perniagaan tikusIni merupakan artikel menarik dalam perniagaan jual tikus, yang disumbangkan oleh salah seorang pembaca blog hidupringkas.com.

Kita baca perkongsian pengalaman menjalankan perniagaan jual tikus yang beliau hantar pada saya untuk dikongsikan pada pembaca semua….. (sumber gambar)

Tercetusnya perniagaan jual tikus

Saya mula menjual tikus pada tahun 2007. Ketika itu saya bertugas di Shah Alam dan menguruskan lesen-lesen menyimpan hidupan liar untuk orang awam yang memilikinya.

Saban hari, saya melihat terlalu ramai yang datang dan memohon lesen berkaitan reptilia, ular khususnya. Hasil ringan mulut bertanya saya terdedah kepada lebih banyak pengetahuan tentang reptilia ini.

Ramai orang terutamanya Gen-Y memiliki ular. Malah kebanyakannya memiliki lebih dari satu ekor! Ular yang dipelihara terdiri dari pelbagai jenis. Sejinak hingga tahap boleh letak dalam poket baju pun ada hinggalah yang liar, boleh mengancam nyawa.

Namun semua ular perlu makan, bukan?

Dan terdapat makmal sains yang amat-amat memerlukan tikus putih, bukan?

Haa..! di situlah peluang perniagaan muncul.

Jenis tikus

Saya mula mencari maklumat tentang pemakanan ular.

Kebanyakan ular yang dijadikan binatang belaan memakan tikus. Tapi ada juga alternative lain, sekiranya pemilik ular kehabisan tikus.

Mereka boleh juga beri makan cicak, arnab ataupun burung puyuh.

Semestinya pemilik ular akan memikirkan kos makanan, senang atau tidak mendapatkan sumber makanan ular mereka.

Dalam konteks ini, tikus adalah pilihan yang murah dan senang diperolehi.

Kategori tikus ini ada banyak. Sebabnya tak semua ular akan makan saiz tikus yang sama. Saya senaraikan di bawah jenis tikus yang ada,

  • Pinky
  • Fuzzy
  • Mice
  • Rat

Pinky

Merupakan anak tikus yang baru lahir. Tak ada sebarang bulu. Pinky hanya dimakan oleh anak ular yang baru lahir dan bersaiz kecil / halus. Contohnya ular halus seperti anak ular lidi dan anak Corn Snake.

Fuzzy

Ini pulak ialah anak tikus yang baru ditumbuhi bulu. Ular lidi atau Corn Snake yang bersaiz dewasa akan makan anak tikus kategori Fuzzy.

Mice

Manakala mice ialah tikus yang bersaiz dewasa. Asal mice ialah pinky, fuzzy dan menjadi mice. Ini hanya gelaran tapi masih tikus yang sama.

Panjang dari hidung ke punggung dalam 3 – 3.5 inci. Ini saiz dewasa dan sudah boleh mengawan. Ular bersaiz sederhana biasanya pemiliknya akan beri makan tikus jenis ini (mice).

Contoh ular ialah Ball Python, Burmese Python, tidak lupa ular sawa kita di Malaysia iaitu Ular Sawa Batik dan Blood Python.

Rat

Ini pulak saiz tikus dewasa yang berukuran lebih dari 6 inci. Yang ni rare dan susah nak dapat.

Sebab, kos penjagaan dari ianya baby hingga dewasa memakan kos yang tinggi. Harga jualan juga mencecah RM 8.00 seekor bergantung kepada panjangnya.

Boleh dikatakan saiz mice tidak akan mencapai saiz rat. Makanya, mice dewasa tidak sama dengan rat dewasa. Apabila pelanggan mahukan tikus, saya akan bertanya, mahu mice atau rat?

Harga tikus

Berbicang tentang harga, saya menjual mice dan rat ini murah 50 sen dari yang dijual di kedai.

Dan, ternyata perbezaan sebanyak 50 sen ini betul-betul menarik perhatian pemilik-pemilik ular untuk menghubungi saya dan membeli. Alhamdulillah.

Medium pemasaran tikus

Saya hanya menggunakan medium online untuk menjual tikus pada masa itu. Iaitu Mudah.my dan Adpost Malaysia. Masa tu saya belum ada facebook lagi.

Kalau saya sudah pandai berfacebook ketika itu, tentu saya sudah menjadi jutawan tikus !!!

Sumber bekalan tikus

Pekerjaan saya sebagai ehem-ehem di sebuah Jabatan membuatkan saya kenal dengan seorang breeder tikus di Pulau Pinang, dan seorang breeder kecil-kecilan di Selangor.

Dari segi kualiti, tikus yang saya perolehi dari pembekal di Pulau Pinang amat amat berkualiti dan most wanted.

Ini kerana, mereka hanya biakkan tikus berwarna putih dan tikusnya gemuk-gemuk belaka kerana tuannya beri makan Gold Coin.

Tikus-tikus ini tetap saya jual dengan harga RM 3.00 seekor (sedikit murah dari harga pasaran masa itu) walaupun saiznya yang gemuk. Saya tidak berkira dengan pelanggan saya.

Selain Pulau Pinang dan Selangor, saya turut mendapat bekalan dari Thailand.

Ini kerana sesetengah tikus seperti Pinky dan Fuzzy tidak boleh diperolehi (ready stock) di Malaysia.

Untuk mendapatkan stok ini amat susah. Namun, pembekal dari Thailand sentiasa ada tikus saiz ini (pinky dan fuzzy).

Dan, harganya sama dengan mice walaupun saiznya yang kecil. Apabila saya berpeluang membuat pesanan direct dari Thailand, saya turut memesan mice dan rat. Ini kerana kos modal lebih murah berbanding beli dari pembekal di Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimana saya mengambil bekalan tikus? Saya akan ceritakan di perenggan berikut ye.

Kaedah ambil stok tikus

Saya bersyukur, kerana saya tidak perlu ke Pulau Pinang dan Thailand untuk mendapatkan bekalan tikus.

Stok dari Pulau Pinang akan dihantar ke Kuala Lumpur / Selangor dengan menggunakan bas.
Pembekal akan ‘bungkus’ tikus elok-elok dalam raga buah dan letakkan beberapa biji sengkuang cina untuk bekalan makan tikus.

Manakala stok dari Thailand dihantar menggunakan lori. Kaedah pembungkusan dari Thailand lebih kukuh. Mereka membuat kotak kayu berjaring dan bahagian atas ditutup dengan plywood dan dipaku.

Penghantaran hanya akan dilakukan pada malam hari. Apabila tikus sampai ke Kuala Lumpur / Selangor keesokan paginya, tikus masih hidup kerana tidak berada di dalam keadaan yang panas pada siang hari.

Saya pernah berada di stesyen bas pada jam 4 pagi menunggu ketibaan tikus kesayangan.

Stok tikus yang banyak ini saya bawa balik ke rumah. Kebiasaanya, dalam masa seminggu, saya boleh menjual sebanyak 200-260 ekor tikus.

Kos makanan juga murah. Saya hanya berikan tikus tersebut makan dedak ayam kasar dan bekalan air yang mencukupi. Kalau makanan tak cukup, tikus ini akan makan kawan mereka. Rugi.. rugi…!

Pengalaman jual tikus

Pekerjaan tetap saya menyebabkan ramai penyimpan ular takut untuk berinteraksi dengan kami.

Ketika berjumpa pelanggan untuk menyerahkan tikus, kerap kali saya perlu menyamar. Kadang-kadang saya akan memakai spek hitam besar gedabak.

Dan kadang-kadang saya akan memakai topeng muka. Topeng yang orang guna masa jerebu tu. Jika pelanggan tanya, saya kata saya sakit tekak atau selesema. Hahaha!

Selain itu, pernah juga bekas tikus yang saya pegang untuk diserahkan kepada pelanggan, jatuh terhempas ke atas jalan.

Bayangkan, bekas tersebut terbuka penutupnya, dan 10 ekor tikus di dalamnya bertempiaran lari.

Kecoh juga masa tu, mujur saya cekap menangkap semula tikus-tikus tu, dibantu oleh pelanggan tadi.

Orang disekeliling menjadi pemerhati. Mujur juga kuasa viral tidak begitu kuat pada masa tu. Jika tidak, pasti dah ada yang ambil video saya berkejaran menangkap tikus putih dan post di Facebook

Pernah juga, saya ditugaskan untuk masuk ke hutan di Pahang selama 14 hari.

Saya meminta bantuan adik saya untuk memberi makan dan minum tikus-tikus yang masih belum dijual.

Sesungguhnya adik saya bukanlah penjaga yang berani memegang tikus. Akibatnya, hampir separuh tikus tersebut mati..! Nasib badan… hehehe.

Rumusan perniagaan tikus

Saya merasa gembira semasa menjual tikus.

Namun kegembiraan ini bukanlah satu berita gembira buat orang disekeliling kita, (amboi..)

Saya hanya berpeluang menjual tikus selama 2 tahun setengah. Saya terpaksa menghentikan bisnes tikus saya kerana pekerjaan tetap saya.

Setelah setengah tahun tidak berniaga, saya susah hati kerana dah biasa jual sesuatu.

Akhirnya, saya berniaga semula tapi bidang lain, iaitu pakaian dan tudung. Pada tahun 2010, tertubuhlah blogspot Cantik Storage.

Dan kini menggunakan domain www.cantikstorage.my. Perniagaan ini tidak sehebat ketika menjual tikus, tapi boleh la… buat lepas gian.

Tamat cerita jual tikus

Begitulah perkongsian pengalaman jual tikus yang dikongsikan oleh pemilik Cantik Storage sekarang. Menarik pengalaman tersebut dan beliau kini beralih arah dari menjual tikus kepada menjual tudung.

Anda yang sedang membaca tentu juga ada pengalaman yang menarik untuk dikongsikan di sini. Hantarlah artikel anda ke mohdshubhi@gmail.com, dan ambil peluang untuk war-warkan perniagaan yang anda ada sekarang.

Total
30
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

9 comments

  1. Amat menarik artikel bisnes jual tikus ni..sesuatu yg xpernah terlintas oleh akal saya tentang bisnes ni..Terbaek….!

  2. Jalan penceritaan yang menarik, seronok baca pengalaman biz org lain, harap saya juga ada pengalaman untuk dikongsikan suatu hari nanti..InsyaAllah….tq atas perkongsiannya.ohsem!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge