Minggu lepas nampaknya saya hanya buat posting satu artikel saja. Memang tak sempat nak menulis sebab sepanjang minggu berada di luar kawasan.

Bergerak dari Selangor, Perak, Pulau Pinang sampai ke Perlis untuk urusan perkongsian ilmu dengan para usahawan di negeri-negeri tersebut. Saya masih diluar kawasan sehinggalah hujung bulan ini.

Supaya blog ini tak putus artikel terlalu lama, saya kongsikan sedikit cerita santai berkenaan usahawan yang saya baru kenal. Usahawan kali ini berbangsa India dan namanya Maniam.

Kisah Maniam henti kerja dewan bandaraya

Maniam henti kerja daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk jadi usahawan. Maniam berhenti selepas cubaannya buat pinjaman bank untuk beli rumah ditolak mentah-mentah. Alasan utama adalah gaji tak cukup.

Memang ketika itu gaji Maniam hanyalah seribu lebih sahaja. Jika ada kerja lebih masa, bolehlah dia merasa RM1500 atau RM1600.

Bila Maniam congak-congak, entah sampai bila dia akan dapat kenaikan gaji. Kalau naik gajipun bukannya banyak sangat dan dia tak yakin kerja makan gaji itu akan dapat membawanya ke mana-mana.

Henti kerja dan cari makan dengan motosikal

Nekad untuk ubah kehidupannya, Maniam henti kerja terus dan tidak berpatah balik lagi. Masa itu dia hanya ada sebuah motosikal.

Dengan motosikal itulah Maniam bangun pagi-pagi dan pergi ambil bekalan ikan di Pasar Borong. Dia jual ikan keliling taman perumahan.

Kemudiannya dia dapat peluang bekalan borong ayam pencen dengan harga murah. Diambilnya banyak-banyak dan dijualnya pada orang ramai yang mahu makan ayam dengan harga yang menjimatkan.

Maniam gigih berusaha siang dan malam dengan hanya menggunakan motosikal. Pendapatannya mula bertambah melebihi jumlah gaji yang dia dapat daripada kerja makan gaji di Majlis Bandaraya.

Maniam himpun wang yang dia dapat sedikit demi sedikit dan dengan modal yang mencukupi dia bayar duit muka untuk beli sebuah lori kecil. Maniam kekal pakai motosikal dan tak beli kereta.

Maniam tambah lori

Dengan adanya lori, dia mengintai peluang lain yang lebih menarik. Tak lama mengintai dia dapat peluang hantar barang untuk kilang-kilang yang ada di sekitar Shah Alam.

Dengan lori itu, pendapatan Maniam bertambah dan tak lama selepas itu dia dapat pula peluang hantar akhbar ke pusat-pusat pengedaran akhbar.

Maniam gigih berusaha dan dalam masa yang sama sabar menghimpun wang. Dia tambah sebuah lagi lori hasil dari wang yang dia himpun. Pendapatannya bertambah dengan tambahan sebuah lagi lori.

Bagaimana saya kenal Maniam

Saya berkenalan dengan Maniam ketika dia mengekori saya bersenam dengan berjalan kaki keliling taman di tempat saya tinggal.

Kata Maniam, sebelum ini dia pergi bersenam di Pusat Senaman berbayar. Maniam menjaga kesihatannya sejak dia berhenti kerja dan jadi usahawan. Badannya slim dan nampak fit, macam badan saya.. (maaf sebab perasan!).

Setelah sering melihat saya bersenam seorang diri berjalan keliling taman, dia tergerak untuk ikut cara saya. Dia terfikir kenapa nak keluarkan wang untuk buat senaman sedangkan dia lihat saya bersenam dengan tenang dan gembira setiap hari dengan kadar percuma.

Dari situlah saya mula bertemuramah dengan Maniam untuk korek cerita hidupnya. Maniam beli rumah dengan harga hampir RM400 ribu dan semuanya hasil daripada usaha kerja sendiri yang dia jalankan sejak henti kerja makan gaji.

Berbaloi Maniam henti kerja

Sekarang dia ada 3 buah lori. Anak lelakinya juga berhenti kerja dan bekerja dengan Maniam sekarang. Maniam bawa sebuah lagi lori yang ada dan yang sebuah lagi pula Maniam gajikan orang untuk membawanya.

Lori Maniam semuanya dah habis dibayar. Dia lebih relaks sekarang dan memilih kerja yang mendatangkan hasil yang berbaloi saja. Lagipun isteri Maniam baru saja meninggal akibat berbagai penyakit.

Kata Maniam, dia sering menasihati isterinya agar jaga kesihatan. Jaga makan dan bersenam. Tapi isterinya tak mahu dengar cakapnya. Dia makan banyak dan malas bergerak. Isteri Maniam meninggal muda dalam umur 48 tahun saja.

Kasihan isteri Maniam. Di kala Maniam sedang meraih hasil dari penat lelah dan kesabaran mereka selama ini, dia pula meninggal dunia. Saya tak pasti bagaimana kepercayaan agama Hindu, samada Maniam boleh kahwin baru dengan mudah atau tidak.

Jika boleh, itu merupakan satu peluang baik pada Maniam untuk kahwin semula dengan isteri baru yang mungkin lebih jelita dan paling penting pandai jaga kesihatan supaya dapat jaga Maniam dengan baik.

Bila anda nak henti kerja ?

Apa yang saya boleh rumuskan di sini adalah untuk berjaya menyara kehidupan anda dengan selesa, anda hanya perlu rajin sabar dan yakin pada diri sendiri.

Untuk berjaya dalam kehidupan di dunia ini, tak kisah anda berbangsa apa atau agama apa. Asalkan rajin berusaha dan sabar, kejayaan akan menjadi milik anda.

Jika Maniam berani berhenti kerja dari DBKL kerana yakin dia boleh dapat lebih lagi jika berusaha sendiri, saya rasa anda juga mampu lakukan perkara yang sama.

Itupun jika anda ada keberanian dan bukanlah seorang yang tidak mempercayai pada diri sendiri. Jika ada keyakinan, henti kerja dan berusaha dengan gigih adalah perkara yang mudah sahaja.

Total
47
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Salam. saya amat menghargai perkongsian tuan pasal perniagaan. Sangat bermanfaat untuk kita semua.

    Saya hendak minta pendapat tuan sebab saya dalam dilemma untuk berniaga atau kerja makan gaji.

    1. Saya baru jadi ejen takaful(dalam 1bulan) dan dapat dapat pilihan untuk full time ejen. Tapi saya xde keyakinan untuk buat full time memandangkan risiko adalah besar.
    2. Kebetulan saya mendapat perkerjaan baru (Gaji yg lebih besar).

    Saya minta pendapat tuan untuk kes saya.

    Semoga Allah merahmati tuan.

  2. Saya sekarang duk fikir-fikir nak berniaga sendiri jugak, umur masih muda jadi nak cari pengalaman dulu dengan orang-orang yang berjaya dalam perniagaan. Habis sekolah terus bekerja dengan sebuah syarikat swasta kat KL. Dengan artikel ni memberikan semangat dan inspirasi lagi kepada saya untuk berniaga sendiri.
    Imran recently posted…Membina kehidupan selangkah demi selangkahMy Profile

  3. Terima kasih atas artikel yang bagus tuan. Tuan, bagaimana untuk saya dapatkan perkembangan perkongsian ilmu dari tuan.. Nampaknya saya terlepas mengikuti tuan yang datang ke perlis minggu lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge