command-key-1500x1000Semenjak dua menjak ini, pembaca setia blog hidupringkas.com ini tentu dapat perhatikan saya kurang membuat artikel sekerap seperti masa lalu.

Paling kerap sekarang saya hanya membuat posting satu artikel sahaja dalam masa seminggu. Ini membuatkan sasaran masa lalu saya sejak awal mengadakan blog ini tersasar jauh.

Pada awalnya saya meletakkan matlamat untuk menyiarkan perkongsian tentang kehidupan dunia keusahawanan dalam jumlah 5 artikel seminggu, tapi sekarang dah jauh meleset.

Ada beberapa sebab saya sudah tidak dapat memberikan komitmen yang sebegitu, antaranya adalah disebabkan oleh:

  1. Kekangan masa – Bermula sejak April 2014, masa saya banyak dihabiskan diluar kawasan untuk meneruskan agenda membuat transformasi kepada para usahawan di luar sana agar perniagaan dan syarikat mereka berada di landasan yang betul dan seterusnya melonjakkan lagi perniagaan yang mereka jalankan.
  2. Penumpuan beralih arah – Semuanya hasil daripada wujudnya blog ini juga. Usahawan sudah tidak puas untuk sekadar membaca perkongsian ilmu perniagaan dan kehidupan dari blog ini. Mereka mahu berdepan dan mendengar sendiri pandangan dan cadangan saya dari mulut saya sendiri. Saya banyak habiskan masa berdepan dengan usahawan secara 4 mata membuat analisis status perniagaan mereka dan seterusnya membuat perubahan yang perlu.
  3. Memberikan tumpuan semula pada syarikat sendiri – Saya terpaksa mengambil alih dan mengetuai serta membuat transformasi terhadap salah satu dari syarikat saya sendiri. Sasaran saya adalah untuk menggandakan dan membesarkan lagi syarikat tersebut ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh 5 tahun bermula tahun 2015.
  4. Mengendalikan kumpulan pembimbing usahawan lain – Ada 5 orang lagi usahawan lain yang sedang berada di bawah bimbingan saya untuk saya perturunkan dan kongsikan segala pengetahuan dan pengalaman yang telh saya lalui untuk membantu usahawan lain membuat transformasi terhadap perniagaan dan syarikat saya.
  5. Membina sayarikat baru – Saya baru saja tubuhkan satu lagi syarikat sempena dengan nama blog ini. Saya namakan syarikat tersebut sebagai Hidup Ringkas Dot Com Sdn Bhd. Fokus syarikat itu adalah untuk menjadi sebuah syarikat yang memberikan khidmat bimbingan perniagaan paling berkesan di Malaysia dengan fokus utama adalah pada usahawna kecil dan sederhana besar Bumiputera.
  6. Semua dah dicurahkan – Ini satu lagi masalah yang besar. Saya rasakan macam dah habis saya kongsikan apa saja yang berlegar dalam kepala saya selama ini. Sejak menulis di blog ini beberapa tahun yang lalu dan begitu kerap menulis, saya rasakan macam dah habis semua dicurahkan.

Secara umumnya masa saya dah agak terhad dan masa online di depan komputer juga terhad.

Tetapi saya masih suka dan berazam untuk sentiasa tawarkan artikel pengalaman bisnes secara konsisten selama yang mungkin kepada peminat dunia keusahawan di luar sana.

Oleh itu, saya ingin mengajak anda yang berpengalaman sebagai seorang usahawan, telah meredah dunia keusahawanan selama ini, untuk membantu saya mencapai kerja fardu kifayah ini.

Sudilah kiranya anda menghantar artikel pengalaman bisnes pada saya untuk saya kongsikannya pada para pembaca. Dapat pahala tu !, takkan nak buat duit saja ?

Ada banyak faedah jika anda kongsikan artikel pengalaman bisnes anda di blog ini, antaranya adalah:

  1. Berbakti pada negara – Pengalaman bisnes secara benar tidak dapat dipelajari di pusat pengajian. Cerita bisnes yang real hanya datang daripada usahawan seperti anda yang mengambil jalan sukar belajar dari perjalanan kehidupan dunia keusahawanan yang anda lalui. Dengan kongsikan pada orang ramai, diharap akan muncul lebih ramai lagi usahawan di negara kita dan negara memerlukan lebih ramai usahawan terutamanya yang berjaya berbanding ahli politik yang nampaknya semakin ramai muncul di media sosial sekarang.
  2. Dapat ganjaran kebaikan – Insyaallah usaha anda kongskan ilmu dan pengalaman bisnes pada orang tidak akan menjadi sia-sia. Malah ia merupakan salah satu amalan kebaikan yang memberikan hasil pada diri anda sendiri di dunia ini, dan insyaallah di akhirat nanti.
  3. Mengasah anda berfikir dan berkomunikasi – Ramai usahawan yang cekap buat kerja sendiri, tapi lemah dari segi perturunkan visinya pada pekerja di bawah. Ini semua ada kena mengena dengan masalah komunikasi dan berfikir secara teratur dengan susunan yang baik dan jelas. Semua itu dapat anda latih dengan menulis apa yang ada dalam memori minda anda.
  4. Buat promosi perniagaan – Dengan menulis artikel pengalaman bisnes di sini, anda dapat perkenalkan syarikat dan perniagaan anda dengan lebih luas. Blog ini sentiasa berada di muka surat pertama setiap kali anda mencari keyword berkenaan bisnes atau perniagaan di Google. Ini satu kelebihan untuk anda yang tahu nilai fokus pada sasaran. Jika anda mahu kembangkan lagi bisnes anda atau mencari rakan atau suntikan modal kewangan baru dari rakan baru, ini satu landasan yang baik untuk mencari rakan tersebut.

Ada banyak lagi kelebihan yang anda boleh dapat dengan menghantar artikel pengalaman bisnes anda pada saya, tapi yang di atas itu sudah cukup banyak untuk tidak anda lepaskan peluang ini.

Jika anda sudi menyahut seruan ini, sila buat satu artikel pengalaman bisnes anda sendiri dan email ke:

mohdshubhi@gmail.com

Insyaallah akan saya semak, betulkan apa yang patut dan seterusnya siarkan untuk dikongsikan pada pembaca.

Jika anda serius untuk sentiasa memberikan artikel pengalaman bisnes secara konsisten, saya boleh masukkan anda menjadi salah seorang penulis di blog hidupringkas.com

Sebelum itu, insyaallah saya akan bertemu dengan anda terlebih dahulu untuk mengenali diri anda secara berdepan. Itu akan mengeratkan perhubungan antara anda dengan saya dan seterusnya menjalinkan satu jaringan baru pada anda dan juga saya sendiri.

Perhubungan yang baik antara individu-individu yang bersemangat tinggi dan bercita-cita besar untuk berjaya banyak membantu orang-orang seperti anda dan saya, insyaallah.

Mungkin masalah paling besar yang anda fikirkan adalah, tak tahu menulis. Jangan risau terhadap maslaah tersebut kerana anda tak akan kehabisan idea jika menceritakan pengalaman anda sendiri. Tak ada orang lain yang boleh tulis perkara tersebut dengan lebih baik melainkan anda.

Oleh itu, sambutlah jemputan saya ini dan hantarkan artikel pengalaman bisnes anda pada saya.. !

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge