Panduan #4 - Modal permulaan yang minimaIni sambungan daripada siri panduan mencari idea perniagaan yang telah saya buat sebelum ini.

Kali ini saya cuba kongsikan pula bagaimana untuk mengambil kira modal permulaan yang minima sebagai salah satu daripada perkara yang perlu difikirkan dalam usaha mencari idea perniagaan yang mahu dijalankan.

Semua orang akan salahkan masalah tak ada modal yang membuatkan mereka tak jadi usahawan. Bagi kebanyakan orang modal adalah perkara wajib yang mesti ada untuk membolehkan sesebuah perniagaan itu dapat dijalankan.

Modal yang dimaksudkan di sini adalah modal dari segi wang ringgit.

Memang betul!, modal memang wajib ada kalau nak menjalankan apa saja perniagaan. Samada modal besar atau kecil, ia perlu disediakan oleh usahawan.

Tetapi ramai yang terlupa bahawa modal wang itu tidak semestinya kita yang keluarkan. Modal wang boleh didapati dari berbagai sumber. Antaranya adalah:

  1. Kita sendiri yang keluarkan melalui hasil wang simpanan
  2. Kawan-kawan
  3. Keluarga
  4. Bank
  5. Rakan kongsi
  6. Pelabur
  7. Dan lain-lain lagi orang yang ada duit tapi tak digunakan.

Modal permulaan yang minima mudah dapat pinjaman

Rahsianya di sini adalah, kita perlu “minta” daripada mereka yang ada duit untuk menjalankan idea perniagaan yang ada dalam kepala. Perkataan “minta” itu perlu diberikan perhatian kerana lain sumber, lain pula cara memintanya.

Kalau orang yang ada duit, tetapi tidak digunakan, dan apabila diminta tidak pula diberikan, ertinya cara minta itu adalah tidak betul. Oleh itu, carilah ilmu dari mereka yang ada pengalaman untuk pastikan setiap kali kita minta duit dari orang lain untuk berniaga akan diberikan dengan mudah.

Cuma perlu diingatkan di sini bahawa perkara asas yang memudahkan kita membuat permintaan mendapatkan duit dari orang lain adalah, “lebih rendah nilai yang kita minta, maka lebih mudah ianya akan dikabulkan”.

Oleh itu jika kita merangka satu perniagaan yang memerlukan modal permulaan yang minima, ia melancarkan lagi perjalanan merealisasikan perniagaan itu jika kita sendiri tidak ada modal.

Modal permulaan minima kurangkan risiko

Semua orang faham perkara risiko kehilangan wang yang dilaburkan dalam sesebuah perniagaan. Kadangkala wang lebur bukan bermakna perniagaan itu tidak ada harapan, cuma mungkin kita tertipu atau masih tidak cekap dalam selok belok perniagaan yang baru dijalankan.

Hilang wang atau lebur adalah lumrah dalam menjalankan sesebuah perniagaan jika tersilap langkah. Dari kesilapan itulah kita belajar dan menambahkan perlindungan dalam diri daripada terkena lagi di masa hadapan. Itupun jika perniagaan itu diteruskan juga.

Namun begitu, jika modal permulaan adalah besar, sekali lingkup, alamat susahlah kita mendapat kepercayaan untuk mendapatkan modal tambahan lagi.

Ini berbeza jika modal permulaan adalah minima atau kecil dan kita tahu di mana silap dan bersedia untuk memperbaiki keadaan bagi memastikan kesilapan tidak berulang. Untuk mendapatkan lagi modal tambahan yang biasanya kecil juga adalah jauh lebih mudah.

Modal permulaan yang minima, untung berkurang

Akibat daripada modal permulaan yang minima dalam memulakan sesuatu perniagaan adalah kurangnya keuntungan. Inilah salah satu faktor orang rasa tak selesa.

Memang betul dalam berniaga, lebih banyak untung lebih bagus. Maka bila nak banyak untung ramai usahawan fikirkan untuk melakukan semua proses merealisasikan perniagaannya itu sendiri.

Bila semua urusan nak buat sendiri, modal banyak perlu dikeluarkan. Sedangkan jika kita kongsikan peluang itu pada orang lain dengan ‘out-source’, tiada sebarang modal permulaan perlu. Ini membuatkan modal permulaan menjadi amat minima.

Lagipun, tiada perniagaan yang akan terus untung besar sebaik saja dimulakan. Kita perlu pastikan bahawa perniagaan kita ada pasaran terlebih dahulu dan kemudiannya barulah mengejar jumlah pelanggan yang diperlukan untuk membuatkan perniagaan tidak untung dan tidak rugi.

Dan selepas itu barulah difikirkan pasal untung banyak atau sedikit.

Bagaimana nak pastikan modal permulaan adalah minima

Seperti dalam contoh di atas, modal permulaan akan jadi rendah jika kita bermula hanya dengan aktiviti pemasaran sahaja. Tiada pejabat diperlukan, tiada premis perniagaan yang diperlukan dan tiada kakitangan yang diperlukan.

Contoh di atas adalah contoh ekstrim di mana hanya diri usahawan itu sahaja yang diperlukan. Tentu sukar jika perniagaan yang nak kita jalankan adalah sebuah perniagaan yang memerlukan premis seperti perniagaan kedai makan.

Tapi nak buat macam mana, kalau nak jadikan perniagaan kita memerlukan modal permulaan yang minima, perniagaan sebegitu tidak sepatutnya menjadi pilihan utama, melainkan kita ada banyak wang simpanan yang terpendam di dalam bank.

Kebanyakan daripada orang kita suka sangat nak buka kedai makan bila sebut bab nak berniaga. Itulah yang saya tak faham sedangkan perniagaan itu bukanlah satu pilihan yang paling baik dan bukan juga satu pilihan yang pasti jaya atau selamat.

Oleh itu, jika anda benar-benar nak berniaga, carilah satu idea yang hanya memerlukan modal permulaan yang minima sebagai salah satu panduan mencari idea perniagaan. Ambil masa sedikit untuk cari tak apa, jangan terburu-buru kerana tiada orang yang sedang mengejar anda!

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge