Kejayaan dan kegagalanSaya nak kongsikan satu kisah usahawan guaman kali ini. Saya mula kenal kawan ini, kita namakan sebagai Kassim, seorang lepasan UKM dalam jurusan undang-undang sejak dia tamat belajar dulu.

Kali pertama saya bertemu dengan Kassim pada tahun 1998. Waktu itu saya mengikuti seorang lagi kawan lama, kita namakan sebagai Jalal, yang merupakan seorang usahawan berjaya bekas classmate saya ketika di sekolah menengah.

Saya telah meninggalkan perniagaan baja dan pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang perniagaan. Di situ saya mengikuti Jamal yang sudahpun berjaya dengan perniagaan telekomunikasi yang diceburinya.

Mula mengenali Kassim yang baru menjadi usahawan guaman

Jamal yang sudah banyak duit waktu itu telah menyewa sebuah kilang di Bandar Bharu, Kulim. Dia mahu melaburkan duitnya dalam industri Tooling, atau lebih tepat lagi precision tools.

Jamal menggunakan khidmat seorang peguam sebagai penasihat undang-undangnya, kita namakan peguam itu sebagai Johan. Johan merupakan senior kepada Kassim.

Seperti usahawan lain, mereka bekerja sama dalam apa saja peluang yang mahu dicipta. Oleh itu Johan mengambil kesempatan untuk membuka cawangan firma guamannya di sebelah utara dengan mengambil sedikit ruang di pejabat kilang tersebut.

Di situlah saya bertemu dengan Kassim, yang diamanahkan untuk menjalankan perniagaan guaman bagi pihak Johan di sebelah utara.

Waktu pertama kali bertemu itu, Kassim memandu kereta lama kepunyaan ayahnya yang teramat uzur. Berbagai bunyi kedengaran jika menaiki keretanya. Pintu kereta itu juga senang tercabut dan perlu berhati-hati ketika membuat pusingan.

Kassim berdikari menjadi usahawan guaman

Sejak dari situ saya bertemu beberapa kali dengan Kassim yang kerap naik dan turun KL untuk menguruskan projek firma guamannya dengan Johan. Bila Kassim naik KL, kami akan bertemu dan berkumpul sekali di rumah Jamal berkongsikan perkembangan.

Diringkas cerita, projek firma guaman itu tak berjaya, projek kilang precision tools juga gagal dan akhirnya mahu tak mahu, Kassim meneruskan juga usahanya sendiri untuk membuka firma guamannya.

Saya kagum dengan Kassim kerana setelah tamat belajar jurusan undang-undang, dia tak pernah kerja makan gaji dan terlibat dalam projek kerjasama dengan Johan yang tak jadi. Akhirnya mencari jalan meneruskan aktivitinya sebagai seorang usahawan guaman.

Usahawan guaman yang naik terlalu pantas

Kassim nampaknya seorang yang bernasib baik. Dia berusaha gigih membina firma guamannya dan nampaknya dia berjaya dengan pantas. Saya melihat perkembangannya membuka pejabat di Seberang Jaya dan kemudiannya membuka cawangan di Kulim Kedah.

Dunia usahawan memang unik. Kami saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Bila mula kenal seorang usahawan, habis semua kenalan mereka akan turut sama dikenali. Begitulah Kassim dan saya akhirnya menjadi rapat apabila kumpulan semua usahawan di Pulau Pinang yang saya kenal turut sama menjadi kenalan rapat Kassim.

Antara rangkaian kenalan kami termasuklah usahawan bas kilang, usahawan pertanian, usahawan pembinaan, usahawan hospital swasta, dan banyak lagi. Kami sering berhubungan dan berkumpul walaupun saya ketika itu sudah menetap di KL.

Saya berkawan dengan Kassim dari zaman bujangnya sehiggalah dia mendirikan rumah tangga dengan seorang pramugari. Kassim sudah bergaya ketika itu. Kereta buruknya yang hampir tercabut pintu sudah berganti kepada kereta Mercedes.

Saya pernah berbual dengan kawan-kawan lain ketika itu yang menyuarakan pendapatnya terhadap Kassim. Mereka rasa Kassim naik terlalu laju. “laju sangat!, takut nanti jatuh tersungkur…!”, komen salah seorang kawan saya.

Usahawan guaman yang mula hutang keliling pinggang

Memang tepat kata kawan saya itu, tidak lama kemudian, saya dengar Kassim mula menghadapi masalah kewangan. Firma guamannya yang besar mula mengecut. Ramai pekerjanya lari dan kedengaran cawangannya di Kulim juga sudah bungkus.

Kassim mula dilanda masalah kewangan yang teruk. Saya pernah membantunya untuk mengaudit kedudukan perniagaan serta kewangannya ketika itu. Pada waktu itu masalah utamanya adalah kedudukan aliran wang perniagaannya yang tidak cantik.

Di atas kertas, jumlah wang yang ada jauh melebihi jumlah wang yang dia berhutang. Masih sempat untuk diselamatkan ketika itu jika diberikan tumpuan dan menguruskan semula aliran tunainya dengan betul. Saya dapati Kassim amat lemah dalam bab penjagaan akaun.

Pada waktu saya menyemak perniagaannya, dia tidak punyai catitan yang lengkap terhadap transaksi perniagaannya. Siapa yang telah diinboiskan dan siapa yang sedang berhutang dengannya tidak dipantau dengan teliti. Dia hanya kelam kabut menguruskan orang yang sering mengejar wang mereka dan terlupa pada urusan kutip hutang.

Saya bersama dengan seorang lagi kawan membantu menguruskan sistem kewangan dan akaunnya. Nampak macam ada jalan. Selepas itu saya pulang ke KL dan kawan yang lain membantunya.

Tetapi nampaknya perniagaannya tidak dapat diselamatkan lagi. Kassim mula pula berhutang dengan Along. Ini menjadi racun paling berbisa yang mana akhirnya Kassim menjadi tidak keruan.

Masalah demi masalah menimpa Kassim

Bila perniagaan kelam kabut, wang mula menjadi bahan pupus, fikiran sudah tentu akan berserabut. Ditambah pula dengan masalah rumah tangga…akhirnya semua berantakan dan Kassim tinggal sebatang kara.

Kassim sekarang sudah berhijrah ke KL sekarang. Dia sedang membina kehidupan baru. Harapan masih ada jika Kassim terus berusaha. Saya masih berkawan rapat dengannya dan banyak yang saya belajar daripada kesilapannya yang lalu.

Sebenarnya berkawan dengan orang yang pernah naik ke atas dan kemudiannya jatuh turun merudum banyak memberikan manfaat. Banyak ilmu kesilapan yang perlu dielakkan boleh ditimba dari mereka.

Masa masih belum tamat, dunia masih belum kiamat, walaupun Kassim masih dibelenggu hutang keliling pinggang, dia masih menaruh harapan. Tiap kali saya ada masalah kewangan, melihat Kassim sahaja saya merasa lega kerana dia lebih teruk daripada saya.

Jika Kassim usahawan guaman yang pernah hebat satu masa dulu dan kini menjunam dengan hutang keliling pinggang, dan masih tenang tetap mencuba untuk naik semula…kenapa saya nak risau. Saya sepatutnya bersyukur terhadap apa yang saya ada. Moga cerita ini ada manfaatnya. Lepas ini saya akan cuba senaraikan semua kesilapan Kassim…saya akan paksa dia senaraikan satu persatu untuk dikongsi dengan semua pembaca.

 

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

13 comments

  1. saya suka ayat ini:
    Tiap kali saya ada masalah kewangan, melihat Kassim sahaja saya merasa lega kerana dia lebih teruk daripada saya

  2. ini kassim yang pernah tuan tulis artikel pasal dia sebelum ni??munkin kassim perlu menuntut dgn
    tuan selapas ni…hrp beliau succes…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge