Panduan #6 - Berapa cepat boleh mula berniaga

Panduan #6 berkenaan berapa cepat boleh mula berniaga ini adalah artikel lanjutan daripada beberapa siri sebelum ini yang membicarakan panduan mencari idea perniagaan.

Biasanya ada dua kategori orang yang sedang mencari idea perniagaan. Pertama adalah mereka yang baru nak menjadi peniaga secara serius dan keduanya adalah mereka yang memang dah lama menjalankan perniagaan dan ada lebihan modal untuk dilaburkan pada satu perniagaan baru.

Panduan ini lebih sesuai untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak menjadi usahawan. Tidak diberikan tumpuan pada mereka yang sudah jadi usahawan dan sudah ada perniagaan yang berjaya dan sudah ada himpunan modal kewangan yang kukuh.

Seperti semua orang tahu, jika anda seperti saya yang tidak mempunyai Bin atau Binti Tan Sri atau Datuk Seri atau lain-lain gelaran kehormatan Tertinggi yang ada, kita berkongsikan kekangan yang sama dari segi modal kewangan, masa, kenalan dan juga kemahiran.

Oleh itu kalau nak juga jadi usahawan mestilah mencari satu kaedah yang terbukti baik dan dapat menyelamatkan kita daripada tenggelam dalam jurang yang sukar untuk naik semula.

Jika anda muda lagi seperti baru lepas habis SPM atau baru dalam lingkungan 20-an, anda masih ada banyak masa (secara adatnya) untuk mencuba dan gagal dan belajar daripada kegagalan.

Tapi jika umur dah meningkat, dah ada komitmen yang banyak serta tanggung jawab yang tinggi pada orang-orang di bawah tanggungan anda, ilmu yang mantap dan pendekatan yang terbaik mesti di cari agar dugaan tidak terlalu hebat sebelum berjaya muncul ke permukaan air.

Sebab itu saya perturunkan petua atau perkongsian sebagai panduan mencari idea perniagaan ini. Semua petua adalah berdasarkan pembacaan, pengamatan terhadap kawan-kawan usahawan lain dan juga dari pengalaman saya sendiri yang dah terjun berniaga dari bawah sampai ke tahap yang saya sampai sekarang.

Fikirkan soalan berapa cepat boleh mula berniaga

Apabila anda terjumpa satu idea perniagaan, selain daripada bertanya soalan-soalan dalam panduan no 1, 2, 3, 4 dan 5, jangan lupa tanyakan soalan ini,

Kalau aku nak buat perniagaan ini, bila aku boleh mula berniaga dengan apa yang aku ada sekarang?

Jawapan yang anda perlu cari adalah tempoh yang paling pantas yang boleh dicapai. Lagi lama anda terpaksa menunggu untuk membolehkan perniagaan dimulakan, semakin tidak bagus idea perniagaan anda.

Ada banyak sebab kenapa tempoh mula berniaga mesti secepat mungkin. Salah satu sebab paling utama adalah keperluan pada modal kewangan yang tinggi.

Semakin lama anda perlu tunggu sebelum dapat menjalankan idea perniagaan anda maka semakin tinggi dana permulaan biasanya diperlukan.

Cuba bayangkan jika perniagaan anda memerlukan tempoh masa selama 6 bulan sebelum mula masuk pasaran dan mula menjual. Gaji anda saja, katakan sebanyak RM3 ribu sebulan jika didarab kepada 6 bulan sudah menjadi RM18 ribu. Itupun jika sebaik saja anda mula berniaga, perniagaan dah dapat pecahkan titik break even.

Jika diambil kira juga masa untuk mula break even yang mungkin mencapai tempoh selama 6 bulan lagi, ertinya ada perlu tambahan RM18 ribu lagi untuk menyara kehidupan anda sahaja. Belum ambil kira kos perniagaan yang lain lagi.

Cari jalan agar cepat boleh mula berniaga

Usaha untuk cari jalan supaya boleh cepat mula berniaga memerlukan kreativiti yang tinggi. Dan kreativiti tinggi hanya ada jika anda ada banyak ilmu atau maklumat yang praktikal. Dan semua itu boleh didapati daripada hubungan bersosial dengan ramai kenalan usahawan lain yang sudah lama menjalankan perniagaan.

Oleh itu pastikan anda sering berkongsikan maklumat dan idea anda dengan rakan-rakan usahawan lain. Lebih ramai kawan-kawan yang pandai mengkritik idea anda lebih baik kerana mereka memberikan peluang pembaikan untuk anda selesaikan.

Jangan berfikiran negatif apabila anda mendapat kritikan tidak menggalakkan daripada rakan-rakan perniagaan anda. Sama juga jika kritikan itu datang daripada rakan-rakan yang tak berniaga sekalipun.

Anggaplah itu satu didikan percuma untuk anda belajar mengenal pasti lubang masalah dan berusaha menutupnya sebaik mungkin.

Ketika saya nak jalankan perniagaan Pest Control dulu, saya kongsikan pada semua rakan usahawan dan juga bukan usahawan. Ada yang memberikan galakan dan ransangan. Bagi yang berikan ransangan saya tak ambil masa lama berbincang dengan mereka.

Sebaliknya bagi yang kondem idea saya, saya akan korek secara mendalam segala kritikan mereka dan mula berbahas dengan mereka satu persatu sampai saya tersekat tidak dapat menjawab lagi. Bila jadi begitu saya sedar ada lagi perkara yang saya belum pertimbangkan dan belum cukup buat persediaan.

Salah satu cara paling cepat untuk mula berniaga adalah dengan mengambil produk orang yang terbukti ada pasaran. Sebab itu, saya bersetuju dengan saranan Dr Azizan Osman yang menyuruh anak-anak didiknya mula menjual produk orang terlebih dulu. Cumanya pilihlah satu jurusan yang fokus dan bukannya caca merba.

Jangan menjual apa-apa saja produk yang ditawarkan. Janagn amalkan konsep membujur lalu melintang patah dalam bab menentukan perniagaan kerana masa akan banyak terbuang dan otak tak akan sempat berehat untuk berfikir dan mendalami satu penjurusan yang khusus.

Oklah setakat ini saja dulu, jangan lupa bertanya soalan berapa cepat boleh mula berniaga pada semua idea anda. Kalau ianya mengambil masa yang lama, fikirkan pula bagaimana nak pendekkannya.

Idealnya adalah jika idea perniagaan ditemui malam ini, esok saja anda dah mula boleh tawarkan pada orang ramai yang disasarkan. Selamat mencuba dan hubungi saya melaui contact form jika anda ada idea yang nak dikongsikan.

Total
12
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

13 comments

  1. Ape pendapat tuan dlm bisnez proses dan bekal ayam segar??dan sy masih dan dimana sy mencari mana2 jabatan yg ade menyediakan khursus tersebut ..

  2. saya nak minta pendapat tuan ni.. skrg ni sy memang tgh berniaga pakaian di pasar malam. Tapi keuntungan yg dapat pun cukup-cukup makan la..

    Baru-baru ni saya dapat tawaran untuk bekerja dgn kerajaan. Dengan masalah modal pusingan untuk perniagaan sekarang yang tak cukup, membuatkan saya tertekan dan ingin kembali menerima kerja tersebut.

    Saya tak sanggup lagi untuk meminjam dengan adik beradik mahupun bank.

    Jadi saya terpaksa ubah plan saya, apabila bekerja nanti, dapat gaji saya boleh mulakan semula berniaga secara part-time di pasar malam dengan harapan duit gaji yang saya terima tu bolehlah membantu mengembangkan bisnes saya sedikit demi sedikit.

    Tapi saya dalam dilema..samada nak terima jawatan tu atau terus kekal berniaga. Saya perlu beranikan diri pinjam duit modal atau menggunakan gaji tersebut untuk bisnes? Apabila dah stabil nanti, saya berhenti semula kerja tersebut dan berniaga semula sepenuh masa.

    Saya berharap sangat tuan dapat memberikan jawapan ..

  3. Bagi anak muda yg belum pernah ceburi bidang perniagaan, saya sarankan sertai MLM dan jadi salesman kereta. Jika anda boleh jual produk orang lain dengan jayanya, insya-allah anda boleh jual produk sendiri juga. Tambahan pula jadi salesman tak perlu modal, manakala MLM perlu modal yg kecil sahaja. Lebih baik lagi buat kedua-duanya serentak dan buat insuran sekali.
    Masaalah peniaga (bumi terutamanya) adalah lebih kepada bahagian pengurusan perakunan dan pemasaran produk. Oleh itu, latihan praktikal sebegini akan boleh membantu bakal usahawan. My 5 cents je.
    Ismail N recently posted…China‚Äôs Pandas: Welcome To Malaysia, Feng Yi And Fu Wa!My Profile

  4. Perkongsian yang sangat baik.. Saya selalu juga pening memikirkan orang yang asyik memandang negatif atas kritikan yang saya bagi.. Kadang buatkan jadi malas untuk memberi kritikan..

  5. Salam..saya ada plan nak berniaga baju kanak2..saya dapat satu tapak..masalahnya sekarang saya kekurangan modal..suami lak tak bape nak bagi support…saya lah yang perlu sediakan semua tu..beli khemah..kaki meja..semua dah siap..tnggl nak cari supplier je..dah jumpa satu supplier..nak pergi lah..mcm2 alasan suami beri..ada tak apa2 idea yg boleh diberi..

    1. Aduh…! pujuk lah dia ! senarai 3 perkara yang husband akan rugi/hilang kalau tak pergi. Biasanya orang lebih pantas tergerak untuk elak kehilangan benda yang dia ada…Doa juga Ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge