Kenapa ada orang yang sukses dalam satu-satu perniagaan yang dia buat dan kenapa ada orang yang lansung tak sukses dalam perniagaan yang sama?

Kalau anda seorang usahawan yang sedang usahakan sesuatu perniagaan, tentu soalan ni sering menghantui pemikiran.

Tambah lagi jika anda merupakan seorang bekas usahawan, yang dah bungkus perniagaan yang diusahakan sebelum ini dan sekarang sedang pening mencari idea perniagaan yang baru pulak.

Soalan ini memang sangat getir. Kenapa orang lain yang buat perniagaan yang sama boleh sukses, sedangkan anda buat perniagaan sama tak berapa nak menjadi. Atau mungkin gagal terus, dan membawa kepada gulung tikar.

Saya pun fikirkan perkara yang sama saban waktu. Sehinggalah saya baca satu buku baru yang agak menarik. Buku itu menceritakan pasal sukses yang ditulis berdasarkan kajian secara saintifik.

Bagi yang berminat, boleh beli dan baca buku tersebut. Tajuknya The Formula – The Universal Laws of Success. Penulisnya ialah Albert-Laszlo Barabasi.

Penulis buku itu merupakan seorang saintis. Jadi saya rasa buku tersebut agak berbelit-belit, tidak ringkas dan agak sukar untuk difahami. Memang penulis jelaskan yang bukunya bukan masuk dalam kategori ‘self-help’.

Susunan buku itu sepatutnya boleh dipermudahkan dengan lebih santai dengan penerangan langkah demi langkah. Supaya orang awam yang tak berapa bijak macam saya mudah memahaminya dengan sekali baca.

Namun begitu, disebabkan saya sangat teringin nak tahu apa yang dia jumpa berdasarkan kajiannya, maka saya beratkan juga kepala ini untuk baca sampai habis.

Tentu menarik untuk anda ketahui apa yang buku tu ceritakan!

Maksud sukses dalam perniagaan

Sebelum teruskan artikel ini, elok saya terangkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan sebagai sukses yang dikaji oleh penulis buku tersebut di atas. Sukses yang dia tulis adalah umum dalam apa saja bidang.

Tapi saya cuba fahamkannya dalam ‘sukses di dunia keusahawanan’. Sebab memang itupun usahawan dan saya sendiri nak tahu.

Perkara paling penting yang anda perlu faham dalam bab sukses ini adalah, sukses bukanlah berkenaan diri anda sendiri atau berkenaan kehebatan anda.

Sukses sebenarnya lebih merujuk kepada orang ramai. Bagaimana orang tahu tentang anda dan bagaimana persepsi orang ramai terhadap kehebatan anda. Dalam ayat penulis, dia terjemahkan sukses sebagai,

“Kejayaan adalah ganjaran yang anda dapat dari masyarakat sekeliling”

Mungkin anda seorang yang sangat hebat. Atau mungkin produk anda tersangat hebat jika dinilai oleh pakar. Tapi kalau seorang pun tak tahu pasal diri anda atau produk tersebut, semuanya tidak akan punya makna.

Tidak ada sukses dalam pencapaian anda tersebut. Tidak punya apa-apa makna jika diri anda yang hebat atau produk hebat tersebut tidak dianggap hebat oleh orang ramai.

Jadi, sukses dalam dunia nyata ini adalah berkenaan orang ramai.

Anda boleh ambil pendekatan lain pasal sukses dengan anggap ianya adalah peribadi. Untuk diri anda sendiri sahaja. Anda lebih utamakan kepuasan diri. Peningkatan diri sendiri secara dalaman. Atau pengalaman peribadi yang anda kecapi seorang diri.

Tak kisah jika tak ada seorangpun penduduk di bumi yang tahu.

Itu pendekatan kerohanian dan peribadi yang saya tak mahu sentuh kat sini. Kalau anda selesa pendekatan sukses dengan cara itu, panduan sukses di sini adalah tidak relevan.

Sukses dalam perniagaan dan masyarakat

Suka atau tidak. Hakikat amalan hidup kita selama ini lebih cenderung melihat sukses secara luaran sebagaimana penulis katakan. Kita lebih mengiktirah sukses berdasarkan ganjaran yang anda dapat dari masyarakat sekeliling.

Mungkin kemahsyuran, mungkin pendapatan. Seperti artis yang semua orang kenal. Seperti jenama produk yang sangat menonjol. Seperti celebrity atau ahli sukan yang banyak penaja. Dan lain-lain lagi seumpamanya. Semuanya adalah ganjaran dari masyarakat sekeliling ang mengiktiraf pencapaian anda. 

Bila sentuh pasal perniagaan. Semua perniagaan wujud untuk selesaikan masalah masyarakat atau orang ramai. Pelanggan kepada produk (atau servis) yang perniagaan anda tawarkan ialah orang ramai.

Walaupun perniagaan anda disasarkan kepada syarikat atau organisasi. Di hujungnya nanti akan pergi kepada orang juga.

Jadi perniagaan yang seorang manusiapun tak tahu, atau syarikat yang seorang manusiapun tak kenal, memang akan lari jauh daripada maksud sebenar berniaga. Kalau bisnes anda itu laku keras juga dalam keadaan tak ada orang kenal produk atau syarikat anda, memang itu satu keajaiban.

Bukan setakat masyarakat kenal produk atau syarikat anda itu. Malah perlu dianggap bagus dan hebat. Persepsi mereka lebih penting berbanding persepsi anda sendiri sebagai tuan punya syarikat. 

Oleh itu, amat jelas bahawa dunia keusahawanan perlu melihat sukses dalam maksud yang diterangkan oleh penulis buku tadi.

Macam mana nak sukses dalam perniagaan

Kalau anda dah boleh terima pra syarat kat atas tu, jom kita lihat macam mana nak jadikan perniagaan, syarikat atau produk anda sukses.

Apa yang perlu ada yang boleh membuatkan perniagaan anda sukses.

1. Produk wajib bagus

Produk bagus bukan satu pilihan. Suka atau tidak suka anda perlu pastikan produk atau servis yang ditawarkan wajib bagus. Diiktiraf oleh orang yang pakar yang tahu berkenaan industri tersebut.

Kalau setakat suam-suam kuku saja, jangan nak harap anda boleh paksa untuk jadikan perniagaan anda sukses.

Mungkin boleh jual. Tapi jualannya sekadar cukup makan saja dan jangan nak harap untuk pergi jauh menjana keuntungan berlipat ganda.

Jadi, berusahalah. Berfikirlah. Carilah jalan untuk pastikan yang produk atau servis yang perniagaan anda tawarkan adalah masuk dalam kategori bagus dan hebat dalam semua sudut.

Kegunaan, penampilan, bungkusan, penerangan, penyampaian, penghantaran, pembuatan … dan lain-lain lagi. Semuanya wajib bagus hebat!

Tapi produk bagus saja masih tak cukup. Terlalu banyak produk yang sangat hebat tetapi hilang begitu saja dalam pasaran tidak sempat untuk dikenali. Anda perlukan faktor lain untuk sukses. Lihat kat bawah ..

2. Perlu jaringan yang betul

Produk yang bagus perlu diperkenalkan kepada jaringan kenalan yang yakin bahawa produk anda sangat berguna untuk dirinya. Mereka lihat produk anda dapat memenuhi apa yang mereka cari dan seterusnya buat keputusan untuk sebarkannya dengan lebih meluas.

Kalau nak produk atau servis anda sukses, malah jika anda mahu diri anda itu sendiri sukses, tak dapat elakkan diri dari membina jaringan kenalan, orang-orang yang penting. Orang yang akui kehebatan, produk, atau diri anda sendiri. Mereka juga percaya kehebatan itu amat berguna untuk diri mereka.

Dan yang lebih penting, mereka ada keupayaan untuk melonjakkan produk anda tersebut. Mungkin status kedudukan mereka. Mungkin jaringan kenalan yang mereka ada. Mungkin kuasa yang ada pada mereka.

Banyak produk yang ambil kesempatan dari popularity artis atau ahli sukan. Kedua-duanya ambil kesempatan antara satu dengan yang lain. Itu contoh ketara yang semua orang boleh lihat.

Institusi pendidikan yang hebat-hebat terkenal juga buat perkara yang sama. Mereka akan kumpulkan semua pelajar yang memang hebat. Yang kalau tak masuk universiti hebat itupun dah tetap hebat. Institusi pendidikan tersebut hanya tumpang kehebatan pelajar yang dia ambil saja. Mereka saling guna menggunakan.

3. Masa dan keadaan yang sesuai

Bila produk dah bagus, dah ada kenalan yang berpengaruh, anda masih belum selesai kerja lagi.

Jangan terus terjah secara tergopoh gapah untuk perkenalkan produk tersebut. Kaji terlebih dahulu masa dan ketika yang paling sesuai. 

Bila anda berurusan dengan manusia, masa dan ketika yang sesuai memainkan peranan yang amat besar dalam membuat keputusan. Contoh paling mudah yang anda boleh perhatikan adalah dalam urusan temuduga.

Perhatikan bagaimana kebiasaannya calon yang awal amat nipis kemungkinannya untuk dipilih. Manakala calon yang akhir biasanya paling tinggi kemungkinan untuk dipilih.

Kalau anda mahu perkenalkan produk anda yang bagus itu ketika buat pitching pada pelabur atau mentor yang berpengaruh, pastikan anda bukan peserta yang awal!. Lebih baik jika anda jadi peserta paling akhir.

Emosi dan mood manusia juga memberikan kesan besar kepada semua keputusan. Perlu aji semua perkara tersebut dalam apa saja urusan yang memerlukan bantuan orang lain. Jangan main hentam ikut suka hati saja.

4. Perlu jadi pemimpin yang hebat

Bila jadi usahawan, anda terpaksa bina sekumpulan pembantu yang hebat-hebat.

Kebiasaannya, sumbangan anda dari segi kerja bukanlah yang paling besar. Pembantu sekeliling anda itulah yang jauh lebih penting memainkan peranan untuk menjayakan semua usaha anda. Anda perlukan para pembantu yang lebih hebat dari diri anda sendiri.

Peranan penting yang perlu anda pegang adalah untuk pastikan semua bergerak menuju ke arah yang sama. Tenaga pergerakan secara berkumpulan yang menghentam pada satu titik yang sama akan menghasilkan kesan yang berlipat kali ganda.

Anda juga perlu bersedia untuk duduk di bawah ‘spotlight’. Menjadi perhatian semua orang bila tiba masanya dan diperlukan. Walaupun anda tahu sumbangan dari pembantu sekeliling anda adalah jauh lebih besar, tapi memang macam tu yang sering berlaku, mereka biasanya tidak menjadi perhatian.

Andalah yang perlu sanggup mengambil peranan itu.

Kalau anda tak ada keupayaan untuk memimpin, asyik tolak orang lain ke depan, malu-malu kucing, alamat impian untuk sukses keras tidak akan berlaku.

5. Sukses buat sukses

Pernah dengar ayat ‘duit buat duit’?

Memang itulah yang yang sering berlaku. Bila anda ada duit banyak, anda akan mampu buat duit dengan lebih banyak. Bila anda sukses, anda akan mencipta sukses lagi dengan lebih banyak.

Sukses macam besi berani atau magnet. Ia menarik semua sukses lain menjadi lebih besar secara berganda-ganda. Apa yang anda perlukan hanyalah satu titik mula untuk bergerak.

Contohnya yang mudah adalah bila ada orang masukkan duit dalam mangkuk peminta sedekah. Masukkan pertama itu akan mencetuskan kemasukkan penderma yang lain. Lagi laju masuk, maka lagi lajulah kemasukkannya akan berterusan.

Bila ada orang pertama yang penting memberikan komen secara terbuka pada produk anda, ini akan menarik pengkomen lain yang akan datang bertimpa-timpa. Dan sedar tak sedar, anda sedang duduk diatas timbunan sukses yang tinggi.

Peminta sedekah dah lama tahu fenomena ini. Mereka akan letak duit sebagai denak awal untuk menarik penderma lain. Kaki jual online juga dah lama tahu teknik ini. Mereka akan buat fake profile untuk jadi kaki komen awal pada produk mereka.

Ada penceramah yang buka tawaran istimewa pendaftaran dalam seminar yang dia lakukan. Sebaik saja dibuka, akan ada sekumpulan orang yang lari deras untuk rebut peluang mendaftar yang mahal. Hasilnya, jika anda ada kat situ akan bangun lari pergi mendaftar juga.

Nak buat macam mana. Manusia memang macam itu. Gerai yang panjang orang beratur itulah yang akan dipilih oleh pelanggan yang baru datang ..

Terpulang samada anda nak jadikan pencetus awal itu secara palsu atau secara jujur. Kedua-duanya akan memberikan kesan berganda. 

6. Jangan berhenti mencuba

Kejayaan adalah gabungan sempurna dari berbagai sudut yang berlaku secara teratur dan kena pada masanya.

Ada masanya, malah banyak kali, apa yang anda buat akan gagal dek berbagai sebab. Susunan dan ketikanya tidak kena atas berbagai faktor yang tak dapat dielakkan.

Orang yang anda lihat sukses keras sekarang juga alami perkara yang sama. Malah mereka juga masih tetap akan lakukan kesilapan demi kesilapan yang membuatkan projek atau usaha gagal.

Yang membezakan orang sukses dengan yang tidak hanyalah kegigihan berusaha lagi dan lagi. Lebih banyak anda mencuba, lebih tinggi untuk anda mencipta sukses. 

Cipta sukses dalam perniagaan anda sekarang

Ada banyak kelemahan yang saya kenal pasti bila dah hadam buku yang saya sebut kat atas tu. Sekarang terpulang samada nak betulkan dengan bersungguh-sungguh atau tidak.

Anda juga tentu sedang fikirkan samada nak amalkan apa yang saya sebutkan di atas tadi tau tidak. Kalau masih tak menjadi perniagaan anda itu, elok amalkan bermula dari sekarang.

Selamat berjaya !

Total
67
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge