Takut berniaga dengan tidak berniaga adalah dua perkara yang berbeza. Orang yang berjaya menjadi usahawan dan berjaya membina empayar perniagaannya adalah orang yang teruskan juga merealisasikan perniagaan walaupun dalam keadaan takut.

Orang yang akhiri hidupnya sampai tua makan gaji dan kekal pencen tetap masih tak berniagaa adalah orang yang hakikatnya takut berniaga dan melayan perasaan takut itu untuk menjadi penghalang ia meneruskan cita-citanya.

Banyak saya baca laporan berkenaan perbezaan jurujual yang berjaya dengan tidak berjaya mengalami perasaan takut yang sama. Tapi mereka dibezakan oleh sikap terus buat juga walaupun dalam keadaan takut sedangkan satu kumpulan lagi berhenti melakukan urusan mereka kerana dihantui perasaan takut.

Begitu juga dengan urusan kerja lain seperti berpidato, bertemu orang, meyakinkan orang memujuk orang, berniaga dan lain-lain lagi. Semua orang ada perasaan takut.

Sejarah takut berniaga

Otak kita pandai membayangkan seribu satu macam andaian yang mengerikan untuk menghalang kita daripada meneruskan apa saja yang boleh mendatangkan risiko.

Ini adalah peranan otak primitif yang dikaitkan dengan cara hidup kita pada zaman primitif dahulu. Zaman itu, risiko bermakna pilihan hidup atau mati. Bila ada risiko yang dihidu, otak akan cergas berusaha menyelamatkan tuannya.

Dipulau oleh rakan-rakan atau puak pada zaman dahulu sahaja boleh mengundang bahaya. Andainya kita bersikap pelik luar biasa daripada rakan-rakan atau puak kita, penyingkiran daripada puak mengakibatkan diri kita keseorangan.

Bila keseorangan, kita tak mampu mempertahankan diri. Terlalu sukar untuk keluar pergi berburu binatang untuk dijadikan makanan secara solo. Keluar memburu seorang diri boleh mengakibatkan leher kita berada di celah rahang haiwan buas.

Salah satu risiko yang otak bayangkan jika kita berhenti kerja dan jadi usahawan adalah risiko keluar daripada puak yang biasa kita gauli. Bagi otak, itu satu risiko besar yang boleh membawa maut, maka berbagai usaha otak lakukan untuk takutkan tuannya.

Redakan perasaan takut berniaga

Tapi anda perlu sedar bahawa zaman dahulu jauh berbeza dengan zaman sekarang. Kebanyak daripada risiko tidak berada di dalam kategori antara hidup dan mati.

Dipulau oleh rakan atau saudara terdekat hanya disebabkan kita nak jadi usahawan walaupun ada kelulusan tinggi untuk jadi hamba abdi pada majikan tidak membuatkan manusia sekarang mati kebuluran.

Untuk membolehkan seseorang itu dapatkan makanan samada untuk dirinya ataupun untuk tanggungannya adalah satu urusan mudah dalam zaman ini.

Saya lihat ramai orang yang tua masih kekal hidup samada secara solo ataupun dijaga keluarga. Paling ketara adalah golongan orang tua yang jadi gelandangan. Bukankah sesuatu yang hebat melihatkan diri mereka masih kekal hidup dan dapat makan? dengan usaha sedikit mereka itu ada saja makanan masuk ke dalam mulut mereka.

Secara ringkasnya, apa yang nak saya sampaikan adalah, takut berniaga boleh diatasi jika anda berjaya yakinkan otak primitif anda bahawa berhenti kerja dan berniaga tidak akan membuatkan anda maut.

Kecuali anda berhenti kerja dan mula jalankan perniagaan morfin, ganja, kokain, pil kuda atau yang seumpamanya, itu memang ada risiko ke tali gantung. Jadi jangan pilih perniagaan sebegitu.

Apa kegunaan takut berniaga

Kembali pada zaman primitif dahulu, perasaan takut adalah tugasan otak untuk selamatkan diri kita. Dalam keadaan tengah lapar dan ketika sedang masak untuk makan, kita akan cabut lari bila terdengar bunyia ngauman harimau.

Lari itu akan berlaku secara spontan. Kalau tak buat begitu, kita akan maut dibaham harimau.

Dalam zaman moden ini, kita akan ada perasaan takut yang sama bila ada petanda bahaya. Tapi disebabkan ianya tidak berapa kritikal dan tak boleh membuatkan kita mati on the spot, maka perasaan takut itu menjadi satu perkara yang baik.

Baik kerana ia memberikan petanda untuk kita bersedia dengan plan kecemasan. Jika anda takut berhenti kerja dan berniaga disebabkan imaginasi tak boleh bayar sewa rumah, maka bersedialah dengan membuat risk study.

Senaraikan segala risiko yang ada akibat daripada tak boleh bayar sewa rumah. Senaraikan juga alternatif yang ada bagi menyelesaikan risiko tersebut. Paling mudah sekali adalah dengan membuat andaian risiko paling teruk yang ada dan kemudian cari jalan keluar untuk selesaikannya.

Secara mudahnya, takut berniaga adalah amaran awal otak anda untuk sediakan perancangan kecemasan. Bila dan rangka plan kecemasan itu, teruskan langkah untuk melakukan apa yang anda nak buat.

Rumusannya, takut berniaga membolehkan anda kreatif untuk merancangan dengan baik. Bukankah itu satu kebaikan untuk anda ?, masalahnya, ramai orang yang takut berniaga dan takut macam-macam, tapi mereka tak gunakan otak untuk merangka strategi penyelesaian secara sistematik melainkan hanya membesar-besarkan ketakutan itu dalam otak sahaja.

Perancangan serta pemikiran dalam mengatasi takut berniaga itu perlu dikeluarkan daripada dalam kepala dengan menulis atas kertas. Jangan hanya congak dalam kepala. Jika anda buat begitu, anda boleh melihat dengan lebih jelas.

Jika anda dah buat kesemua itu dan nampak dengan jelas segala risikonya dan jalan penyelesaiannya, tapi masih takut berniaga, tak apa. Elok jangan berniaga dan teruskan makan gaji dan mati putih mata sebab orang macam itu memang tak layak jadi usahawan. Mereka hanya layak jadi pencetus alasan dan berkhidmat pada para majikan… jangan terasa jika anda begitu, ok!

Total
22
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Saya biasanya takut juga. Takut berniaga tak laku dan tak ada orang nak tahu apa yang saya niagakan.
    Tapi biasanya saya ignore saja dan terus kayuh pelan-pelan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge