Sedang cari idea perniagaan yang nak dibuat?

Jika anda memang ada impian nak jadi usahawan, tentu otak sentiasa ligat mencari idea perniagaan.

Ligat berpusing dan berfikir sampai akhirnya, anda akan beritahu orang memang nak sangat buat bisnes, tapi masalahnya, tak tahu nak buat bisnes apa!

Jika itu masalah yang sedang anda hadapi, tak perlu risau. Memang itu masalah yang paling besar dihadapi oleh semua orang yang ada impian nak berniaga, tapi sampai sekarang masih tak buat-buat.

Memang tak dapat dinafikan mencari idea perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah macam makan kacang goreng. Tambah lagi jika anda tak pernah ada pengalaman buat apa-apa bisnes.

Malah, sebenarnya, orang yang memang dah berniaga, ada pengalaman bisnes sekalipun, mencari idea perniagaan adalah sesuatu yang amat sukar.

Bukan sebab tak ada idea perniagaan. Bersepah perniagaan yang boleh dibuat sebenarnya.

Tetapi masalahnya lebih kepada mencari satu idea perniagaan yang ngam untuk anda lakukan. Yang bersesuaian dengan kehendak hati, selesa dengan kemahiran diri, lancar menggunakan segala sumber yang dah ada, dan lain-lain lagi seumpamanya.

Asas dalam merangka idea perniagaan

Jika anda memang nak berniaga, elok baca pesan yang saya mahu sampaikan dalam artikel ini dalam merangka idea perniagaan yang mahu dilakukan.

Setinggi manapun tahap berani anda dalam mencuba sesuatu idea perniagaan. Serajin dan sekuat manapun usaha yang anda sanggup curahkan dalam melaksanakan idea perniagaan anda. Jika asas idea perniagaan itu tak betul, anda akan banyak buang tenaga dan segala sumber terhad yang ada.

Buat kerja rajin, usaha gigih, tekun dan penuh kesabaran, memang resepi yang wajib ada untuk berjaya. Tapi jika anda rajin, gigih dan sabar buat perkara yang tak betul, semua itu hanya jadi satu amalan yang sia-sia sahaja.

Ianya seumpama memecut menggunakan kenderaan yang cekap dan hebat, menuju ke destinasi yang salah. Tak bergerak dan duduk di tempat yang sama adalah jauh lebih bagus. Tiada pembaziran berlaku.

Untuk pastikan semua usaha anda tak jadi sia-sia, pastikan asas dalam merangka idea perniagaan betul terlebih dahulu.

Apa asas penting yang wajib ada dalam satu idea perniagaan?

Tawarkan sesuatu yang bernilai!

Asas pertama yang wajib ada dalam sesuatu perniagaan

Macam mana nak tahu sesuatu itu ada nilai?

Ada 5 elemen penting yang membentuk sesebuah perniagaan. Dan elemen pertama paling asasnya adalah menyediakan sesuatu yang bernilai di mata pelanggan sasaran.

Mudah sangat petuanya.

Tapi macam mana nak tahu dengan amat mudah yang sesuatu perkara itu ada nilai?

Secara umumnya, kita buat bisnes untuk tawarkan produk atau servis kepada manusia. Oleh itu, apa yang ditawarkan itu wajib punya nilai yang berbaloi untuk manusia.

Jadi, soalannya kat sini, macam mana nak tahu apa yang manusia anggap sebagai punya nilai?

Setiap kali saya ceramah pasal asas perniagaan, ini soalan mudah yang saya sering tanya pada semua usahawan. Walaupun majoritinya dah berbelas atau berpuluh tahun berniaga, ini nampaknya satu soalan yang berat untuk dijawab.

Anda sendiri yang dok baca ni .. cuba renung sejenak. Macam mana nak tahu sesuatu itu ada nilai di sisi manusia?

Mungkin ada yang jawab emas. Lazimnya semua orang setuju yang emas memang ada nilai. Kalau dibandingkan pulak antara emas dengan air kosong, tentu ramai yang akan jawab emas lebih bernilai dari air kosong.

Macam itukah anda putuskan tentang sesuatu yang bernilai atau tak ada nilai?

Bukan!

Bukan macam tu kita buat rumusan tentang nilai yang ada pada sesuatu perkara.

Nilai hanya wujud di sisi manusia hanya apabila perkara itu dapat selesaikan masalahnya.

Duduk kat padang pasir yang tandus kering, secawan air kosong jauh lebih tinggi nilainya daripada satu jongkong emas. Sebab dahaga kerongkong yang kering adalah masalah paling besar di hadapi oleh orang yang terdampar di padang pasir tandus dan kering.

Tentu semua pembaca pernah dengar perkara tersebutkan. Di mana ada masalah, di situ ada peluang.

Anda boleh ubah ayat tersebut kepada ..

Di mana ada masalah, di situ ada idea perniagaan!

Petua mencari idea bisnes

Apa masalah yang anda selesaikan?

Ramai kawan-kawan usahawan kat luar sana yang kreatif dalam mencetuskan idea bisnes. Banyak idea hebat-hebat luar biasa yang mereka keluarkan untuk ditukarkan jadi idea perniagaan.

Ada sekali, seorang kawan saya kongsikan idea bisnes yang dia anggap Win!

Dia sedang bertungkus lumus nak buat bisnes jual tudung yang dijual melalui ‘Vending Machine’.

Sudah tentu dia anggap ideanya hebat. Dalam semua orang sibuk nak jual jajan, minuman, makanan dan lain-lain seumpamanya dengan vending machine, dia keluarkan idea yang berbeza sama sekali.

Jual tudung!

Bila dia tanya saya, memang saya akui, itu idea luar biasa pelik lain dari yang lain.

Tapi bila saya tanya, apa masalah yang dia selesaikan, dia diam tak dapat nak jawab.

Mungkin anda boleh jawab, bantu kawan saya tu.

Agaknya, apa masalah yang bisnes jual tudung melalui vending machine dapat selesaikan pada kaum wanita yang bertudung?

Saya memang tak nampak satupun masalah yang diselesaikan oleh bisnes vending machine tudung bawal!

Kalau dibuat juga bisnes itu, saya 100% yakin akan gagal dengan bergaya!

Oleh itu, setiap kali anda berjaya menjana satu idea perniagaan, jawab soalan penting ini.

Apa masalah yang bisnes anda nak selesaikan?

2 peringkat masalah yang bisnes wajib selesaikan

Ada dua masalah yang idea bisnes anda perlu selesaikan.

  • Masalah umum – Masalah orang lapar perlu makan. Maka bisnes jual makanan sudah pasti dapat selesaikan masalah orang yang lapar.
  • Masalah dalam industri – Kalau anda buat bisnes kedai makan tapi tak laku sangat, ertinya anda tak selesaikan apa-apa masalah yang ada dalam industri perniagaan kedai makan yang dah ada. Ada banyak kedai makan tapi tak sedap, itu masalah dalam industri yang dah ada. Jika anda buka kedai makan yang sedap, dah tentu bisnes anda akan melonjak.

Apa saja bisnes yang anda lihat sekarang, yang masih hidup dan sentiasa berevolusi, sebenarnya memang dah sahih selesaikan masalah umum.

Dan dia berevolusi adalah untuk memenuhi kehendak kepada penyelesaian masalah baru yang muncul dalam industri tersebut.

Jika anda buat bisnes kedai makan sebelum ini laku keras, kemudian makin lama makin merudum, ertinya anda tidak berevolusi untuk selesaikan masalah yang ada dalam industri kedai makan.

Dan ada kedai makan baru yang muncul yang berjaya hidu kewujudan masalah tersebut dan mula menawarkannya ke dalam pasaran.

Berbalik kepada idea jual tudung kat atas tadi. Secara umum, bisnes jual tudung memang memenuhi masalah ramai kaum wanita yang mahu tutup aurat bila keluar rumah.

Jadi tak hairan kalau ada seribu satu macam bisnes jual tudung dalam pasaran di negara kita sejak dahulu lagi.

Kemunculan bisnes tudung yang baru yang meletop tewaskan bisnes tudung lama adalah disebabkan model bisnes tudung baru itu berjaya hidu masalah yang masih ada dalam pasaran yang belum berjaya dipenuhi.

Tudung Neelofa umpamanya tawarkan tudung kepada kaum wanita yang mahu kelihatan cantik anggun bergaya seperti Neelofa. Bila isteri anda pakai tudung Neelofa, samada anda setuju atau tidak, dia sudah tentu puas hati dan merasakan dirinya seanggun Neelofa.

Itu yang Tudung Neelofa berjaya tampilkan.

Bila anda hanya jual tudung dengan guna vending machine, apa masalah dalaman yang diselesaikan?

Minta maaf, saya masih tak jumpa!.

Begitulah lebih kurang panduan yang dapat saya kongsikan khas pada anda yang sedang berusaha mencari idea bisnes.

Saya harap panduan ini mudah difahami dan amat praktikal untuk diamalkan. Semua orang yang dilahirkan waras sudah tentu mampu lakukannya.

Selamat berjaya!

Saya ambil kesempatan untuk ucapkan selamat menyambut kedatangan tahun baru 2019. Sekarang ni kekerapan menulis sudah tdak seperti dahulu lagi.

Ada keutamaan lain yang sedang diberikan tumpuan. Moga tahun 2019, lebih ramai lagi usahawan akan muncul dan berjaya membesar dan menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi negara kita, Insyaallah!.

Total
47
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge