Kemudahan kewangan selain dari bank

By | 22/04/2013

Salah satu masalah paling biasa bagi seseorang usahawan adalah kekurangan wang. Nak cari pelanggan, perlukan wang, bila dah dapat pelanggan perlukan wang juga.

Semua aktiviti perniagaan memerlukan wang untuk menjana wang. Ringkasnya tak ada perniagaan jika tidak ada wang. Begitulah kebanyakan orang akan fikirkan.

Untuk selesaikan masalah ini, kita perlu menukarkan apa yang kita fahami tentang wang. Dalam perniagaan, wang bukanlah bermakna kertas bercetak yang dikeluarkan oleh pihak bank, sebagaimana yang biasa kita fikirkan.

Jika kita faham bahawa wang adalah kertas berbagai warna atau siling yang dikeluarkan oleh bank negara, maka fikiran menjadi sempit dan tidak terbuka. Sebaliknya, kita perlu menerima bahawa perkara paling penting dalam sesebuah kehidupan moden ini adalah ‘nilai wang’.

Daripada pengertian tersebut, kita akan mula faham bahawa wang kertas yang sering digunakan itu hanyalah salah satu daripada nilai wang yang diiktiraf.

Kita boleh jadikan apa saja benda selain dari kertas itu sebagai sesuatu yang punyai nilai wang. Dan seandainya kita perlukan nilai wang untuk memulakan perniagaan, maka mendapatkan wang kertas daripada bank sebenarnya tidak perlu.

Antara nilai wang yang ada pada kita adalah:

  • Kemahiran
  • Amanah
  • Tenaga
  • Daya fikiran
  • Kerajinan
  • Semangat
  • Kesopanan
  • Kesungguhan
  • Kepetahan
  • Kesabaran
  • Kenalan atau jaringan kawan
  • Dan banyak lagi

Sebagai contoh, saya mulakan perniagaan pest control dengan tiada modal. Oleh itu, untuk mencari kerja, saya sendiri yang melakukannya. Ini dapat menjimatkan nilai wang yang perlu dibayar, jika saya merekrut orang lain menjalankan kerja tersebut.

Dalam melakukan semua kerja ‘mencari kerja’ tersebut, saya menggunakan hampir kesemua kemahiran yang saya telah saya senaraikan di atas.

Saya menggunakan kawan-kawan untuk membantu saya mencari kerja atau kontrak. Mereka lakukannya tanpa dibayar.

Itu tidak bermakna mereka lakukannya secara percuma kerana saya akan membayar komisyen jika mereka berjaya meyakinkan orang mendapatkan khidmat kerja saya. Sebenarnya kawan saya telah memberikan kemudahan kredit pada saya untuk melakukan kerja jualan.

Bila dah dapat kerja, saya terpaksa mendapatkan beberapa orang pekerja untuk melaksanakan kerja tersebut. Kelebihan sistem pekerjaan sekarang adalah pekerja akan memberikan kredit kepada kita selama sebulan sebelum dibayar.

Itu bermakna, pekerja menjalankan kerja terlebih dahulu selama sebulan sebelum menuntut hak mereka. Jika saya berjaya meyakinkan pelanggan agar membayar dalam tempoh 15 hari daripada kerja dilakukan atau membayar terlebih dulu sebelum kerja dilakukan, bermakna saya tidak akan hadapi masalah untuk membayar wang pekerja tadi.

Jika kerja terlalu banyak dan saya tidak ada modal untuk lakukannya sendiri, saya akan dapatkan syarikat lain untuki melaksanakan keseluruhan kerja dan mendapat bayaran penuh setelah pelanggan melunaskan bayarannya pada saya.

Ini juga merupakan satu kemudahan keredit yang diberikan oleh syarikat lain pada saya. Jika nilai kerja adalah sejumlah RM50,000.00 maka saya telah diberikan kemudahan kredit oleh syarikat tersebut dengan jumlah yang sama.

Jika saya fikirkan untuk melaksanakannnya sendiri, maka sudah tentu saya terpaksa meminjam wang dari pada bank!

Membeli stok barang dengan kemudahan kredit juga merupakan satu kemudahan kewangan yang cukup bagus. Jika dengan bank, anda terpaksa memenuhi berbagai syarat sebelum diberikan wang.

Sebaliknya, dengan membeli stok daripada kawan atau mereka yang percayai anda, adalah jauh lebih mudah daripada pinjam duit bank. Dan ada juga boleh bayar secara ansuran.

Sebagai ringkasan, sebelum anda mahu pinjam duit dari bank untuk menjalankan perniagaan, fikirkan terlebih dulu kemudahan kredit sebagaimana contoh yang saya kemukakan di atas. Jika kita pandai, duit atau wang kertas secara fizikal itu tidak diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan.

Apa saja yang ada pada kita mempunyai nilai wang jika ada yang sudi menggunakannya. Hatta sikap panas baran pada seseorangpun ada mempunyai nilai wang jika ditawarkan pada mereka yang memerlukan pengawal peribadi!

Itu belum diceritakan lagi nilai wang pada benda atau material yang kita miliki, semuanya punyai nilai wang. Perhatikan sekeliling, perhatikan diri anda, anda dikelilingi oleh wang yang cukup banyak!!!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Kemudahan kewangan selain dari bank

  1. sepol

    Selain itu wang pendahuluan uga merupakan kredit kepada kita… tak gitu?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge