya juga seperti Dadydee musykilnya..
    Adakah sesuai untuk mulakan perniagaan di waktu ekonomi mula bermasalah ini..
    Timbul rasa goyah juga..melihatkan keadaan ekonomi negara sekarang ini..

    1. Semuanya bergantung pada jenis perniagaan dan pelanggan sasaran kita. Kalau betul, tidak akan banyak pengaruh atas keadaan ekonomi

    1. Dalam keadaan ekonomi meleset, jenis perniagaan dan siapa pelanggan sasaran memainkan peranan penting untuk berjaya… ertinya mesti dimulakan dengan betul untuk hidup. Sebab itu mereka yg mula ketika zaman meleset biasanya akan melonjak bila zaman makmur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge