Kursus khas perniagaan bengkel keretaAlhamdulillah baru-baru ini, pada hari Sabtu bersamaan 22hb March 2014, satu bengkel perniagaan khas untuk perniagaan bengkel kenderaan telah berjaya diadakan di Ipoh, Perak.

Sepatutnya bengkel menilai potensi perniagaan yang biasa saya anjurkan di Shah Alam berlansung pada tarikh tersebut, tetapi atas permintaan penganjur, tarikh yang sama telah dipilih pada saat akhir kerana iatulah satu-satunya tarikh yang dapat mengumpulkan kesemua para usahawan yang menjalankan perniagaan bengkel kenderaan di Ipoh dapat dikumpulkan beramai-ramai.

Saya mohon maaf pada mereka yang sudah mendaftarkan diri untuk menyertai bengkel saya pada hari Sabtu lalu di Shah Alam kerana terpaksa menangguhkannya ke hari Sabtu akan datang nanti, 29hb March 2014.

Kehadiran usahawan bengkel kenderaan yang amat menggalakkan

Pada asalnya jumlah mereka yang telah mengesahkan kehadiran untuk bengkel perniagaan khas buat perniagaan bengkel kenderaan hanyalah seramai 16 orang. Itulah jumlah yang saya telah tetapkan untuk setiap bengkel agar perjalanan bengkel lancar dan menepati matlamat perbincangan di dalam bengkel perniagaan tersebut.

Namun begitu, satu kejutan besar berlaku kerana para usahawan bengkel kenderaan terjun datang ke bilik seminar berpusu-pusu sehingga memenuhi ruang bilik dan terpaksa ditambah jumlah kerusi yang tersedia.

Jumlah mereka yang menghadirkan diri pada hari itu telah mencecah seramai 35 orang. Jumlah maksimum ruang serta kelengkapan disediakan hanya untuk maksimum 20 orang sahaja.

Oleh kerana kertas kerja yang disediakan hanya untuk maksimum 20 orang, maka mereka yang tidak dibekalkan dengan kertas kerja terpaksa menggunakan kertas kosong untuk mengisi maklumat dan kiraan bagi menilai perniagaan bengkel kenderaan masing-masing.

Saya kagum dengan kesungguhan mereka untuk turut sama belajar segala apa yang dikongskan pada hari itu. Ternyata jumlah para usahawan yang sanggup bersusah payah untuk mencari jalan agar perniagaan mereka berjaya sekurang-kurangnya mampu menyara kehidupan mereka meningkat.

Berbagai kategori perniagaan bengkel kenderaan

Ada berbagai kategori mereka yang hadir pada hari itu. Ada yang menawarkan khidmat servis dan membaiki kereta secara umum, ada yang menawarkan perkhidmatan mengecat sahaja, ada juga yang menjurus kepada perniagaan bengkel kenderaan yang niche.

Satu perkara yang saya perhatikan terhadap mereka yang berjaya yang menyertai bengkel khas itu adalah usahawan perniagaan bengkel kenderaan yang menjuruskan perniagaan mereka pada tema yang khusus hampir kesemuanya berjaya dan maju.

Mereka mempunyai jumlah pekerja yang ramai dan telah berada di pasaran melebihi 5 ke 8 tahun. Malah ada yang telah bertapak sehingga belasan tahun.

Mereka yang tidak punyai tema atau jurusan yang khusus pula biasanya agak lembab perjalanan perniagaan mereka dan masih tercari-cari arah untuk menjayakan perniagaan yang dijalankan.

Ia bersesuain dengan teori saya bahawa sudah tiba masanya kita para usahawan menetapkan hala tuju perniagaan dengan satu konsep yang jelas dan terang.

Dari pemerhatian dan kajian saya terhadap para usahawan di dalam dan juga di luar negara, perniagaan yang punyai konsep lebih berdaya maju dan boleh pergi jauh. Perniagaan yang berkonsepkan membujur lalu melintang patah biasanya tidak akan ke mana-mana.

Pastikan perniagaan bengkel kenderaan anda ada tema

Dalam kes perniagaan bengkel kenderaan, mereka yang berjaya adalah mereka yang jelas kepakaran mereka. Ada yang menjuruskan bengkel mereka hanya untuk kenderaan mewah seperti BMW, ada yang menjurus pada kenderaan kontinental, ada pula yang menjurus pada kerja mengecat yang berkualiti tinggi dan ada pula yang menjurus hanya ada kerja tuning kenderaan sahaja.

Apa saja jurusan atau fokus anda, asalkan ianya jelas dan terang, ia akan mampu membuatkan perniagaan lebih fokus dan memberikan tumpan pada segala sumber yang ada untuk membina kelebihan pada tumpuan tersebut.

Maka tidak hairanlah mereka berjaya sedangkan orang yang caca merba akan kehabisan tenaga dan sumber yang ada kerana tiada tumpuan. Segala sumber banyak yang akan cair pada urusan pembinaan yang tidak diperlukan dan tidak mendatangkan faedah.

Demikianlah sedikit perkongsian daripada bengkel khas untuk perniagaan bengkel kenderaan yang sempat saya kongsikan di sini. Moga sedikit perkongsian ini dapat memberikan maklumat yang bermanfaat untuk semua usahawan dan juga bakal usahawan.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge