time-to-think-1500x1000Pawang bisnes ?

Perkataan pawang bisnes tu tercetus hari sabtu yang lalu. Masa itu saya dan tiga lagi kawan sedang minum teh tarik di sebuah kedai mamak. Saya ceritakan berkenaan masalah dunia perniagaan sekarang ini.

Ramai kawan-kawan yang sedang mengalami zaman kegelapan dalam perniagaan mereka datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan pandangan. Oleh kerana masa saya terhad setiap kali ke luar kawasan, maka temujanji perlu diadakan.

Daripada cerita tersebut, salah seorang kawan dengan secara spontan berkata…

‘ Hang dah jadi macam bomoh sekarang… ! ‘ kata kawan saya itu sambil ketawa kuat. Kawan-kawan lain juga turut ketawa besar mendengar sebutan perkataan bomoh itu.

Saya diam dan terfikir, ada betulnya apa yang kawan saya itu sebutkan. Mungkin itulah yang diharapkan oleh mereka yang datang berjumpa dengan saya. Mereka mahu saya bertindak sebagai seorang pawang bisnes.

Apa ertinya menjadi seorang pawang bisnes

Sepanjang perjalanan memandu balik ke rumah, saya asyik terfikirkan persamaan, antara apa yang saya buat dengan apa yang seorang bomoh buat. Walaupun kerja pawang bisnes ini bukanlah kerjaya sepenuh masa bagi saya, tapi dapat dirasakan semakin hari urusan kerjanya semakin bertambah.

Ramai lagi orang lain diluar sana yang menjadi pawang bisnes. Mereka janjikan penawar kepada masalah perniagaan para usahawan. Ada yang menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa mereka.

Saya rujuk kamus dewan untuk mengetahui makna perkataan ‘ pawang ‘ , dan ini yang saya jumpa,

1. orang yg mempunyai kebolehan istimewa melakukan sesuatu, biasanya dengan menggunakan kuasa ghaib. 2. orang yg pandai mengubati orang sakit dengan jampi dll; dukun; bomoh.

Selain daripada maknanya yang hampir menyamai bomoh, pawang juga bermaksud seorang yang pandai dan mendalami sesuatu ilmu. Contohnya jika kita sebut ‘pawang pukat’, ertinya dia seorang yang ahli dalam kerja menangkap ikan menggunakan pukat.

Oleh itu, jika kita panggil seseorang itu sebagai Pawang Bisnes, maknanya dia merupakan seorang yang ahli dalam bidang perniagaan.

Antara pawang bisnes dengan bomoh bisnes

Cuma satu saja masalahnya. Para usahawan yang datang berjumpa pawang bisnes mengharapkan solusi segera terhadap masalah mereka. Pawang bisnes yang betul sudah tentu tahu tiada jalan penyelesaian yang segera dan mudah dalam usaha memulihkan perniagaan atau menjayakan sesebuah perniagaan.

Itulah bezanya antara pawang bisnes dengan bomoh bisnes. Kalau usahawan pergi jumpa bomoh, mereka akan pulang dengan tangkal, atau ramuan atau yang seumpamanya untuk dijadikan sebagai alat meningkatkan perniagaan mereka.

Kesan kepada bisnes usahawan setelah berjumpa bomoh bergantung kepada tahap kepercayaannya pada bomoh tersebut. Jika ramai yang mengaku keberkesanan bomoh itu, maka semakin menjadilah ilmu si bomoh pada usahawan yang bertemu dengannya.

Terbalik pula jika usahawan pergi jumpa dengan pawang bisnes. Atau lebih tepat lagi kalau datang jumpa saya. Mereka tak akan bawa balik tangkal atau apa-apa ramuan istimewa. Mereka akan bawa balik senarai tugasan yang perlu dilakukan dan diusahakan untuk membaiki keadaan perniagaan tersebut.

Tak ada kerja mudah seperti pasang tangkai depan kedai dan perniagaan akan pulih dan meningkat serta pelanggan akan datang bertimpa-timpa.

2 Cabaran dalam perniagaan

Sepanjang membantu perniagaan para usahawan, saya boleh rumuskan bahawa dalam perniagaan ada dua cabaran yang para usahawan sering hadapi:

  1. Misteri
  2. Masalah

Ada usahawan yang datang ceritakan pada saya berbagai perkara misteri yang berlaku pada perniagaannya. Oleh kerana ianya misteri, maka saya tak boleh nak minta bukti terhadap apa yang diceritakannya.

Perkara misteri merupakan perkara yang tidak boleh diselesaikan. Kalau ada yang mendakwa dia boleh selesaikannya, pendekatannya juga adalah misteri. Jadi kalau anda ada masalah misteri, atau anda percaya misteri melanda perniagaan anda, pergilah jumpa bomoh atau ustaz yang boleh jampi dan boleh sediakan ramuan ghaib yang misteri.

Tapi jika usahawan datang menceritakan masalah dalam perniagaannya, itu saya berminat nak dengar dan membuat analisa. Masalah walau sebesar mana sekalipun boleh diselesaikan, asalkan kita berusaha merungkainya satu persatu.

Proses menghadapi masalah mudah saja,

  • kenal pasti apa yang sedang dihadapi, apakah kesannya,
  • kenal pasti dari mana punca sebenarnya
  • merangka hasil yang dikehendaki
  • mencari jalan mendapatkannya atau selesaikannya
  • melaksanakan jalan yang dipilih
  • tengok hasil dan buat penambah baikan sehingga masalah selesai

Daripada apa yang saya sebutkan di atas, lebih elok kita berusaha pada mengenal pasti masalah. Jangan buang masa untuk kenal pasti perkara misteri sebab walau macam manapun kita buat, ianya teta akan menjadi misteri.

Berikan tumpuan pada masalah perniagaan

Biasanya mereka yang menceritakan masalah misteri hilang fokus terhadap masalah lain dalam perniagaannya. Banyak daripada rumusan yang dilakukannya hanya andaian sahaja yang biasanya tak logik.

Bukan nak kata tak percaya perkara misteri, tapi berikan tumpuan pada masalah bisnes terlebih dahulu baharulah diberikan runag untuk perkara misteri.

Contoh usahawan bermasalah:

Contoh mudah yang saya boleh kongsikan untuk anda faham maksud saya adalah seperti berikut:

Seorang usahawan mengalami masalah perniagaan yang sedang merosot teruk. Pelanggan kurang dan hasil jualan perniagaannya juga berkurangan.

Bila saya melawat perniagaannya, ada banyak kelemahan yang boleh diperbaiki segera.

Tapi bila saya bersembang dengan tuan punya usahawan itu, apakah yang dia rasa masalah sebenar perniagaannya, dia terus tanpa ragu-ragu berkata, ‘misteri !’.

Itulah yang dia ulang sebut dan paling banyak dibuang masanya untuk diceritakan pada saya. Walhal banyak lagi masalah lain yang dia boleh perbaiki. Tapi malangnya, tidak dilihat dan tidak diperdulikannya.

Contohnya seperti kebersihan dan susun atur premis, amat buruk, kotor, dan tidak terurus langsung. Anda tak perlukan bomoh atau ustaz untuk selesaikan masalah sebegitu.

Usahawan itu juga tidak mencatit dari mana duit masuk dan kemana duit keluar secara rutin setiap hari serta mengira baki duit serta stok barang.

Tanpa adanya segala maklumat itu, macam mana nak kanaol pasti kedudukan perniagaan dan mengukur hasil kerja yang dilakukan. Itu juga tidak perlukan khidmat bomoh atau ustaz untuk selesaikannya.

Untuk makluman pembaca, ramai yang berkeadaan sebegitu sebenarnya. Moga saya dijauhi daripada bersikap sebegitu dan saya daokan anda juga tidak jadi macam tu.

Setakat ini saja kali ini catitan saya dalam bab Pawang Bisnes untuk pembacaan santai semua. Selamat berpuasa sampai habis ramadan.

Total
17
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge