IMG_0763Ini bukannya panduan bagaimana nak buat rancangan perniagaan. Saya dah pernah tulis sebelum ini sedikit panduan bagaimana nak buat perkara itu.

Tapi sebaliknya apa yang nak dikongsikan kali ini adalah bagaimana nak buat perancangan untuk berniaga. Sudah tentu ianya khas untuk mereka yang sedang makan gaji. Tak kisah samada makan gaji dengan kerajaan mahupun dengan pihak swasta.

Idea menulis perancangan untuk berniaga

Soalan bagaimana nak buat perancangan untuk berniaga ini keluar dalam kepala selepas bertemu dengan seorang rakan Kelab Hidup Ringkas yang merupakan salah seorang bekas peserta kursus menilai potensi perniagaan yang pernah saya anjurkan sebelum ini.

Soalan yang keluar dari mulut rakan tersebut adalah dia nak berniaga dan yakin nak jadi usahawan tapi rasa keliru di mana nak mula?

Ya! ramai yang sebenarnya mengalami kekeliruan ini. Mereka yakin bahawa menjadi usahawan merupakan impian yang mahu mereka capai.

Ramai yang sedar dan yakin apa yang mereka lakukan sekarang bukanlah apa yang mereka minat dan cari selama ini.

Bila mereka rasa begitu, maka usaha untuk menjadi yang terbaik dalam apa yang mereka sedang lakukan akan terbantut.

Sudah tentu apa saja yang anda buat sekarang tanpa adanya usaha meningkatkan keupayaan diri dalam kerja tersebut membuatkan anda menjadi biasa-biasa saja.

Anda akan jadi mati segan hidup tak mahu, melukut di tepi gantang atau seperti mana banyak lagi perumpamaan lain yang seumpama dengannya. Orang kampung saya kata manusia begitu akan jadi ‘Average’ saja.

Konsep buat perancangan untuk berniaga

Sebenarnya kita semua ada kemahiran untuk merancang secara tidak kita sedari. Banyak perkara harian dalam kehidupan yang kita lakukan sebenarnya telah dirancang terlebih dahulu dalam kepala secara automatik dan berkesan.

Mari kita lihat bagaimana perancangan secara automatik berlaku dalam kepala saban hari. Cuba ambil contoh anda nak pergi bercuti dengan kawan-kawan pada hujung tahun ini.

Apa yang berlaku sebaik saja timbulnya idea nak pergi bercuti tersebut adalah seperti yang berikut:

  1. Kenal pasti tujuan bercuti dan kerangka asas atau percutian – Mungkin anda mahu mencari ketenangan dan merehatkan diri daripada keletihan dan tekanan kerja selama hampir setahun sebelum ini. Itulah tujuan sebenar yang membuatkan timbulnya idea pergi bercuti. Juga akan terlintas dalam kepala bajet perbelanjaan setakat mana, keselesaan percutian setakat mana, berapa hari minimum dan maksimum dan lain-lain seumpamanya. Semua itu menjadi kerangka asas idea yang timbul.
  2. Membayangkan hasil yang diperolehi – Secara pantas akan keluar bayangan bagaimana percutian itu berlaku. Anda bayangkan suasana hening dalam hutan, cabaran dan keseronokan memburu ikan, kesejukan mandi jeram dengan rakan-rakan dan lain-lain lagi. Anda cuba bayangkan sejelas mungkin perasaan, pemandangan, bunyi, sentuhan, dan seumpamanya ketika berada ditempat percutian.
  3. Brainstorm mengumpulkan perincian – Kemudiannya otak anda akan mula memikirkan berbagai persoalan seperti di mana lokasinya, pukul berapa bertolak, berapa hari nak tinggal, nak ajak siapa, nak naik apa, nak bawa makanan apa, keadaan cuaca bagaimana, sesuai atau tidak sesuai dan banyak soalan lain lagi seperti itu yang akan muncul.
  4. Mula menyusun – Dengan timbulnya segala persoalan tadi di atas, maka dengan pantas akan akan mula mnyusun bagi mendapatkan segala kepastian. Anda akan mula teringat nak telefon rakan-rakan yang terlintas untuk diajak bersama, anda akan semak keadaan cuaca di tempat yang mahu dilawati, jarak perjalanan dan keadaan jalan dan sebagainya. Semua berlaku secara tersusun satu persatu dan lancar sekali bagi merealisasikan apa yang anda bayangkan dalam kepala tadi
  5. Aksi selanjutnya – Akhirnya setelah jelas bahawa anda memang nak pergi bercuti dengan rakan-rakan, tindakan paling awal yang anda lakukan sudah tentu menelefon rakan-rakan yang muncul dalam kepala tadi untuk mendapatkan persetujuan dan seterusnya menentukan apa pula yang perlu dibuat lagi satu demi satu hinggalah datangnya hari yang dirancangkan ada anda mula bertolak dan sampai ke tempat percutian.

Buat perancangan untuk berniaga

Kalau anda dah faham bagaimana anda lakukan segala aktiviti kehidupan selama ini seperti yang cuba saya jelaskan di atas tadi, anda tentu dah yakin sekarang bahawa anda sebenarnya amat cekap merancang.

Malah aktiviti merancang sentiasa bermain dalam kepala anda saban waktu dari sekecil-kecil urusan sehinggalah sebesar-besar urusan.

Sekarang, anda hanya perlu lakukan perkara sama seperti langkah 1 hingga 5 di atas dalam urusan membuat perancangan untuk berniaga yang anda idamkan selama ini.

Oleh kerana berniaga bukanlah satu urusan main-main, malah melibatkan satu usaha gaya kehidupan yang anda mahu pilih, maka seeloknya ia dilakukan secara profesional seperti gaya seorang usahawan berjaya. Kata orang mulakan dengan bergaya seperti anda sudah berjaya.

Oleh itu pergi ambil buku dan pen dan mula buat perancangan anda. Anda hanya perlu lakukan 5perkara di bawah:

  1. Apakah tujuan anda mahu berniaga dan apakah kerangka asasnya
    1. Mungkin anda mahu mencatur masa anda sendiri untuk buat apa, bila dan dimana, dengan siapa dan bagaimana. Mungkin anda mahu buktikan pada seseorang anda boleh jadi jutawan.
    2. Anda juga perlu gariskan apakah sempadan atau had yang anda perlu berada di dalamnya.  Mungkin anda tak mahu berurus niaga dengan kerajaan, mungkin anda hanya mahu berniaga sekitar kampung sendiri.
    3. Jawab juga soalan nak berniaga apa dan buatlah kerangka itu dengan jelas.
  2. Bayangkan hasil apabila anda sudah jadi usahawan
    1. Pergi ambil kerusi malas, duduk sambil tangan di atas kepala dan mula bayangkan keadaan anda apabila sudah jadi usahawan.
    2. Bagaimana anda berpakaian, siapa kawan-kawan anda bagaimana pejabat anda, berapa ramai pekerja anda, bagaimana kesibukan anda… pejam mata dan bayangkan bagaimana perasaan anda ketika itu, apa bunyinya, bagaimana bau harumannya, apa warnanya…. zzzzzz jangan tidur sudah lah!.
  3. Brainstorm kumpulkan perincian maklumat
    1. Kumpulkan 2 atau 3 orang kawan yang ada pengalaman berniaga yang dah jadi usahawan.
    2. Bincangkan dengan mereka dan kembangkan segala persoalan yang terlintas. Jangan takut tunjuk bodoh dengan bertanya asalkan anda tidak berterusan menjadi bodoh.
    3. Lagi banyak aktiviti brainstorm ini, lagi bagus untuk menambahkan perincian dan membetulkan semula bayangan imaginasi pada proses ke-2 di atas.
  4. Buat penyusunan
    1. Hasil daripada sebab nak berniaga, imaginasi dan brainstorm di atas, senaraikan satu persatu mana yang lebih penting dalam senarai perkara yang penting-penting.
    2. Tulis satu persatu dan buat nota dihujungnya apakah yang anda perlu lakukan selanjutnya.
  5. Apakah tindakan selanjutnya
    1. Dari senarai di atas mula bergerak lengkapkan kekosongan. Cari jawapan pada perkara yang tak pasti. Jangan sesekali buat andaian tanpa membuat semakan dan mencari jawapan pasti.
    2. Atasi keraguan dan ketakutan, penuhkan segala kekosongan satu persatu dengan mengulang semula semua proses di atas sehinggalah anda akhirnya dah mula berniaga.

Perghhhh! panjang juga panduan bagaimana nak buat perancangan untuk berniaga ni !. Ingatkan nak berikan panduan ringkas sebab rasa macam mudah saja.

Walau bagaimanapun, diharapkan panduan bagaimana nak merancang untuk berniaga ini boleh dijadikan pedoman buat mereka yang nak berhenti kerja diluar sana dan mahu jadi usahawan satu hari nanti. Moga berjaya.

Anda juga boleh gunakan panduan merancang untuk berniaga di atas dalam apa saja idea lain selain dari nak berniaga. Mungkin anda dah berniaga dan nak bukan cawangan baru.

Atau anda nak buat perancangan pemasaran perniagaan anda atau nak besarkan lagi perniagaan yang ada. Selamat mencuba dan moga ada manfaatnya.

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Alhamdulillah, entri tuan kali ini sangat2 membantu saya. Saya terus ambik buku dan pen dan terus mula membuat perancangan perniagaan saya mengikut panduan yang tuan berikan. Sebelum ini apa yang tuan kongsikan tersebut ada dalam fikiran saya cuma tak pasti betul ke apa yang saya fikirkan dan bagaimana saya perlu bertindak. Terima kasih tuan kerana sudi berkongsi ilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge