dan banyak berniaga tapi gagal jugaKenapa? Walaupun dah cuba banyak perniagaan, tapi satupun tak menjadi?

Ramai yang hadapi masalah ini!. Entah-entah, anda yang sedang baca artikel inipun ada masalah yang serupa?

Apa yang tak kena agaknya?

Saya dah jumpa ramai orang yang meluahkan masalah yang sama. Dalam Kelab Usahawan Hidup Ringkas yang saya tubuhkan sebagai group tertutup dalam FB, ramai juga yang luahkan masalah yang sama.

Nota: Kalau nak sertai Kelab Usahawan Hidup Ringkas, Klik kat sini

Saya nak cuba jawab persoalan, kenapa dah cuba banyak perniagaan, tapi satupun masih tak menjadi, dalam artikel ini.

Punca banyak perniagaan gagal

Tahukah anda apakah punca yang membuatkan sesebuah perniagaan itu gagal?

Daripada pencarian yang saya buat, 99% punca banyak perniagaan gagal adalah disebabkan oleh;

  • Tidak merancang lansung atau tidak merancang dengan betul
  • Tiada pengalaman

Bagi yang tak ada pengalaman sangat dalam perniagaan, apa yang saya katakan kat atas tu tidak akan membuatkan anda faham. Mungkin masuk telinga kiri keluar telingan kanan. Sekali lalu saja dan tak ada kesan.

Apa yang dikatakan merancang dengan betul dan apa yang dikatakan perlu ada pengalaman, anda tak akan nampak.

Apatah lagi jika anda sedang mabuk nak berhenti kerja dan sedang dikaburi oleh semangat yang tinggi dan yakin boleh buat, bila lihat ada kawan-kawan atau orang lain yang berjaya.

Oleh itu perlu baca artikel ini sampai habis, untuk memahami apa yang saya maksudkan dengan merancang dengan betul dan juga mendapatkan pengalaman sebelum menjadi usahawan.

Kenapa perlu merancang dan kenapa perlu ada pengalaman?

Sebab dunia perniagaan bukan satu dunia yang mudah. Saya dah laluinya dan saya faham benar tahap susahnya nak jayakan sesebuah perniagaan. Semangat yang kuat saja tak cukup. Kelulusan Doktor Falsafah juga tak cukup.

Dua ilmu yang anda perlu

Ada dua ilmu yang anda perlu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Gabungan kedua-dua ilmu ini perlu ada dan tak boleh diabaikan. 2 ilmu tersebut adalah:

  • Ilmu formal – Kita boleh juga panggil ilmu teori yang boleh didapati dari pusat pengajian. Siapa yang tak tahu beli barang serendah mungkin, kemudian jual barang semahal mungkin untuk mendapatkan untung yang tinggi!. Budak sekolah rendahpun tahu. Itu ilmu formal.
  • Ilmu jalanan – Ini yang susah nak dapat jika tak terjun dan lalui jalan tersebut. Jika anda lalui jalan sebagai seorang usahawan tanpa adanya mentor yang dah banyak ilmu jalanan, anda akan ambil masa yang lama untuk faham dan menyerap ilmu jalanan yang dipelajari.

Ramai yang silap faham dan rasakan dia dah cekap dan bersedia. Sedangkan apa yang dia ada hanyalah ilmu formal yang samada dibaca dari banyak buku-buku tentang bisnes. Atau dia masuk universiti belajar selama 5 tahun dan dapat ijazah perniagaan.

Sebab itu ada ramai juga para profesor yang keluar dari dunia akademik dan jadi usahawan boleh terlingkup dan gulung tikar juga. Dia mungkin ada berbagai ilmu formal yang berupa teori, tapi tak ada ilmu jalanan.

Dalam contoh beli barang dengan harga yang rendah dan jual dengan harga yang tinggi kat atas tadi. Ilmu jalanan sahaja yang membolehkan anda mendapat kepercayaan pembekal, membina kepercayaan terhadap pembekal itu dan meyakinkan dia untuk berurusan dengan anda.

Setakat teori tak boleh selesaikan masalah tersebut.

Kemudian nak jual dengan harga yang paling tinggi yang berpatutan, ilmu jalanan sahaja yang membolehkan anda laksanakan teori tersebut. Masa yang sesuai, pelanggan yang sesuai, cara meyakinkan bakal pelanggan dan seterusnya melaksanakan proses pembelian sehingga ke tahap aktiviti selepas jualan.

Semua selok belok untuk laksanakan keseluruhan aktiviti tersebut di atas hanya boleh dibuat dengan lancar hanya dengan adanya ilmu jalanan. Ilmu jalanan membantu anda membina jaringan dan mendapatkan semua sumber yang dperlukan untuk menjayakan perniagaan anda.

Bagi yang baru berniaga dan masih tak banyak perjalanan dan pengalaman hidup dalam dunia perniagaan, tentu masih tak akan nampak apa yang saya sampaikan itu.

Rasa faham tapi tidak secara penuh. Jadi, sekali lagi kalau nak pastikan kemungkinan berjaya bila jadi usahawan adalah tinggi, sila ikut langkah yang saya sarankan di bawah.

Persediaan sebelum jadi usahawan

Minta maaf kalau saya terlalu memandang rendah pada yang tak banyak pengalaman lagi. Bukan nak jauhkan anda dari menjadi usahawan, tapi nak pastikan anda buat dengan betul dan tidak putus asa sekerat jalan. Itu saja tujuan saya.

Oleh kerana anda biasanya tak akan faham, maka dengarlah nasihat orang yang dah lama masuk dunia perniagaan.

Mereka biasanya memberikan banyak panduan samada yang bertulis atau secara lisan, yang anda rasa macam mereka tu sengaja nak tunjuk pandai.

Tapi sebenarnya itulah yang terbaik dan dengarlah nasihat mereka.

Jika anda ikut dan cuba hayati perjalanan yang mereka suruh anda lalu, tentu anda akhirnya akan faham juga.

Jadi saya berikan beberapa tips apa yang anda perlu buat untuk sediakan diri sebelum jadi usahawan. Ikutlah panduan ini supaya peluang untuk berjaya nanti lebih tinggi, insyaallah.

#1. Pengalaman dan kemahiran sebelum terjun

Jangan perasan anda dah bersedia dan akan lalui perjalanan sebagai usahawan dengan mudah hanya disebabkan anda amat bersemangat dan baru saja habis ikuti kem motivasi jadi jutawan.

Dalam keadaan dunia perniagaan yang amat sengit sekarang, persediaan dan kemahiran yang mencukupi bertambah penting untuk jayakan perniagaan yang anda nak buat.

Alang-alang nak berniaga, kita nak perniagaan itu berterusan lama melebihi 7 tahun. Cuba tengok kawan-kawan yang muda dan terjun masuk berniaga yang nampaknya naik meletup-letup. Setahun dia tahun hebat, kemudian masuk tiga atau empat tahun, lesap hilang gahnya. Itu yang menyedihkan dan ramai yang alaminya.

Ada yang berikan nasihat terjun saja dan tempuh semua dugaan sebab anda masih muda. Jatuh dan bangun dan belajar dari kesilapan.

Lambat laun anda akan berjaya juga. Itu memang betul dan silalah buat jika anda pnya stamina dan tahap kekuatan minda yang amat tinggi. Kalau tidak, elok buat persediaan terlebih dahulu.

Apa persediaan yang saya maksudkan?

Jika anda nak masuk dalam industri peruncitan contohnya, pastikan anda lalui terlebih dahulu pengalaman dalam industri tersebut sebagai seorang pekerja. Belajar selok belok industri tersebut dengan tekun dan kuasainya secara mendalam.

Dengan berbuat demikian, bila dah bersedia nanti, anda hanya akan melakukan proses transisi daripada seorang pekerja di bidang peruncitan kepada seorang pemilik dalam bidang yang sama. Ketika itu proses transisi melayari perniagaan anda sendiri akan lancar tanpa adanya ribut dan gelombang kuat melanda.

Bila dah bersedia dan ada pengalaman dalam industri tersebut, anda akan dapat elak 3 perkara berikut yang biasanya membunuh perniagaan sebelum genap satu tahun:

  1. Kemahiran rendah dan pengetahuan yang tidak mendalam tentang industri. Ini banyak membunuh usahawan yang baru.
  2. Pandang enteng dan terlebih yakin dengan diri sendiri yang membuatkan usahawan tak berusaha mengumpulkan segala sumber yang diperlukan untuk menjayakan bisnesnya. Ini juga banyak yang menggagalkan usahawan baru.
  3. Gagal mendapatkan bantuan dan sokongan dari luar dalam hal ehwal kewangan, bekalan, vendor, pelanggan dan lain-lain lagi. Bila tak ada sokongan dan bantuan, bungkus tikar tak dapat dielakkan lagi.

Bila dah bersedia dengan melakukan apa yang saya syorkan kat atas tu, maka anda sekarang mampu melakukan perkara-perkara yang berikut di bawah;

  1. Menyediakan dana permulaan yang mencukupi.
    1. Percayalah cakap saya, jika anda cukup bersedia dan berkemahiran dengan apa yang anda nak buat, berebut orang nak bagi duit nak tumpang melabur kat perniagaan anda. Bantuan sebegini diperlukan terlebih dahulu untuk mula bisnes. Biasanya agak sukar nak dapatkan dana dari Bank kalau belum berniaga dan baru nak mula.
    2. Bila dah mula dan belayar dan terbukti berjaya, barulah dapatkan bantuan dan sokongan dari institusi kewangan untuk besarkan lagi bisnes.
  2. Membina jaringan yang mantap
    1. Hebat manapun idea anda, tak akan mampu untuk yakinkan orang berikan hutang untuk dapatkan bekalan barang. Dan tak akan mampu juga untuk yakinkan orang beli atau jadi pengedar barangan anda.
    2. Perlu ada kepercayaan yang terbina terlebih dahulu dan sudah terbukti bahawa anda memang boleh dipercayai barulah semua perjalanan perniagaan anda menjadi lancar.
    3. Semua jaringan sokongan dari keseluruhan ekosistem perniagaan yang anda nak buat boleh didapati jika anda terlebih dahulu masuk ke dalam industri tersebut sebagai pekerja.
    4. Lebih banyak dan kuat jaringan yang anda bina, lebih mudah untuk anda menjayakan perniagaan nanti.
  3. Membuat perancangan bisnes dengan lengkap
    1. Buat rancangan ringkas dan suku masak tidak akan membantu. Apatah lagi jika hanya setakat angan-angan kabur dalam kepala.
    2. Perlu ada Perancangan yang terperinci ke mana anda nak pergi, bagaimana nak pergi ke situ dan bila. Perlu senarikan dalam kertas segala perancangan anda dari segi keperluan kewangan, strategi pemasaran dan jualan, keperluan sumber manusia, keperluan operasi dan lain-lain lagi yang relevan.
    3. Semua itu mudah untuk anda buat jika dah masuk ke dalam industri terlebih dahulu sejak awal sebagai pekerja.
  4. Menyediakan model bisnes yang terbukti berjaya
    1. Perlu faham apa yang dimaksudkan sebagai model bisnes. Iaitu keseluruhan proses bisnes yang anda akan jalankan dari A ke Z. Siapa sasaran pelanggan, apa masalah yang perniagaan anda selesaikan, bagaimana nak pasarkan dan nak jual, dari mana sumber utama pendapatan, bagaimana nak jalankan kesemua itu dan lain-lain lagi.
    2. Jika anda terjun ke satu perniagaan dengan mencipta satu model yang baru dan tidak ada orang lain lagi buat, itu satu risiko yang besar.
    3. Jika dah ada pengalaman dalam industri, anda akan ikuti model yang dah terbukti berjaya dan hanya akan buat sedikit perubahan di sana sini untuk mantapkan lagi model perniagaan anda.
  5. Mengelakkan diri dari dunia glamour
    1. Bila dah ada pengalaman dalam industri, anda mampu sedar bahawa dalam dunia perniagaan yang paling penting adalah menjana keuntungan supaya ianya boleh dilaburkan semula untuk memberikan satu tawaran yang lebih baik kepada pelanggan. Biar tak glamour asalkan tujuan itu terlaksana.
    2. Tak guna lansung semua orang kenal anda dan perniagaan yang anda jalankan sedangkan malam-malam menitik air mata makan mee maggi yang dikerat dua kongsikan dengan pasangan kat rumah.
    3. Tapi kalau dengan glamour dapat kaut keuntungan yang berpatutan dan meningkatkan lagi hasil perniagaan, ok saja. Semua itu anda boleh tentukan sendiri bila dah cukup pengalaman bergaul dalam rakan sesama industri.
  6. Mengusai ilmu pengurusan kewangan
    1. Dalam perniagaan, penguasaan ilmu terhadap nombor adalah amat penting. Ini dapat memberikan maklumat terhadap kedudukan perniagaan anda. Nombor yang saya maksudkan di sini adalah duit keluar dan masuk dalam perniagaan anda.
    2. Kuasai ilmu kewangan, kuasai perkara asas akaun untung dan rugi, pengiraan kos jualan, kos tetap, dan lain-lain lagi supaya anda tidak melangkah dalam gelap memacu dan mengetuai perniagaan anda nanti.
  7. Tak mudah ambil rakan kongsi
    1. Jika anda dah masak dalam industri, maka dalam bab kemahiran sudah pasti anda tak perlukan lagi orang lain. Jadi tak akan berlaku kesilapan ambil orang jadi rakan kongsi sedangkan dia tak tahu apa-apa dalam industri.
    2. Rakan kongsi hanya perlu jika kemahiran yang anda perlukan dari luar tidak ada untuk direkrut. Jika ada, elok ambil orang yang ada kemahiran tersebut sebagai pekerja dan bayar gaji yang setimpal.
    3. Elakkan ambil rakan kongsi selagi boleh.
  8. Beli atau buat bisnes baru
    1. Cara mudah dan pantas masuk dunia perniagaan adalah dengan beli bisnes orang. Tapi ianya hanya baik jika anda ada pengalaman dalam industri dan yakin ada intan tersembunyi dalam bisnes yang anda nak beli itu.
    2. Jika tak ada apa-apa yang menarik dan boleh digilap, elok mulakan dari kosong sahaja daripada beli bisnes orang lain.
  9. Kumpulkan pekerja yang berkemahiran
    1. Ini perkara yang cukup penting dan perlu diberikan perhatian sejak awal nak mula berniaga. Hanya dengan ada pengalaman dalam industri sahaja anda akan mampu kenal pasti siapa yang layak untuk anda harapkan menjadi kaki tangan penting dalam perniagaan anda nanti.
    2. Usahawan yang mula berniaga tahu bahawa sebaik saja dia jadi takeh, perkara paling penting adalah untuk memacu perniagaan naik ke atas dari satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi. Jadi perlu ada orang kepercayaan yang boleh diharapkan kat bawah.
    3. Jika usahawan itu sendiri terpaksa turun lipat lengan baju dan seluar buat semua kerja remeh temeh harian, bisnes tak akan ke mana-mana.
  10. Memilih lokasi yang sesuai
    1. Ini juga sungguh penting. Lokasi yang dipilh adalah berdasarkan kesesuaian untuk menjayakan bisnes anda. Bukan berdasarkan duit poket dan kemampuan anda.
    2. Anda akan tahu mana yang sesuai dan kat mana yang tidak jika dah ada pengalaman dalam industri. Paling penting lokasi itu punya potensi pelanggan yang dah tersedia dan tak perlu nak ajar atau berikan ilmu pendidikan supaya orang sedar kepentingan produk anda. Itu semua makan kos yang tinggi.

Kenapa dah buat banyak perniagaan tapi masih gagal

Kepada mereka yang dah cuba banyak perniagaan sejak dulu sampai sekarang, tapi masih tak menjadi-jadi lagi, sila ambil perhatian sekarang.

Berdasarkan apa yang saya nyatakan kat atas tadi, cuba anda semak semula samada setiap perniagaan yang anda buat selama ini ada melalui proses yang saya sebutkan kat atas tadi atau tidak?

Kalau tidak, maka tidak hairanlah kenapa dah banyak perniagaan yang anda kampoi tapi masuh elek puchik. Sekadar nak harapkan nasib, memang agak susah dalam dunia perniagaan ni.

Lebih malang lagi bagi anda yang dah banyak buat bisnes tapi masih tak menjadi adalah, anda hanya tanam satu sikap yang tidak baik menjadi tabiat buruk dalam diri.

Sikap tidak merancang secara betul dan ubah haluan ke sana sini dengan kerap. Kalau kapten kapal buat macam tu, dia akan berakhir dengan mati atas kapal sebab kapal hanya berpusing-pusing buat bulatan yang besar atas laut dan tak sampai ke darat.

Ikut petua orang bijak pandai di bawah ini;

“Jika anda menghadap ke arah yang betul, apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah terus berjalan dan berjalan ke depan … “

Total
83
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge