Baca ini dulu sebelum berhutang

By | 28/03/2013

Dunia sekarang ini terlalu sukar untuk jumpa orang yang langsung tak berhutang. Semakin maju semakin meriah aktiviti hutang.

Cuba buat bancian di Kuala Lumpur, berapa ramai yang langsung tak ada hutang. Mungkin cuma penggemis yang tidur di bawah jambatan akan angkat tangan dengan bangga berkata, “aku tak ada hutang?”.

Dari segi itu barangkali mereka lebih terhormat daripada kita yang tidur di bawah bumbung rumah hasil dari berhutang.

Hutang Kad Kredit
Aktiviti hutang mula menjadi meriah sejak kita diajar berbelanja pendapatan yang belum kita miliki. Gaji belum dapat, gunakan kad kredit untuk beli barang yang kita mahu. Hujung bulan gaji masuk, kita boleh membayarnya semula.

Tak cukup dengan itu, mereka benarkan pulak agar kita hanya membayar sekurangnya 5% saja dari jumlah hutang, bakinya bayar kemudian. Bila hampir mencukupi limit, mereka telefon umumkan penambahan jumlah boleh hutang.

Bila tak terurus, mereka tawarkan pula pinjaman rendah bunga, bayar ansur-ansur dan jumlah wang yang boleh digunakan oleh kad kredit bertambah semula. Lama kelamaan tersepit dan sudah tidak lagi mampu membayar.

Ada sekali saya dengar perbualan di Radio24 Bernama masalah mereka yang dichop muflis yang terlalu ramai di negara kita. Komen seorang panel dari Persatuan Pengguna Islam itu amat benar. Katanya, sebelum mereka diisytiharkan muflis secara material, mereka sebenarnya telah terlebih dulu muflis jiwa.

Memang tepat sekali kata beliau. Bila dah tahu tak mampu, masih lagi tergamak berhutang kemudiannya tak bayar. Jiwa orang begitu sebenarnya sudah muflis.

Kenapa kita berhutang
Ada berbagai sebab kita berhutang. Sebab itu boleh saja diterima dan boleh juga tidak diterima. Mereka yang mahu berhutang tidak akan memikirkan rasional atau tidak, yang pentingnya dia mahukan wang untuk mendapatkannya dan cara mudah jika tak ada wang adalah dengan berhutang.

Umumnya ada dua jenis orang yang berhutang

  1. Mereka yang memang sahih ada duit, tapi ketika di mana dia perlukan sejumlah wang, wang yang dimilikinya tidak ada padanya.
  2. Mereka yang tidak sahih ada wang. Tetapi mengandaikan dengan adanya wang mula dia akan ada wang.
Yang membezakan kedua golongan di atas adalah yang pertama sebenarnya tak mahu berhutang. Sebaliknya yang kedua lebih cenderung untuk berhutang. 
Golongan pertama merupakan sasaran institusi pemberi hutang seperti bank dan sebagainya. Mereka diberikan bermacam-macam kemudahan untuk menggunakan kemudahan kewangan kerana orang tahu mereka ada wang.

Tetapi dalam masa yang sama, golongan pertama merupakan mangsa kepada golongan kedua. Oleh kerana proses tapisan yang ketat daripada institusi bank dan pinjaman wang lain, golongan kedua akan mencari yang pertama untuk merayu.

Hati-hati memberi hutang
Jika anda merupakan golongan kedua, berhati-hatilah untuk memberikan hutang. Kebiasannya mereka yang datang pada anda merupakan samada saudara mara ataupun sahabat atau kenalan rapat.

Saudara amara akan menggunakan alasan persaudaraan untuk memaksa anda memberikan mereka hutang. Walaupun kadang kala alasan untuk berhutang adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Contoh paling mudah adalah kakak atau abang minta pinjam RM10 ribu sebab nak buat kenduri kahwin anak mereka. Secara logiknya, tidak patut kita membiarkan mereka bergolok gadai semata untuk memeriahkan urusan perkahwinan anak. Tapi atas dasar keluarga anda akan tewas.

Kawan-kawan pula akan menggunakan rekod persahabatan dengan anda selama ini untuk meyakinkan anda. Biasanya agak sukar menolak permintaan kawan yang tidak pernah minta duit dari anda.

Tetapi jika dia adalah orang yang sama sering minta hutang tapi tak bayar, agak mudah sedikit untuk menolaknya.

Walaupun anda ada banyak wang dan tidak ada masalah untuk meminjamkan atau memberikan wang pada ramai orang, anda tidak sepatutnya merosakkan kawan atau saudara dengan memudahkan mereka meminjam dari anda.

Orang yang terbiasa selesaikan masalahnya dengan berhutang pada kawan-kawan tidak akan segan silu untuk mengulanginya lagi setiap kali ada kesempatan. Walaupun mereka berkali-kali berhutang tapi tidak pernah bayar, mereka akan tetap datang untuk menjadikan anda mangsa.

Ini disebabkan mereka sudah menjadi pakar merayu dan meyakinkan anda untuk mengeluarkan duit. Bagi diri mereka pula sebenarnya telah rosak jiwanya kerana mengambil jalan mudah dan tidak kisah untuk tak bayar hutang.

Petua menolak memberi hutang
Ingat! kita tolak untuk berikan kawan atau saudara hutang, bukan kerana kedekut atau tidak berhati perut. Tapi kita perlu membetulkan jiwa mereka agar benar-benar berdisiplin dalam hal berhutang.

Banyak sangat contoh mereka yang senang mendapatkan wang dengan berhutang tidak berusaha secukupnya untuk berjaya. Dah mudah dapat wang, tak bayarpun kawan tak minta, jadi kenapa perlu cari cara lain untuk dapatkan wang?, minta saja pada kawan-kawan dan tak perlu bayar.

Berikut langkah yang perlu diambil sebelum beri hutang:

  • Jangan dengar dan menghayati sangat alasan yang diberikan oleh rakan atau saudara sebelum membuat sedikit kaji selidik.
  • Telefon beberapa kenalan lain untuk selidik sejarah hutang mereka. Semak sekurangnya pada 3 orang untuk dapatkan kepastian.
  • Jika kawan tersebut jarang berhutang, dan jika berhutangpun tidak pernah mungkir janji membayar, anda akan mudah mengetahuinya dari kawan-kawan. Kawan sebegini tidak akan berhutang kecuali benar-benar memerlukannya.
  • Jika kawan itu kaki hutang dan amat sukar membayar, anda akan mudah mengetahuinya dari rakan-rakan. Ini di sebabkan mereka sudah mula membina tabiat yang merosakkan diri mereka.
    • Orang begini elok jangan diberikan hutang.
    • Cara melepaskan diri mereka adalah dengan memberikan hadiah dalam jumlah yang anda selesa. Biasanya berikan saja RM100 atau lebih dan katakan padanya tak perlu bayar.

Jiwa yang kuat berpegang teguh dengan janji
Antara cara saya mengenali sifat seseorang rakan adalah dengan melakukan beberapa perkara:

  • Makan dengan mereka – Anda boleh mendalami perasaan kawan apabila sering makan bersama
  • Bermusafir dengan mereka – Anda boleh memahami setia kawan jika bermusafir bersama.
  • Memberikan mereka hutang bila diminta dalam jumlah yang saya mampu – anda boleh mengetahui keteguhan janji mereka terhadap masalah kewangan.

Ada seorang rakan yang saya ketahui tak ada duit. Dia bukanlah orang yang senang namun tidak pernah meminta wang dari saya. Suatu hari dia memberi tahu masalahnya yang memerlukan wang sejumlah RM4 ribu. Dia perlu membayar jumlah tersebut atau dipenjarakan.

Saya mendapat satu peluang untuk mendalami keteguhan jiwanya dengan memberikan jumlah wang itu. Dia berjanji akan mebayar dalam tempoh sebulan setengah.

Bila tiba masanya, kawan tersebut benar-benar menunaikan janjinya walaupun ada sedikit masalah teknikal. Saya dapat pastikan kawan saya itu memang mulia jiwanya dan berpegang teguh dengan janji.

Baginya janji bukanlah mainan mulut dan adalah maruah diri kita. Insyallah saya akan kenang kawan saya ini sampai bila-bila.

Kita perlu mengambil sikap yang sama seperti kawan saya tersebut. Mungkin kita tidak berhutang pada kawan-kawan, tapi ramai usahawan yang berhutang dengan bank. Ramai juga yang berhutang uintuk membeli kereta.

Untuk itu, pastikan janji dipenuhi. Bayarlah hutang sebagaimana yang dijanjikan. Ramai yang hutang kereta dan berlaku masalah berhenti membayar ansuran walaupun diri diisytihar muflis kerana itu.

Menjadi muflis semua orang mampu, tapi muflis jiwa dengan tidak bayar hutang dan tunaikan janji merendahkan martabat diri kita dan menyukarkan diri untuk berjaya.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Baca ini dulu sebelum berhutang

  1. whatname

    hutang kadangkala buatkan kita stress, kadang- kadang pihak bank pun sengaja menaikkan bunga… lebih dari tunggakan hutang…sakit hati..padahal konsisten bayar bulan2x, bila check ada tunggakan sampai 2kali ganda? what the hell!!!!!!! rupanya bunga naik setiap hari..hanya bermula dgn rm10 tunngakan skrg dah 421.10… dah lah minggu nie bnyak nak gna duit…lantak kau ah……..rasa nak gi bakar jer bank islam tu..

    Reply
  2. Anonymous

    Ramai yg suffering in silence dlm masalah hutang keliling pinggang. Bagaimana penyelesaiannya bagi kelompok yg sudah terjebak dengan masalah hutang ini? banyak buku di karang untuk menegelak orang dari terjebak dengan masalah kewangan tapi hampir tiada buku yang bercerita untuk membantu orang keluar dari masalah bebanan hutang melampau ini (ya melampau terutamanya asbab sistem riba).

    Pak Jabit, Rawang.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      saya rasa asasnya adalah betulkan jiwa dan cara berfikir. Keluar dari masalah hutang memakan masa terutamanya jika dah sampai peringkat keliling pinggang, itu tandanya dah jadi tabiat sebati yang sukar untuk diubah.

      Tapi Insyallah kena caranya boleh dibaiki. Mungkin kita cuba tulis cara berkesan untuk keluar dari belenggu hutang selepas ini….

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge