Jangan pandang rendahMungkin anda bukan jenis yang tak pandang rendah pada orang lain. Atau mungkin anda sebenarnya ada sikap pandang rendah terhadap keupayaan orang lain tanpa disedari.

Walau apapun sikap anda, cuba baca cerita ini berdasarkan cerita yang berlaku pada diri saya sendiri pada zaman awal terjun dalam dunia keusahawanan dulu.

 Pengalaman jual kain di pasar malam

Zaman awal terjun jadi usahawan dulu saya pernah jual kain di pasar malam. Setelah berjaya dengan projek jual petai di pasar malam yang mendatangkan hasil lumayan, saya terus seronok dan yakin untuk menjadikan pasar malam sebagai saluran buat duit.

Bila habis stok petai, saya dapat idea untuk ambil bekalan kain dari Kelantan dan niagakannya di pasar malam. Saya fikir tentu hasilnya positif juga macam jual petai.

Tapi rupanya ia menjadi satu pengajaran yang pahit tapi bermakna dalam perjalanan dunia keusahawanan yang saya lalui.

Ceritanya sedih, hari pertama tiada sebarang jualan berlaku. Begitu juga hari kedua, ketiga sampailah seminggu. Dari mula buka dan susun kain pukul 3 petang, sehinggalah kemas dan bungkus semua pakaian masukkan dalam kenderaan pukul 10 malam, tiada sehela kainpun yang dapat dijual.

Saya dan seorang lagi kawan pujuk hati dengan berbagai andaian untuk teruskan juga perniagaan itu sehinggalah kami akhirnya yakin ia bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk diteruskan.

Saya putuskan bahawa berniaga kain di pasar malam memang tak boleh. Malah lebih teruk lagi, saya putuskan bahawa memang tak bleh berniaga kain.

Apa yang saya buat denan stok kain yang banyak itu?

Saya bawa balik ke rumah dan hadiahkan kesemuanya pada ibu. Niatnya memang nak bagi pada ibu saya untuk kegunaannya. Ibu saya ada berhelai-helai kain batik yang dia boleh tukar sejam sekali kalau dia suka.

Saya tinggalkan kesemua kain pada ibu dan buat projek lain pula.

Tak sampai dua minggu,pada satu hari ibu berikan sejumlah wang yang banyak pada saya. Dia kata itu semua duit saya. Hairan memikirkan dari mana pulak datangnya duit tersebut, lalu saya bertanya duit apa itu…?

Rupanya itu adalah hasil dari duit jualan kesemua kain yang saya hadiahkan pada ibu. Dia dah jual kesemuanya dengan caranya yang tersendiri dengan mudah dan tak terlintas oleh saya.

Saya hadiahkan kesemua duit itu pada ibu sebab memang dah anggap kesemuanya hak ibu. Dan saya belajar satu perkara penting dalam hidup saya sebagai seorang usahawan.

Jangan pandang rendah keupayaan orang lain

Saya rasa macam dah pandai berniaga. Dan saya gagal jual kain di pasar malam. Saya tak boleh berniaga kain. Itu faktanya. Tapi rumusan salahnya adalah saya anggap kalau saya yang perasan pandai ini tak boleh berniaga kain, takkan ibu saya boleh berniaga kain!.

Rupanya salah. Jangan pandang rendah pada keupayaan orang lain. Tak kira siapa orang itu, jangan sesekali pandang rendah keupayaan mereka sebelum diberikan peluang terlebih dahulu.

Kita sering tersilap dalam kes seperti ini. Bila kita gagal dalam sesuatu perkara, kita berhenti cari jalan dengan andaian memang ianya tak boleh dilakukan.

Malah bila orang lain minta pendapat kita sebab mereka nak cuba buat perkara tersebut, kita terus pangkah dan katakan ianya tak boleh dilakukan. Hujahnya adalah di sebabkan kita pernah lakukannya dan gagal.

Itu adalah andaian yang sama sekali salah. Jika kita tak boleh belum tentu orang lain juga tak boleh.

Jangan pandang rendah pada orang bawah anda

Ingatlah nasihat ini. Jangan pandang rendah keupayaan para pekerja anda hanya sebab anda tak mampu, anda anggap pekerja juga tentu tak mampu.

Jadi jangan terus sekat cubaan atau cadangan pekerja bawahan atau rakan kongsi atau orang lain jika dia cadangkan sesuatu yang anda tak pernah berjaya lakukannya.

Dengan bersikap tidak pandang rendah terhadap keupayaan orang lain, anda dapat selesaikan berbagai halangan dalam perniagaan untuk terus maju ke depan.

Kalau anda sendiri tak mampu lakukannya, percayalah bahawa ada ramai lagi orang lain yang boleh lakukannya untuk anda.

Cuba cari, tawarkan kerja dan bayarlah segala hasil usaha mereka dengan setimpal. Asalkan anda tak pandang rendah pada keupayaan orang lain, anda tak akan kemut duit untuk membuat bayaran.

Sebagai seorang usahawan, tugas yang amat penting yang anda mesti lakukan adalah menggabungkan segala sumber yang ada untuk merealisasikan impian anda. Sumber itu tidak semestinya dimiliki oleh anda.

Sebab itu membina jaringan amat penting dalam perniagaan. Supaya kita ada sumber  yang cukup luas untuk dihubung kaitkan antara satu sama lain.

Ingat! jangan sesekali pandang rendah pada orang lain samada yang ada di bawah atau di atas anda!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge