Man-Selling-Street-Food-In-BangkokKalau nak diikutkan rasa ‘mahu’, dah tentu hampir semua orang nak jadi usahawan. Impian untuk jadi usahawan atau lebih sedap, businessman ni dah mendapat tempat yang agak istimewa kalangan masyarakat kita sekarang.

Berbanding zaman saya kanak-kanak dulu, mungkin dalam lingkungan 20 ke 30 tahun yang lalu, orang yang berniaga punyai saham yang cukup rendah di kalangan ibu bapa yang ada anak dara.

Banyak kejadian dalam masyarakat dulu saya lihat adik beradik berkelahi riuh rendah sebab tak sehala dalam membenarkan anak dara mereka berkahwin dengan pemuda yang kerjanya berniaga.

Walaupun saya masih kecik berhingus, segala perbualan orang tua-tua saya dengar dan teliti secara diam. Mungkin mereka ingat saya tak akan faham apa yang diperbualkan, tapi saya boleh juga tangkap secara berhingus mana yang mak bapak suka dan tak suka terhadap bakal menantu mereka.

Kesimpulan mudah ketika itu adalah, makan gaji bererti punya pendapatan tetap yang stabil. Manakala berniaga tidak ada pendapatan tetap dan kedudukan kewangan adalah tidak stabil.

Beza jadi usahawan berbanding makan gaji

Dari satu sudut, memang benar andaian orang tua-tua dulu bahawa makan gaji bererti punya pendapat tetap dan kerja yang stabil. Berniaga itu tiada tetap pendapatannya dan macam-macam boleh berlaku.

Mungkin disebabkan orang kita lebih suka hidup sederhana, makan dan ada tempat tinggal sekadar boleh, sudah memadai, maka makan gaji jadi pilihan utama.

Tidak hairanlah seorang jejaka kampung yang berjaya sekadar menjadi kerani sekolah jadi rebutan mak bapak yang ada anak dara.

Namun begitu, apa yang orang tua-tua dulu tak nampak adalah potensi terhadap hasil pendapatan, yang membezakan antara usahawan dengan mereka yang makan gaji.

Jika anda berniaga, potensi untuk menjana duit dan kekayaan tidak ada had tingginya.

Saya masih ingat salah seorang kawan yang kerjanya asyik berniaga selepas SPM pada saya, lebih kurang begini katanya –

” Orang yang berniaga ini, batas pencapaiannya adalah langit…! “

Perkataan itu diucapkannya ketika dia masih tak ada apa-apa. Itu keyakinan yang ada pada dirinya ketika masih terkial-kial ke sana sini cuba mencari sesuap nasi meneruskan kehidupan.

Bukannya dia tak ada pelajaran dan kepandaian, tapi, dia tetap dengan impian mengejar kajayaan dan kekayaan setinggi langit.

Nak tahu apa yang jadi padanya sekarang…?

Sekarang rumahnya saja dibeli tunai lebih RM2 juta. Ada Ferrari, motosikal berkuasa besar sampai 3 ke 4 buah. Siap ada motosikal koleksi berkuasa besar yang disimpan dalam kotak kaca. Ada nilai komersial jangka panjang katanya.

Pendapatannya tak payah cakap. Simpanannya juga anda sendiri boleh cuba bayangkan. Bila bosan, dia naik motosikal keliling dunia. Bila letih, ditinggalkan motosikal di luar negara, suruh orang uruskan penghantaran dan dia balik naik kapal terbang.

Itu adalah contoh ekstrim kejayaan seseorang yang kerjanya jadi usahawan. Bermula secara kecil, mencari dan mencari, membuat transformasi demi transformasi sampai jadi begitu.

Tak ada seorangpun kawan-kawan yang makan gaji dapat membuat lonjakan sebegitu. Mungkin anda yang membaca ada kawan yang makan gaji dapat hidup dan kumpul kejayaan dan kekayaan cuba beritahu saya.

Kalau ada, mungkin dia ketua pengarah kerajaan atau pegawai  syarikat swasta yang ada kuasa, yang terlibat dalam pemberian projek dan seumpamanya…., saya tak nampak lagi cara lain untuk kumpul kekayaan luar biasa dengan cara makan gaji.

Makanya, beza antara makan gaji dan jadi usahawan adalah,

  • Orang makan gaji pendapatannya lebih stabil dalam tempoh masa tertentu sebelum syarikat tempat kerjanya bungkus atau pindah ke negara lain. Tetapi potensi mendapat peningkatan pendapatannya adalah amat terhad.
  • Orang yang jadi usahawan pula, pendapatannya tidak stabil seperti yoyo naik dan turun dalam tempoh tertentu. Tapi potensi untuk menjana pendapatan yang tinggi tidak ada hadnya.

Orang macam mana biasanya jadi usahawan

Sekarang zaman para usahawan dipandang rendah sudah berlalu. Malah kerajaan juga sedar betapa pentingnya negara melahirkan lebih ramai usahawan demi menjana ekonomi negara.

Ibu bapa yang ada anak dara juga sering terliur dambakan menantu yang punya perniagaan besar dan berjaya. Isu pendapatan tak stabil bukan lagi menjadi halangan.

Apa kisah stabil atau tak stabil jika masa rendah pendapatannya sebulan RM20 ribu, dan masa tinggi pendapatannya RM10 juta sebulan !.

Jika anda masih bujang, masih muda dan mahu jadi jejaka idaman orang tua-tua yang ada anak dara untuk diserapkan sebagai menantu harapan, maka cuba pertimbangkan untuk memilih jadi usahawan.

Soalan penting yang perlu difikirkan adalah bagaimana agaknya orang yang biasanya berakhir menjadi usahawan.

Mengetahui golongan yang biasanya jadi usahawan itu penting supaya sekurang-kurangnya jika masih tak ada, anda masih ada masa untuk menyusun kehidupan ke arah itu.

Untuk makluman anda, berdasarkan kajian terhadap 2000 pelajar dari Jerman, orang yang biasanya menjadi usahawan adalah dari golongan yang dipanggil,

” Jack of all trades, masters of none”

Kajian tersebut membuktikan bahawa mereka yang mempunyai kesimbangan dalam berbagai perkara, tahu banyak benda, mampu bergaul dan kenal ramai orang, tetapi tidak punya kemahiran mendalam dalam mana-mana urusan, akan berakhir menjadi usahawan.

Manakala mereka yang punyai pengetahuan mendalam dan memberikan tumpuan penuh dalam satu jurusan berakhir dengan makan gaji.

Mungkin kerana terpaksa korbankan masa, berikan tumpuan untuk mengorek satu perkara itu sedalam mungkin membuatkan mereka tak sempat ambil tahu urusan lain. Pengorbanan masa terhadap kerja tersebut juga membuatkan mereka tak ramai kawan.

Anda boleh rujuk kajian tersebut di sini.

Sediakan diri untuk jadi usahawan

Anda bagaimana sekarang? ada tak ciri-ciri sebagaimana yang saya terangkan di atas?

Kalau masih lagi bukan begitu, boleh mulakan sekarang. Masa masih ada. Umur bukanlah jadi sekatan sebenarnya.

Buang faktor umur, buang apa yang ada percaya terhadap dri anda, dan mula buat perubahan sedikit demi sedikit. Kalau anda rasa anda seorang pendiam tak reti berkawan dan seumpamanya, buang kepercayaan itu, siapa kata anda begitu?

Apa yang anda boleh buat sekarang adalah:

  1. Bina jaringan kenalan. Pastikan ia mencakupi segenap jurusan. Jangan asyik kawan dengan geng kereta saja tanpa ada kenalan dengan geng lawyer. Lagi meluas kenalan anda lagi bagus. Ini membantu anda mendapatkan berbagai maklumat dan pandangan dari berbagai perspektif.
  2. Banyak membaca. Paksa diri untuk menjadikan buku sebagai salah satu kawan setia anda di kala sunyi. Adakan masa untuk bersunyi dengan buku. Jangan pula baca buku ketika duduk dengan kawan-kawan di kedai kopi. Begitu juga jangan asyik layari internet atau main FB ketika bersembang dengan kawan.
  3. Banyak berjalan. Ambil peluang sebanyak mungkin untuk merantau je tempat orang. Jauh perjalanan luar pemandangan. Buat kumpulan dua atau tiga orang untuk dijadikan teman mengembara.
  4. Perbanyakkan aktiviti. Libatkan diri dengan berbagai aktiviti yang ada di sekeliling anda. Paksa diri walaupun urat malas menebal di belakang. Samada aktiviti politik, aktiviti sukarela, aktiviti keagamaan, aktiviti riadah dan sebagainya, semuanya membantu menyuntik keseimbangan dalam pergaulan diri anda.

Ingat! walau apa yang anda sangka perkara negatif yang ada pada diri, ianya tidak benar. Anda boleh ubah semua itu dan jangan jadikan persepsi itu sebagai alasan untuk tidak bergerak dan berubah.

Jika anda benar-banar nak jadi usahawan, mulakan dari sekarang !

Total
39
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Assalamualaikum & hye. Saya pun rasa bersemangat nak jadi usahawan lepas baca post ni. Maaf ye Encik Shubhi. Saya nak ambil peluang kat sini untuk promote website saya. Mungkin agak tak proper cara ni. Tapi mungkin ada sesiapa kat sini yang sedang mencari baju baju atau beg untuk insan tersayang. Bolehlah singgah di website saya. Terima kasih semua & Encik Shubhi. 🙂

  2. “Jika anda masih bujang, masih muda dan mahu jadi jejaka idaman orang tua-tua yang ada anak dara untuk diserapkan sebagai menantu harapan, maka cuba pertimbangkan untuk memilih jadi usahawan.”

    Tiba-tiba je semangat keusahawananku menjulang tinggi …

    1. Setuju sgt… Rasenye orang yang peramah jela yang mempunyai masa depan cerah dalam perniagaan. Orang jenis ni boleh buat banyak networking. Kalau takde ciri-ciri tersebut, mungkin tinggal angan-angan jela kot nak jadi usahawan. Sgt sukar nak develop skill ni kalau secara semulajadinya dia seorang yang pendiam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge