Bantu elak ekonomi negara semputYa! ekonomi negara sedang semput.

Setuju atau tidak setuju?

Tapi nanti dulu!

Itu bukan saya yang cakap.

Itu apa yang Bekas Timbalan Gabernor Bank Negara Malaysia cakap.

Lin See-Yan merupakan bekas Timbalan Gabernor Bank Negara Malaysia. Beliau berkhidmat kat situ dari tahun 1980 hingga 1994. Selama 14 tahun khidmatnya di situ sudah cukup untuk menggambarkan pengetahuan dan maklumat yang dia ada.

Kelulusan yang dia ada juga bukan calang-calang.

Beliau merupakan seorang graduan dari Harvard. Juga merupakan ahli kepada The British Chartered scientist.

Selain dari pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri dari 2008 hingga 2010. Dia juga pernah jadi pengerusi Malaysian Insurance Berhad dari tahun 1988 hingga 1994.

3 tanda ekonomi negara semput

Pandangan bahawa keadaan ekonomi negara semput ini diutarakan oleh Lin See-Yan dalam majlis pelancaran buku yang beliau baru tulis.

Buku tersebut bertajuk, “Turbulence in Trying Times. What Are We to Do?”.

Ia dilancarkan oleh Sultan Negeri Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Sunway University.

Apa sebab-sebab yang memberikan petanda bahawa ekonomi negara semput?

Berikut adalah 3 tanda yang beliau berikan yang menunjukkan bahawa ekonomi negara sedang semput.

#1. Hutang Negara Tinggi

Bagi Lin See-Yan, jumlah hutang negara sekarang tidaklah dalam kedudukan yang kritikal. Tapi perlu diakui bahawa ianya adalah satu jumlah hutang yang tinggi.

Beliau berikan maklumat rasmi yang dikeluarkan dalam laporan kewangan dari Kementerian Kewangan untuk tahun 2016/2017. Jumlahnya sehingga Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 Billion. Iaitu bersamaan dengan 53.2% dari nilai keluaran kasar dalam negara.

Jumlah hutang sebanyak itu, jika nak dibayangkan bersamaan dengan jumlah membina Putrajaya sebanyak 32 buah!. Bayangkan Putrajaya seluas 4,931 Hektar itu dibina lengkap dengan apa yang ada sekarang dibuat sebanyak 32 buah lagi! Boleh buat di setiap negeri yang ada kat negara kita 2 buah Putrajaya untuk setiap negeri!.

Apa logiknya, kenapa beliau kata tanda ekonomi negara sedang semput apabila hutang negara tinggi.

Jika antara aktiviti utama negara untuk meriahkan ekonominya adalah dengan menggalakkan perbelanjaan. Sampai satu titik tertentu, hutang tidak dapat dielakkan.

Paksa tingkatkan perbelanjaan, dalam keadaan pendapatan pula tidak bertambah dengan seiring, memang akhirnya membawa kepada berhutang.

Itu satu logik yang amat mudah.

Kalau gaji anda hanya RM2,800 sebulan, tapi berlagak mewah membeli dan berbelanja sebulan sampai RM3,000, anda akan terpaksa guna kad kredit. Itulah yang ramai rakyat kita dok amalkan selama ini.

Kerajaan juga akan hadapi situasi yang sama macam seorang individu.

#2. Nilai matawang Ringgit lemah

Ini tanda kedua kenapa pakar ekonomi itu berpandangan bahawa ekonomi negara semput.

Memang ada baik dan ada yang buruk bila nilai matawang lemah.

Macam menteri yang bertanggung jawab dalam hal ehwal pelancongan negara kata, bila nilai matawang lemah, ramai pelancong akan serbu masuk ke Malaysia. Ini baik untuk ekonomi negara.

Itu antara perkara yang baik dalam keadaan nilai matawang lemah.

Tapi menurut pakar ekonomi itu, perkara buruk lebih besar mengatasi kebaikan bila ringgit lemah.

Dalam keadaan USD1 bersamaan dengan RM4.18, membuatkan apa saja yang kita beli dari luar menjadi mahal. Kita terpaksa keluarkan duit dengan lebih banyak daripada biasa untuk beli barang.

Pengilang juga terpaksa bayar lebih tinggi untuk dapatkan sumber dari luar bagi meneruskan pembuatan produk di kilang mereka sebelum boleh mengeksport semula keluar.

Semua aktiviti tersebut tidak baik untuk ekonomi sesebuah negara. Kita terpaksa buat barang lebih, kerja lebih masa, jual lebih banyak produk untuk dapatkan hasil yang sama seperti ketika nilai ringgit kuat.

#3. Terlalu bergantung pada buruh luar murah

Ini satu fenomena yang semua orang boleh lihat sekarang.

Berkwan dengan kawan dari Bangladesh atau Indonesia atau Vietnam atau Nepal dan lain-lain lagi bukan perkara pelik sekarang.

Saya sendiri rapat dengan Ajib. Seorang warga Bangladesh yang jadi kepala kontraktor untuk ubahsuai rumah saya. Dibawahnya pula adalah pekerja mahir yang juga dari Bangladesh dan Indonesia.

Satu lagi rumah yang saya nak buat Homestay kat Selangor ini, yang saya ubahsuai, juga terpaksa guna semua pekerja dari Indonesia.

Sebabnya jadi macam itu adalah kerana kos mereka yang lebih murah.

Tak ada orang tempatan yang sanggup ambil kos serendah mereka. Itupun kalau masih ada warga tempatan yang mahir susun batu bata dan plaster semen dan pasang mozek atau kerja-kerja pembinaan yang seumpamanya.

Apa salahnya guna pakai tenaga buruh murah dari luar?

Tentu itu soalan anda.

Tak salah!

Tapi bila bergantung banyak pada tenaga buruh dari luar yang murah, itu tandanya aktiviti pembuatan yang negara ceburkan diri sekarang kebanyakannya adalah produk orang lain.

Kita banyak buat produk jenama luar sebab tawarkan kos pembuatan yang rendah. Kerja yang kita buat dalam pembuatan kasut umpamanya, adalah kerja seperti menjahit kasut. Kalau kos nak jahit kasut yang kilang kita buat mahal, tak ada jenama yang akan bagi kilang kita kerja.

Jadi untuk nak dapatkan kos yang rendah, kita terpaksa ambil buruh murah dari luar.

Ada dua tanda kat situ.

Pertama kita tumpu pada banyak aktiviti yang tidak bernilai tinggi.

Kedua, kita tidak punya jenama atau produk sendiri yang banyak yang berkualiti tinggi. Menunjukkan keupayaan mereka cipta dan berinovasi rakyat Malaysia adalah amat rendah sekali. Itu status negara yang tak berapa maju tu!.

Kenapa semua macam ok saja

Kalau dah kata ekonomi negara sedang semput, habis kenapa nampak semuanya berjalan lancar macam ok saja?

Itu soalan biasa yang semua orang akan tanya.

Memang betul semuanya masih lagi ok.

Pakar Ekonomi itupun kata dalam tempoh jangka masa dekat ini semua aktiviti jalan macam biasa. Tapi ia sedang berjalan dalam hala tuju yang tak berapa baik. Sebab itu semua tanda ekonomi negar sedang semput sedang berlaku.

Jangka masa sederhana panjang, baru akan timbul kesemua masalah yang lebih ketara. Dan jika dibiarkan lebih lama lagi akan timbul pula kesan jangka panjang.

Bila dah masuk kesan jangka panjang, mungkin waktu itu sudah terlewat.

Bayangkan status ekonomi negara yang haru biru miskin dan bercelaru. Betapa sukar untuk memulihkan suasana yang seperti itu jika ia berlaku.

Bayangkan majoriti usahawan paling hebat jual minyak masak yang dibungkus dalam plastik ais krim Malaysia. gantung depan kedai runcit mereka yang hanya ada barangan wajib sahaja untuk hidup!

Apa usahawan boleh bantu

Jika nak ikutkan semua masalah kat atas tu, perkara paling besar pelu dilakukan oleh pihak pemerintah negara kita sendiri. Bukan tahap saya atau anda (melainkan anda yang sedang baca ini seorang Menteri, saya minta maaf) untuk ubah dan susun semula struktu ekonomi negara.

Tapi ada satu perkara menarik yang pakar ekonomi itu sebutkan.

Industri yang perlu diberikan perhatian dan tumpuan sekarang untuk memastikan negara tidak terus semput ekonominya, adalah industri pembuatan bernilai tinggi.

Macam contoh kasut yang saya berikan kat atas tadi.

Kita perlu fokus dengan lebih rancak untuk hasilkan dan reka cipta kasut yang bermutu tinggi. Ertinya fokus adalah terhadap rekacipta.

Kita juga perlu fokus pada menghasilkan bahan mentah yang bermutu dan bernilai tinggi. Kalau nak hasilkan kasut kulit, bahan mentahnya sudah tentu adalah kulit.

Daripada ambil kulit bermutu tinggi dari Magribi umpamanya, apa salahnya kita beli kulit kasar mentah dari luar dan dalam negara, proses semula untuk tingkatkan mutunya ketahap yang jauh lebih baik daripada negara seperti Magribi.

Begitu juga dengan bahan lain untuk buat kasut seperti tapak dan kasut sukan. Perlu ada usaha untuk reka bahan yang bernilai tinggi lebih baik daripada apa yang ada kat pasaran.

Sama juga dengan industri lain seperti pembinaan dan perkhidmatan.

Perlu tingkatkan kemahiran dalam pembuatan. Perlu hebat dalam berinovasi dan lain-lain seumpamanya untuk menghasilkan produk dan khidmat yang bertahap gaban ketinggiannya.

Bukannya setakat buat kerja remeh bungkus kotak ikat tali rapia dah akhirnya terpaksa import buruh murah asing untuk buat semua kerja itu.

Hasrat nak buat barang kulit jenama sendiri

Saya ada berangan-angan nak buat produk jenama sendiri yang terdiri daripada produk barangan dari kulit.

Idea pertama saya adalah untuk hasilkan dompet duit dan beg tangan wanita.

Bila saya buatsedikit pemcarian, punyalah susah nak dapatkan tenaga mahir dalam industri pembuatan barangan kulit ini. Macam mana hebatpun, tak boleh nak lawan produk yang dibuat samada di Bangladesh atau di India.

Macam tu juga tak boleh nak lawan dengan produk yang dihasilkan di negara China.

Bukan saja mereka mampu buat dengan kualiti yang baik, malah dengan kos yang amat jauh lebih rendah.

Habis macam mana nak angan-angan untuk buat produk beg kulit jenama Hidupringkas saya tu?

Mahu tak mahu saya perlu cari orang yang berkemahiran tinggi bermula daripada peringkat mereka cipta (design) produk dengan konsep yang hebat dan berdarjat tinggi. Siapa yang ada kemahiran macam tu?

Selepas itu nak kena cari sumber bahan mentah yang berkualiti tinggi pulak. Kemudian tenaga kerja pembuatan dan teknologi yang berkuliti tinggi pulak.

Itu semua satu proses yang amat panjang.

Sebab itu, mungkin, bila orang kita fikir nak berniaga, paling mudah adalah buka meja lipat dan susun nasi lemak di atas nya dan pacak payung tepi jalan.

Nah! ambil kau, produk bernilai tinggi, tahap eksport ke negara Eropah !

Apapun, mesej yang nak saya cuba sampaikan kat sini adalah usahawan perlu berusaha tambah ilmu. Perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam menghasilkan produk.

Rebut peluang apa saja yang kerajaan tawarkan dalam bab menambah kemahiran tinggi dalam apa saja aktiviti pembuatan atau perkhidmatan. Jangan nganga lagi dan selesa setakat idea nak jadi usahawan bawa kereta Grab atau Uber saja.

Perlu pergi lebih jauh lagi dari itu. Itu saja yang usahawan boleh buat demi menyediakan landasan yang lebih baik untuk anak cucu kita di kemudian masa nanti.

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Hutang yang terlalu tinggi akan mereputkan ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan inflasi yang tinggi..

    akan timbul gejala ramai penganggur dan juga peniaga kecil-kecil lan berlambak..

    para pembeli berkurangan kerana nak kontrol bajet..

    lagipun barang-barang yang bukan keperluan tidak menjadi keutamaan sekarang ini.
    mrhanafi recently posted…Hibah Pendapatan Adalah Hadiah TerbaikMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge