Ini kisah yang dah lama berlaku. Kisah seorang kawan yang saya kenal ketika sama-sama kerja kilang suatu masa dahulu. Dia berhenti kerja kilang untuk mulakan perniagaan jual air kelapa di depan rumahnya.

Sebelum itu, saya berhenti kerja dari kilang multinasional itu terlebih dahulu. Dia masih kekal duduk dalam kilang tu bertugas sebagai pegawai yang buat semua urusan pembelian semua barangan komponen elektronik yang diperlukan dalam operasi kilang tersebut.

Kerja kilang multinasional yang memberikan tumpuan terhadap aktiviti ‘contract manufacturing’ memang teramatlah mencabar. Syarikat tersebut amat terkenal buat barang untuk orang lain sedangkan dia sendiri tak punya apa-apa produk.

Ada satu ketika di mana hampir kesemua syarikat mula susun semula bagaimana mereka jalankan perniagaan. Dahulunya semua jenama terkenal buat sendiri produk mereka. Selepas itu, semua syarikat mula berikan kerja pembuatan pada syarikat yang lain.

Pemilik jenama hanya tumpukan pada RnD dan Pemasaran sahaja. Semua aktiviti pembuatan akan diserahkan kepada syarikat gergasi lain yang kerja mereka hanya buat barang orang lain.

Cara ini lebih baik dari segi kos sebab mereka dapat kelebihan harga murah dalam memberi komponen pembuatan yang dibeli secara pukal dalam kuantiti yang amat banyak.

Berhenti kerja kilang secara drastik

Yang tak baiknya adalah para pekerja yang bertugas kat syarikat itu. Para pekerja dikerah seperti hamba abdi. Semua kerja mesti tip top dan kos mesti sentiasa rendah.

Dalam keadaan itulah, kawan saya itu mula hidup tertekan. Apa lagi dengan tekanan dari orang rumah yang tak puas hati melihat suaminya lebih pentingkan kilang dari duduk di rumah dengan anak dan isteri.

Bila dah kerap sangat bergaduh hanya disebabkan kerja terlalu kuat, kawan saya terus buat keputusan nekad letakkan jawatan tanpa fikir panjang lagi. Ianya lebih kepada tindakan menyebal kata orang utara.

Atau lebih mudah difaham, tindakan lepaskan geram. Berhenti kerja terus, padan mula kat semua orang. Biar tak kerja dan duduk rumah jual air kelapa depan rumah sahaja.

Begitulah tindakan yang kawan saya buat ketika itu.

Dia berhenti kerja kilang tanpa fikir panjang, tanpa rasa takut, sebab dorongan jiwa yang tak tahan kena himpit di tempat kerja dan juga di rumah.

Jual air kelapa depan rumah

Oleh sebab kawan saya itu berpengalaman dalam dunia pembelian, maka tak susah untuk dia mulakan perniagaan jual air kelapa depan rumahnya.

Mudah saja dia cari tempat dan sumber kat mana nak dapatkan segala keperluan bahan perniagaannya. Lagipun setakat nak jual air kelapa depan rumah bukanlah susah sangat nak sourcing. Perkataan sourcing itu dah jadi terma lumrah ketika dia kerja kilang dahulu.

Walaupun dia tak ada pengalaman lansung dalam perniagaan jual air kelapa, tapi itu bukan alasan untuk kata tak boleh buat. Orang yang biasa kerja sebagai pegawai procurement dalam kilang mudah saja selesaikan masalah itu dengan buka mulut dan bertanya sampai dapat jalan.

Itulah yang ramai orang kita tak ada pengalaman. Jarang sangat orang Melayu kerja bahagian procurement, samada tidak diberikan peluang atau memang orang kita kebanyakannya jenis bebal tak boleh nak selesaikan masalah dengan bertanya dan membuat penyelidikan.

Sebab itu ramai yang terkial-kial walaupun sekadar nak mulakan bisnes jual kerepek. Mana nak cari kerepek, mana nak cari pisang, mana nak cari mesin potong keledek, mana nak beli dapur goreng kerepek dan man itu dan ini.

Bab sourcing itu saja membuatkan idea bisnes mudah sedemikian, ambil masa 3 tahun baru boleh nak jalan. Punyalah sedih! tapi masih tetap bersemangat tinggi dan yakin dia nak jadi usahawan. Itu saja yang bagusnya, semangat tinggi !.

Langit mula mendung

Masa berhenti kerja sebab bebal memang mudah. Lepas itu jual air kelapa supaya tak dilihat tiada usaha dan dapat habiskan masa lapang yang dah banyak kat rumah.

Bila masuk sebulan dua, baru nampak langit tinggi atau rendah. Dalam keadaan cuaca panaspun, hasil jualan kelapa hanyalah sekadar lepas makan sarapan pagi sekeluarga saja. Inikan pula bila cuaca asyik mendung masuk musim hujan.

Cuaca mendung bukan saja dalam perniagaan, malah dalam rumah kawan saya juga mula mendung. Baru sedar yang pendapatan kerja pegawai kilang lansung tak sama dengan pendapatan seorang penjual air kelapa.

Sebab itu pegawai kilang kerja seperti lembu yang diikat hidungnya sedangkan penjual air kelapa tepi jalan nampak relaks saja. Bab kerja memang nampak mudah. Bila kira bab duit, semuanya mula berubah.

Tak sia-sia berhenti kerja kilang

Tapi semua itu hanyalah sementara sahaja.

Sebenarnya memang lansung tak sia-sia kawan saya itu berhenti kerja kilang secara drastik macam itu. Bukanlah sebab nak jadi peniaga air kelapa sangat. Walaupun itulah perniagaan yang disangkanya dapat menyara kehidupan selepas berhenti kerja kilang dulu.

Bila dah sedar keadaan duit masuk terlalu sedikit daripada duit keluar, maka dia mula fikirkan bagaimana nak tambah jumlah duit yang masuk ke dalam si rumah.

Dan pengalaman sourcing memang lansung tak sia-sia.

Bila saya perkenalkan satu perniagaan jual tisu padanya, dia bina perniagaan itu sampai ada gudang, ada lori dan ada pekerja.

Dia mula jadi pembekal semua barangan yang diperlukan oleh restoran yang memang ada banak di seluruh Lembah Klang ni.

Selepas dah pandai jual tisu, dia jual pembungkus makanan, plastik dan macam-macam lagi. Ringan mulut bertanya pada taukeh restoran, maka mudahlah dia tambah barangan yang diperlukan oleh rtestoran tersebut.

Pengajaran cerita

Apa yang nak saya sampaikan kat sini adalah bab berhenti kerja nak berniaga.

Ramai kawan-kawan yang saya tengok berjaya berhenti kerja dan buat apa yang dia nak buat iaitu jadi usahawan, adalah dengan terus nekad ntanpa fikir panjang takut itu dan ini.

Hanya dengan tindakan sedemikian membuatkan mereka fokus terhadap dunia keusahawanan.

Tapi bukan semuanya berjaya dengan nekad berhenti kerja.

Yang berjaya hanyalah mereka yang menggunakan kemahiran dan pengalaman kerja mereka sebelum ini secara optimum. Kalau masa kerja malas nak mampus, suka mengular dan memang boss buat kenduri kambing bila dia berhenti, biasanya agak sukar untuk berjaya bila berniaga.

Jadi ada dua benda penting kat sini.

Pertamanya mesti nekad dan berani terjun.

Keduanya mesti dah pnya tabiat yang baik sebati dalam diri hasil dari latihan selama kerja dengan orang sebelum ini.

Jadi kalau anda juga nak berhenti kerja kilang dan berniaga, pastikan semak diri sendiri dalam bab tabiat. Adakah anda punya tabiat yang baik selama ini. Masa kerja makan gaji dulu bagaimana persepsi boss dan rakan sekerja terhadap anda?

Kalau rekod buruk, elok perbaiki tabiat terlebih dahulu sebelum nak nekad berhenti kerja kilang tu.

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge