Casual Business Man Cycling Through City In A SuitePernahkah anda buat silap dalam perniagaan ?

Boleh dikatakan hampir semua orang akan buat silap dalam perniagaan. Semua orang yang menjalankan perniagaan, samada dah lama atau baru, samada berjaya atau belum, pasti akan melakukan kesilapan.

Ada tak yang tak pernah buat silap dalam perniagaan ?

Saya tak pasti samada wujud mana-mana usahawan di dunia ini yang tak pernah buat silap dalam mengendalikan dunia perniagaan mereka.

Apa yang saya pasti, orang yang tak akan pernah buat silap dalam perniagaan hanyalah mereka yang tak pernah berniaga langsung.

Jika anda pernah berniaga dan gagal, sekarang terpaksa makan gaji balik, sudah tentu semuanya berpunca daripada buat silap dalam perniagaan yang pernah anda jalankan dahulu.

Tak kisah samada anda nak kata orang tipu anda, berlaku perkara yang diluar kawalan anda atau apa saja, yang pastinya kegagalan dalam perniagaan anda sebelum ini sudah tentu berpunca daripada silap buat keputusan.

Langkah seterusnya selepas buat silap dalam perniagaan

Dah banyak yang difalsafahkan terhadap buat silap dalam perniagaan ini. Antara yang paling biasa orang sebut adalah,

” Kesilapan merupakan guru terbaik anda untuk berjaya “

Itu merupakan kata-kata pujukkan untuk mereka yang pernah buat silap. Itu juga merupakan kata-kata pujukan buat orang yang takut berniaga kerana takut buat silap.

Ada banyak jenis kesilapan. Ada yang kecil dan ada yang besar. Jika kesilapan kecil, anda boleh dapat bertahan kerana perniagaan masih boleh diteruskan.

Tapi yang paling tidak disukai dan paling ditakuti adalah silap dalam perniagaan sehinggakan perniagaan jatuh tersungkur dan gulung tikar.

Dan untuk makluman, kesilapan besar sampai gulung tikar itu sudah dirasai oleh majoriti besar orang yang berniaga. Mungkin anda yang membaca ini merupakan salah seorang mangsa kesilapan tersebut.

Ada yang buat silap sampai sekarang masih tak bangun-bangun. Malah ada juga yang membawa kesilapan itu masuk dalam kubur.

Untuk anda yang dah buat siap dalam perniagaan dan masih hidup, artikel ini saya tujukan khas untuk anda.

Apa yang saya boleh beritahu adalah, terima saja kesilapan itu dan teruskan kehidupan. Jika anda masih degil nak jadi usahawan, kesilapan itu bukan satu alasan untuk anda percaya bahawa anda memang tak boleh berniaga.

Itulah sebenarnya dunia keusahawanan. Anda mesti belajar untuk terus hidup dan teruskan impian anda dalam keadaan jatuh dan bangun selagi hayat dikandung badan.

Lagipun, buat silap dalam perniagaan bukannya teruk sangat. Paling teruk anda hanya akan jatuh muflis. Dan ramai usahawan yang berada dalam keadaan tersebut sekarang tetapi masih terus menjalankan perniagaan.

Dalam apa keadaan sekalipun, selagi anda ada menaruh harapan, sudah tentu ada jalan.

Oleh itu, langkah paling asas yang perlu anda lakukan setelah buat silap dalam perniagaan adalah menerimanya dengan tenang.

Keluar dari masalah silap dalam perniagaan

Tak perlu mengeluh tak perlu nak cari salah orang lain. Ambil iktibar dan terus cari jalan keluar walau seteruk mana sekalipun masalah yang anda hadapi.

Cara paling mujarab untuk merancang keluar dari masalah adalah dengan mengasingkan diri dan membuat pencerahan minda.

Jangan sesekali biarkan masalah berlegar dalam kepala. Keluarkan semuanya dan curahkan pada kertas. Samada anda gunakan kertas A4 atau gunakan buku nota, boleh saja. Yang penting keluarkan dari kepala.

Senarai biasa buat silap dalam perniagaan

Berikut saya senaraikan beberapa kesilapan biasa yang boleh dilakukan oleh usahawan sepanjang menjalankan perniagaan.

  1. Salah urus kewangan – ini kesilapan paling mudah dan amat lumrah dilakukan oleh majoriti usahawan. Dan kesilapan ini sebenarnya mudah untuk dilakukan dan amat susah untuk dipulihkan. Perkara paling asas adalah tak buat akaun dan biasanya alasan yang diberikan adalah tak sempat !
  2. Hilang tumpuan – Bila tak buat akaun, tak tahu samada perniagaan ok atau tidak. Masa terabai dan tumpuan pada aktiviti penting untuk kembang dan majukan perniagaan agar berjaya dan menguntungkan terabai. Lihat berapa ramai usahawan yang belasah buat perniagaan lain sedangkan yang ada masih tak berjaya.
  3. Buat banyak perniagaan – Ini lanjutan daripada kesilapan di atas tadi. Kononnya nak adakan kusyen keselamatan, kalau perniagaan yang satu tak ok, masih ada satu lagi perniagaan. Biasanya yang terjadi adalah kedua-duanya tak ok.
  4. Tak ada perancangan yang jelas – Ini juga satu daripada kesilapan biasa yang usahawan lakukan. Yang mereka tahu adalah buat kerja operasi. Mereka akan terus sibuk dan sibuk beroperasi sehinggalah tiba-tiba tersedar tak ada lagi pelanggan yang perlu dilayan.
  5. Percaya pada janji manis – Usahawan yang tak fokus, tak ada perancangan, akan mudah tergadai dengan janji manis orang lain yang mahukan duit. Dengan jaminan mulut, usahawan akan lupa buat semakan dan kajian. Akhirnya duit lesap dan mula nak salahkan orang tipu.
  6. Silap pilih rakan kongsi – Ini juga antara yang paling banyak dihadapi oleh usahawan yang mulakan perniagaan secara lebih daripada seorang. Masa nak mula semua kira cincai. Bila dah belayar masing-masing rasa dia lebih banyak buat kerja.

Ada banyak lagi kalau nak disenaraikan. Tapi rasanya yang kat atas tu ramai yang dah laluinya. Jika anda dah kena, jangan rasa rendah diri sebab ramai yang jadi macam anda.

Malah ada yang kena perkara sama berulang kali. Macam tak serik-serik. Mereka buat silap demi silap dalam perniagaan perkara yang sama berulang kali.

Buat perkara-perkara berikut:

  • Di mana kedudukan anda sekarang ?
  • Apakah masalah yang sedang dan bakal dihadapi dalam keadaan tersebut. Senaraikan satu persatu.
  • Kenal pasti masalah yang paling besar yang boleh berlaku dan susun seterusnya yang lebih kecil dari itu.
  • Fokus pada masalah yang paling besar dan senaraikan pula jalan-jalan yang boleh diambil untuk mengatasinya.
  • Jika anda tak pasti, senaraikan maklumat yang perlu anda dapatkan untuk membuat keputusan yang lebih baik.
  • Senaraikan bantuan yang anda perlukan bagi mengatasi perkara tersebut.
  • Senaraikan juga individu, atau kawan yang boleh anda dapatkan bantuan samada sokongan atau khidmat nasihat.
  • Senaraikan segala aktiviti yang perlu anda lakukan satu persatu untuk keluarkan diri daripada masalah yang sedang dihadapi.

Anda hanya perlukan masa selama kurang dari 1 jam untuk buat semua itu. Setelah selesai. Keluar dan mula buat kerja.

Keesokkan harinya, anda perlu ulang semula aktiviti di atas sebelum memulakan tugasan atau aktiviti anda. Susun semula segala aktiviti yang perlu dilaksanakan dan teruskan bekerja.

Dan begitulah seterusnya sehingga semua masalah anda dapat diselesaikan.

Anda boleh buat sendiri semua itu jika punya disiplin yang tinggi dan kuat semangat. Tapi jika anda jenis sentimental dan kuat emosi, langkah terbaik adalah mendapatkan khidmat seorang coach yang berpengalaman dalam perniagaan.

Biasanya bantuan daripada seorang coach jauh lebih berkesan dan mujarab dalam mengeluarkan diri anda dari masalah.

Ingat ! walau sebesar mana sekalipun masalah yang anda dapat kesan dari buat silap dalam perniagaan, anda perlu terus berusaha sampai berjaya.

Saya yakin dengan sikap yang betul, percaya pada diri sendiri dan berfikiran terbuka, anda akan keluar juga dari masalah yang sedang dihadapi. Insyaallah !

Total
32
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

  1. kesilapan lalu boleh di jadikan peringatan untuk kita ambil pengajaran buat langkah yang seterusnya.

  2. Terima kasih Tuan. Artikel Tuan telah menyejukkan hati saya. Saya berdepan dengan perasaan tamak saya untuk naikkan harga barang bila ada prospek tunjukkan minat. Rasa diri sangat bodoh bila fikirkan ‘kerugian’ / kehilangan potential buyer. Seperti yang Tuan sarankan, perasaan bodoh gradually hilang bila saya taipkan kisah ini. Terima kasih sekali lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge