hidup rasa berbaloiMacam mana nak buat untuk jadikan hidup rasa berbaloi?

Hidup berbaloi atau hidup dengan penuh bermakna memang idaman semua orang yang normal. Dengan suasana kehidupan moden yang melanda umat manusia sekarang yang anda rasa macam serba maju dan lengkap, tapi sebenarnya membuka lebih banyak ruang kekosongan hidup. Manambahkan lagi pencarian kepada cara untuk hidup rasa berbaloi.

Dalam satu artikel yang saya baca, saintis percaya bahawa masalah kesunyian sudah menjadi satu wabak yang melanda manusia zaman moden.

Pelik bukan?

Dengan teknologi perhubungan yang semua orang ada sekarang, mudah untuk berhubung dengan siapa saja, sejauh manapun, manusia rasa lebih sunyi hidup mereka!. Baca laporannya kat sini.

Tapi itulah hakikatnya yang sedang berlaku. Tambah pulak dengan tekanan hidup lain yang memang meluru ke dalam hidup manusia setiap saat, silap hari bulan, perasaan rasa hidup tak berbaloi mungkin melanda diri anda.

Cara nak buat hidup rasa berbaloi

Mungkin anda pernah bertanya pada diri sendiri, macam mana nak buat supaya hidup rasa berbaloi?

Memang seronok tengok orang yang rasa hidupnya berbaloi dan penuh makna. Salah satu sifat orang yang hidup rasa berbaloi adalah dia tak sabar untuk bangun tidur awal pagi, terjun dari tilam empuknya dan mula bersiapa untuk lengkapkan sehari lagi pusingan kehidupan hariannya.

Dan sudah tentu tanda anda sedang hadapi masalah kehidupan yang terasa tak seronok dan tak berbaloi adalah, sukar nak tidur malam dan bila dah tidur, susah pulak nak bangun pagi. Kemudian terasa malas nak bersiap untuk keluar rumah teruskan satu lagi pusingan kehidupan anda untuk satu hari lagi.

Bayangkan kalau keadaan sebegitu berlanjutan seminggu, sebulan, setahun… anda mungkin berakhir dengan berjalan kaki ke sana sini, sambil kutip puntung rokok dan sepahkan tong sampah bila ada kesempatan.

Minta simpang dari jadi macam itu. Moga Allah jauhkan diri kita semua dari berakhir macam itu.

Jadi, macam mana nak buat supaya hidup rasa berbaloi?

Anda perlu gabungkan 4 perkara yang saya sebutkan kat bawah ini;

#1. Kenal pasti perkara yang anda suka

Ini dah biasa sangat kita dengar. Hampir semua orang sebut perkara yang sama. Kalau anda tahu apakah perkara-perkara yang anda suka, dan habiskan lebih masa untuk buat perkara tersebut, masa terasa singkat dan anda tidur malam sambil tersenyum manis.

Cuba luangkan masa untuk buat senarai perkara-perkara yang anda suka dan mencintainya dengan sepenuh hati. Kalau masih tak dapat kenal pasti, cuba beli buku nota untuk dijadikan sebagai jurnal harian anda.

Setiap malam sebelum tidur, cuba buat refleksi semula perjalanan hidup anda satu hari itu. Tulis satu persatu aktiviti yang dah anda luangkan masa melakukannya. Dan tanya samada anda rasa puas gembira atau tidak buat aktiviti tersebut. Dari catitan demi catitan setiap hari yang dikekalkan dalam tempoh yang lama, anda akan dapat kenal pasti apakah aktiviti atau perkara yang anda memang suka sangat melakukannya.

#2. Kenal pasti perkara yang anda cekap

Kalau anda dah berumur lebih dari 30 tahun, saya yakin anda dah boleh tahu apa perkara yang anda memang cekap dan apa perkara yang anda memang lemah.

Dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke tahap umur 30 tahun (+/- 5 tahun), anda sepatutnya dah banyak mencuba buat perkara baru dan dah puas meneroka dunia kehidupan anda. Jadi dah tiba masanya untuk anda kenal pasti apa yang cekap dan apa yang tidak.

Samada berbakat atau tidak, kecekapan memerlukan latihan. Dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, samada terpaksa atau sukarela, anda mesti telah tempuh berbagai latihan hidup dari segi fizikal mahupun mental.

Jaringan kenalan juga biasanya paling banyak terbentuk dalam tempoh 30 tahun itu. Jadi anda perlu ambil masa sekejap untuk buat renungan dan imbau kembali segala yang telah dijalani dan kenal pasti lingkungan kemahiran yang anda dah berjaya himpun dalam diri.

#3. Kenal pasti perkara yang menjana pendapatan

Apa sumber yang memberikan duit kepada anda selama ini?

Sama juga macam kat atas tadi. Kalau anda dah berumur 30 ke atas, sudah pasti anda tahu apakah perkara atau aktiviti yang menjana pendapatan untuk anda hidup. Anda dah tentu tahu apa sumber ekonomi anda.

Mungkin ada hanya satu, iaitu kerjaya anda sekarang. Kenapa orang sanggup bayar. Apa kemahiran yang anda ada yang membuatkan anda dibayar. Mesti ada sesuatu. Tak akan ada orang sewel yang akan bagi duit pada anda secara percuma dan saja-saja.

Cuba buat lagi senarai tabahan apakah lagi perkara yang ada pada anda yang boleh menjana pendapatan. Tak semestinya anda dibayar dalam bentuk duit, mungkin anda dibayar benda lain sebagai tukar ganti, masa, keistimewaan, pertukaran benda bernilai dan lain-lain lagi yang ada nilai.

#4. Kenal pasti apa yang masyarakat perlukan

Semak semula masyarakat sekeliling anda. Tak kisah samada lokal atau nasional. Apakah yang anda rasa diperlukan oleh masyarakat.

Biasanya masyarakat amat membutuhkan solusi kepada masalah yang mereka hadapi. Masalah ini berbagai, tapi boleh diringkaskan hanya kepada 2 perkara sahaja. Pertama adalah keluar dari kesukaran dan keduannya adalah mencari yang lebih baik.

Buatlah semua senarai keperluan masyarakat yang anda boleh fikirkan dan nampak. Paling mudah untuk bermula adalah dengan renungkan kerjaya anda sekarang. Apakah masalah masyarakat yang anda selesaikan. Kemudian, kembangkan lagi satu persatu supaya lebih banyak.

Gabungan yang membentuk Hobi

Kalau anda gabungkan perkara #1 dengan #2, aktiviti tersebut akan membentuk hobi anda. Itulah yang boleh membuatkan anda rasa puas hati dan lega setiap kali melakukannya. Tapi kalau ada hanya 2 perkara itu saja, ia tak akan membuatkan anda berkekalan rasa bahagia dan hidup berbaloi.

Nak makan apa kalau tak ada sumber pendapatan?

Gabungan yang membentuk kerja makan gaji

Jika anda gabungkan #2 dengan #3, ia akan membentuk kerja makan gaji untuk anda. Anda cekap dan dibayar pulak untuk kecekapan tersebut, maka sudah tentu ia jadi satu profesi atau kerja makan gaji.

Tapi masih tak cukup. Ramai orang yang buat perkara yang dia cekap dan dibayar dengan jumah wang yang banyak, tapi hidupnya dirasakan masih tidak bermakna. Ia sekadar memenuhi profesi kerja makan gajinya. Hidup masih terasa kosong dan tak berapa nak puas.

Gabungan yang membentuk kerjaya

Kalau digabungkan #3 dengan #4 aktiviti tersebut mampu membina kerjaya yang bermakna untuk anda.

Anda akan rasa lebih tekun dan seronok jika tahu semua aktiviti yang anda dibayar untuknya menyumbang kepada keperluan masyarakat. Itu kita boleh kategorikan sebagai satu kerjaya yang disukai.

Anda rasa tekun dan buat dengan ikhlas bila tahu ianya membantu memenuhi keperluan masyarakat yang mendapat khidmat. Tapi masih tak sempurna lagi sebab tak semestinya itu kerja atau aktiviti yang anda suka dan jatuh cinta.

Gabungan yang membentuk misi hidup

Misi hidup akan terbentuk kalau anda buat aktiviti yang diperlukan oleh masyarakat dan dalam masa yang sama anda amat mencintai aktiviti tersebut. Iaitu gabungan #1 dan #4

Ini ramai yang dah amalkan. Mereka biasanya kita gelar sebagai aktivitis kemasyarakatan. Mereka pulun buat tanpa jemu dan penuh tekun.

Tapi misi hidup saja tanpa ada sumber duit masuk tak akan mampu kekalkan anda bahagia. Lama-lama parah juga kalau asyik korbankan masa laksanakan misi hidup. Kalau anak orang kaya yang ada harta pusaka bertimbun takpa lah!.

Gabung 4 perkara untuk hidup rasa berbaloi

Kalau anda nak hidup rasa berbaloi, loncat dari katil setiap pagi untuk teruskan satu lingkaran kehidupan sehari lagi, setiap hati, hari demi hari… anda perlu gabungkan kesemua 4 perkara yang saya sebutkan kat atas tadi.

Orang yang berjaya gabungkan kesemua 4 perkara tersebut dipanggil mereka yang telah menemui IKIGAI dalam hidup mereka.

Orang tersebut akan rasa diri berguna, yakin diri, kehidupan yang penuh dan kekayaan yang mencukupi.

Itulah yang membuatkan hidup rasa berbaloi…

Nota: Pedoman di atas memberi fokus pada hubungan sesama manusia. Sudah tentu dengan anggapan anda sudah melengkapi hubungan dengan Allah yang menjadi satu kewajipan untuk semua manusia yang berakal.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

    1. Moga Tuan bertemu, insyaallah. Berkenaan memahami, saya dah hampir 20 tahun dirikan rumah tangga dan yakin masih belum memahami pasangan. Dan saya yakin dia juga begitu, masih belum memahami saya.

      Tapi itulah yang menarik dan seronoknya. Hari minggu bulan dan tahun ditempuhi membuka lembaran demi lembaran meneroka penemuan baru antara saya dan pasangan untuk lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge