Panduan #3 - Saiz pasaran yang mencukupiLanjutan daripada artikel yang lalu mengenai panduan mencari idea perniagaan, saya teruskan satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan oleh usahawan dan juga bakal usahawan dalam mencari idea perniagaan yang mahu dijalankan.

Selain daripada memikirkan tentang penyediaan sesuatu yang perlu untuk pengguna dan juga mempastikan perniagaan kita manawarkan sesuatu yang boleh dilihat dan difahami, usahawan perlu mempertimbangkan juga saiz pasaran dalam mencari idea perniagaannya.

Maksud saiz pasaran

Saiz pasaran bermaksud mereka atau orang atau kumpulan yang ada potensi menggunakan produk atau perkhidmatan kita. Walaupun tidak semestinya semua orang akan membeli, tetapi jika kena gayanya, sampai maklumatnya, mereka berkemungkinan akan menjadi pelanggan kita.

Untuk memudahkan lagi pemahaman, kita ambil idea perniagaan kedai kopi bertaraf tinggi yang mahu dibuka di Changkat Ibol, Perak. Agak-agaknya berapa besar saiz pasaran kedai kopi sebegitu jika dibuka di sana, ertinya berapa ramai orang yang mungkin akan masuk dan minum bersarapan atau makan tengah hari atau minum petang atau makan malam.

Apakah ada seratus orang sahaja? atau seribu orang atau 10 ribu atau lebih daripada itu?. Ingat! walaupun semua orang boleh masuk untuk makan dan minum di Kedai Kopi bertaraf tinggi yang mahu dibuka di situ, dengan kekangan harga, rasa kekok, dan citarasa kampung membuatkan mereka tak akan masuk ke dalam kedai kopi sebegitu di sana.

Saiz pasaran besar vs saiz pasaran kecil

Biasanya saiz pasaran yang besar adalah lebih bagus kerana kebarangkalian untuk mendapatkan pelanggan yang berminat dengan perniagaan kita adalah lebih tinggi.

Tetapi tidak bermakna saiz pasaran yang kecil tidak boleh menjadikan sesebuah perniagaan itu berdaya maju. Cuma masalahnya perniagaan yang punyai saiz pasaran kecil lebih tinggi risikonya, lebih tinggi kos menjalankan dan memasarkannya.

Jika perniagaan bersaiz pasaran kecil, pastikan harga yang ditawarkan adalah tinggi. Panduannya mudah saja. Semakin kecil saiz pasaran, harga yang ditawarkan perlu semakin tinggi.

Contoh ekstrem boleh dilihat dalam industri pembuatan kapal perang. Saiz pasarannya adalah sangat kecil. Kalau di Malaysia, bakal pembeli kapal perang hanyalah Kerajaan Malaysia sahaja.

Jika mahu meluaskan pasaran, terpaksalah usahawan menjualnya pada negara lain juga selain dari Malaysia.

Namun begitu, jika kapal perang yang kita bina dibeli oleh kerajaan, hasil keuntungannya boleh menyara kehidupan usahawan itu sepanjang hayatnya serta beberapa keturunan lagi. Ini disebabkan harganya adalah amat tinggi dan begitu juga dengan keuntungannya.

Saiz pasaran besar, harga tawaran rendah

Jika saiz pasaran kita amat besar, biasanya ia mesti diiringi dengan tawaran harga produk atau perkhidmatan yang rendah. Namun begitu, keupayaan menawarkan harga tinggi untuk perniagaan yang punyai saiz pasaran yang besar adalah satu kelebihan yang mesti dicari.

Saiz pasaran dengan harga tawaran yang rendah biasanya akan diiringi pula dengan tugasan kerja yang amat banyak. Bila dipertimbangkan kerja yang banyak dengan keuntungan yang nipis, orang yang bijak akan meninggalkan perniagaan bersaiz pasaran besar dan memilih kepada perniagaan yang bersaiz pasaran kecil.

Kenali saiz pasaran anda

Semakin tepat anda mengenali dan menaggarkan saiz pasaran dalam perniagaan anda, semakin mudah untuk menjayakan perniagaan itu.

Jika ditambah pula dengan ketepatan dan kefahaman terhadap tabiat dan kecenderungan saiz pasaran yang ada, perniagaan akan menjadi lebih mudah dan kos untuk memecah masuk pasaran menjadi lebih rendah.

Jika anda rasa mempunyai kebijaksanaan dan jaringan yang baik untuk sesebuah perniagaan yang bersaiz pasaran kecil, gunakan kelebihan itu untuk membina perniagaan yang sedemikian. Kerjanya kurang dan hasilnya tinggi.

Bagi mereka yang baru nak mula berniaga dan punyai modal serta pengalaman yang tidak banyak, pilihlah perniagaan yang ada saiz pasaran yang besar.

Memang keuntungannya agak kecil dan kerjanya amat banyak. Tapi itu adalah satu cara selamat untuk memulakan perniagaan dan menjayakannya.

Jayakan perniagaan sebegitu terlebih dulu, kumpul pengalaman dan modal dan dalam masa yang sama mencari peluang untuk membina perniagaan yang bersaiz pasaran kecil.

Kebiasaannya usahawan perlu pastikan ada hubung kait antara perniagaan mula yang bersaiz pasaran besar dengan perniagaan lanjutan yang bersaiz pasaran kecil.

Setakat itu saja perkongsian kali ini berkenaan panduan mencari idea perniagaan dalam bab saiz pasaran. Insyaallah akan disambung lagi dengan panduan lain selepas ini. Moga ada manfaatnya pada mereka yang sedang mencari idea perniagaan.

Total
5
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. terima kasih tuan berkongsi maklumat ni. Sememangnya saya pun baru berjinak2 dengan bisnes. tak pernah terfikir pula cara peletakan harga mengikut saiz pasaran. memang sangat berguna info ni dan akan saya apply kan dalam bisnes saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge