“Hang nak belajar sampaikan idea dan pemikiran dengan jelas dan mantap tak?”

Itu soalan yang terpancul keluar dari Ayzul sebaik saja kami duduk semeja kat sebuah kedai minum di tepi tasik Shah Alam.

“Tentu la aku mau!” jawab saya spontan tanpa perlu fikir panjang lagi. Saya sanggup kosongkan semua jadual kerja untuk pergi ke program macam itu.

Kalaqu nak jadi seorang individu yang berjaya dalam apa bidang sekalipun, kemahiran untuk sampaikan idea dengan jelas dan mantap adalah satu aset yang amat besar.

Tambah la lagi kalau nak jadi seorang usahawan. Tak ada yang lebih penting dari keupayaan berkomunikasi dengan baik, jelas dan mantap.

Kalau anda usahawan, anda perlu sentiasa berkomunikasi dengan, pelanggan, pembantu, pekerja, rakan kongsi, pembekal, pemberi dana, bank, pihak berkuasa, pesaing, pasangan hidup, jiran tetangga, musuh, pendengki, kawan, dan panjang lagi kalau nak sebut semuanya satu persatu.

Keupayaan berkomunikasi dengan baik, jelas dan mantap dengan semua orang lain di sekeliling anda akan membuatkan banyak tenaga berjaya dijimatkan. Tidak akan berlaku pembaziran sama ada masa mahupun tenaga.

Kalau anda makan gaji pula, sebenarnya sama saja. Orang yang hebat dalam keupayaan sampaikan idea dan pemikirannya, akan mampu pergi lebih jauh. Malah lazimnya kawan-kawan yang cemerlang dalam bab komunikasi akan naik lebih cepat walaupun anda rasa kerjanya biasa-biasa saja berbanding diri anda sendiri.

Seminar sampaikan idea dengan jelas dan mantap

Diringkaskan cerita, pada hari Isnin dan Selasa baru-baru ini, saya luangkan masa selama dua hari penuh itu untuk hadiri seminar sampaikan idea dengan jelas dan mantap tersebut. Tajuk sebenar seminar itu adalah,

“Freehand Visual Communication Skill”

Bila nak kena hadir seminar kat tengah pusat bandar KL pulak tu, terpaksa keluar awal. Jarak yang biasanya ambil masa 30 minit akan jadi lebih dari satu jam. Tapi demi ilmu, saya harung juga. Sebelum bergerak, macam biasa saya akan ingatkan pada diri sendiri.

“Aku akan hadapi ramai manusia yang terlatih untuk menaikkan darah orang sepanjang perjalanan memandu pagi-pagi ini ke tempat yang sesak dengan kenderaan, jadi aku akan bersedia untuk tenang dan ukirkan senyuman setiap kali manusia jenis itu melintas samada dari tepi, depan atau belakang”

Bisikan peringatah buat diri sendiri sebegitu ternyata amat membantu untuk saya terus tersenyum seorang diri walaupun sebesar mana cabaran sekalipun menimpa ketika memandu.

Isi kandung seminar sampaikan idea

Selama dua hari ada dalam bilik seminar bersama dengan lebih kurang 15 orang lagi kawan-kawan baru dari berbagai latar belakang, saya rasakan amat berbaloi.

Mulanya agak terkejut.

Mukadimah seminar bertumpu kepada bab melukis dengan menggunakan tangan. Masuk-masuk saja dah kena lukis kereta kebal. Kena lukis dengan pantas. Atas meja ada tersedia kertas A4 dan A3 dengan banyak. Masing-masing diberikan pensil dan berbagai peralatan mewarna.

Terdetik juga dalam hati. Apakah saya tersalah masuk kelas seminar ni? Tapi tajuk seminar nampaknya betul dan sama dengan maklumat yang kawan berikan.

Tanpa buang masa saya terus tarik garisan dan conteng sebuah kereta kebal siap dengan meriam. Oleh kerana saya jenis muka tak berapa malu sangat, rupa bentuk kereta kebal bukanlah menjadi satu isu yang besar. Apa lagi bila dah jeling semua lukisan orang lain, saya rasa ada ramai yang jauh lebih teruk. Yang pentingnya kalau angkat lukisan itu dan tanya pada budak tadika, dia tak akan jawab itu gambar tong sampah.

Bermula dari situ, aktiviti melukis berterusan sampai ke jam terakhir seminar di hari kedua. Memang banyak kerja melukis.

Semua yang hadir terpaksa buat banyak latihan menterjemahkan semua idea dan pemikiran yang dibentangkan melalui lukisan. Tempoh dua hari itu nampaknya memberikan saya dan peserta lain rasa lebih selesa dan berani untuk angkat pensil dan membuat lakaran.

Baru saya sedar betapa selama ini ramai orang dah tinggalkan teknik berkomunikasi menyampaikan pemikiran dan idea yang berkesan ini. Kita dah terbiasa untuk keluarkan idea dan pemikiran dengan menggunakan teks. Cakap dan tulis serta buat ayat.

Sedangkan semua orang berfikir dalam kepalanya secara visual. Dari visual itu anda terjemahkan pula kepada ucapan atau teks.

Kenapa tak luahkan saja secara visual juga. Sama dengan bayangan yang ada dalam kepala itu. Bukankah lebih mudah?

Membuang rasa malu tak takut

Itulah antara tujuan seminar.

Masa kita kanak-kanak dulu, nilai estetik atau kecantikan masih tidak kuat terbenam dalam kepala. Makin besar semakin banyak tertanam nilai estetik. Sebab orang semua suka menilai. Dan kita pulak terikut-ikut dengan apa penilaian yang diberikan orang lain.

Akhirnya, semua orang dewasa yang merasakan dia tak ada kemahiran melakar menjauhi teknik penyampaian melalui lakaran lukisan. Takut orang kata buruk dan memalukan.

Itu perkara paling asas yang anda semua perlu buang terlebih dahulu untuk kuasai keupayaan luahkan idea dan pemikiran dengan jelas dan mantap. Perlu buang segala ketakutan dan kritikan.

Antara sesalan yang paling banyak kita bawa sampai ke tua, adalah tidak meluahkan idea dan pendapat yang dirasakan baik. Semuanya angkara tiada keberanian dan takut kena kritik.

Membuang perkara yang tak perlu

Ini merupakan perkara kedua yang penting perlu ada untuk menguasai kemahiran menyampaikan idea dan pemikiran dengan jelas dan mantap.

Perlu tapis semua perkara yang tidak relevan. Perlu buang terlebih dahulu semua isu yang tidak perlu walaupun relevan.

Pernah tak anda berjumpa dengan orang yang pusing 30 km bercakap panjang lebar untuk sampaikan perkara yang tak perlu pusing jauhpun? Rasa agak meletihkan jika berbual dengan orang macam itu.

Tambah pulak jika ia melibatkan urusan kerja yang sepatutnya lurus padat dan tepat.

Antara faktor utama jadi macam itu adalah keupayaan seseorang untuk tapis mana satu yang perlu dan mana satu yang tak perlu. Keupayaan itu diparahkan lagi dengan perasaan takut dan tak yakin pada diri sendiri.

Sebab itu Dr Rozaimi, yang merupakan pengasas kepada teknik ‘Freehand Visual Communication Skill’ tekankan kepada penggunaan lakaran lukisan untuk menjadikan anda lebih mahir dalam penyampaian idea dan pemikiran.

Dia tekankan pada konsep ‘ringkas’.

Hanya dengan menggunakan lukisan saja anda akan mampu mendalami apa erti meringkaskan penyampaian idea dan pemikiran.

Saya terus faham dan nampak dengan amat jelas konsep itu bila dia suruh lukis gambar macam mana nak buat secawan kopi. Semua orang akan lukis lukisan demi lukisan menggambarkan proses buat kopi dari A ke Z.

Tapi bila dia tunjuk lukisan nak buat kopi, hanya dilakarkan cawan dengan air panas, dan dua sudu gula dan satu sudu serbuk kopi di atas cawan berisi air panas itu. Perghhh! betul juga. Apa pasal nak nak serabutkan perkara yang amat mudah tu!.

Itulah perkara besar yang saya tak pernah terfikir sebelum ini.

Bila saya dipaksa untuk melukis idea dan pemikiran yang nak disampaikan dalam bentuk visual. Saya perlu kreatif dan mula menapis semua perkara yang tidak perlu terlebih dahulu. Ia akan meringkaskan pemikiran dan membawa hanya kepada perkara besar yang paling utama.

Bila jumpa perkara besar paling utama itu, yang lain jadi kecil dan sudah tidak relevan lagi. Selesaikan perkara besar dan utama itu, yang lain akan terurus dengen sendiri.

Rumusan penyampaian idea dan pemikiran berkesan

Ada dua perkara penting untuk anda kuasai jika mahu melatih diri menadi seorang yang mantap penyampaiannya.

Untuk jadikan penyampaian idea dan pemikiran anda jelas dan mantap, anda perlu yakin kan diri, jangan takut dan jangan risau. Tak payah nak gusar kena kritik. Kalau zaman dulu mungkin kritik itu benda besar. Kritikkan boleh membuatkan anda tersisih dari puak dan kumpulan. Itu bahaya dalam undang-undang hutan. Anda boleh jadi mangsa binatang buas.

Tapi zaman manusia moden sekarang masalah itu sudah tidak ada lagi. Anda boleh jumpa kumpulan yang sama pemikiran walau seteruk manapun pemahaman dan pemikiran yang anda ada. Googla saja kat internet anda akan bertemu dengan banyak kumpulan pelik dan tak terfikir dek akal.

Jadi beranikan diri dan tak perlu risau.

Keduanya adalah berlatih untuk membezakan antara yang perlu dengan yang tidak perlu. Buang segala yang tak perlu dan tinggalkan hanya pada perkara asas dan utama.

Kemahiran ini perlu dalam suasana dunia yang bergerak pantas sekarang. Semua orang ada masa yang terhad dengan tugasan dan tanggung jawab yang banyak dan besar. Kalau anda buang banyak masa dengan semua perkara dan benda yang remeh dan tak perlu, orang akan berlalu dan meninggalkan anda sendirian.

Jika anda berminat untuk ikuti seminar dan bengkel yang saya kongsikan ini, hubungi En Ayzul di nombor 012-340 4349.

Total
31
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge