_DSC5823Ketika saya diberikan cabaran untuk melatih beberapa orang usahawan dalam industri bengkel kenderaan, saya ditanya bagaimana saya dapat atasi masalah berkenaan ketiadaannya kemahiran dalam bidang membaiki kenderaan.

Orang yang memberikan saya cabaran itu bertanya begitu kerana dia melihat agak sukar bagi saya untuk melatih para usahawan dalam bidang automotif jika saya tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu membaiki kenderaan.

Saya merenung matanya dengan yakin dan berkata, ” mereka perlu dilatih untuk berfikir sebagai seorang ahli perniagaan dan bukannya dilatih untuk menjadi seorang pembaiki kenderaan! “

Orang itu mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan kebenaran apa yang saya cakapkan.

Itulah rahsianya jika anda mahu berjaya dalam bidang perniagaan membaiki kenderaan. Malah dalam apa saja bidang, perkara paling utama untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan anda adalah, perlu adanya hikmat berfikir sebagai seorang ahli perniagaan.

Usahawan yang tiada fikiran sebagai seorang ahli perniagaan

Bila saya mula melatih para pengusaha bengkel kenderaan, ternyata apa yang saya sangkakan betul. Kebanyakan daripada mereka terperangkap dengan fikiran sebagai seorang mekanik dan bukannya sebagai seorang ahli perniagaan.

Fikiran seorang mekanik kerjanya adalah hanya memikirkan bagaimana nak baiki kenderaan. Mereka rasa lega dan seronok jika ada banyak kenderaan dan membaikinya tanpa henti.

Bila tak ada kenderaan, mereka relaks dan tunggu kenderaan datang. Tak ada usaha untuk memikirkan bagaimana nak pastikan kenderaan datang dengan melakukan aktiviti pemasaran secara agresif. Bagi mereka masa untuk relaks adalah bila tiada kenderaan.

Pemikiran sebagai seorang mekanik amat selari dengan hasil pendapatan mereka. Semakin kurang hasil perniagaan mereka semakin kurang adanya pemikiran sebagai seorang ahli perniagaan.

Fikiran mekanik hanya tumpu pada aktiviti baiki kenderaan

Oleh kerana mereka berfikiran sebagai seorang mekanik, mereka banyak mengeluh kepada apa yang mereka tiada. Sudah tentu jadi begitu kerana ketiadaan apa yang mereka mahu membuatkan kerja membaiki kereta menjadi tidak seronok, maklumlah fokus mereka adalah asyik nak baiki kenderaan.

Mereka salahkan kekurangan peralatan, disebabkan itu pelanggan tak mahu datang kerana seorang mekanik tidak dapat beraksi dengan baik tanpa peralatan.

Mereka salahkan ruang membaiki kenderaan yang tak luas, mekanik rasa tak seronok baiki kenderaan kalau ruang yang ada merimaskan.

Mereka salahkan kurangnya alat ganti. Mekanik tak seronok jika kurang alat ganti kerana itu menandakan kurang keupayaan untuk baiki kenderaan dengan lebih banyak.

Ringkasnya pemikiran mereka banyak bertumpu pada bagaimana nak baiki kenderaan sebab dalam diri mereka ada fikiran seorang mekanik dan bukannya seorang ahli perniagaan.

Mereka tak terfikirkan bahawa tugas utama mereka adalah bagaimana nak buat pelanggan yang mereka sasarkan datang ke bengkel mereka. Mereka tak fikir bagaimana nak jual apa yang mereka ada.

Sebaliknya mereka asyik fikir bagaimana nak jual apa yang mereka tiada… mana boleh!

Apa ahli perniagaan fikirkan

Anda tentu tertanya apa yang sebenarnya seorang ahli perniagaan fikirkan?

Sudah tentu semua ahli perniagaan akan memikirkan tentang perniagaan dan bukannya sebagai seorang mekanik. Perkara paling utama yang ahli perniagaan akan fikirkan adalah mejawab persoalan, apa itu perniagaan?

Sebab itu dalam kursus yang saya anjurkan, jika anda pernah menghadirinya menjelaskan terlebih dahulu apakah yang dinamakan sebagai perniagaan. Saya mahu anda semua fokus pada pemikiran yang betul dari awal, pemikiran seorang ahli perniagaan.

Jika anda dah lupa, saya ringkaskan semula apa itu perniagaan di sini, dan memang definisi perniagaan itu adalah ringkaspun!.

Perniagaan mesti ada 5 komponen yang saya senaraikan di bawah, semua komponen mesti ada dan kurang salah satu sahaja darinya membuatkan apa yang anda lakukan itu bukanlah sebuah perniagaan.

  1. Menyediakan sesuatu yang bernilai – Untuk menjadikan sesuatu itu bernilai, anda mesti selesaikan masalah orang. Dalam kes bengkel kenderaan, apa masalah yang anda selesaikan. Kalau setakat repair kereta, ada lebih 35 ribu bengkel kenderaan yang dah lakukan semua itu. Ingat! selesaikan masalah orang. Cari apa yang pelanggan bengkel kenderaan kecewa tak ada dalam pasaran tempat anda dan penuhinya.
  2. Sediakan apa yang orang mahu – Pastikan ianya bernilai dan orang mahu. Kalau bernilaipun orang tak mahu tak ada maknanya.
  3. Dengan harga yang orang setuju – Kalau mahupun tapi harganya mereka tak setuju, tidak ke mana juga.
  4. Pastikan mereka puas hati setelah membelinya – apa yang anda janjikan mesti ditunaikan sama atau lebih baik lagi. Jika tak dapat buat sebegitu, bersedia untuk bungkus
  5. Pastikan anda juga puas hati menjana keuntungan – Keuntungan itu diperlukan bagi memastikan anda boleh ulan semula proses pertama di atas. Kalau anda sendiri tak dapat apa-apa pendapatan, macam mana nak ulang proses pertama itu.

Itulah yang perlu difikirkan oleh seorang ahli perniagaan. Dia perlu sentiasa berada di dalam lima komponen yang tersebut dan berusaha merealisasikannya.

Untuk laksanakan semua itu bukan satu kerja yang mudah dan sedikit. Dan yang paling pasti, bukan dengan terperosok duduk bawah kenderaan membaikinya sepanjang masa.

Sebab itu bila saya latih para usahawan kenderaan, saya cuba yakin bahwa mereka perlu ada masa untuk berfikir atas kertas, mereka perlu ada masa untuk merancang, perlu ada masa untuk membina jaringan, perlu ada masa untu melhat kedudukan aliran wang keluar dan masuk dan macam-macam lagi.

Mekanik yang berfikir sebagai seorang ahli perniagaan

Sebagai seorang mekanik anda sebenarnya sudah ada bermacam-macam tawaran yang ramai orang mahu dapatkan. Diri anda sendiri sahaja tanpa apa-apa peralatan sudah ada nilai yang boleh ditawarkan, apatah lagi jika ada bengkel dan sedikit peralatan dan kelengkapan.

Oleh itu fikirkanlah bagaimana membuat tawaran yang bernilai berdasarkan apa yang anda sudah ada dan bukannya merangka tawaran berdasarkan apa yang anda tak ada. Itu hanya membuang masa dan seolah-olah mencari alasan untuk tak buat kerja.

Apakah anda ada fikiran seorang ahli perniagaan

Bagi anda yang sedang menjalankan perniagaan terutamanya jenis teknikal atau kemahiran, apakah anda berfikiran sebagai seorang ahli perniagaan atau sebagai seorang yang anda mahir terhadapnya?

Boleh fikirkan tentang kemahiran anda, tapi jangan pula lupa bahawa tujuan anda berhenti kerja dan jalankan perniagaan adalah untuk jadi seorang ahli perniagaan.

Oleh itu berfikirlah dan beraksilah sebagai seorang ahli perniagaan. pastikan masa yang lebh lama diperuntukkan bagi menjalankan tugasan sebagai seorang ahli perniagaan.

Selesaikan semua masalah yang anda hadapi secara kreatif agar semua komponen perniagaan berada di atas landasannya yang betul. Insyaallah anda akan berjaya dalam perniagaan anda.

Total
24
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

    1. Memang berat nak buat sales kalau tak mahu jumpa orang…. nak ajar orang lain buat salespun nak kena jumpa orang itu dulu untuk terangkan berkenaan produk sebelum dia pergi jumpa orang lain dan buat sales.

      Tak ada pilihan lain, kena atasi masalah berat nak jumpa orang dengan sertai kelas public speaking dan buat pendedahan gaya hidup baru…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge