Bengkel Pak Ya TerbakarArtikel kali ini merupakan sumbangan penulisan daripada seorang lagi Coach dalam team HR Biz Coaching. Beliau kongsikan cerita tentang salah seorang usahawan yang dibimbingnya yang hadapi dugaan besar yang amat mencabar.

Kita ikuti ceritanya di bawah…

Banyak artikel yang telah ditulis menceritakan mengenai usahawan sebelum ini. Ada kisah kejayaan, ada kisah kesusahan dan sebagainya.

Di sini saya ingin menceritakan pula bagaimana usahawan bengkel kereta menghadapi dugaan besar apabila bengkelnya terbakar dua bulan yang lalu.

Kita ikuti cerita ringkas bagaimana usahawan ini hadapi dugaan dengan malapetaka yang telah menimpanya.

Usahawan hadapi dugaan bengkel hangus terbakar

Pemilik bengkel ini adalah salah seorang peserta yang mengikuti program Coaching yang dijalankan di Pulau Pinang.

Bengkel yang diusahakan itu sudah melebihi 10 tahun dan perniagaannya juga sangat maju. Kereta tidak putus-putus datang ke bengkel beliau.

Sikap beliau yang peramah, sentiasa tersenyum apabila bertemu pelanggan, serta fasih berbahasa Hokkien membuatkan ramai pelanggan dari kalangan orang bukan Melayu turut datang membaiki kereta di bengkel beliau.

Pepatah Melayu ada menyatakan.. “Langit tidak selalu cerah”

2 bulan yang lalu pada satu hari, kedai beliau habis terbakar keseluruhannya. Punca kebakaran masih belum diketahui.

Pada keesokan harinya apabila saya bertemu beliau, di raut wajahnya masih tersenyum dan bersyukur kerana beliau dan keluarganya masih selamat.

Akan tetapi, tak tahulah apa yang berlegar di kepala beliau pada ketika itu, hanya dia saja yang tahu.

Tetapi menurut beliau, kejadian telah pun berlaku, dan apa yang perlu dilakukan adalah untuk memulihkan perniagaanya secepat mungkin.

Terus pandang depan setelah hadapi dugaan

Selepas 2 bulan, saya kembali ke bengkel beliau untuk lawatan bengkel. 60 peratus bengkel beliau telah pun siap dibangunkan semula.

Beliau juga telah beroperasi walaupun tidak seperti yang sebelum ini kerana stok tayar dan bateri masih belum sampai. Ini kerana rak penyimpanan stok belum dibuat.

Menurut beliau, beberapa agensi kerajaan serta swasta telah membantu beliau untuk membangunkan bengkel tersebut. Begitu juga dengan rakan-rakan lain turut sama membantu.

“Hang berniagalah dulu..nanti kita kira berapa perlu bayaq..”, itu kata-kata semangat pembekalnya dan juga kawan-kawan.

Syarikat pembekal bersama dengan pihak MARA membantu dari segi peralatan dan kelengkapan peralatan. Manakala Petronas membantu dari segi kesediaan premis.

Sikap usahawan dalam hadapi dugaan

Otak saya memikirkan tentang program bimbingan usahawan dan bagaimana ia berhubung kait dengan kejadian keatas peserta saya ini.

Di dalam modul utama program coaching ini adalah TABIAT atau SIKAP usahawan itu sendiri.

Peserta sering diingatkan tentang 3 perkara utama iaitu,

  1. Bersemangat tinggi – Usahawan perlu ada semangat yang tinggi kerana apabila berniaga, pelbagai cabaran dan dugaan akan datang. Orang yang berniaga cukup faham perkara ini sebab setiap masalah perlu ditangani dan tak boleh dihindarkan. Masalah tidak akan hilang macam tu sahaja tanpa jalan penyelesaian. Nak selesai masalah yang besar, perlukan semangat yang tinggi sepertimana usahawan bengkel tadi.
  2. Fokus dan Terurus – Sikap ini perlu ada pada usahawan. Bengkel dah terbakar, macamana nak fokus? Peningla macam ni…Selalu otak kita akan mereka-reka cerita tentang kesusahan yang dihadapi setelah kejadian seperti ini berlaku. Macam-macam soalan akan bermain dikepala. Kebanyakan soalan tersebut adalah pandangan negatif. Ini normal kepada sesiapa sahaja.
    Apa yang perlu usahawan buat adalah bagi tahu otak kita jangan dok mengarut.

    1. Kembali fokus kepada matlamat.
    2. Merancang apa yang perlu usahawan buat untuk mencapai matlamat tersebut.
    3. Senaraikanlah semua perkara yang akan dilaksanakan.
    4. Kembali menguruskan tugasan yang kena buat dan lakukan satu persatu.
    5. Semak dan uruskan semula sampailah siap tugasan tersebut

Hasil daripada ketabahan peserta bengkel tadi, beliau kembali fokus serta menguruskan semula syarikat beliau.

Tidak ada sesiapa yang boleh bangkit dan bangun semula tanpa usaha daripada diri sendiri yang bertindak menyelesaikannya.

Jika pembaca perhatikan hanya dua perkara sahaja yang telah disenaraikan di atas. Apakah perkara ketiga yang sering menjadi saranan agar para usahawan sentiasa melakukannya.

Perkara nombor tiga yang penting tersebut adalah Networking atau Membina Jaringan.

Untuk artikel seterusnya, saya akan menulis mengenai bagaimana “Networking – Jaringan” usahawan bengkel itu membantu beliau membangunkan semula perniagaan. Bersambung… insyaallah!

Sekian dari Norizan Hassan

Team HR Biz Coaching

Total
22
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge