Pernah dengar kawan atau kenalan atau saudara yang tak puas hati, marahkan majikan bayar gaji rendah.

Mungkin anda sendiri sekarang rasa macam tu. Anda rasa majikan bayar gaji rendah berbanding kerja yang anda buat untuknya.

Rasa di pergunakan. Rasa anda jadi mangsa keadaan. Mentang-mentang anda perlukan kerja untuk cari duit, majikan ambil kesempatan. Diambil kerja dengan bayaran gaji tak setimpal. Anda rasakan ianya terlalu rendah.

Apa yang agaknya, akan anda lakukan dalam keadaan sedemikian?

Bersyukur? atau ..

Kerja juga, tapi diam-diam, sumpah serapah majikan dalam hati?

Cari peluang kat tempat lain yang sanggup bayar gaji yang lebih tinggi?  itupun kalau ada majikan yang rasa anda layak dibayar tinggi!.

Atau anda buat tindakan berani seorang hero.

Berhenti kerja.  Padan muka majikan!.

Anda buka sendiri perniagaan yang sama. Lagipun, bukankah majikan buat duit hasil dari menggunakan kemahiran yang anda ada, untuk melayan pelanggannya?

Kenapa pulak anda tak boleh buat perkara yang sama?

Henti kerja berniaga sebab gaji rendah

Saya ceritakan satu kisah benar berlaku pada salah seorang usahawan yang saya jumpa baru-baru ini. Dalam satu kursus keusahawanan yang saya berikan baru-baru ini di sebelah utara sana.

Macam biasa, dalam setiap kursus pendek yang saya buat, akan ada sesi berkenalan antara saya dengan semua peserta yang hadir. Perlu buat sesi suai kenal ini untuk kendurkan otot muka yang biasanya stress bila masuk kursus.

Salah seorang peserta yang masih muda ceritakan tentang bisnes yang dia buat sekarang. Masih baru berbisnes sendiri dan bergelar sebagai taukeh sekarang. Tak sampai setahun lagi dia jadi taukeh.

Saya tanya sebelum buat bisnes sendiri tu dia buat apa.

Dia beritahu, sebelum buka bisnes sendiri, dia kerja makan gaji lama juga dengan seorang taukeh. Dia tak puas hati dengan majikannya sebab bayar gaji rendah.

Oleh kerana tak puas hati dengan gaji yang dia dapat, akhirnya dia buat keputusan untuk berhenti saja dan mulakan perniagaannnya sendiri.

Baru sedar langit tinggi atau rendah

Selepas semua perkenalkan diri dan cerita tentang hal masing-masing juga tentang perniagaan mereka. Baru saya dapat gambaran tentang semua perserta yang datang hari itu. Ini memudahkan saya untuk cuba membuat penyampaian yang terbaik bersesuaian dengan semua peserta yang hadir.

Yang paling penting, peserta mestilah tak mengantuk dan tak rasa menyesal luangkan masa untuk hadir kursus yang saya sampaikan.

Agenda selepas itu, saya terus tumpukan kepada membuat kiraan aliran kewangan bisnes yang semua usahawan sedang jalankan. Penting untuk buat kiraan status kedudukan bisnes berdasarkan jumlah duit yang keluar dan masuk. Baru boleh faham kedudukan bisnes tu samada sedang sihat wal-afiat, atau sedang demam panas dan perlukan rawatan rapi.

Dari proses duit masuk melalui jualan dalam perniagaan, kemudian ditolak dengan segala kos jualan, dan ditolak lagi dengan kos tetap perniagaan, akhirnya, semua peserta akan nampak kat mana kedudukan bisnes mereka.

Sambil buat semua kiraan itu satu persatu, saya akan berikan panduan tentang semua kos yang terlibat dalam perniagaan mereka. Berapa sepatutnya gaji taukeh, berapa sepatutnya peratusan untung kasar dan seterusnya berapa sepatutnya peratusan untung bersih.

Dari pengalaman sejak tahun 2013, kongsikan ilmu perniagaan dengan beribu-ribu usahawan, saya boleh katakan lebih kurang dari separuh usahawan baru sedar bahawa mereka berniagaan dalam keadaan rugi selama ini.

Ramai sangat yang baru sedar bisnes dok rugi. Walaupun dah bertahun-tahun berniaga. Kalau ada yang mencatitkan keuntungan bersih, biasanya sikit sangat. Hanya dua atau tiga ratus ringgit saja sebulan.

Biasanya, terlalu sedikit yang mencatatkan keuntungan yang baik.

Berbalik kepada kawan usahawan yang tak puas hati dengan majikan sebab bayar gaji rendah tadi. Selepas buat semua kiraan kedudukan kewangan perniagaannya, dia mula nampak hakikat sebenar sesebuah perniagaan.

Dia baru sedar langit tinggi atau rendah.

Nak bayar gaji taukehpun tak lepas

Dalam membuat kiraan kewangan perniagaan tu, saya akan tekankan keperluan untuk tetapkan gaji taukeh. Untuk yang baru berbisnes, sudah tentu gaji taukeh yang paling minimum yang dirasakan perlu untuk hidup ditetapkan.

Begitu juga pada usahawan muda tadi.

Ini peluang untuk dia tentukan sendiri berapa gaji yang selayaknya dia dapat. Ertinya, berapa jumlah gaji yang sepatutnya taukeh lamanya dulu berikan.

Itulah syoknya bila jadi taukeh.

Masa itulah kita tentukan berapa gaji kita sendiri. Sekarang dia perlu buktikan keupayaannya sendiri. Juga perlu buktikan bahawa dia lebih baik dari bekas majikannya sebelum ini.

Nak diringkaskan cerita, hasil dari kiraan, dia gagal walaupun sekadar untuk nak bayar gajinya sendiri. Kalau nak diikutkan, masa dia makan gaji dulu, gajinya lebih bagus dari masa dia berbisnes.

Sekurangnya, masa makan gaji dulu, majikan yang dia tak puas hati tu, tak pernah terlepas tanggung jawabnya untuk lunaskan gajinya setiap bulan.

Tapi bila dia jadi taukeh, ada masanya, mis terus dari dapat gaji. Bila bayar semua kos, tak ada apa yang tinggal lagi.

Siapa lebih baik sekarang? Majikan dulu atau anda

Bila dah tengok itu semua, saya tanya dia.

“Agak-agak, antara tuan dengan taukeh dulu siapa yang lebih baik ya?”

“Majikan dulu walaupun tuan rasa dia bayar gaji rendah, dia tak pernah tak bayar. Sekarang bila tuan jadi taukeh sendiri, tuan sendiri gagal bayar gaji tuan sendiri, kadang lepas kadang tak lepas!”

“Taukeh dulu lebih baik dari tuan kan?” tanya saya pada dia.

Dia tersenyum sengih dan mengakuinya sekarang.

Moral of the story

Moralnya mudah saja.

Jangan bersungut dan marah kat majikan. Seburuk-buruk majikan, dia bayar gaji tetap. Dia berusaha untuk pastikan semua pekerjanya dapat gaji bila tiba waktunya.

Bersyukurlah. Terima kasih padanya.

Bila anda dah berniaga. Jadi taukeh sendiri, baru anda sedar betapa mencabarnya untuk nak pastikan bahtera perniagaan yang anda layarkan sentiasa terapung stabil dan bergerak ke depan membelah launtan cabaran yang luas.

Masa tak berniaga, memang nampak semuanya mudah saja. Itu tak kena, ini tak kena. Anda rasa sumbangan andalah yang paling besar yang membuatkan bisnes taukeh berjaya sekarang. Kalu anda tak ada bisnes taukeh akan bungkus.

Semua itu adalah pemikiran yang tak betul.

Yang penting, belajar untuk memahami kehidupan. Fahami kedudukan di mana saja anda berada supaya anda mampu menjadi manusia yang menyumbang kepada kemajuan dan bukannya menjadi penghalang kepada pembaikan.

Bukan bertujuan untuk halang anda jadi usahawan. Hanya sekadar mahu berikan gambaran bahawa berniaga ni bukannya semudah yan anda sangkakan. Perlu kuat dan perlu berani berusaha sampai berjaya.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge