Abstract Perspective View Of Chicago City Skyscrapers_Kali ini saya kongsikan kisah seorang rakan usahawan yang bukan seorang doktor dan bukan juga lulusan mana-mana universiti hebat.

Walaupun beliau bukanlah seorang doktor atau tamat kursus pengajian dalam bidang kesihatan, beliau berjaya bina perniagaan hospital dengan jayanya.

Untuk makluman, beliau merupakan antara mentor awal yang banyak mengajar saya tentang dunia keusahawanan sejak mula menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Kita ikuti kisahnya, sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh beliau di bawah ini…

Kisah bukan doktor bina perniagaan hospital

Pada 1983 saya mula berjinak dengan warga masyarakat di Pitt Street, Beach Street dan lorong-lorong seumpamanya di Pulau Pinang.

Di kawasan itu ada banyak bank dan juga pejabat perniagaan yang amat sibuk di Negeri Pulau Pinang.

Ketika itu, saya amat berminat dengan gaya hidup masyarakat yang menduduki pejabat-pejabat di kawasan itu.

Saya kagum dengan cara mereka berpakaian yang kelihatan amat kemas dengan berbaju kemeja tangan. Mereka kelihatan amat segak dan bergaya.

Baju kemeja yang bersih, di masukkan ke dalam seluar slack gelap serta dikenakan pula dengan tali leher menyerlahkan lagi kehebatan mereka.

Dari situlah saya mula berusaha memiliki majalah-majalah perniagaan yang memaparkan kisah-kisah tokoh perniagaan serta memaparkan biodata usahawan berjaya.

Antara majalah yang saya minat dan dapat percuma ketika itu adalah ‘Southern Journal’ Ia merupakan sebuah makalah milik Southern Bank.

Southern Bank merupakan bank pertama yang saya buka akaun. Dan sehingga sekarang saya masih kekalkan akaun ini yang telahpun bertukar menjadi CIMB.

Selepas beberapa lama bergaul dengan masyarakat dikawasan yang saya sebutkan tadi, barulah saya tahu rupa-rupanya semua mereka yang bertali leher kemas itu sebenarnya hanyalah para pekerja sahaja.

Mereka bukanlah tauke atau ahli perniagaan. Saya ubah haluan untuk mengenali taukeh pula dan bukannya sekadar mengenali para pekerja mereka.

Berkawan dengan taukeh

Lewat tahun 80-an, saya berkenalan dengan seorang ahli politik dan juga usahawan yang bernama Mohd Hashim.

Mohd Hashim merupakan seorang usahawan pemilik gedung buku di Kuala Lumpur yang berasal dari Pulau Pinang. Beliau juga merupakan seorang penulis majalah serta buku.

Perkenalan dan persahabatan ini mempengaruhi saya untuk memerhati dan mencatatkan kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh orang lain. Ia juga mendorong untuk saya berangan-angan dan menulis cita cita saya sendiri.

Dorongan itulah yang membuatkan saya mula berkenalan dan berkawan dengan taukeh-taukeh yang ada di Jalan Tunku Abdul Rahman dan juga para taukeh di sekitar Keramat.

Bukan di situ saja, malah sehingga ke Kota Bharu dan sudah tentu para taukeh yang ada di Pulau Pinang juga.

Menulis impian sendiri

Semangat mahu berjaya yang saya buat dengan menulis segala cita-cita serta impian saya di dalam buku catitan mendorong saya untuk menyediakan pula rangka-rangka asas untuk berjaya.

Saya tulis pula kerangka bagai mana untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Saya akan catitkan maklumat seperti,

  • Nama projek yang mahu diusahakan itu
  • Bila akan dimulakan
  • Di mana ianya akan bermula
  • Bagaimanawaktu operasinya
  • Apa keperluan peralatan
  • Berapa modal mula
  • Dari mana nak dapat modal
  • Dll

Saya masih ingat salah satu impian yang saya tulis dan rencanakan adalah cita-cita untuk membuka sebuah restoran terapung bersebelahan jambatan Pulau Pinang. Saya tulis perancangan tersebut pada 3 helai kertas A4.

Ada juga perancangan cita-cita yang saya tulis untuk menjalankan perniagaan minuman. Produk sebegini tak basi (tahan lama). Untuk itu, saya merangka perniagaan untuk membotolkan air minuman.

Ada sekali saya tulis dan merangka cita-cita untuk membuka syarikat sewa kenderaan termasuklah kereta, kapal laut dan juga kapal terbang. Cita-cita itu juga menyebabkan saya membazirkan wang dengan mendaftar diri sebagai peserta dan pelajar di Penang Flying Club.

Dalam banyak-banyak cita-cita atau boleh dikatakan angan-angan yang saya tulis itu, berjaya menjalankan perniagaan Sewa kereta pandu sendiri yang berpusat di Bukit Jambul Pulau Pinang.

Perniagaan sewa kereta pandu sendiri itu kemudiannya banyak membawa saya berkenalan dengan lebih ramai para usahawan dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan menjual orang !.

Memulakan impian bina perniagaan hospital

Memang banyak perancangan yang saya tulis berkenaan perniagaan yang mahu dilakukan. Salah satunya yang memang menjadi impian adalah untuk membuka perniagaan hospital swasta.

Untuk menyediakan kertas cita-cita perniagaan hospital swasta ini, saya sanggup pergi ke Narathiwat Thailand. Di sana, saya meninjau sebuah klinik swasta yang bertaraf hospital.

Saya juga berusaha pergi ke Medan Indonesia untuk melihat rumah sakit swasta yang banyak terdapat di sana.

Ketika itu saya masih bujang. Ia memudahkan saya untk merantau mencari pengalaman dan menimba idea. Dalam perjalanan merantau tersebut, ada kawan-kawan yangmembuat tawaran untuk berkahwin.

Saya mendapat tawaran berkahwin dengan gadis di Thailand ketika berada di sana. Saya juga mendapat pelawaan berkahwin dengan gadis Indonesia ketika pergi melawat di Medan. Gadis-gadis yang disyorkan bukan calang-calang, ada yang berkelulusan jurutera dan ada juga yang berkelulusan Akauntan.

Semua cadangan diberikan berdasarkan impian-impian yang saya ceritakan pada kawan-kawan di sana. Itu memberikan satu pengajaran besar pada saya atau lebih tepat lagi satu jalan keluar dalam melaksanakan impian yang saya tulis.

Anda tak perlu jadi seorang Doktor untuk membuka sebuah perniagaan hospital !.

Berkahwin dengan doktor

Pada tahun 1995 dengan izin Allah, saya berkahwin. Dan saya berkahwin dengan istreri saya Dr Rosnah, seorang doktor perubatan.

Sebaik saja selesai urusan kenduri kahwin, saya terus bawa isteri saya ke Indonesia dan Thailand. Kami melawat hospital swasta yang ada di sana. Saya mula mempengaruhinya untuk menjalankan sebuah perniagaan hospital bersalin swasta.

Sebaik sahaja selesai perkhidmatan wajib di hospital kerajaan selama 5 tahun, isteri saya terus meletakkan jawatannya berkhidmat dalam hospital kerajaan.

Kami memulakan perniagaan hospital yang menjadi impian saya selama ini.

Pengalaman awal perniagaan hospital swasta

Untuk menyediakan sebuah premis yang bertaraf Hospital yang serba cukup dengan segala kelengkapan asas, saya menyewa sebuah premis 3 tingkat di Pekan Permatang pauh bersebelahan tak jauh dari Lebuhraya Utara Selatan.

Premis tersebut saya sewa dengan kadar sewaan RM4.500 sebulan.

Ketika itu, kos sewaan sebuah kedai disekitar kawasan Jarak atau Penanti hanyalah sekitar RM200 ke RM250 sahaja sebulan.

Saya masih ingat Tokwan kepada Isteri saya yang sungguh penyanyang dan perihatin bertanya,

“Hang nak jual apa?, sewa sebulan sampai RM4500 !, orang dok sewa kedai jual kopi RM100 sebulan pun tak boleh nak bayar lancar?.”

Saya hanya mampu diam sahaja ketika itu.

Setiap hari dia akan menelefon saya bertanya,

” Hari ni berapa hang boleh jual?’

Saya pun suka usik dia dengan jawapan,

“Ada la seringit setengah, esok boleh kot dua ringgit suku!”.

Mencari dana perniagaan hospital

Untuk menyediakan sebuah hospital swasta ini saya memerlukan wang lebih dari setengah juta ringgit nilai pada masa itu.

Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan tiada apa yang boleh saya jual untuk mendapat wang sebanyak itu.

Sebelum itu saya ada membaca banyak cerita tokoh-tokoh korporat Malaysia dan juga dari luar, yang menghadapi masalah sama berkenaan dana.

Saya meneliti cerita bagaimana mereka tangani masalah yang mencabar itu.

Antara tokoh masa itu, ialah Halim (kini Tan Sri) yang memiliki sebuah syarikat armada perkapalan bersama isterinya atas nama Halim Mazmin Bhd.

Selaku pencuci dek kapal, apabila Halim dapat kontrak mengangkut minyak, beliau gagal mendapatkan pinjaman membeli kapal dari bank-bank tempatan yang lazimnya meminta cagaran pinjaman.

Halim kata dia tidak mungkin dapat sediakan jaminan dari atas daratan bumi Malaysia untuk itu. Akhirnya, dia berjaya dapat pinjaman pertama dari bank di Singapura dan bukan di Malaysia.

Dalam kes saya, saya menggunakan pendekatan mencari kenalan yang ada sentimental value dalam berusaha mendapatkan modal setengah juta ringgit tersebut.

Enam bulan sebelum isteri saya berhenti, seperti yang saya tulis dalam kertas perancangan, saya mula mengenalpasti semua CEO bank-bank di Malaysia.

Saya kaji minat mereka, hobi, kenalan, guru-guru mereka serta siapa keluarga terdekat mereka.

Setelah siap semua data, saya mula mendekati semua guru mereka yang masih ada.

Akhirnya saya berjaya menyakinkan Dato Ahmad Tajudin, CEO Bank Islam, melalui guru agama sekolah rendah beliau iaitu Ustaz Osman Marzuki dari Pokok Sena Kedah (meninggal selepas 3 tahun saya mulakan perniagaan hospital).

5 minit yang diberi untuk saya berjumpa dengan CEO Bank Islam tersebut saya manfaat sebaik-baiknya sehingga berjaya mendapatkan pinjaman melebihi RM400 ribu. Itu merupakan pinjaman pertama saya yang diperolehi tanpa cagaran dan jaminan.

Cabaran menjalankan perniagaan hospital

Saya mulakan perniagaan dalam keadaan bangunan yang belum siap diubahsuai. Saya mempunyai tabiaat yang sering dikritik kawan-kawan. Tabiat suka serbu jalankan kerja sedangkan sesuatu itu belumpun siap tersedia. Memang saya jenis yang tak suka tunggu semuanya siap lengkap.

Bulan ke dua perniagaan saya membuktikan bahawa kertas cadangan yang saya buat itu silap. Saya rancang untuk menjana RM500 sehari dalam tempoh 6 bulan pertama, sebaliknya saya dapat lebih dari RM 1200 setiap hari selepas minggu ke 2 dan terus meningkat setiap minggu.

Semua itu memberikan semangat dan membuatkan saya amat gembira.

Tapi rasa gembira itu tak lama.

Oleh kerana saya memulakan perniagaan terlebih dahulu sedangkan semua urusan belum siap lengkap, saya hadapi masalah mendapatkan lesen kerajaan tempatan.

Saya gagal menukarkan status premis kedai kepada premis Hospital daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Saya diarahkan berhenti beroperasi serta merta dan diberikan saman RM300 ribu !!!.

Ketika mendapat arahan berhenti dan saman tersebut, saya berada di Terengganu menguruskan pula satu lagi cawangan Hospital baru (semangat lebih nak cepat!).

Mendapat berita tersebut, saya ambil kapal terbang bergegas balik ke Pulau Pinang dan menguruskan cabaran berat paling serius pertama dalam perniagaan.

Saya mesti tenteramkam Isteri, saya juga perlu yakinkan pekerja untuk terus bersama saya. Juga mesti yakinkan orang-orang yang rapat dengan saya, supaya mereka tidak meninggalkan saya dan membawa kesan buruk terhadap perniagaan saya itu.

Saya juga terpaksa berhadapan dengan kempen para ustaz dan aktivis parti yang terdiri dari mereka yang punyai perselisihan politik dengan saya. Mereka jalankan kempen di Masjid untuk tidak menggunakan khidmat klinik hospital saya walaupun sekadar membeli panadol.

Dengan menggunakan segala pengalaman yang ada dan berkat kesabaran dan sokongan semua pihak yang menyebelahi saya akhirnya saya berjaya hadapai semua masalah dan ketepikan saman, arahan penutupan operasi hospital saya dalam tempoh sebulan.

Kejadian dan tekanan yang saya terima ada hikmahnya. Ianya mendesak saya untuk memikirkan idea memiliki premis baru yang lebih besar dan lebih baik di Taman Cermai, Samagagah.

Masa berlalu dan saya terus melangkah ke hadapan dengan membuka cawangan di kulim. Saya juga membeli sebuah Hospital bersalin swasta di Gelugor, Pulau Pinang yang dimiliki oleh seorang wanita berbangsa Sikh dan berasal dari United Kingdom.

Saya berjaya membeli hospital tersebut dengan hanya bermodalkan lidah dan gusi, membuat perjanjian bayaran berperingkat peringkat.

Perjalanan saya masih diteruskan. Cabaran tetap akan datang dan ia tidak akan menghalang untuk saya terus mengejar segala impian saya.

Asalkan anda percaya, Insyaalah anda boleh berjaya !

Nasihat taukeh perniagaan hospital

Demikianlah perkongsian cerita bagaimana seorang biasa yang bukan merupakan seorang doktor berjaya menjalankan impiannya untuk membuka perniagaan hospital.

Anda mungkin punya impian yang besar, tapi saya yakin tentu anda tak terlintas nak buat sesuatu perniagaan yang bukan masuk dalam bidang kemahiran yang anda ada.

Dengan perkongsian ini saya harap anda boleh menukar perspektif cita-cita keusahawanan anda bermula dari sekarang.

Sebenarnya untuk menjadi usahawan, apa yang anda perlukan hanyalah idea serta cita-cita besar untuk menjayakannya.

Berikut saya kongsikan sedikit tips dari kawan saya taukeh perniagaan hospital swasta itu khas kepada mereka yang nak jadi usahawan:

Nasihatnya pada semua usahawan dan bakal usahawan:

  1. Rajinlah membaca biodata usahawan hebat yang berjaya.
  2. Perhatikan perjalanan kejayaan semua orang yang berjaya dan belajar sesuatu dari mereka.
  3. Sentiasa berusaha mendekati orang yang berjaya.
  4. Letakkan diri anda di kelompok orang yang berjaya.
  5. Pastikan anda ada impian yang kuat.
  6. Jangan lupa untuk membuat kaji selidik bagi mencari jalan mencapai apa yang anda inginkan.

Semoga cerita perniagaan hospital dari usahawan yang bukan doktor ini memberikan inspirasi pada anda.

Total
109
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Saya saya berminat untuk jumpa tuan .seorang ushawan ygcekal minat sama dengan saya .ramai fzmily doktor minat spt tuan

  2. Sangat berguna untuk saya. Terima kasih atas perkongsian cerita ini..

    Saya kini juga sedang berubah.. Doakan perjalanan ini berjaya.. Saya x minta perjalanan ini dipermudahkan kerana mustahil utk mencapai kejayaan dengan mudah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge