Apakah anda perlu modal pusingan untuk besarkan perniagaan?“Siapa rasa dia perlukan modal pusingan untuk besarkan perniagaan angkat tangan?”, itu soalan yang saya tanya baru-baru ini dalam bengkel perniagaan di Juru, Pulau Pinang.

Terdapat dalam linkungan 30 peserta yang hadir dalam bengkel perniagaan yang saya berikan baru-baru ini. Semua peserta merupakan usahawan daripada industri automotif. Mereka menceburkan diri dalam bidang yang sama tetapi masing-masing berada di tahap-tahap yang berbeza.

Ada yang dah lebih 10 tahun menceburi dalam bidang keusahawanan automotif. Ada juga yang baru setahun menceburkan diri dan ada juga yang baru nak menceburkan diri.

Bidang automotif yang dimaksudkan adalah dalam perniagaan bengkel kenderaan persendirian. Mereka membuka pusat perkhidmatan penyelenggaraan dan membaik pulih kenderaan berbagai. Ada yang buat pusat baiki dan baik pulih serta selenggara motosikal dan ada juga yang jalankan pusat servis kereta, termasuklah segala aktiviti perniagaan lain yang berkaitan dengan kereta dan motosikal.

Semua rasa mereka perlukan modal pusingan untuk bergerak ke depan

Apa yang menarik daripada pertanyaan yang saya kemukakan pada mereka semua adalah mereka yakin bahawa masalah utama mereka adalah masalah kekurangan modal pusingan.

Daripada usahawan yang baru nak mula sehinggalah usahawan yang dah berbelas tahun berniaga, mereka semua percaya modal pusingan merupakan perkara yang menghantui mereka untuk membesarkan perniagaan serta bergerak ke depan lebih jauh.

Daripada perniagaan yang mengumpulkan pendapatan hanya puluhan ribu setahun sehinggalah perniagaan yang mencatatkan pendapatan ratusan ribu setahun tetap yakin mereka perlukan modal pusingan.

Jawapan terhadap keperluan modal pusingan

Apabila saya melihat semua angkat tangan tanpa ada pengecualian, maka saya bertanya samada mereka mahukan jalan penyelesaiannya. Sudah tentu semuanya mahu!.

Lalu saya tunjukkan pada mereka yang baru nak bertatih dengan pendapatan yang kurang dan berkata. ” Kalau nak tahu jawapannya tanyalah pada dia ni!”, sambil saya tunjukkan pada salah seorang peserta yang perniagaannya sudah besar dan punyai ramai para pekerja.

Isi penting yang saya mahu semua usahawan lihat daripada peristiwa itu adalah fikirkan bagaimana rakan usahawan mereka yang dah membesar dan pergi jauh buat untuk sampai ke sana?

Mereka masih tetap sampai dalam keadaan percaya modal pusingan diperlukan untuk pergi jauh sedangkan mereka masih tetap pergi jauh dan membesar tanpa ada suntikan modal pusingan yang mereka harapkan.

Sudah tentu ada lagi malah ada banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk membesarkan perniagaan mereka selain daripada modal pusingan.

Bukanlah maksud saya modal pusingan itu tidak penting. Kalau ada yang sudi berikan modal pusingan tambahan, itu merupakan satu bonus untuk memlonjakkan perniagaan kita.

Tetapi jangan lupa untuk berikan perhatian pada lain-lain perkara penting selain daripada modal pusingan. Dan antara perkara penting lain itu adalah mencari ilmu pendekatan terbaik dalam menguruskan perniagaan dengan betul.

Kumpul modal pusingan dengan tingkatkan keuntungan

Tidak ada perkara yang lebih bijak dalam menguruskan perniagaan selain daripada meningkatkan keuntungan melalui peningkatan jualan dan mengurangkan kos perbelanjaan tanpa merosakkan kualiti perniagaan kita.

Untuk melakukan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dilaksanakan. Kita hanya perlu mantapkan segala pengurusan yang wajib ada dalam aktiviti perniagaan.

Bila keuntungan meningkat, disitulah datangnya modal pusingan yang pasti, tanpa mengharapkan bantuan luar yang bukan dalam kawalan kita.

Memang ambil masa untuk mengumpul dana hasil daripada keuntungan perniagaan. Tapi cara tersebut lebih selamat. Membesarlah secara sederhana dan berperingkat-peringkat.

Pengalaman jauh lebih penting dari modal pusingan

Membesar secara berperingkat-peringkat melalui mengumpulan dana hasil daripada keuntungan perniagaan memberikan usahawan satu lagi sumber penting yang diperlukan untuk berjaya. Dan sumber penting itu adalah pengalaman.

Pengalaman yang anda dapati sepanjang menguruskan perniagaan dengan betul untuk meningkatkan keuntungan tidak ada nilainya. Pengalaman itu tidak mampu dibeli walaupun anda diberikan RM1 juta sekarang.

Duit RM1 juta boleh dihabiskan lesap hanya dalam masa sebulan, tapi pengalaman yang anda himpun sepanjang menguruskan perniagaan dengan baik tidak akan lesap walaupun keseluruhan kedai atau perniagaan anda hangus dibakar api bencana.

Percayalah!, dengan pengalaman tu, kesemua harta benda dan perniagaan anda yang lesap ditimpa malapetaka akan dapat diadakan semula hanya dalam masa beberapa tahun sahaja.

Jadi apa nak dirisaukan?. Sekarang mana satu anda rasa lebih penting? adakah anda rasa modal pusingan, atau pengalaman menguruskan perniagaan dengan baik dan sempurna dan perlahan-lahan besarkan perniagaan?

Memberikan kesedaran terhadap kepentingan menguruskan perniagaan dengan sistematik dan betul itulah yang saya cuba terapkan dalam mana-mana bengkel perniagaan yang saya berikan selama ini.

Dan kesedaran itu dilanjutkan dalam aktiviti perlaksanaan secara berperingkat dalam aktiviti coaching yang saya berikan pada semua usahawan yang sedang dalam proses bimbingan di bawah HR Biz Coaching.

Bila semunya berjalan lancar, maka usahawan akan sedar bahawa modal pusingan akan datang bergolek ke pintu kedai mereka. Insyaallah!

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. terima kasih kepada tuan Shubhi menulis artikel ini. Memang betul apa yang dikatakan. Modal pusingan ni memang antara satu perkara yg paling selalu difikirkan untuk besarkan perniagaan. Dengan apa yang dikongsikan oleh tuan ni, saya akan cuba terapkan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge