Cerita kereta volvo seorang usahawanIni kisah sebuah kereta volvo yang saya miliki setelah beberapa lama menjalankan perniagaan dan menahan diri daripada mengidam sebarang kereta idaman.

Saya pernah menceritakan dalam blog ini bagaimana saya mula jimatkan segala perbelanjaan hidup ke peringkat yang paling minimum.

Semua itu perlu pada waktu mula berniaga untuk pastikan kesinambungan hidup saya dan keluarga serta ibu di kampung.

Antara kos bulanan yang perlu dimansuhkan adalah bayaran ansuran kereta. Oleh itu saya telah menjual semua kereta yang ada tukarkan kepada hanya satu kereta yang paling murah dan tidak membebankan.

Kereta Kelisa Merah yang banyak berjasa

Aktiviti jimat kos itu berakhir dengan saya hanya mempunyai sebuah kereta Kelisa yang jumlah ansurannya kurang dari RM400 sebulan. Itulah kereta yang saya pakai pada peringkat mula berniaga.

Kelisa Merah yang comel itu saya gunakan ketika berjumpa dengan prospek pelanggan tanpa ada sedikitpun rasa rendah diri. Mungkin tidak terlintas akan imej yang saya pantulkan dari jenis kereta yang dipakai, membuatkan hampir semua orang yang saya jumpa waktu itu menyangka saya punyai kereta mewah tersimpan di rumah!,

Biasalah mentaliti kebanyakan orang kita. Kejayaan diukur daripada jenis kereta yang kita pakai. Jika seseorang itu berjaya dalam perniagaan, dia mesti ada kereta besar.

Gatal beli kereta Volvo S40

Setelah beberapa lama berusaha, pendapatan mula stabil dan saya mampu menggandakan jumlah pendapatan berbanding ketika makan gaji dulu. Waktu berhenti kerja, pendapatan menjunam ke tahap paling rendah dalam sejarah hidup.

Waktu mula berhenti kerja dan potong semua perbelanjaan dulu, hampir semua orang tak berani kritik sebab takut saya kecil hati. Tapi dari riak air muka mereka saya dapat baca timbul rasa kasihan mereka melihat diri saya waktu itu walaupun tidak dizahirkan.

Berkat keyakinan, berkat usaha dan dengan izin Allah segala pengorbanan berbaloi dalam masa lebih kurang 4 tahun sahaja. Maka timbul rasa keinginan nak memandu kereta Kontinental bila dah mampu.

Tanpa berfikir panjang saya beli sebuah kereta Volvo S40. Kereta sport kontinental yang cukup hebat bagi saya. Laju, mantap, comel dan bergaya. Saya rasionalkan pembelian itu atas alasan sering berulang alik dari KL ke Pulau Pinang atas urusan kerja, walaupun hakikatnya itu bukan alasan yang cukup kukuh.

Maka dapatlah saya merasa kehebatan memandu kereta yang selesa yang tak pernah termimpi sebelum ini. Kos selenggaraan memang agak tinggi, tapi duit ada dan semua itu mampu saya tanggung.

Ada baiknya juga tindakan membeli kereta itu. Terutamanya bila saya membuka satu lagi syarikat dan cuba memujuk seorang rakan berbangsa China untuk menyertai saya bagi menerajui syarikat yang baru saya tubuhkan itu.

Saya perlukan seorang Cina kerana mahu memecahkan pasaran bukan Melayu yang agak sukar dilakukan bila syarikat dikendalikan oleh bangsa Melayu. Agak mudah nak dapatkan kerja dari bangsa sendiri, namun agak sukar nak dapatkan kerja dari orang Cina.

Jalan mudah, saya rekrut orang Cina jadi Boss syarikat baru saya dengan menawarkan saham percuma. Syaratnya dia hanya perlu bawa hasil jualan yang mampu membuatkan syarikat itu stabil dan kukuh. Juga membantu saya mendapatkan hak jualan produk yang jarang orang Melayu dapat.

Korbankan Kereta Volvo S40

Demi merealisasikan matlamat, saya berikan kereta Volvo pada rakan kongsi itu. Orang Cina biasanya cukup memerhati penampilan. Untuk memudahkan kerja sale, saya korbankan saja kereta Volvo sport saya padanya.

Maka kembalilah saya memandu semula kereta Kelisa Merah asal. Asalkan syarikat baru saya berkembang dan melonjakkan dirinya menjadi stabil, saya rasa puas dan tak kisah langsung melihat orang lain pakai kereta yang lebih selesa.

Sekali lagi saya dipandang sinis oleh kawan sekeliling. Begitu juga para pekerja yang agak hairan dengan cara saya berfikir. Kenapa seorang boss tak berlagak seperti boss?, mungkin itulah yang terlintas dalam fikiran mereka.

Semua yang saya lakukan pada waktu itu banyak mengajar cara saya berfikir. Malah ianya menjadi satu latihan meningkatkan rasa degil dalam diri saya. Degil dengan matlamat yang mahu dicapai.

Apakah hasil yang saya dapat dengan tindakan tersebut….? insyallah akan saya sambung kisah kereta volvo saya selepas ini…

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge