fabric-texture-1500x1000Sekarang dah masuk mood puasa dan raya, jadi elok juga tulis bab puasa dan raya sekali kat sini.

Setiap kali menjelang ramadan dan nak masuk hari raya, yang paling seronok adalah kanak-kanak. Bagi ibu bapa, terutamanya yang berpendapatan rendah atau sederhana, ia bukanlah satu perkara yang menggembirakan.

Banyak duit yang terpaksa dikorbankan demi menyambut kedatangan hari raya. Nak kena beli kuih raya, nak bersiap hias rumah, nak beli baju raya dan segala macam mak nenek lagi, yang dah jadi adat budaya orang kita.

Bila dah lanjut umur ni, baru nampak semua perkara itu. Saya tengok anak-anak yang senyum riang bila bawa mereka pergi beli baju raya. Dan saya dapat rasakan juga senyum masam dan perit bila tengok duit keluar laju sebab terpaksa bayar semua kos perbelanjaan tersebut.

Untuk hilangkan semua rasa stress tersebut, sengaja saya imbau kembali zaman kanak-kanak dahulu. Cuba ingatkan kembali macam mana saya sambu kedatangan puasa dan menjelangnya hari raya.

Sambut puasa zaman kanak-kanak

Puasa zaman kanak-kanak dulu adalah sesuatu yang amat mencabar dan tidak menyeronokkan. Masalah utama adalah sebab tak boleh makan dan minum. Momentum puasa akan bertambah baik dari hari ke hari sehinggalah taman bulan ramadan.

Seingat saya, ada juga masanya saya tak tahan dahaga ketika bersekolah rendah dahulu. Apa yang saya buat adalah pergi ke tandas dan belasah air paip yang sejuk itu. Punyalah sedap dapat minum air paip sepuasnya.

Bila dah puas minum, keluar dari tandas dan sambung berpusa macam biasa. Masa tu langsung tak ada rasa bersalah, lagipun hanya minum air paip saja dan tak makan apa-apa pun. Itulah yang lucunya, boleh tahan pulak tak makan sampai ke waktu magrib, sedangkan puasa dah terang-terang batal.

Pernah ketika pergi ke pekan dengan mak, saya mengamuk nak buka puasa sebab tak tahan tengok buah Tampoi yang tergantung cantik di gerai penjual buah. Mak pujuk supaya jangan buka puasa dengan membeli buah tersebut. Saya angguk akan tahan asalkan dia membelinya. Tapi bila balik ke rumah, saya terus buka puasa dengan makan buah Tampoi tersebut. Bukannya sedap sangat, menyesal pula buka.

Waktu malam di bulan puasa

Ini salah satu perkara yang paling menyeronokkan dalam bulan puasa. Setiap malam akan ada Moreh di masjid atau di surau. Di surau tempat saya sering pergi solat tarawih di bulan puasa dulu, satu kampung akan bergilir menyumbang buat Moreh.

AJK surau akan buat 30 kumpulan yang terdiri daripada gabungan beberapa keluarga di seluruh kampung. Biasanya satu kupulan akan ada dalam 3 atau 4 keluarga. Bila dah tahu kumpulan masing-masing, mereka akan berpakat untuk tentukan nak jamu apa masa Moreh nanti.

Makanan paling popular yang orang kampung buat adalah bubur kacang. Punyalah kerap moreh bubur kacang sampai semua orang rasa jemu dan meluat. Biasanya kanak-kanak yang nakal akan pekeno tok siak. Mereka tuang bubur kacang masuk dalam kasut tok siak. Mengamuklah tok siap bila selesai semua kerja dan bersedia nak balik ke rumahnya.

Saya masih ingat tok siak masa tu namanya Pak Lah. Dia suka pakai kasut getah Fung Keong yang berwarna hitam. Kasut tu biasanya orang sekarang buat pakai jika nak masuk hutan yang basah. Jadi mudahlah kanak-kanak nakal masukkan bubur kacang penuh ke dalam kasutnya.

Abang sponsor beli baju raya

Masa kanak-kanak dulu saya tak pernah ambil tahu dari mana nak dapatkan duit untuk beli baju raya. Tahu-tahu, mak dah sediakan baju melayu sepasang. mana mak ambil duit tak pernah terpintas dalam kepala saya.

Bila dah nak dekap masuk raya, abang sulong biasanya yang akan balik kampung. Dia akan bawa saya, adik dan juga abang ke Pulau Pinang untuk beli baju raya. Kami dengan megah pergi ke Pulau Pinang, nak bas, kemudiannya naik Feri dan terus ke Penang Road.

Semua dapat seorang sehelai baju, sehelai seluar dan sepasang kasut baru. Muka tersenyum dari masa pergi sehinggalah ke masa balik. Seronok bukan kepalang dan tak sabar nak pakai semua pakaian baru tu bila tibanya hari raya nanti.

Bila dah besar baru saya tahu, semua kos seronokkan kami adik beradik ditanggung penuh oleh abang sulong. Saya boleh bayangkan kosnya bukannya sedikit. Abang pula bukannya kerja bagus sangat ketika itu.

Dia terpaksa terus kerja sebaik saja selesai MCE untuk sara seluruh keluarga. Bapak masa tu tak berapa sihat dan kerja bapak pula tidak tetap. Saya tak pernah ucapkan terima kasih atas semua pengorbanan tersebut. Masa tu, dapatkan baju raya adalah satu kemestian. Macam mana dapat, saya tak pernah terlintas nak fikirkannya.

Kalau abang sulong saya baca artikel ini, saya ucapkan Terima Kasih tak terhingga pada segala jasanya selama ini. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya jasa besarnya tersebut. Bukan saja sponsor semua pakaian raya, malah dia juga yang sara semua perbelanjaan sekolah dan kehidupan kami sampai besar.

Masuk hari raya

Bila habis puasa dan masuk raya, macam biasa, awal pagi saya akan ke surau untuk tunaikan solat sunat hari raya. Masa tu lebih seronok ke surau sebab, solat kat situ lebih awal.

Bila selesai solat awal, bolehlah mula pergi beraya di seluruh kampung. Bukan beraya sangat, sebenarnya lebih kepada nak kutip duit raya.

Sepanjang hari raya tu, saya akan bekerja kuat dari pagi sampai petang untuk kutip duit raya. Mana-mana rumah yang diberitakan bagi banyak duit, akan saya buru. Dapat 50 sen masa tu kira dah amat besar. Untuk dapatkan RM1, memang amat jarang sangat.

Panjang lagi kalau nak cerita kisah puasa dan raya ni, tapi elok berhenti kat sini saja terpebih dahulu. Lain kali kita sambung semula.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut kedatanag hari raya untuk semua !

Total
8
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge