Cabaran terjun jadi usahawanMemang tak ramai yang sanggup terjun jadi usahawan walaupun tahu ada ganjaran besar yang sedang menanti jika berjaya lepasi segala rintangan.

Sebab itu jumlah orang yang jadi usahawan di atas muka bumi ini amatlah sedikit. Dalam jumlah warga dunia seramai lebih dari 7 billion orang, hanya lingkungan 5% sahaja yang jadi usahawan.

Semakin maju dan stabil sesebuah negara itu, semakin kurang jumlah usahawannya. Semakin mundur dan teruk ekonomi dan pembangunan sesebuah negara itu, semakin ramai pula jumlah rakyatnya yang terpaksa jadi usahawan.

Tak ramai terjun jadi usahawan di Malaysia

Negara kita boleh masuk dalam kategori negara yang stabil dan berkembang maju tahap ekonominya secara umum. Walaupun ada bonggol timbul di sana sini kadang kala, namun secara umumnya kita masih boleh rasa agak lega dengan apa yang ada setakat ini.

Oleh kerana ada banyak peluang pekerjaan, maka jumlah rakyat Malaysia yang berani ambil risiko jadi usahawan adalah tidak ramai. Hanya lebih kurang 4% ke 5% sahaja rakyat Malaysia yang jadi usahawan.

Walau berapapun jumlah peratusan rakyat yang jadi usahawan, peluang untuk berjaya dan mendapat ganjaran yang lumayan dengan menjadi usahawan masih tetap besar.

Itu semua orang percaya. Dan memang betulpun kepercayaan tersebut.

Tapi masih tetap tak ramai yang berani terjun jadi usahawan.

Kenapa?

Cabaran terjun jadi usahawan

Untuk faham kenapa masih tetap tak ramai yang berani terjun jadi usahawan, saya akan cuba terangkan apa yang berlaku apabila anda mula pertimbangkan untuk berniaga.

Sebaik saja anda mula terfikir nak berhenti kerja makan gaji dan mahu merebut peluang besar dengan menjadi usahawan, situasinya akan jadi seperti berikut,

#1. Malu jadi perhatian ramai

Bayangkan anda keluar ke depan kelas ketika sekolah dahulu. Anda menyahut cabaran dari cikgu untuk menjadi calon satu pertandingan yang sekolah anjurkan untuk semua murid sekolah.

Semua mata memandang anda sedang berdiri di depan kelas. Malu, segan, risau dan macam-macam perasaan lagi muncul keluar dalam bayangan kepala.

Macam itu juga akan berlaku jika anda sahut cabaran untuk jadi usahawan. Seperti cuba menjadi seorang hero yang diharapkan untuk menjuarai satu pertandingan yang hebat. Semua mata memandang anda.

Pasangan hidup, sanak saudara, kawan-kawan, jiran, masyarakat, kenalan dan semua orang termasuk mereka yang anda tak kenalpun terasa seperti sedang memandang anda.

Membanyangkan keadaan itupun anda sudah rasa tak sanggup. Apatah lagi benar-benar melakukannya.

#2. Risau kalau gagal

Jika anda gagahi juga untuk ke depan dan abaikan rasa malu dan segan. Akan datang pula persoalan dalam benak kepala apa akan berlaku jika anda gagal.

Apa akan terjadi jika anda berakhir dengan tangan kosong tak dapat apa-apa. Apa orang akan kata. Bermacam kritikan datang bertalu-talu.

Gatai, kelam kabut, cari pasal dan seribu satu macam lagi herdikan mula terbayang seandainya anda gagal.

Semakin di bayangkan kegagalan semakin risau dan jika tak dapat atasi semua perasaan itu, anda akhirnya akan mula rasa nak tarik diri.

#3. Rasa perjalanan yang jauh

Bila anda berjaya atasi rasa takut gagal dengan menukar kemungkinan kepada kejayaan. Anda mula bayangkan pula perjalanan yang bakal ditempuh sebelum mendapatkan hasil dan segala ganjarannya.

Sudah tentu perjalanan tu bukannya sekejap. Bukannya satu perjalanan yang dekat. Sudah tentu bukan sekadar berjalan terus ke depan. Mesti akan dilalui berbagai rintangan yang membuatkan anda akan rasa letih.

Teringat pula pada kawan yang dah melaluinya. Betapa mereka susah terkial-kial dahulu bertahun-tahun sebelum meraih ganjaran. Bukan setahun dua, malah lebih dari itu. Banyak juga yang buat sekerat jalan, tak sanggup lagi teruskan perjalanan.

Apakah anda nanti mampu untuk teruskan juga perjalanan yang jauh itu. Adakah anda punya stamina yang tinggi dan tetap akan teruskan juga perjalanan itu walau sejauh manapun. Apakah anda akan putus asa. Apakah anda akan sampai ke destinasi.

Sekali lagi anda rasa mahu tarik diri saja.

#4. Cabaran terhadap persaingan

Seandainya anda nekad dan yakinkan diri akan lalui juga perjalanan yang jauh itu walau macam mana teruk sekalipun, maka anda akan tetap gagah berdiri.

Akan timbul pula bayangan yang anda bukannya seorang diri yang mahu rebut peluang yang sama. Ramai lagi yang hebat-hebat sedang berhempas pulas merebut peluang yang ada. Pesaing yang lama dan yang baru.

Mampukah anda mengatasi mereka.

Takkan orang nak tengok anda begitu saja membiarkan anda makan sorang. Sudah pasti mereka akan berusaha untuk mengatasi anda. Sekali lagi anda rasa senak perut dan mula nak tarik diri sekali lagi.

#5. Tak yakin samada berbaloi

Kalau lepas dengan persoalan di atas. Anda yakin mampu atasi persaingan atas sebab tertentu yang anda rasa istimewa. Akan terfikir pulak apakah ganjaran yang bakal menunggu anda nanti berbaloi.

Apakah ianya sama dengan yang apa bayangkan.

Apa kata jika ganjarannya sama saja atau lebih teruk dari apa yang anda harapkan. Berbaloikah semua pengorbanan dan perjalanan yang terpaksa di tempuh?

#6. Kenapa perlu keluar dari zon selesa

Anda mula bayangkan keadaan sekarang. Bukankah aku dah selesa dengan apa yang aku ada. Makan cukup, tak lah susah sangat. Sekurang-kurangnya aku boleh jangkakan apa yang aku akan dapat sekarang.

Sekurang-kurangnya perjalanan esok dan lusa dengan apa yang sedang aku buat sekarang adalah lebih jelas daripada perjalanan yang bakal ditempuh. Kenapa nak cari pasal keluar dari semua keselesaan ini?

Bukankah aku dah bahagia dengan apa yang ada. Kalau ada kekuranganpun, secara umumnya aku amat selesa. Anda mula rasa amat logik untuk kekal dengan apa yang ada sekarang daripada mencuba.

#7. Biar orang lain saja

Untuk membuatkan rasa selesa menjadi lebih rasional, anda mula pujuk diri kenapa pula anda yang perlu sahut cabaran ini. Biarkan saja orang lain. Mungkin mereka lebih layak, lebih memerlukan cabaran sebab mungkin mereka terdesak.

Apa salahnya akau hanya menjadi orang yang sentiasa berikan sokongan pada kawan-kawan lain yang berniaga.

Jadi tukang sorak saja. Bukankah itu juga satu sumbangan yang amat berharga.

#8. Nak tunggu sampai bersedia

Lagipun anda rasa macam belum bersedia. Ramai orang nasihat, terutamanya mereka yang masih kekal makan gaji, agar pastikan diri bersedia terlebih dahulu.

Jangan gatal cari pasal terjun jadi usahawan jika diri berlum betul-betul bersedia. Dan anda rasa memang anda masih tak bersedia. Banyak komitmen, banyak tanggungan. Anak masih kecil, umur masih muda, ilmu masih belum banyak

Anda akhirnya mula yakin masa masih panjang. Esok masih ada. Kalau bukan hari ni, esok, kalau bukan tahun ini, tahun depan. Kalau bukan sekarang, lepas pencen nanti masih boleh buat. Masa itu tentu anda amat bersedia.

Dan akhirnya, begitulah. Anda tarik diri dan benar macam yang anda kata. Tunggu sampai pencen sahaja.

Dah pencen masih tak bersedia

Itulah yang berlaku pada majoriti besar orang tua pencen yang ada kat luar sana. Mereka masih tidak bersedia walaupun dah pencen.

Walaupun dah pencen, semua persoalan di atas dari no 1 sampai no 8 akan diulang semula. Cuma bila pencen anda akan kata bila semua anak lepas berkahwin dan anda tak ada apa lagi nak buat. Masa itu bolehlah jadi usahawan.

Hakikatnya, itu semua hanyalah imaginasi yang berjaya menggagalkan anda untuk menjadi apa yang andsa teringin nak jadi. Dan akhir sekali, anda sudah nazak atas katil dan bersedia untuk nafas terakhir anda di muka bumi ini.

Adakah anda bersedia jadi usahawan

Cuba semak semula semua persoalan yang tersenarai kat atas tadi. Apakah jawapan anda pada semua persoalan tersebut?

Kalau anda boleh jawab dengan yakin dan masih tetap percaya anda sanggup hadapi apa saja yang bakal berlaku, maka anda memang layak jadi usahawan.

Untuk soalan yang akhir pulak. Anda perlu terima bahawa tidak akan datang satu ketikapun yang boleh membuatkan anda rasa bersedia. Kalau tunggu bersedia, memang sampai masuk ke dalam kuburlah jawabnya.

Itulah risikonya yang perlu dihadapi.

Cuma anda hanya boleh kurangkan risiko sahaja dengan terjun ke tempat yang tak dalam terlebih dahulu sementara belajar berenang.

Jangan terlajak terjun tempat yang dalam dan berharap anda akan belajar berenang bila dah masuk dalam air nanti.

Risikonya amat tinggi jika terjun ke air yang dalam dalam keadaan mahu selamatkan diri dalam masa yang sama baru sedang berusaha nak faham macam mana nak berenang. Kalau anda tak dapat belajar dalam masa yang amat luar biasa pantasnya, boleh membawa padah.

Pada kawan-kawan yang masih tak berani tu, kita jumpa nanti selepas pencen nanti. Itupun kalau masih ada umur.

Total
43
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge