Hari ni Jumaat 17 April 2020. Bersamaan dengan 23 Sha’ban 1441. Kalau panjang umur dan dimurahkan rezki, minggu depan, hari Jumaat juga, 24 April 2020, hari pertama bulan Ramadan akan disambut oleh umat Islam.

Lagi 6 hari saja tinggal untuk anda gantikan puasa ramadan tahun lepas yang mungkin tertinggal.

Sedar tak sedar, masa berlalu pantas. Diikuti dengan perubahan gaya hidup dari kebiasaan yang juga berlaku dengan amat pantas.

Selama ini, duduk kat rumah tak payah pergi kerja, hanyalah satu angan-angan yang anda tak nampak ada jalan untuk lakukannya. Dengan Covid-19, anda dipaksa untuk duduk rumah samada suka atau tak suka.

Tak ada pilihan. Malah, dengan duduk dirumah, jangan keluar, anda memberikan sumbangan yang amat besar terhadap kesejahteraan masyarakat dan seluruh negara!. Pelik tapi benar!

Jana pendapatan dari google adsense

Baru-baru ni saya sertai webinar yang Google anjurkan untuk semua ahli mereka yang punya akaun adsense google. Dah agak lama juga saya punya akaun google adsense ni.

Untuk anda yang tak tahu pasal akaun google adsense ni, ia merupakan satu akaun yang membolehkan anda jana duit dari aktiviti pengiklanan google.

Iklan adalah salah satu sumber pendapatan yang besar untuk google. Ini rasanya ramai yang dah tahu. Semua platform internet yang memberikan content berguna kepada pengguna internet ada peluang untuk turut serta dalam team google untuk menjana pendapatan dalam industri pengiklanan.

Saya ada 3 blog yang aktif dan ada trafik yang mencukupi untuk mendapat kelulusan dari google menjana duit dari adsense.

Apa yang saya perlu buat hanyalah masukkan code iklan adsense pada semua platform blog yang ada. Iklan akan berfungsi secara automatik. Ikut pembaca yang sedang tengok content tersebut.

Kalau anda perasan. Katakan sebelum ini anda ada buat carian pasal peralatan memasak Thermomix kat google search. Lepas tu anda masuk ke blog hidupringkas.com. Ketika baca artikel yang saya tulis, anda akan jumpa iklan pasal Thermomix atau alat memasak lain yang ada kaitan.

Jika kebetulan iklan itu menarik minat anda, mungkin ada yang menarik, maka anda klik pada iklan tersebut untuk tahu lebih lanjut. Dengan hanya klik dan masuk itu, anda bantu saya jana duit.

Bukanlah banyak sangat duit yang saya dapat. Cukup sekadar untuk lepaskan segala kos menghidupkan blog ini. Ada lebih sikit untuk saya belanja anak-anak dan isteri makan McD atau beli Pizza Hut.

Saya tak fokus betul-betul menjana pendapatan dari industri membina content ni. Ada hasrat tapi masih tertangguh sebab ada komitmen lain. Jadi pendapatannnya tak lah banyak sangat. Kalau betul-betul berikan tumpuan, memang ada potensi untuk dijadikan sumber pendapatan yang mencukupi.

5 tema ramadan dan syawal tahun 2020

Untuk mereka yang ada akaun adsense, google sentiasa berusaha berikan maklumat yang terbaik untuk bantu mereka. Apa saja masalah yang berlaku pada platform blog saya yang ada potensi kurangkan peluang untuk saya jana duit, mereka akan berikan maklumat untuk diperbaiki.

Satu lagi usaha mereka untuk berikan ilmu adalah melalui penganjuran webinar. Oleh kerana masa banyak kat rumah, webinar kali ni saya ikuti dari mula sampai habis.

Saya belajar perkara menarik dalam webinar kali ini.

Saya kongsikan kat sini untuk anda tahu dan fikirkan. Mungkin ada faedah yang boleh digunakan dalam merancang bisnes atau aktiviti buat duit anda sepanjang ramadan dan menjelangnya syawal nanti. Paling tidak untuk anda sedar bahawa segalanya sudah berubah bukan lagi macam selalu.

Ada 5 perkara utama yang akan berlaku setiap kali menjelangnya ramadan dan syawal.

#1. Amalan spiritual dan kebaikan

Ini perkara paling penting yang akan berlaku sepanjang ramadan.

Dengan adanya tambahan kewajiban berpuasa, kesemua amalan ibadah lain akan jadi meningkat secara drastik. Orang akan tambah ibadah mereka dengan lebih banyak daripada biasa.

Yang jarang solat berjemaah, masa inilah mereka tiba-tiba rajin ulang alik ke masjid dan surau. Bukan saja waktu malam, malah waktu siang begitu juga.

Lebih hebat lagi, ramai yang siap iktikaf dalam masjid. Mereka akan sampai awal sebelum zohor, cari satu sudut yang baik, ada yang siap bawa pelapik. Mereka akan baring tidur sampai masuknya zohor. Ada pula yang datang berjemaah zohor. Selepas siap, mereka sambung dengan iktikaf juga disatu sudut yang baik.

Untuk anda kaum wanita yang tak biasa buat kerja macam tu. Nak beritahu bahawa tidur atau baring di atas lantai masjid terutamanya masjid yang tua sesungguhnya sangat sejuk dan nyaman. Tambah lagi kalau anda cari sudut yang redup dan tersorok.

Subhanallah!, cuba tanya suami anda macam mana rasanya kalau dapat tidur waktu tengahari terik di atas lantai masjid, disebalik tiang besar yang tersorok. Dia tentu boleh gambarkan nikmatnya.

Sepanjang ramadan, sampailah syawal, pusat amal ibadah akan sibuk dengan berbagai aktiviti. Ia jadi pusat tumpuan semua orang islam selama ini sehinggalah Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Tema spiritual dan buat baik tahun ni sudah tentu akan berubah 360 darjah!

Masjid dan surau masih tak dapat dikunjungi sehingga sekarang. Saya yakin akan berlarutan sampai menjelangnya puasa habis sampai raya. Ini pertama kali berlaku dalam sejarah kehidupan saya.

Adakah ia akan menjadi satu perkara biasa selepas ini dan tahun-tahun yang akan datang? saya rasa ya.

Kalau nak ulas asal tema amal ibadat yang abakl berubah tahun ni sudah tentu akan panjang. Jadi saya ringkaskan setakat ni saja. Anda boleh fikirkan dan kembangkan lagi segala perubahan dan kesannya terhadap amalan kehidupan, perniagaan dan lain-lain lagi.

#2. Aktiviti kemasyarakatan

Ini lanjutan dari aktiviti kebaikan di atas. Ia mendorong orang ramai untuk buat amalan kebajikan kepada masyarakat.

Contoh paling biasa yang anda selalu tengok adalah amalan menjamu selera untuk buka puasa, makan moreh dan sahur.

Sepanjang ramadan, orang-orang yang berada akan berikan sumbangan untuk persediaan juadah berbuka dan moreh.

Buka puasa ramai-ramai kat masjid atau surau adalah perkara biasa selama ini. Saya ada kenal kawan-kawan yang orang tuanya tak pernah berbuka puasa bersama keluarga. Dia akan sentiasa berbuka di masjid bersama para jemaah.

Ada kawan-kawan saya yang macam itu. Dia ikut amalan orang tuanya. Hanya isteri dan anak-anak saja yang berbuka di rumah. Dia akan ke masjid. Ada juga yang satu keluarga akan ke masjid untuk berbuka, solat berjemaah dan seterusnya sambung sampai solat tarawih.

Makan free, sedap, menjimatkan dan memberikan rasa bahagia. Itulah yang membuatkan ramai suka berbuka ramai-ramai dimasjid atau surau. Ia juga peluang kepada orang yang nak buat kenduri salurkan duit. Juga peluang kepada orang yang jenis ringan tulang bergotong royong.

Semua aktiviti itu sudah tentu berubah tahun ini.

Tentu kekok kawan-kawan yang biasa berbuka kat masjid kali i berbuka dengan anak isteri kat rumah saja. Semua aktiviti kemasyarakatan seperti berbuka akan hanya berlaku dalam bentuk kumpulan nukleus kecil keluarga sahaja kali ni.

Malah tak akan ada balik kampung dan berkumpul ramai-ramai buka puasa dan beraya.

#3. Makan dan minum

Ini satu lagi tema yang bakal berubah.

Selama ini, masuknya bulan puasa jadi satu pesta pengeluaran segala macam jenis makanan tradisi. Banyak kuih muih yang hanya akan dibuat dengan meriah di kala bulan ramadan sahaja.

Kalau anda ke bazar ramadan, selain dari orang Melayu dan yang beragama Islam menjadi pengunjung tetap, orang Cina dan India juga turut sama berkunjung setiap hari.

Makanan jadi satu pesta.

Bazar ramadan pusat berlakunya pesta makanan. Balang air sejuk dalam tong besar berwarna warni adalah temasya biasa yang anda dapat lihat sepanjang bulan ramadan.

Semua itu takkan berlaku tahun ni. Kalau yang rajin, boleh tawarkan COD. Cari tempahan, buat dan pergi hantar.

Makan dan minum akan disediakan secara ala kadar sahaja tahun ni. Tidak akan berlaku lagi banyak pembaziran, insyaallah.

Aktiviti perabih duit dalam hotel dan restoran buka puasa berkonsepkan buffet juga tidak akan diadakan tahun ni. Selamat duit syarikat yang setiap kali masuk ramadan terpaksa bajet satu hari untuk pergi berbuka secara bufir di hotel dan restoran.

Itu semua akan berubah.

#4. Fesyen pakaian dan kecantikan

Bulan ramadan dan syawal juga sinonim dengan tema fesyen pakaian dan kecantikan selama ini.

Orang berbelanja dan berhabis duit setahun sekali untuk melaram. Maklumlah nak balik kampung, ziarah sanak saudara, ziarah kawan-kawan dan pergi merata tempat. Masa inilah nak melaram.

Walaupun fesyen pakaian dan kecantikan makin lama makin terkawal sebab orang ramai makin tertekan dengan masalah kewangan, tapi ia masih tetap berlaku sebelum ini.

Tapi kali ni, ia akan merudun dengan drastik sekali.

Fesyen hebat macam mana pun, bersolek hebat macam mana sekalipun, anda hanya akan pamerkan pada keluarga anda sendiri sahaja. Jadi eloklah pakai yang asas saja. Paling baik pakai saja yang dah ada di tahun-tahun yang lalu. Rasanya masih elok lagi.

Jika anda khuatir saiznya dah tak ngam. Ambil peluang PKP dan puasa ini untuk uruskan segala lebihan lemak dengan pantas dan banyak.

#5. Hiburan dan pesta

Hiburan ni biasanya merupakan kemuncak dibulan syawal.

Masa bulan ramadan tak berlaku sangat sebab semuanya masih fokus pada agenda pertama dan kedua tadi.

Ada juga hotel yang sediakan pertunjukkan musik dan nyanyian lagi-lagu asli untuk pelanggan bufet mereka. Itu dah pasti tak akan berlaku lagi.

Acara hiburan di TV dan Radio memang selama ini amat meriah. Jadi ia masih tetap akan berlaku seperti biasa. Mungkin akan meningkat lagi dan akan berlaku lebih awal sebab memang orang hanya duduk kat rumah dari ramadan sampai syawal.

Filem terbaru yang disiarkan di semua panggung wayang serentak semasa syawal sudah tentu tak akan berlaku tahun ni. Tak ada orang nak pergi panggung wayangpun.

Acara open house juga sudah pasti tak akan berlaku tahun ni. Selamatlah kambing-kambing dari digolek di atas bara api tahun ni. Taukeh jual kambing golek tentu sedang serabut dengan stok kambing yang mungkin dah disediakan dari tahun lepas.

Panjang lagi yang boleh diulas akan segala perubahan yang bakal berlaku.

Ideanya adalah di dalam 5 tema yang saya kongsikan kat atas tu. Yang saya dapat ketika hadiri webinar bersama google. Mereka kongsikan kesemua itu untuk beritahu kepada semua penyedia content supaya sediakan content berdasarkan kesemua tema yang berubah.

Contoh menarik yang mereka berikan adalah berkenaan carian resepi kek tahun ini. Biasanya tahun-tahun yang lalu, carian hanya akan naik dua minggu sebelum syawal. Tapi kali ni carian naik sebelum masuknya ramadan lagi.

Itu satu fenomena menarik terhadap perubahan sikap orang ramai hasil dari fenomena Covid-19. Carian terhadap Thermomix, yang merupakan alat memasak ajaib juga naik meletup-letup luar biasa. Itu tandanya ramai yang tak reti masak selama ini dan terpaksa masak sekarang. Mereka cari alat yang mudah untuk bantu mereka jadi expert memasak dengan pantas.

Moga perkongsian ini memberikan manfaat.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge