Apakah dilema orang yang jatuh dalam perniagaan?

Itu merupakan soalan yang saya fikirkan sepanjang menjalankan kerja-kerja membantu para usahawan yang mahu maju ke depan dalam perniagaan mereka sekarang.

Minggu ini saya habiskan masa seminggu penuh membuat lawatan ke premis perniagaan para usahawan di Sabah. Di samping membuat lawatan ke premis perniagaan mereka dan melihat bagaimana mereka menguruskan perniagaan, saya akan duduk berhadapan empat mata dengan setiap usahawan.

Daripada keadaan premis perniagaan sahaja sebenarnya saya dah dapat membuat andaian bagaimana cara mereka berfikir untuk mengendalikan perniagaan masing-masing.

Tetapi kadangkala sangkaan daripada pandangan mata sahaja tidak menggambarkan keadaan sebenar usahawan itu sendiri. Terpaksalah saya berbual pula dengan usahawan tersebut untuk mengesahkan andaian ataupun mendapatkan jawapan keadaan sebenar yang sedang dihadapinya.

Daripada semua aktiviti yang saya sebutkan di atas, saya sentiasa berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua jenis usahawan. Pertamanya adalah usahawan yang sedang bergerak maju sedikit demi sedikit.

Dilema jatuh dalam perniagaan

Keduanya adalah jenis usahawan yang sedang menjunam ke bawah dengan kadar yang laju. Mereka biasanya merupakan para usahawan yang bermula dari bawah, kemudiannya naik ke atas dengan laju ke puncak kenikmatan dan kemewahan. Dan tidak lama selepas itu, atas kesilapan yang mereka sendiri tak dapat kenal pasti, mula menjunam turun.

Kadangkala tahap penurunan mereka jauh lebih teruk daripada keadaan masa mula mereka memulakan perniagaan dulu.

Jika golongan yang pertama biasanya amat tenang dan bersemangat tinggi untuk menerima tunjuk ajar agar mereka kekal atau meningkat dengan lebih baik, golongan yang kedua pula adalah sebaliknya.

Mereka bersedia untuk menerima tunjuk ajar kerana sedang dalam kelemasan. Tetapi masalahnya adalah jalan penyelesaian yang mereka tuntut adalah penyelesaian yang segera. Mereka tidak rela berkeadaan begitu, dan mahu segera naik balik ke tahap ketika mereka selesa dahulu.

Inilah dilema orang yang sedang jatuh dalam perniagaan. Mereka tak dapat terima kenyataan bahawa mereka silap dan ada benda yang mereka tak tahu.

Mereka juga amat yakin bahawa mereka ada jalan penyelesaian yang mampu membantu, dan paling teruk sekali adalah jalan penyelesaian yang mereka ada itu dianggap merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang boleh menyelamatkan diri mereka.

Bertemu usahawan dalam dilema jatuh dalam perniagaan

Inilah yang baru saja saya bertemu tadi yang membuatkan saya ada idea untuk buat sedikit perkongsian di sini, walaupun dah mengantuk nak tidur sebab keletihan.

Bertemu orang sebegini memang amat meletihkan dan amat mencabar. Usaha untuk menyedarkan dan tenangkan jiwa mereka adalah satu usaha yang amat mencabar dan mencabar kesabaran.

Perumpamaannya adalah seperti cuba selamatkan seseorang yang sedang terkapai-kapai naik turun dalam air kelemasan. Jika kita terjun dan pergi selamatkan mereka, kita akan ditarik bersama untuk turut sama lemas dan berkemungkinan kedua-duanya akan mati tenggelam.

Jadi apa yang saya buat ketika berhadapan dengan situasi ‘dilema jatuh dalam perniagaan’

Jika anda melihat orang sedang terkapai-kapai lemas dalam air, jangan terus terjun. Tunggu saja dulu sampai dia letih dan tenggelam. Kalau ada tali atau pelampung campakkan padanya, kalau tak ada biarkan saja terlebih dulu.

Bila dia dah letih tak bermaya dan mula tenggelam, barulah terjun dan sepamatkan dirinya. Itu lebih mudah dan menjamin keselamatan dan kejayaan.

Itulah yang perlu saya lakukan. Saya hanya mendiamkan diri dan mendengar segala tembakan padu bertubi-tubi yang dicurahkan tanpa henti. Dan apakah yang ditembaknya?

Dia akan mengulang perkara yang sama berulang kali sampai letih,

Dia akan mengulang apa yang telah dilakukannya yang tidak mendatangkan hasil…

Dia akan mengulang betapa dia telah berjaya ke tahap tinggi dulu, dan sekarang sedang jatuh…

Dia akan ulang bahawa itu semua bukan silapnya sendiri, sebaliknya silap orang lain…

Dia akan ulang hanya ada satu sahaja jalan menyelamatkannya, dan dia mahu bantuan wang sekarang juga…

Dia akan ulang sudah tak ada cara lain…

Dia akan ulang semua jalan telah dilaksanakannya….

Begitulah dia ulang dan ulang dan saya dengar dan dengar, alahai! memang mencabar dan meletihkan…!

Pendekatan terbaik jika anda dalam dilema jatuh dalam perniagaan

Jika anda merupakan salah seorang daripada usahawan yang sedang menghadapi dilema jatuh dalam perniagaan, tolonglah buat perkara ini,

  1. Terima kenyataan, yang dah berlaku tetap dah berlaku dan tidak dapat dielakkan dan telah berlalu.
  2. Kembali ke dunia semasa dan lihat apa yang anda ada sekarang.
  3. Fikirkan apa yang anda belum buat lagi dan senaraikan dan cuba buat.
  4. Berhenti berfikir bahawa anda dah melakukan segalanya yang perlu, kerana anda sebenarnya silap besar jika berfikiran sebegitu.
  5. Lihat ke depan dan jangan pandang belakang dan terus berusaha sampai berjaya.

Asasnya adalah  berikan tumpuan pada apa yang anda belum buat dan boleh buat sekarang dan bukannya cuba meyakin diri sendiri dan juga orang lain bahawa anda dah buat semua pilihan yang ada.

Samada anda dalam dilema jatuh dalam perniagaan atau tidak, lebih baik fikirkan apa yang anda belum buat lagi untuk berjaya daripada letih mengeluh apa yang tela dilakukan tapi tak berjaya. Moga berjaya, Insyaallah!

Total
20
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge