Berhenti kerja untuk jual petai !

By | 25/12/2012

Pada tahun 1997, di saat ekonomi sedang gawat, saya menawarkan diri untuk mengambil skim henti kerja secara sukarela. Syarikat tempat saya berkerja itu menawarkan pada sesiapa yang sanggup membantu mereka meredakan kegawatan yang turut dialami oleh syarikat.

Walaupun tawaran terbuka untuk semua, namun semua faham bahawa syarikat hanya akan menerima individu tertentu saja yang dianggap tidak diperlukan di saat kegawatan sebegitu. Bagi mereka yang dianggap asset dan perlu, syarikat akan menolaknya permohonan mereka.

Saya boleh berbangga ketika itu kerana saya salah seorang daripada mereka yang dianggap aset syarikat apabila permohonan saya ditolak mentah-mentah.

Namun saya membuat permohonan lagi dan lagi sehinggalah Boss Besar sendiri datang turun ke meja saya bertanyakan kenapa saya beria benar mahu berhenti sedangkan syarikat menghargai saya. Terus terang saya jawab, “nak berniaga!”.

Dia terbeliak mendengar alasan itu kerana baginya saya memilih masa yang tidak sesuai untuk berhenti kerja dan berniaga. Saya terangkan padanya bukan masalah ekonomi bagus atau tidak bagus, tapi sekaranglah saya rasa tidak takut untuk mengambil risiko.

Maknanya saya cukup berani ketika itu untuk berhenti dan berniaga. Jadi peluang itu tidak mahu disia-siakan begitu saja. Lagipun saya sudah ada perancangan dan juga ada pelabur yang sanggup membantu melaksanakan projek saya.

Diringkaskan cerita Boss akhirnya menerima permintaan saya dan menawarkan pertolongan jika saya perlu selepas itu. Projek saya ketika itu adalah untuk membuka pusat pengeluaran produk automotif yang diperbuat daripada bahan genting kaca. Salah satu pelanggan sasaran saya adalah kilang tempat saya berhenti tersebut.

Saya bersama 3 orang lagi pembantu bertolak ke Pulau Langkawi untuk menjalani latihan di Pusat Kemahiran Mara. Di sana kami diajar dengan teknik membina bahan menggunakan gentian kaca. Selesai latihan kami pulang dan mula menyediakan tempat untuk beroperasi.

Malangnya kegawatan semakin memuncak. Pelabur saya yang merupakan salah seorang vendor Proton turut menerima kesan yang cukup buruk. Beliau akhirnya tewas dan menarik diri dari projek tersebut walaupun telah mengeluarkan lebih daripada RM25,000.

Saya terkontang-kanting tidak  ada lagi hala tuju. “Apa aku nak buat sekarang?”

Berikut apa yang telah saya lakukan ketika menghadapi peristiwa tersebut:

  • Bertenang dan buat perancangan Saya lepak di rumah berfikirkan apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan kehidupan.
  • Seminggu pertama saya habiskan untuk mencari kerja semula dengan membuat permohonan sebanyak mungkin. Saya beli surat khabar Star hari-hari dan mula semak kerja kosong. Saya tanya pada kawan-kawan dan lain-lain. Banyak juga permohonan yang dibuat ketika itu.
  • Selesai seminggu, saya mula keluar cari peluang. Saya perlu buat sesuatu untuk mendapatkan duit poket. Duit perlu untuk menyara kereta. Saya juga perlu berikan duit pada mak saya walau apapuin yang terjadi.
Sebagaimana yang saya tuliskan sebelum ini, sebaik saja kita mencari peluang maka ia akan datang menjelma di depan mata. Asalkan kita tidak memilih dan tekun berusaha banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan wang.
Peluang pertama saya ketika itu adalah memajak sebuah kebun petai di Kedah. Ketika itu musim petai dan nampaknya tuan kebun macam tak perdulikan kebunnya. lalu saya tawarkan untuk membeli. Habis saya ambil petai dari pokok dan mambawanya ke Seberang Perai untuk dijual di pasar malam.
Saya buat untug bersih sebanyak RM300 sehari hasil dari jual petai. Alahai senangnya nak buat duit! begitulah bisik saya dalam hati…..bersambung
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Berhenti kerja untuk jual petai !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge