panduan mencari mentor perniagaan Data demi data yang dibentangkan oleh pengkaji kejayaan seseorang usahawan menunjukkan bahawa mentor perniagaan memainkan peranan yang cukup penting terhadap kejayaan seorang usahawan.

Semua usahawan yang berjaya mempunyai mentor masing-masing. Mentor tersebut menjadi rujukan para usahawan dan mereka sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada mentor dalam urusan perniagaan serta dunia keusahawanan mereka.

Jika anda mahu jadi usahawan atau anda sudahpun menjadi usahawan, anda mesti dapatkan seorang mentor sebagai rakan rapat untuk anda sering bertemu, minum teh dan berbincang tentang dunia perniagaan.

Amat malang jika seorang usahawan itu berniaga keseorangan dan tidak mempunyai dunia persahabatan keusahawanan terutamanya dengan mereka yang juga para usahawan yang lebih berjaya daripada dirinya.

Bagaimana mencari mentor perniagaan dari kalangan kawan usahawan berjaya

Persoalan yang sering ditanya oleh mereka yang mahu jadi usahawan adalah bagaimana mencari mentor yang sanggup berkawan dengan mereka dan membimbing serta memberikan khidmat nasihat agar mereka juga turut sama berjaya dalam perniagaan seperti mentor mereka itu.

Antara kepercayaan popular yang sering kita dengar adalah, usahawan yang telah berjaya selalunya enggan berkongsi rahsia kejayaan mereka dengan orang lain. Betulkah begitu?

Dari pengalaman saya, kebanyakan usahawan yang berjaya bukannya tak mahu berkongsi kejayaan mereka dengan orang lain. Tetapi mereka biasanya berkongsi pengalaman dengan orang yang mereka iktiraf sebagai kawan sahaja.

Untuk itu, jika anda mahu mencari mentor atau rakan usahawan yang berjaya, terlebih dahulu anda perlu berkawan dengan para usahawan yang telah berjaya tersebut. Bila dah jadi kawan, maka anda mendapat tips atau khidmat nasihat darinya.

Fikirkan lah bagaimana anda dapat berkawan dengan orang yang menjadi sasaran anda. Berikut saya senaraikan perkara yang perlu dilakukan jika anda mahu berkawan.

  1. Kenal pasti usahawan yang anda mahu rapat. Ini boleh dilakukan dengan berbagai cara. Anda boleh menyertai kumpulan atau pertubuhan yang ada hubung kait dengan industri yang anda ceburi. Jika anda ceburi bidang usahawan internet, ada banyak kumpulan ini sering bertemu di alam cyber. Kumpulan ini juga sering anjurkan seminar atau kelas pembelajaran yang boleh anda sertai.
  2. Pilih usahawan yang serasi dengan jiwa atau diri anda. Bukan semua orang kita boleh ngam dengan mudah. Ada kalanya orang yang serasi dengan kita dapat dikesan pada pertemuan pertama dan ada kalanya memerlukan beberapa siri pertemuan. Mungkin ada sesuatu yang sama dikongsi antara anda dengan mereka. Mungkin gaya hidup, mungkin aktiviti masa lapang atau mungkin menyokong kumpulan sukan atau parti tertentu.
  3. Jangan berlakon. Berikan tumpuan pada menjalin hubungan kawan dan bukannya mahu minta bantuan. Semua khidmat nasihat perlu berlaku secara spontan dan rela dan bukannya secara paksaan.
  4. Jangan hanya meminta tanpa memberi. Ramai yang kemut untuk berbelanja atau memberikan khidmat terbaik pada orag yang mahu dikutip ilmunya. Jangan anggap mentang-mentang dia usahawan berjaya dan banyak duit, anda tak perlu belanja dia makan dan minum. Sikap tidak berkira kita biasanya mempercepatkan lagi jalinan perhubungan.
  5. Berkongsikan ilmu yang anda rasa dia kurang mahir berbanding diri anda. Ini juga ada hubungan dengan lankag di atas tadi. Jika anda ada sesuatu yang bernilai dan dengan rela berkongsi samada kepakaran, kemahiran, kenalan dan sebagainya, anda telah berbakti pada orang yang bakal menjadi pembimbing anda untuk berjaya.
  6. Buat perjumpaan berkala yang lebih kerap. Usahawan biasanya suka meluangkan masa dengan para usahawan lain bilamasa ada kelapangan. Perbincangan sesama usahawan biasa menjadi satu motivasi yang baik. Oleh itu, setiap kali ada kelapangan hubungi mereka dan ajak minum atau makan sekali.
  7. Sertai perjalanan atau aktiviti bersama. Untuk mengenali hatibudi dan perwatakan seseorang, aktiviti berjalan atau kembara merupakan satu cara terbaik. Perhubungan akan menjadi lebih baik dan anda akan mendapat banyak tips dan nasihat sepanjang perjalanan.

Cara mencari mentor perniagaan yang saya tunjukkan di atas adalah cara yang telah saya lakukan sejak mula menjadi usahawan, malah sejak saya buat keputusan nak jadi usahawan segala aktiviti yang disebutkan itu telah saya mula jalankan. Oleh itu saya mendapat khidmta nasihat dan idea keusahawanan secara percuma daripada para mentor saya.

Namun begitu, ada satu lagi cara yang lebih cepat. Iaitu dengan menyertai program HR Biz Coaching atau mana-mana program Business Coaching yang ada di tawarkan di negara kita.

Cara ini adalah lebih mudah dan pantas. Anda cuma perlu sediakan wang untuk membayar khidmat yang mereka tawarkan. Untuk mencari di mana mereka ada, anda hanya perlu google perkataan “Business coaching in Malaysia” atau lain-lain ayat seumpamanya.

Berikut saya berikan beberapa tips untuk memilih mentor perniagaan berbayar sebagaimana yang disenaraikan oleh Business Review Australia:

  1. Pengalaman. Carilah mereka yang berpengalaman melatih atau membimbing para usahawan lain dan bukannya mereka yang tidak pernah ada pengalaman menjalankan program business coaching.
  2. Rekod cemerlang. Pilih mereka yang sudah terbukti membantu ramai usahawan lain untuk berjaya dengan program yang telah mereka jalankan.
  3. Cara bimbingan yang sesuai untuk anda. Lihat bagaimana program bimbingan akan dijalankan dan pastikan ianya sesuai dengan diri anda. Contohnya jika masa atau cara perjumpaan terlalu rigid dan tidak fleksibel, anda mungkin tak dapat sesuaikan diri.
  4. Punyai pegangan atau prinsip yang sama. Mungkin ada ramai usahawan yang  menyediakan khidmat business coaching, tapi cara pemikiran mereka tak sama dengan anda. Mungkin dia seorang yang mementingkan gaya hidup senang dan mewah dan anda pula rasa kekok begitu. Ada juga yang berpandangan untuk berjaya kena tipu sedikit sebanyak, jika anda rasa itu salah, jangan gunakan khidmat mereka yang sebegitu.
  5. Pastikan bayaran mengikut kemampuan. Ini perkara paling penting yang perlu anda pertimbangkan. Ada program business coaching yang mengenakan bayaran cukup mahal semata-mata kerana dia orang terkenal. Jika anda rasa apa yang diberikannya itu berbaloi dengan jumlah bayaran, teruskan, jika tidak carilah mereka yang tak terkenal tetapi punya pengalaman secara terus.
  6. Pilih mereka yang memang seorang usahawan dan masih menjadi usahawan dan punya pengalaman berniaga dari bawah. Ramai pembimbing yang cari makan hanya dengan perniagaan bimbingan ini. Mereka belajar daripada teori dan membaca berbagai buku teori untuk mengajar orang lain sedangkan mereka tak pernah berniaga dan berjaya. Tapi jika anda rasa cara begitu sesuai untuk anda tidak ada masalah. Memang ada yang berjaya dengan didikan pengamal teori melalui bacaan ini.

Nota: Program HR Biz Coaching yang saya tawarkan sejak awal tahun ini telah saya tutup pengambilannya untuk tahun ini dan hanya akan dibuka semula bermula Januari 2014 tahun depan. Jika anda berminat sila emailkan pada saya terlebih dulu maklumat anda pada saya untuk menempa tempat. Jumlah peserta adalah terhad, siapa datang dulu dia dapat. Sila nyatakan dalam email samada anda:

  1. Sedang bekerja makan gaji dan mahukan bimbingan dari awal menjadi usahawan, atau
  2. Sudah berniaga dan mahu memantapkan perniagaan.

Hantarkan email anda pada mohdshubhi@gmail.com

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

13 comments

  1. Memang sangat perlu adanya Mentor sebagai sumber rujukan dan inspirasi.

    Saya baru 2 tahun berniaga. Saya juga tercari-cari mentor. Pandangan peribadi saya – tak perlu menjadi sangat berjaya untuk berkongsi Ilmu. Takut nanti bila dah Kaya dan Berjaya, kekangan masa tak mengizinkan untuk berkongsi.

    Moga kita boleh bertemu di sesi HR business Coaching, insyallah saya akan kongsikan sedikit tips kejayaan dalam perniagaan yang masih mentah ini. Kita capai BINTANG kejayaan itu bersama-sama.

  2. Bro you ni baguih betoi.. Mentor sangat penting, saya masih lagi dalam pencarian, so far ada 1 yang saya dah narrow down, tapi tak boleh nak embark lagi.. keep up the good work bro.. benda macam ni semua kena highlight, sebab ramai orang pandang remeh benda macam ni..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge