Jangan minta nasihat dari orang baik hati

By | 02/07/2013

Adakah anda perlukan nasihat?

Ada dua jenis keadaan manusia yang memerlukan nasihat:

  1. Orang itu memang sedang mencari jawapan atau mahu membuat sesuatu keputusan dan dia merasakan maklumat yang ada pada dirinya tak cukup untuk membuatkan satu keputusan yang baik.
  2. Orang yang tersasar perjalanan hidupnya atau tersalah langkah dalam apa jua tindakan tanpa disedari. Biasanya dia dia rasa semuanya serba ok sedangkan orang yang lebih berpengalaman merasakan sebaliknya.
Kita mencari orang lain untuk meminta nasihat biasanya apbila berada di dalam keadaan pertama. Kita dengan rela dan bersedia untuk mendengar nasihat dari orang lain.
Dengan siapa sepatutnya kita minta nasihat?
Berikut beberapa kriteria orang yang layak memberikan pada kita nasihat:
  • Orang yang kita hormati – Nasihat yang diberikan oleh orang yang tidak dihormati biasanya seumpama menuang air di daun keladi.
  • Orang yang kita percaya lebih arif dan berpengalaman daripada kita – Sudah tentu orang itu mampu memberikan beberapa pandangan yang kita tidak terfikirkan kerana dia lebih arif dan berpengalaman. Meminta nasihat tentang masalah rumah tangga pada kawan yang bujang sudah tentu kurang bijak.
  • Orang yang kita saling kenal – Biasanya nasihat terbaik adalah daripada orang yang tahu kedudukan sebenar diri kita dan mereka biasanya adalah orang yang kita kenal. Lebih rapat dan mendalam orang itu mengenali diri kita adalah lebih mantap nasihat yang diterima.
Walaupun kita ada simpanan orang yang berkelayakan seperti yang disebutkan di atas, satu perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah untuk membezakan antara dua ciri pemberi nasihat:
  1. Orang yang baik hati dan sentiasa cuba menjaga hati orang lain.
  2. Orang yang tidak lemah lembut serta mempunyai mulut tajam seperti laser tetapi tulus dan benar. Dia biasanya tidak pandai berselindung atau berlapik dalam memberikan pandangan atau komen.
Jika anda mahu mendapatkan nasihat yang terbaik pilihlah orang daripada jenis yang kedua.
Terlebih lagi jika anda sedang berusaha membuat satu keputusan yang terbaik atau sedang berusaha membaiki diri ataupun sedang berusaha meningkatkan perniagaan yang sedang di jalani.
Jika anda mahu berubah, tidak ada bantuan yang lebih baik selain daripada mendapat kejutan elektrik yang menaikkan darah kerana mendapat satu komen yang berterus terang.
Dan nasihat seperti itu hanya mampu diberikan oleh orang dari kategori yang kedua sahaja.
Jika anda meminta nasihat daripada orang yang baik hati dan berlemah lembut, dia akan memberikan komen dengan perkara atau ayat-ayat yang anda mahu dan suka dengar sahaja.
Bukannya tak bagus, tetapi orang jenis itu lebih suka menjaga perhubungan yang selesa dengan anda daripada bertegang urat buat sementara. Lagipun orang itu tidak ada apa yang nak dirugikan jika masihatnya salah.
Meminta nasihat dalam perniagaan
Dalam perniagaan perkara yang sama perlu diamalkan. Mintalah nasihat daripada orang yang berterus terang atau buatlah apa saja agar orang sanggup untuk berterus terang.
Jika anda bertanya pada seseorang tentang perniagaan anda dan dia hanya menyatakan apa yang anda hendak dengar sahaja, alamat sampai bilapun ada akan berpuas hati dan tidak ada apa-apa perubahan atau pembaikan akan berlaku.
Nasihat terbaik atau pandangan terbaik berkenaan perniagaan datangnya daripada mereka yang menjadi pelanggan anda.
Merekalah orang yang terbaik yang kenal dengan perniagaan yang anda jalankan. Oleh itu, jangan minta pendapat atau nasihat daripada mereka yang sekalipun tak pernah mengikuti atau menjadi pelanggan anda.
Meminta nasihat pilih perniagaan
Jika anda mahu mendapatkan nasihat terhadap satu perniagaan yang anda rasakan sesuai dengan diri, dapatkan daripada kawan yang berterus terang.
Jangan bertanya pada kawan yang baik hati yang akan memuji kehebatan anda dan memberi ransangan bahawa anda akan berjaya melakukan apa sahaja. Itu sebenarnya pendapat yang tak betul sama sekali.
Kenapa anda perlu nasihat negatif?
Biasanya mereka yang memberikan nasihat negatif adalah kerana dia berpandangan anda tidak sesuai atau bersedia dengan apa yang hendak dilakukan.
Dari situ anda dapat kenal pasti kelemahan yang ada dan jika betul, merupakan satu peluang untuk menutup punca kegagalan.
Kawan yang berikan nasihat itu mungkin tidak ada jawapan untuk menyelesaikannya. Andalah yang akan berusaha mencarinya sendiri.
Pengalaman saya
Ketika mencari pandangan atau nasihat untuk menjalankan perniagaan pest control dulu, saya bertanya kepada hampir kesemua kawan-kawan yang ada.
Mereka yang mengatakan ok dan meyakinkan yang saya akan berjaya biasanya tidak saya perpanjangkan perbualan. Walaupun memang itu yang nak saya dengar, tetapi ia tidak banyak membantu untuk saya mencari kelemahan diri.
Sebaliknya jika kawan memberikan tindak balas yang negatif dan tidak yakin saya akan berjaya, itulah yang akan saya panjangkan perbualan.
Saya akan mendalami komen atau pandangannya dengan lebih terperinci sehingga saya faham benar-benar apa yang dimaksudkannya.
Saya catitkan nota satu persatu apakah yang perlu saya perbaiki berdasarkan pendapatnya itu dan seterusnya berusaha untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kelemahan yang diberikan oleh kawan tersebut tentang saya dan perniagaan yang mahu dijalankan.
Barangkali itu merupakan salah satu perkara yang banyak membantu saya membangunkan perniagaan tersebut sejak hari mula saya menceburinya.
Minta nasihat dari pembaca
Dah terlanjur bercakap tentang nasihat, mahu juga saya mendengar nasihat daripada orang yang lebih arif tentang penulisan saya di blog ini.
Sudah tentu orang yang lebih kenal berkenaan apa yang saya tawarkan di blog ini adalah dari kalangan para pembaca yang kerap berkunjung dan membaca segala tulisan saya.
Oleh itu, saya amat berbesar hati jika anda sanggup mengeluarkan kata-kata laser yang memedihkan hati demi menjadikan blog dan tulisan di dalam blog ini lebih berkualiti dan dapat membantu sebanyak mungkin mereka yang memerlukan bantuan.
Segala kata-kata tulus ikhlas tetapi pedih yang anda keluarkan saya ucapkan terima kasih!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

20 thoughts on “Jangan minta nasihat dari orang baik hati

  1. Cantik Storage

    saya suka dengar nasihat dari kedua-dua jenis orang seperti yg tuan sebutkan di atas.
    nasihat orang pertama: bikin hati saya sejuk =)
    nasihat org kedua: bikin jiwa saya berkobar-kobar =)

    orang kedua ni sebenarnya suami saya…kalau pasal bisnes, memang dia suka bagi idea terbaek! walaupun hakikatnya dia seorang yg pendiam dan pemalu. diam-diam ubi berisi gitu.. Alhamdulillah =)

    Reply
  2. suri

    erk hee..saya tak tahu pula yang mana satu sebab saya rasa klu ada mslah sy sllu buat apa saya suka cma menjahit ..kraft…pastu pikir baik2 sahaja.tpi sejak ada blog ..ada sesi zon lepas geram..luahan rumahtangga,,cinta anak2 sy benar2 rasa di hargai..syukur dg pengalam yg ada org blh terima saya..sy blh selesaikan masalh mrka dlm keadaan yang memusakan..dan masalah hadir tu tak putus2 malah kesungguhan utk mendegar masalh org…bercerita..mmberi semangat memberikan satu satu aspirasi yg baru khdupn kita sebenarnya tak suyi seperti yg kita skangkakan sb kita kita msh ad aorg sekeliling bersedia memerlukan kita..cuma kita tak sedar ..

    Reply
  3. kakiblog

    saya tergolong dalam kategori pertama…:

    p/s : sistem ‘Please prove you’re’ not a robot agak membosan bro

    Reply
  4. teh ramuan

    payah juga nak dapat kawan yang berani beri nasihat
    yang banyaknya, sokong je apa yang kita buat

    Reply
  5. waiman takwa

    Salam.. Sebelum terima nasihat, niatkan dalam hati supaya hati menjadi terbuka terhadap apa jua nasihat yang kita dapat. Pilihan kita yang tentukan. Jadikan nasihat tersebut sebagai salah satu jalan keluar dari masalah yang kita hadapi.

    Reply
  6. middle east product shop

    Eloklah kita berkawan dengan orang yang baik2, yang penting mereka ini haruslah ikhlas. kerana sebagai orang islam kita digalakkan sentiasa nasihat menasihati dalam perkara yang baik2 dan di dalam kebenaran.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Setuju, memang bagus kawan dengan orang baik yang berterus terang menyatakan kebenaran walaupun kawan tak suka dengar apa yang diperkatakan…

      Reply
  7. Dja@Sishaza

    Betul tu saudara… org baik hati cenderung berlapik-lapik, memberi nasihat yang tidak boleh membawa perubahan sebenar krn mereka bimbang berkata dengan 100% jujur boleh membuatkan org yg bertanya tu terasa hati

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Niat baik tak mau kasi kecil hati kawan sama macam tok niat baik jaga cucu sampai jadi manja…jangka pendek memang nampak bagus, jangka panjang boleh rosak

      Reply
  8. encikarman

    minta nasihat dr yg pakar, kalau biasa2, kita pun jadi biasa2 jer. kalau nak luar biasa, tanyalah pakar.

    Reply
  9. KHAIRUL AMRAN

    Kalau nak dapatkan nasihat dari orang kategori no 2 tu hati kena kering. Jangan pulak tersentuh bila kena fire cukup-cukup. Masalahnya selalu peminta nasihat ni dia dah ada keputusan berdasarkan persepsinya sendiri. Bila orang cuba bagi idea yang lain, mulalah dia nak dijadikan musuh.

    Lagi satu, kalau ada masalah keewangan jangan cuba-cuba pegi kat bank yang sering menganggap dia “perunding keewangan”. Sedangkan mereka adalah peniaga yang menunggu untuk melahap duit kita sesuka hatinya.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Betul jugak. Rasanya kena tambah satu lagi artikel “bagaimana cara minta nasihat dari orang yang berterus terang”. Salah satunya adalah hatai mau kering dan berfikiran terbuka…
      Terima Kasih

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge