Sambungan daripada artikel yang lalu berkenaan memberikan makna pada perniagaan syarikat anda, saya buat artikel ini bagi menerangkan cara pantas untuk memberikan penjelasan terhadap konsep perniagaan anda pada pekerja.

Saya gunakan cara yang sama setiap kali saya tubuhkan perniagaan untuk memberikan makna yang dapat difahami oleh semua staff yang terlibat dalam merealisasikan konsep perniagaan yang ada dalam kepala saya.

Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini, keseluruhan pekerja dalam syarikat, walaupun syarikat hanya punyai 2 orang pekerja sahaja, mesti faham dan jelas dengan apa yang sebenarnya organisasi atau syarikat anda sedang buat.

Jika pemahaman tidak disampaikan, akan berlaku salah faham. Dan paling teruk kerja dilaksanakan hanya kerana nak ambil duit gaji setiap bulan.

Kajian demi kajian yang dilakukan oleh institusi di barat seperti di Harvard dan seumpamanya sejak dulu lagi dah jelaskan perkara ini.

Manusia tidak dapat memberikan hasil kerja yang optimum dan berkualiti seandainya dia tak tahu apa sebenarnya sumbangan hasil dari kerjanya kepada orang lain.

Oleh itu, jangan biarkan maklumat ini berlalu rugi begitu saja. Gunakan kesempatan yang ada untuk menerangkan konsep perniagaan anda melalui cara yang mudah yang akan saya terangkan ini.

5 unsur penting dalam konsep perniagaan

Ambil satu hari yang sesuai untuk anda kumpulkan kesemua pekerja yang terlibat dalam perniagaan anda sekarang.

Kalau boleh masukkan sekali pekerja kontrak (part time) atau mereka yang sering memberikan khidmat sampingan untuk operasi syarikat anda.

Dalam apa jua perniagaan yang anda sedang jalankan sekarang, 5 perkara asas perlu ada dalam merangka konsep perniagaan anda secara sempurna dan jelas.

5 unsur penting dalam konsep perniagaan adalah:

  1. Tawaran Nilai
  2. Menarik
  3. Harga berpatutan
  4. Kualiti
  5. Menguntungkan

Jika anda dah biasa baca blog hidupringkas ini sejak mula, tentu anda dapat lihat bahawa konsep perniagaan yang saya sedang jelaskan di sini tidak lari daripada definisi sebenar sesebuah perniagaan… betul tak?

Kalau tak pernah, sila baca artikel berkenaannya dengan klik di sini

Dengan menggunakan 5 unsur asas di atas, anda hanya perlu menjawab soalan yang timbul daripadanya untuk memberikan penjelasan pada semua pekerja anda.

#1. Tawaran nilai dalam konsep perniagaan

Apa yang syarikat anda buat?.

Saya ada bertanya soalan ini pada salah seorang staff saya ketika saya kumpulkan mereka untuk jelaskan konsep perniagaan saya.

Ketika itu saya kumpulkan semua staff salah satu dari syarikat Pest Control yang saya ada.

Sebagaimana yang saya jangkakan, dia akan jawab… ” syarikat ini buat pest control…”

Oklah juga, sebab dia tahu bisnes apa saya buat.

Tapi itu memberikan maklumat pada saya bahawa dia masih tak faham benar apa yang saya sumbangkan pada dunia luar sana, terutamanya pada pelanggan syarikat saya.

Dan paling penting dia tak berapa jelas apakah peranannya dalam membantu keseluruhan organisasi mencapai maksud sebenar syarikat saya memberikan perkhidmatan terbaik pada pelanggan.

Jadi saya terangkan secara ringkas, syarikat ini sebenarnya berusaha membantu perniagaan pelanggan yang kita ada.

Pelanggan syarikat pest control saya adalah dari kalangan syarikat atau organisasi yang menjalankan perniagaan. Tak kira samada dalam industri pemakanan atau industri hospitaliti.

Dengan mendapatkan khidmat pest control dari syarikat saya, pelanggan saya pastikan persekitaran premis perniagaan mereka bebas dari sebarang makhluk dan serangga perosak atau berpenyakit. Tiada tikus, tiada nyamuk, tiada lipas, nyamuk dan lain-lain.

Dengan persekitaran sedemikian, para pekerja pelanggan saya selesa dan rasa selamat. Para pelanggan kepada pelanggan saya juga mendapat barangan yang berkualiti dan rasa selamat setiap kali berada di premis pelanggan saya…. semua itu meningkatkan kualiti perniagaan pelanggan saya dan seterusnya menaikkan lagi perniagaan mereka.

Itulah nilai yang saya maksudkan yang mesti dijelaskan pada semua staff. Yang paling penting anda sendiri sebagai taukeh mesti jelas perkara tersebut.

Sebenarnya perkara NILAI inilah yang menjadi ibu kepada segala agenda perniagaan anda.

Ianya juga memberikan hala tuju kepada syarikat anda. Dalam masa yang sama memberikan panduan kepada anda untuk menyalurkan segala sumber yang ada ke arah merealisasikan perkara tersebut.

Bukankah dengan memikirkan nilai yang anda berikan dalam perniagaan anda terhadap pelanggan amat membantu dalam perancangan perniagaan anda seterusnya…?

Jadi buatlah segera sekarang !!!,  dan hentikan baca artikel ini selagi anda tak jelas nilai apa yang perniagaan anda tawarkan pada pelanggan.

#2. Menarik dalam konsep perniagaan

Bila dah jelas perkara nombor satu di atas tadi, saya boleh terangkan perkara no. 2 ini dengan lebih ringkas dan mudah untuk ringkaskan keseluruhan artikel ini.

Bila dah jelas dengan nilai yang ditawarkan, brainstorm dengan semua pekerja anda bagaimana nilai yang nak ditawarkan itu boleh disampaikan dengan cara yang menarik.

Ingat! anda wajib mampu tarik perhatian orang ramai dengan apa cara sekalipun. Tak kisah samada melalui aktiviti iklan percuma atau aktiviti jualan berdepan, pintu ke pintu dan lain-lain lagi.

Rangka ayat yang perlu digunakan, biar orang meleleh teringin nak dapat produk atau khidmat anda. Ayat mesti mampu potong kaki, kata orang muda-muda.

Pilih aktiviti bersesuaian, pilih platform yang sesuai, pilih ayat yang sesuai, pilih tindakan, warna, bau, bahasa, intonasi dan segalanya mesti sesuai untuk menarik perhatian orang!, jangan main-main! buat sungguh-sungguh! perah otak dan cuba dan cuba sampai orang menolehkan kepalanya pada syarikat anda sebab terlalu menarik.

#3. Harga berpatutan dalam konsep perniagaan

Ini mudah untuk difahami. Anda sendiri tahu kira dalam bab harga ini. Baca segala panduan bagaimana nak tentukan harga dalam produk atau khidmat perniagaan anda. Saya juga dah perlu tulis pasal cara tentukan harga ini.

Yang pentingnya harga mesti tak murah dan tak mahal yang memungkinkan pelanggan sasaran anda sanggup seluk saku seluar mereka dan berikan wang pada syarikat anda.

#4. Kualiti dalam konsep perniagaan

Ramai kurang jelas dengan konsep kualiti ini. Saya terangkan sekali lagi kat sini bagaimana nak pastikan produk atau khidmat anda boleh jadi kualiti yang baik atau hebat atau cemerlang.

Ianya tak ada kena mengena dengan teknologi canggih, tak ada kena mengena dengan lokasi, kemudahan atau wang yang banyak. Asalkan anda pastikan dua perkara berikut sentiasa sama, maka anda dah penuhi konsep kualiti.

  • Ambil perhatian dengan apa yang anda janjikan pada pelanggan. Lihat balik pada nilai yang ditawarkan tadi dan bagaimana anda formulakan segala ayat dan perbuatan secara visual, audio, atau rasa. Biar jelas terang nyata dan tak ada agenda tersembunyi yang samar-samar. Ingat, itu adalah kerja HARAM dalam Islam. Perniagaan yang samar-samar adalah HARAM… ok! tak perlu saya jelaskan lebih lanjut sebab saya bukan Ustaz, anda jauh lebih bijak dari saya dalam hal ini.
  • Ambil perhatian pada apa yang anda lunaskan pada pelanggan. Belek betul-betul segala proses dari mula sampai habis produk atau khidmat anda sampai kepada pelanggan. Catit semak, testing, get feedback, follow up… dan lain-lain. (Jangan marah saya guna perkataan mat saleh kat sini, nampak lebih pro ler pulak).

Bila dah dapatkan segala dua maklumat yang saya berikan di atas, bandingkan kedua-duanya. Kalau hasilnya adalah sama sebijik tak tumpah. Apa yang anda janji sebijim macam apa yang pelanggan dapat. Voila ! anda dah lunaskan transaksi yang berkualiti.

Mudah bukan?, sebab itu ramai pakar, nasihat pada para usahawan, “janji biar kurang, beri biar lebih”. Jika anda berjaya buat itu, anda masuk dalam tahap Kualiti Taraf Emas ! Cemerlang dan hebat.

#5 Menguntungkan dalam konsep perniagaan

Ini satu lagi perkara mudah dan jelas tapi masih ramai yang lena tidak memantau secara serius. Tak ada mana-mana usahawan yang waras yang tak mahu perniagaannya menguntungkan.

Sebab apa? kalau untung ada banyak duit.

Tapi apa nak dibuat dengan duit yang banyak tu?, kat sini ramai lagi yang tewas.

Mereka belasah duit tu untuk kemewahan peribadi. Tukar kereta, ubah suai rumah, pakai aksesori mahal dan upgrade gaya hidup.

Mohon maaf!

Jangan buat macam tu. Keuntungan adalah untuk syarikat ok!. Bukan untuk dihabiskan berdasarkan nafsu besar anda. Hidup pastikan sederhana berdasarkan keperluan. Anda boleh penuhi semua itu hasil dari gaji tetap yang anda ambil dalam perniagaan anda.

Selebihnya adalah untung untuk digunakan oleh syarikat.

Syarikat nak guna buat apa?

Ini hikmat sebenar nak jadi usahawan berjaya yang berjaya lagi.

Duit keuntungan tadi perlu digunakan untuk anda mengulang semula proses nombor satu di atas tadi.

Gunakan duit untung itu untuk,

Memberikan nilai yang lebih baik dari sebelumnya, untuk membuatkan tawaran itu menjadi jauh lebih menarik dari sebelumnya, untuk memberikan harga yang lebih berpatutan dan mengiurkan dari sebelumnya, untuk memberikan kualiti yang lebih baik dari sebelumnya dan, untuk menjana keuntungan yang jauh lebih baik dari sebelumnya….

Dan begitulah ulangan demi ulangan sampai anda mati masuk kubur, semua yang anda bina diambil alih oleh orang lain dan anda … sila jawab soalan kubur. Jadi fikir semula bagaimana anda jalankan perniagaan tadi di atas.

Demikianlah secara panjang lebar saya kongsikan cara mudah untuk terangkan konsep perniagaan anda pada para pekerja. Saya menyesal kerana masih juga tulis panjang macam ni sedangkan saya memang cuba nak tulis pendek, tapi masih juga terlajak.

Itupun sebenarnya konsep perniagaan yang saya terangkan di atas masih tak cukup sempurna. Masih ada perkara yang saya tak terangkan terutamanya peranan setiap jabatan atau cabang organisasi perniagaan anda untuk laksanakan semua itu.

Tapi tak apalah, anda dapat faham rasanya. Kalau masih tak faham, akan saya kongsikan nanti jika saya anjurkan kursus pendek perniagaan dari HR BIz Coaching untuk mereka yang berminat. Insyaallah.

Total
12
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

  1. saya berminat untuk mendapat nasihat tuan berkenaan perniagaan saya. Saya membuka firma guaman skala kecil . kesukaran saya hadapi untuk memberi arahan kepada pekerja saya. mungkin kelemahan saya . sampai satu tahap ofis tudak dapat menjana pendapatan , saya rasa saya juga silap . otai2 gelakkan saya kerana saya masih berada di takuk lama dan tidak berkkembang . no hp saya 0177825198

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge