Stokpic
Stokpic

Rata-rata usahawan yang berjaya menjana pendapatan yang cukup banyak mempunyai lebih daripada satu perniagaan.

Jika kita lihat senarai 100 usahawan paling kaya di Malaysia, tak ada seorangpun usahawan yang hanya memiliki satu saja syarikat atau satu saja perniagaan.

Itu semua meransang usahawan yang sedang menjalankan satu perniagaan untuk bercita-cita tambah perniagaan baru satu lagi.

Tambahan pula, kita biasa melihat bagaimana usahawan yang tetap setia dengan satu perniagaan kecil kekal begitu sahaja dari dulu sampai sekarang tak kaya sangat (pandangan dari mata luaran).

Itu merupakan satu lagi andaian yang menguatkan hasrat untuk tambah perniagaan satu lagi jika ada peluang.

Secara umumnya, usahawan yang bercita-cita tambah perniagaan demi perniagaan dalam pemilikannya sudah tentu mempunyai cita-cita tinggi. Sekurang-kurangnya untuk masuk dalam senarai 100 terkaya di Malaysia.

Sebab biasa usahawan tambah perniagaan

Ada beberapa sebab kenapa usahawan yang sedang menjalankan satu perniagaan menambah satu lagi perniagaan baru.

Berikut saya senaraikan antara sebab-sebab yang mungkin:

  1. Mempelbagaikan jenis perniagaan – Ini amalan biasa usahawan yang sedang bersemangat. Teorinya mudah, kalau perniagaan yang sedang dijalankan ‘jalan’, ada satu lagi perniagaan sebagai back-up. Jadi kalau ada banyak perniagaan lagi bagus. Begitulah andaiannya, selain dari untuk tambah sumber pendapatan, ia juga sebagai langkah menyediakan satu lagi sistem pertahanan daripada jatuh terlingkup.
  2. Bosan dengan perniagaan yang ada – Ada juga usahawan yag setia membina perniagaannya dalam tempoh masa yang lama. Tapi bila dah lama sangat kedudukan masih macam tu juga, masa tak pernah ada, sibuk semacam tapi duit tidak bertimbun tinggi, maka kebosanan itu diterjemahkan pada mencari perniagaan baru.
  3. Ada duit lebih – Duit lebih mungkin datang hasil daripada keuntungan yang dijana oleh perniagaan semasa. Duit lebih juga mungkin sebab hutang yang diberikan oleh institusi kewangan atau perbankan. Bila dah ada duit tapi tak nampak bagaimana duit itu dapat meningkatkan perniagaan semasa, jalan mudah adalah tambah perniagaan baru satu lagi.
  4. Tidak menguasai perniagaan sekarang 100% – Ramai usahawan yang mula berniaga dengan rakan kongsi. Itu membuatkan pemilikan tidak penuh 100%. Sudah tentu tak berapa puas dan ingin ada satu perniagaan milik penuh. Bila ada saja peluang, maka satu lagi perniagaan dibentuk.
  5. Peluang yang tak boleh dilepaskan – Usahawan yang dapat bertahan lama dalam sesuatu perniagaan dan mampu sara kehidupannya sering dilihat ada duit. Di mana ada duit di situ ada kawan datang, terutamanya kawan yang rasa dia ada idea atau peluang, tapi tak ada duit. Bila kena persembahannya, siapa saja akan mudah tergoda.

Mungkin ada banyak lagi sebab kenapa usahawan yang sedang menjalankan satu perniagaan sekarang mahu tambah perniagaan satu lagi, tapi cukuplah setakat contoh yang saya berikan di atas tadi untuk membolehkan anda faham kenapa nak tambah perniagaan satu lagi.

Hasil tambah perniagaan

Walau apapun alasan yang anda berikan untuk tambah satu lagi perniagaan baru, biasanya akan berlaku dua perkara berikut, jika masa untuk tambah perniagaan belum sesuai.

Anda akan alami dua jenis kebakaran jika silap percaturan tambah perniagaan bukan pada masanya:

  1. Kebakaran hangus tenaga
  2. Kebakaran hangus duit

Percubaan tambah perniagaan baru sedangkan yang sedang diusahakan masih tidak stabil dan tidak menjana keuntungan yang cukup memang akan mendatangkan masalah besar pada usahawan.

Masa mula sahaja anda akan rasa bersemangat untuk hayun sini dan hayun sana mengawal keadaan kedua-dua perniagaan yang sedang diusahakan.

Bila dah berlarutan beberapa lama, tambahan pula perniagaan lama makin merosot sebab kurang tumpuan, dan perniagaan baru masih tak nampak cahaya menjana duit, tenaga akan mula habis.

Masa itu mula rasa macam menyesal. Timbul tanda tanya apa nak buat sedangkan duit dah dilaburkan banyak, tenaga juga dah banyak terkorban.

Disebabkan emosi rasa sayang dan dengan harapan untuk ambil balik semua wang dan tenaga yang telah dicurahkan, usaha diteruskan juga.

Tenaga makin merosot, fikiran makin celaru dan tekanan makin tinggi. Akhirnya ia benar-benar membakar semua duit anda dengan banyak.

Sampai dah habis hangus dan tak boleh diteruskan lagi, tidak ada pilihan selain dari berikan tumpuan semula pada perniagaan asal.

Satu pengajaran besar berlaku dan anda bersikap positif. Bina semula perniagaan yang ada dan ianya kembali berkembang, mungkin lebih baik.

Alangkah baiknya kalau tak perlu tunggu lama untuk hentikan percubaan tambah perniagaan tadi lebih awal ?

Masa yang sesuai tambah perniagaan

Jika anda tanya saya bilakah masa yang sesuai untuk tambah perniagaan satu lagi, saya akan jawab setelah perniagaan yang mula stabil dan dibina dengan baik.

Perniagaan mula mestilah berupaya menjana keuntungan dengan baik serta mempunyai kumpulan tenaga kerja yang baik dan boleh diharapkan.

Perniagaan mula juga mestilah mempunyai sistem cara kerja yang berkesan yang bergerak sendiri tanpa perlu kehadiran taukeh sepanjang waktu.

Untuk menghasilkan semua tersebut di atas, anda perlukan sekurang-kurang 5 ke 7 tahun. Itupun jika anda ada ilmu melaksanakannya atau mendapatkan khidmat orang yang mahir dan berpengalaman untuk membantu anda.

Proses membina perniagaan bukanlah mudah. Tak ada orag yang mampu buat semua itu dalam tempoh setahun dua.

Jadi jika anda baru setahun atau dua berniaga, dan dah beriya-iya nak buka cawangan atau perniagaan baru, fikir masak-masak dan pertimbangkan semua keadaan terlebih dahulu.

Jangan terburu-buru kalau tak mahu tenaga dan duit anda terbakar sia-sia.

Sekadar nasihat berdasarkan pengalaman.

Kalau nak ikut, silakan, kalau nak cuba teruskan !

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge