desk-worker-1500x1000Sebelum saya kongsikan kerja paling utama berdasarkan turutan kepentingan, yang para usahawan kecil perlu lakukan, elok saya berikan sedikit data berkenaan perniagaan kecil dan sederhana untuk para pembaca.

Usahawan kecil dan sederhana ini cukup penting. Jumlah usahawan kecil dan sederhana yang menjalankan perniagaan merupakan satu jumlah yang paling besar dalam keseluruhan perniagaan di seluruh dunia.

Menurut data yang dikeluarkan oleh APEC, di setiap negara Asia Pasifik, perniagaan kecil dan sederhana merangkumi 90% daripada keseluruhan perniagaan yang ada.

Di Thailand sahaja, 60% daripada keseluruhan jumlah tenaga kerja yang ada di negara itu disumbangkan oleh perniagaan kecil dan sederhana.

Kalau kita lihat data 2012 daripada SME Corp. Malaysia, jumlah syarikat perniagaan kecil dan sederhana adalah sebanyak 645,136. Jumlah keseluruhan syarikat perniagaan adalah sebanyak 662,939. Ertinya kat negara kita syarikat perniagaan kecil dan sederhana merangkumi sebanyak 97.7% daripada keseluruhan syarkat perniagaan yang ada !.

Wow ! banyak tu !

Ok !. Tak payah nak bagi banyak sangat data statistiks seperti di atas. Yang pastinya, perniagaan kecil dan sederhana terlalu penting untuk perkembangan ekonomi negara kita.

Kalau perniagaan kecil dan sederhana tu penting, sama juga jika dikatakan usahawan yang menjalankan perniagaan itu juga sama penting dalam menyumbang perkembangan ekonomi negara.

Usahawan kecil perlu belajar ilmu pengurusan

Kerajaan memang dah banyak berikan galakan kepada para usahawan kecil dan sederhana ini untuk pastikan mereka dapat sentiasa timbul berada di atas aras permukaan air.

Hanya yang jenis suka berikan alasan sahaja yang kata mereka tak tahu.

Ada juga yang tahu, tapi kata mereka dah cuba buat permohonan tapi tidak dilayan. Biasanya yang kata begitu hanya pergi mencuba dua atau tiga kali saja, kemudian terus buat rumusan tak boleh.

Satu lagi masalah usahawan kecil dan sederhana yang sedang lemas dalam dunia perniagaan mereka adalah sikap mentakrifkan bantuan Kerajaan itu hanyalah dalam bentuk dana kewangan sahaja. Mereka jangkakan Kerajaan akan berikan seketul duit dalam raga pada usahawan.

Ramai juga usahawan sebegitu yang rasa kalau diberikan duit pada mereka, perniagaan mereka akan berjaya dan membesar dengan baik serta mencatatkan keuntungan yang tinggi.

Tapi sebaliknya yang berlaku, ramai yang diberikan duit hanyut jauh lebih teruk daripada semasa mereka tak dapat bantuan duit. Tunggu dua atau tiga tahun saja mereka terus lemas tenggelam jauh lebih dalam sebab menanggung banyak hutang.

Duit membantu hanya pada yang berilmu

Apa yang para usahawan perlu sedar, bantuan dari segi pengisian ilmu dan pengetahuan adalah jauh lebih baik daripada bantuan seraga duit.

Jangan sombong ingat hangpa ada duit, hangpa akan berjaya !.

Orang yang ada duit dan berjaya adalah mereka yang ada ilmu dan kemahiran dalam menguruskan duit serta perniagaan yang mereka jalankan.

Bukan semata-mata duit !.

Saya nak tambah sedikit lagi leteran kat sini berdasarkan pengalaman memberikan ilmu pengurusan perniagaan kepada para usahawan.

Ramai yang tidak ada komitmen untuk belajar.

Malah tindakan mereka terhadap program belajar ilmu perniagaan itu seolah-olah seperti ilmu perniagaan adalah sampah sarap yang tak berguna. Suruh hadir bertemu pembimbing tak pergi. Malah bila pembimbing sendiri yang pergi cari mereka pula tidak dilayan.

Terasa diri macam sampah yang mengharapkan belas ikhsan usahawan agar dibenarkan untuk memberikan sedikit ilmu pengurusan perniagaan, tapi malangnya tidak dilayan.

Tapi alhamdulillah ! bukan semua usahawan macam tu.

Yang bagus dan sedar kepentingan ilmu pengurusan perniagaan itu ramai juga. Golongan yang komited itulah yang banyak merawat hati luka tercedera angkara mereka yang menolak tawaran dibimbing.

Walau bagaimanapun, bagi yang tak layan saya ketika menggemis di premis perniagaan mereka untuk kongsikan ilmu perniagaan dan pengurusan, saya harap anda sudi baca perkongsian ini.

Juga bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk pergi belajar tambah ilmu, anda juga perlu pertimbangkan saranan saya di bawah ini.

Kerja paling utama usahawan kecil

Bila berniaga memang ada seribu satu kerja yang perlu anda lakukan.

Mana nak uruskan masalah pelanggan, masalah duit, masalah isteri, anak-anak, pembekal, kawan-kawan, pekerja, marka (gewe), peminta derma, pembimbing usahawan macam saya, penyewa dan sebagainya lagi.

Mereka semua mengejar dan mengharapkan anda berikan perhatian pada mereka.

Jika tidak ada pedoman, jika tidak ada minda yang jelas terhadap perkara utama berdasarkan senarai keutamaan, usahawan akan tenggelam lemas terasa macam nak pengsan.

Fikiran mesti fokus. Perlu ada disiplin berfikir berteraskan objektif dan bukannya berlandaskan emosi atau nafsu amarah. Sebab itu kelebihan sebegitu hanya ada pada usahawan yang sanggup luangkan masa bertemu dengan mentor atau coach yang berpengalaman.

Bila ada orang lain yang membimbing, fikiran kita tidak mudah tercicir terikut-ikut dengan emosi dan nafsu. Ada pembimbing yang tidak ada apa-apa kepentingan untuk mengingatkan mereka.

Walaupun apa yang terjadi, berikut adalah tugasan utama yang usahawan kecil perlu lakukan berdasarkan susunan keutamaan.

Peringatan ini saya tujukan untuk diri saya sendiri, juga untuk anda yang sedang menjalankan perniagaan kecil atau sederhana di luar sana.

  1. Pemasaran dan jualan – Bakar senantiasa semangat tumpuan anda pada urusan pemasaran (bagi orang tahu) dan jualan ( bagi orang beli). Sekurangnya 60% daripada otak anda perlu fokuskan pada urusan ini, begitu juga dengan tindakan anda dalam menjalankan perniagaan.
  2. Kekalkan perniagaan – Fokus bagaimana nak pastikan perniagaan anda kekal relevan. Pastikan perniagaan kekal hidup. Jangan lalai sampai bisnes lingkup dan gulung tikar.
  3. Bina perniagaan – Fikirkan saban waktu bagaimana nak bina perniagaan sampai jadi autopilot. Bina semua sistem supaya ianya dapat bergerak sendiri secara cekap. Jangan tenggelam duduk dalam perniagaan, tapi keluar dan lihat serta rancang perniagaan dari atas.
  4. Fikir untuk tambah lagi perniagaan – Cari peluang di mana saja berada dengan siapa saja anda jumpa. Bukan fikir bagaimana nak tambah orang rumah (bagi lelaki). Fokus usaha anda 60% untuk dapat dan kekalkan pelanggan. 30% lagi untuk operasi, sediakan dan tunaikan tempahan dan baki 10% untuk urusan pentadbiran.
  5. Tentukan harga, hantar bil dan pergi kutip duit – Rangka harga yang competitif. Anda suka dan pelanggan suka supaya mereka beli. Kemudian segera berikan bil (inbois). Dan kemudian segera kutip duit. Jangan duduk selagi proses ini tak lengkap sampai duit masuk dalam poket atau akaun anda.
  6. Pastikan ada duit tunai – Elak benarkan pelanggan berhutang kalau boleh. Tak guna inbois penuh dalam fail tapi seorangpun tak bayar. Nanti rugi berganda, GST kena, Tax perniagaan pun kena, mana nak cekau duit untuk bayar semua tu ?. Sebolehnya ada tunai dalam bank 2 bulan overhead perniagaan anda.
  7. Sentiasa lunaskan gaji – Jangan alpa tentang gaji pekerja. Juga gaji anda sebagai taukeh. Buatlah macam mana pun asalkan tidak ada masalah untuk bayar gaji pada waktunya. Jangan sekat atau tangguh pembayaran gaji sedang duit ada dalam akaun.
  8. Adakan dan kekalkan hanya pekerja yang cemerlang – Pekerja bermasalah cepat-cepat ambil tindakan. Buang secepat mungkin dan gantikan hanya dengan pekerja yang cemerlang sahaja. Jaga pekerja cemerlang macam anda jaga seketul intan.
  9. Dengar pendapat dari semua – Kerap sikit turun bawah dan chatting dengan semua orang. Dengar semua pendapat pekerja, pembekal, penasihat, mentor dan lain-lain. Niat untuk sentiasa belajar maklumat baru dan buat pembaikan.
  10. Latih pekerja – Jangan asyik nak hentam pekerja yang jahil buat kerja sedangkan tiada program latihan mantap yang disusun. Susun program latihan setiap kali ada kelapangan. Jangan bila tak ada kerja, main dam dengan pekerja. Latih mereka buat kerja bukan latih mereka main dam. Pastikan pekerja faham dan jangan main andai saja kononnya mereka tahu.
  11. Pastikan produk atau servis berkualiti – Kualiti adalah keputusan dan kehendak pelanggan. Bukannya kehendak dan perasaan bagus diri anda sendiri. Dengar respond pelanggan, jelaskan pada mereka supaya tiada salah faham. Jangan janji lebih, beri kurang. Biar janji kurang beri lebih.
  12. Bezakan tawaran anda – Pastikan anda tahu apa kelebihan produk atau servis anda berbanding pesaing yang lain. Tidak ada alasan untuk orang nak beli produk anda kalau anda sendiri tak tahu kenapa dia perlu beli dari anda dan bukannya dari orang lain.
  13. Adakan sasaran – Jangan main jalan tanpa tujuan. Itu makan angin namanya bukan berniaga. Tentukan sasaran atau gol yang anda nak sumbat. Pantau perkembangan pencapaian sasaran. Jika berjaya tingkat lagi sasaran. Jika tidak, kaji kenapa dan baiki cara buat kerja samapai tercapai sasaran. Sasaran mesti boleh diukur dengan mudah.
  14. Bahagikan tugasan – Bahagikan tugasan dari atas sampai bawah paling ke bawah. Tidak ada apa perkara yang berat yang tidak boleh dilakukan jika ada pandai bahagikan tugasan pada mereka yang mampu laksanakannya.
  15. Bermanja dengan pembekal – Belai pembekal macam anda belai leher kucing. Biar mereka asyik dan jatuh cinta dengan anda. Biar mereka sudi bantu anda di kala senang atau susah. Biar mereka berikan tempoh kredit lebih panjang supaya anda sentiasa ada cash dalam akaun.
  16. Bermanja dengan pemberi hutang – Sama juga dengan pembekal. Belai mereka sampai mereka terbuai. Bina perhubungan akrab. Anda tak tahu bila masanya anda perlukan bantuan mereka.
  17. Sentiasa semak perbelanjaan – Jangan main belanja saja dan tak tahu kemana, berapa dan bila. Ambil tahu semua perbelanjaan terutamanya yang lebih dari seribu. Kemut dan berhati-hati. Biarlah orang nak kata anda tangkai jering.
  18. Buat kerja penting elak kerja genting – Senaraikan segala urusan pentadbiran penting yang perlu dilaksanakan yang jikalau tidak dilaksanakan sekarang, esok lusa ianya akan jadi genting.

Cukuplah setakat 18 urusan penting yang usahwan kecil perlu laksanakan berdasarkan turutan kepenting kat atas tu.

Itupun dah banyak kerja sebenarnya.

Ataua anda nak tambah lagi kat ruang komen di bawah ?

Silakan !

Total
56
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Sangat memberi inspirasi terutamanya no 1 sebab walau sebagus dan secanggih mana produk, jika tiada pemasaran, tiada siapa akan tahu. Tiada siapa tahu, tiada jualan. Tiada jualan, tiada apa la jawabnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge