Mandrem pelanggan anda dengan produk unik

By | 23/01/2013
menarik pelanggan dengan produk unik anda

Produk unik: Apakah aku sudah kena mandrem?

Dalam perjalanan ke mesyuarat lembaga pengarah Maahad Tahfiz Khalifah Abd Khalip di Tanjung Karang selepas zohor semalam, saya singgah sebentar untuk mengisi perut di sebuah restoran di Taman TTDI Jaya.

Selesai saja solat zohor berjemaah di sebuah surau di Puchong, saya terus bertolak ke sana walaupun ketika itu perut sedang berkeroncong lapar.

Namun saya teringat satu produk unik gulai kawah daging kambing di restoran tersebut dan tak mahu makan selain dari di restoran itu.

Bayangkan dalam banyak-banyak restoran sepanjang perjalanan dari Puchong menuju ke Tanjung Karang, saya hanya teringat kepada Gulai Kawah Daging Kambing!. Satu produk unik yang ada pada kedai makan itu.

Saya tak pasti samada Taukeh restoran itu tahu betapa tarikan produk inuk, gulai kawahnya itu telah berjaya membuatkan saya padam kesemua hasrat untuk makan di restoran lain. Saya juga tak pasti bagaimana dengan pelanggan lain yang datang ke situ, apakah mereka juga mahu produk unik itu.

Tetapi setiap kali saya ke sana dalam waktu pukul 2 petang seperti itu, gulai kawah daging kambing hanya tinggal perca daging sekadar cukup untuk saya makan seorang. Terpaksa saya menyenduk gulai mencari saki baki daging yang ada di dalamnya.

Maknanya gulai kawah itu memang produk unik yang sentiasa menjadi antara lauk paling awal habis terlebih dulu berbanding lauk yang lain. Ini menunjukkan ada ramai lagi yang berfikiran sama seperti saya untuk menghabiskan kesemua dua kuali besar lauk tersebut.

Produk unik daya penarik perniagaan anda

Inilah yang saya namakan sebagai faktor penting yang membuatkan orang mahu membeli daripada perniagaan kita selain daripada harga. Mesti ada sekurang-kurangnya satu produk unik.

Ketika mengisi lauk tadi saya tidak terfikirkan tentang harga atau membandingkan harganya dengan restoran lain. Namun begitu setiap kali mengisi nasi separuh pinggan berserta beberapa ketul daging kambing penuh suku pinggan ditambah dengan segelas air suam, harga yang dikenakan hanya RM6.00 sahaja.

Bagi saya itu merupakan harga yang murah yang saya anggap sebagai bonus disamping kelazatan rasanya. Jika dia mengenakan caj yang lebih sedikitpun saya akan pergi juga bila teringat produk unik gulai kawah daging kambing.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah, faktor harga tidak sepatutnya menjadi perkara asas yang kita jadikan bagi melariskan perniagaan.

Sesiapa saja boleh lawan harga terutamanya bagi usahawan yang baru. Mereka lebih pakar dalam bab letakkan harga murah.

Oleh itu fikirkan apakah faktor lain selain harga yang membuatkan pelanggan sanggup membeli barangan atau perkhidmatan anda secara konsisten.

Cari apakah perkara atau produk unik yang ada pada perniagaan anda. Jika tiada jawapannya, anda boleh merujuk pada pelanggan yang dilihat amat setia mengulang beli dari anda.

Raikan pelanggan sebegitu dan biarkan mereka ceritakannya pada anda. Jika anda dapat memahami mereka dengan mendalam, anda berpeluang untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan yang mempunyai citarasa yang sama sepertinya.

Semakin ramai mereka tahu kewujudan anda, semakin jauh anda meninggalkan pesaing lain. Triknya di sini adalah “mengetahui apakah faktor penarik atau produk unik yang ada dalam produk atau servis anda?”

2 thoughts on “Mandrem pelanggan anda dengan produk unik

  1. zuhaimi rameli

    Saya amat tertarik sekali tentang artikal tuan tulis,saya menjlnkan bisnes secara kecilan. Perkongsian idea yg amat2 berguna. Terima kasih

    Reply
  2. tokey mainan

    Terima kasih atas nasihat dan panduan tuan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge