Berniaga di tempat asal lebih bagus?

By | 05/02/2013

Kenapa saya tidak berniaga di tempat asal
Saya berasal dari Kampung Kubang Semang, sebuah perkampungan di Pulau Pinang. Kawasan tersebut lebih dikenali jika disebut Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ketika berbincang dengan abang sulong untuk mendapatkan pendapatnya samada mahu berniaga di tempat asal atau di KL/Selangor, dia sarankan agar saya berniaga di KL/Selangor. Alasan utamanya adalah jika saya berniaga di kampung, saya akan banyak habiskan masa dengan aktiviti politik.

Agar abang sulong saya merestui keputusan untuk berniaga dan berhenti makan gaji (buat kali kedua), maka saya terima syornya.

Begitulah sejarahnya kenapa saya terperangkap berniaga di sini sekarang. Jika anda bertanya pada saya, tempat pilihan untuk saya berniaga, sudah tentu saya akan jawab di Pulau Pinang.

Kejayaan mereka yang berniaga di tempat asal
Dalam buku “The Richest Man in Town” tulisan W. Randall Jones, beliau menyenaraikan 100 jutawan paling berjaya di Amerika. Beliau dapatkan maklumat orang yang paling kaya di setiap bandar di Amerika di 100 tempat di sana dan mengkaji petua-petua kejayaan mereka.

Fakta yang menarik dari buku tersebut berkenaan status tempat asal para jutawan adalah, 81% daripada mereka berniaga di tempat asal masing-masing dan meningkat naik menjadi orang yang paling kaya di situ. Kajayaan mereka tidak bergantung pada jumlah populasi tempat kelahiran mereka. Paling sedikit jumlah penduduknya hanyalah seramai 189 orang dan paling ramai adalah 8 juta orang.

Ramai yang yakin bahawa tempat asal merupakan lokasi terbaik untuk membina perniagaan dan mengumpulkan harta kekayaan. Nilai kejayaan di tempat sendiri jauh lebih bermakna berbanding dengan kejayaan di tempat orang.

Setelah mengetahui maklumat yang menarik tersebut, saya mula melihat bagaimana kedudukan kawan-kawan berniaga yang saya kenal rapat. Terdapat ramai daripada mereka yang menetap di tempat asal masing-masing dan menempa kejayaan yang hebat-hebat. Walau bagaimanapun ada juga yang cukup berjaya dengan berniaga di luar tempat kelahiran mereka.

Masalah berniaga di tempat sendiri
Saya pernah berbincang tentang isu ini dengan beberapa orang kawan yang masih menetap dan berniaga di kampung. Ada yang rasakan tepu dan tidak mampu meningkat naik lagi dalam perniagaan mereka dan menimbangkan untuk berhijrah ke luar. Andaian mereka adalah, dengan berhijrah keluar berkemungkinan mereka akan lebih berjaya.

Daripada perbincangan, saya terfikirkan beberapa masalah yang dihadapi oleh mereka yang berniaga di tempat sendiri. Berikut antara masalah yangh boleh disenaraikan:

  1. Rekod buruk. Bagi mereka yang mempunyai sejarah hitam sepanjang tinggal di kampung memang sukar untuk memadamkan rekod buruk itu. Tabiat masyarakat biasanya sudah terbiasa untuk lebih mengingati perkara jahat yang kita lakukan walaupun sekali sedangkan kebaikan yang kita lakukan seratus kali.
  2. Persepsi yang telah berakar umbi. Kita semua punya ramai kawan di tempat asal kelahiran dan tempat membesar kita. Dari kawan kampung, kawan sekolah, kawan mengaji, kawan bermain dan lain-lain membuatkan jumlah kenalan kita amat besar. Jika ada yang gagal dalam sejenis perniagaan, maka akan timbul persepsi perniagaan tersebut tidak boleh dijalankan dan ini terlalu kuat mempengaruhi keputusan kita.
  3. Rasa diperhatikan. Dengan terlalu ramai kenalan yang ada, kita sentiasa rasa diri diperhatikan di mana saja kita berada dan apa saja yang sedang kita lakukan. Lumrah manusia yang cukup takut dikritik membuatkan kita tidak berani mengambil risiko. Akibatnya kita akan lupakan saja hasrat melawan arus atau membuat sesuatu yang baru walaupun yakin itulah perkara betul yang perlu dilakukan.
  4. Rasa cukup tahu. Kerana sudah lama berada di kampung sendiri, kita rasa kita tahu segalanya. Ini membuatkan pilihan yang ada terlalu sempit dan tidak kreatif. Bila sesuatu idea itu kita rasakan tidak akan berjaya, kita akan yakin itulah kebenarannya. Rasa semua tahu sebenarnya hanyalah andaian kita sendiri sedangkan masih banyak yang kita tidak tahu jika kita sanggup menjelajahi ruang sekeliling kita.
  5. Tidak ada desakan. Kerana sudah biasa dan selesa dengan apa yang ada, kita tidak punyai desakan untuk berjaya. Jarang kita dengar ada kawan-kawan kampung yang kelaparan lebih dari 3 hari tak makan. Singgah saja di kedai kakan mana-mana, tentu ada saja kawan yang sudi belanja. Keselesaan ini membuatkan kita sering leka.
  6. Leka. Majoriti daripada kita yang tinggal dikampung lebih banyak berkumpul di kedai minum samada siang atau malam untuk berbual kosong dari hal masyarakat, politik sehinggalah kepada masalah negara. Keseronokan berkumpul dan berborak membuatkan kita leka dan waktu kerja menjadi terlalu pendek dan tidak produktif.
Banyak lagi perkara negatif yang boleh kita senaraikan jika hanya mahu memikirkan yang tidak baik. Tetapi saya yakin terlalu banyak kekuatan yang boleh kita berikan tumpuan untuk berjaya jika kita tinggal ditempat sendiri.
Apa yang perlu ada adalah sikap ingin berjaya dan melihat pada kelebihan bagi digunakan untuk kejayaan diri sendiri. Segala maklumat, kenalan dan sumber yang kita sudah miliki di tempat sendiri jika digunakan dengan baik, membolehkan kita berjaya dengan pebih pantas daripada berniaga di tempat orang.
Elok berniaga di tempat sendiri
Setelah berfikir secara mendalam, saya yakin saya lebih condong untuk berniaga di tempat sendiri. Kejayaan menjadi lebih bermakna jika kita berniaga di tempat sendiri dan seterusnya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat setempat kelahiran kita.
Sebab itu saya sentiasa tidak lupa untuk memikirkan persediaan untuk balik bertapak di tempat sendiri. Insyallah satu hari nanti saya akan pulang juga membina empayar perniagaan di kampung sendiri. Paling lama 5 tahun lagi dan paling cepat dua tahun lagi. Insyallah!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Berniaga di tempat asal lebih bagus?

  1. Anonymous

    Ada benarnya kata-kata saudara..

    Tetapi saya pernah kenal dengan seorang peniaga CIna, beliau berkata bunyinya kurang manis , iaitu “Jangan berak di tempat kita cari makan”.

    Maksudnya lebih kurang, jangan kita ‘spoil’kan tempat kita cari makan atau di kampung kita. Tapi entahlah, apa maksud sebenar , boleh pakai ke tak terpulang, ambil yang positif jer…

    Tetapi saya bersetuju jika dapat memajukan kampung kita dengan perniagaan kita, apatah lagi jika perniagaan kita itu dapat memakmurkan sosio ekonomi penduduk kampung kita.

    Ambil contoh KFC, Col George Sander memperkenalkan ayam gorengnya dengan meletak jenama kampungnya Kentucky. Tak taulah penduduk kentucty dapat keuntungan secara langsung, allahulam.

    Di KL…terdapat banyak juga peniaga kecil menggunakan nama kampung sebagai jenama mereka, seperti Nasi Beriani Gam Batu Pahat (tapi ada yg just menumpang nama) , Apam Balik Tampin, Murtabak Singapore, Kebab Setiawangsa, mcm2 lah…

    Tapi itu just menumpang nama sahaja saya rasa.

    Tapi basically, bolehlah kita canggihkan lagi industri industri kampung kita , contohnya jika kampung kita banyak sangat pokok pisang..mungkin kita boleh gunakan internet untuk ekspot pisang2 jenama kampung kta yang terbaik.

    Kalau di Pontian Johor, nenas telah ditin dan diekspot keseluruh dunia.

    Eloknya bisnes kita mestilah dapat memberi impak secara langsung kepada sosio ekonomi penduduk kampung kita.

    Saya (anonymous)..

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      ‘Jangan berak di tempat kita cari makan’ seumpama memburuk-burukkan tempat kerja kita pada orang luar sedangkan disitulah kita ambil gaji.

      Tak baik juga jika memburuk-burukkan dan menghina kampung kita sedangkan di situlah kita hidup sambil mencari rezki.

      Terima kasih atas komen Tuan yang bermanafaat.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge