Broker air sejukPernah dengar perkataan ‘broker air sejuk’ tak?

Kalau perkataan broker, saya yakin tentu ramai yang dah pernah dengar. Tapi broker air sejuk rasanya tak berapa ramai sangat yang tahu apa maknanya.

Jika anda seorang usahawan yang sasarkan pelanggan dari kalangan institusi kerajaan atau separa kerajaan terutamanya, tentu pernah berurusan dengan para broker air sejuk ini.

Broker air sejuk satu jurusan perniagaan

Saya mula kenal terma broker air sejuk ini sejak awal mula dahulu berkawan dengan para usahawan. Paling ramai broker air sejuk ini terdapat di Kuala Lumpur. Sebab KL merupakan pusat pentadbiran negara yang semua projek melibatkan kerajaan bermula dari situ.

Apabila kerajaan memberikan ruang mudah kepada kaum bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan, maka lahirlah ramai para usahawan yang merebut peluang keemasan ini. Majoriti besarnya terdiri dari kalangan kontraktor dan pembekal produk dan perkhidmatan.

Banyak projek kerajaan meletakkan syarat status bumiputera kepada syarikat yang mahu membida projek yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan tempatan. Kalau tak buat macam itu, agak sukar untuk bumiputera bersaing dalam pasaran industri yang lazimnya dikuasai oleh bukan bumiputera.

Lahirnya broker air sejuk

Yang menariknya, pendekatan memberikan peluang istimewa kepada bumiputera itu bukan sahaja melahirkan ramai usahawan tulin bumiputera. Ia juga melahirkan satu lagi bidang perniagaan dalam jurusan broker.

Mereka bukan kontraktor binaan atau pembekal perkhidmatan atau produk, sebaliknya hanya menjadi orang tengah antara pemilik projek, iaitu kerajaan, dengan para usahawan tulin tadi. Modal mereka biasanya adalah teh tarik disusuli dengan bergelas-gelas air sejuk.

Pusat mesyuarat mereka paling rendah adalah di kedai mamak. Dan paling tinggi di cafe hotel 5 bintang. Di situlah para broker air sejuk ini habiskan masa berjam-jam buat tawar menawar sesuatu projek.

USP seorang broker air sejuk

Oleh kerana terlalu ramai kemunculan broker air sejuk, maka sesama mereka juga terpaksa bersaing. Mereka terpaksa berbuat sesuatu untuk pastikan khidmat broker air sejuk mereka lebih mendapat perhatian dan kepercayaan dari para usahawan.

Lazimnya broker air sejuk akan mendakwa yang mereka punya kabel besar sampai kepada tahap menteri. Lagi besar kedudukan menteri itu, lebih besarlah status broker air sejuk tersebut. Paling hebat sudah tentu broker air sejuk yang punya kabel sampai ke Perdana Menteri.

Itupun ada yang lagi hebat dari itu. Ada juga dikalangan broker itu yang mendakwa punya kabel sampai ke tahap Agong atau Para Sultan dan Raja-Raja. Biasanya mereka ini mendakwa diri sebagai proksi pihak istana.

Timbul berbagai broker lagi

Dari situ juga muncul pula berbagai cabang broker projek. Ada yang jadi broker kepada broker. Ada juga yang jadi broker kepada broker kepada broker, berlapis-lapis. Biasanya broker level tinggi akan ada macainya pula yang menjadi orang utusan. Ini juga satu teknik mudah untuk meletakkan level broker air sejuk itu sebagai orang penting supaya urusan mereka nampak lebih profesional.

Ada juga broker dari kalangan para pegawai institusi yang mengendali proses penganugerahan projek. Sama ada Technical Assistant, atau pegawai yang lebih tinggi lagi. Terma broker diguna pakai supaya nampak tak salah sangat. Kalau nak diikutkan, bila ada pegawai dalam yang jadi broker, ia lebih kurang sama saja dengan kerja rasuah.

Lemas dengan broker air sejuk

Saya pasti ramai usahawan yang kaki kejar projek kerajaan dan separa kerajaan yang masak dengan dunia broker ini. Samada broker air sejuk atau broker dalaman, kalau anda dah lama berkecimpung dalam dunia kontraktor atau pembekalan, tak payah nak kelentong kat saya, kata semua itu tak wujud.

Masa mula saya nak berniaga dulu, itulah yang saya perhatikan. Ia ada kaitan dengan aktiviti lobi melobi untuk mendapatkan projek. Banyak wang dipertaruhkan dalam aksi melobi ini sedangkan projek masih tak ketahuan puncanya lagi.

Jumlah orang yang terkena atau mungkin diperbodohkan bukanlah sedikit.

Ia membuatkan saya berazam untuk cari bidang bisnes yang tidak mengharapkan projek kerajaan 100%. Lebih selesa jika bisnes yang terus mensasarkan kepada umum atau orang awam, atau agensi bukan kerajaan.

Bila anda memilih pelanggan sedemikian, mahu tak mahu, pendekatan konvesional dan universal dalam pemasaran dan jualan terpaksa diguna pakai. Kalau tidak, jangan harap anda nak dapat kerja.

Bayangkan jika anda buat bisnes selesaikan masalah paip tersekat untuk rumah. Tak payah nak rasuah tuan rumah supaya dia serahkan kerja itu pada anda. Kalau berlaku juga macam itu, tentu ada yang tak kena dengan keluarga penghuni rumah dimana anda berurusan dengannya.

Oleh itu, prinsip mencari bisnes yang tidak mengharapkan 100% kepada kerajaan adalah panduan pertama untuk menghadapi kerenah broker air sejuk ini.

Jangan sesekali keluarkan duit awal

Baru bulan lepas saya terima faks kat pejabat. Ada tawaran membida projek yang dikeluarkan oleh salah satu kementerian di negara kita. Semua maklumat diberikan dan jika berminat, nombor orang yang perlu dihubungi diberikan.

Staff saya cuba berhubung dengan orang yang diberikan dalam faks tersebut. Panggilan diangkap oleh seorang yang loghatnya kedengaran seperti berbangsa Cina.

Setelah berbual, dia memberikan arahan untuk membuat pembayaran sebanyak RM7 ribu terlebih dahulu sebelum diberikan maklumat yang lebih lanjut. Ertinya pembayaran itu menandakan persetujuan untuk kita menggunakan perkhidmatannya sebagai orang tengah mendapatkan projek kerajaan.

Bila jadi macam tu, staff datang berjumpa dengan saya dan menceritakan semua perbualan dengan broker itu. Saya tersenyum kagum. Sampai sekarang masih ada lagi cubaan buat duit mudah dari kebodohan orang.

Kalau usahawan yang berada dalam kedudukan desperado dan tak ada pengalaman pulak, tentu ada kemungkinan akan termakan dengan tipudaya sedemikian. Bla staff saya semak semua jabatan yang diberikan, ternyata semuanya tidak wujud langsung!.

Itu contoh yang mudah kalau anda pegang panduan untuk sesekali tidak akan keluarkan wang terlebih dahulu dengan apa janji sekalipun, insyaallah anda akan terlepas dari semua tipudaya sedemikian.

Walaupun sekadar RM500, tak payah nak cari pasal. Buang masa dan buang duit sahaja.

Jangan terjebak dengan janji orang dalam

Satu lagi panduan yang penting adalah untuk tidak terjebak dengan segala janji bulan dan bintang orang dalam. Apatah lagi jika belum apa-apa anda dah habis duit belanja orang dalam tersebut dengan segala kemewahan.

Kerjanya masih tak keharuan lagi.

Saya mungkin amat skeptikal dengan segala janji orang dalam ini. Bayangkan projek yang anda masuk dan syarikat anda disenaraikan pendekkan. Mungkin ada sebanyak 7 syarikat yang telah disenarai endekkan untuk masuk ke panel tender.

Saya amat yakin, biasanya broker orang dalam ini akan berhubung dengan kesemua kontraktor yang telah berjaya disenarai pendekkan itu dan menjanjikan bulan dan bintang. Ertinya, siapa saja yang dianugerahkan projek tersebut, dia akan mendapat labanya.

Memang lecik bukan. Ada kawan-kawan yang masih termakan dengan janji orang dalam sedemikian sampai meminjam duit kat Along. Bila tak dapat, alasan mudah orang dalam berikan adalah mereka menerima surat wahyu di saat akhir, sedangkan syarikat anda sudah terpilih.

Jadi sesekali tak payah nak percaya broker orang dalam seandainya mereka yang mendekatai anda.

Tak ada jalan mudah untuk berjaya

Ini panduan yang amat relevan untuk apa saja perkara. Tak payahlah nak harapkan semuanya mudah dan lancar dan anda terus jadi kaya mendapat berbagai projek sedangkan anda orang baru dan pesaing amat ramai dan berpangalaman pulak.

Kalau ada tawaran yang memeranjatkan dan macam tak boleh percaya, maka betullah tu, Memang tak boleh nak percaya. Mudah saja formulanya.

Peganglah prinsip yang universal, bukan mudah nak senang. Dan sediakan diri anda untuk menjadi kuat, bersabar dan ambil masa untuk berjaya. Tak perlu nak kalut-kalut nak berselfie depan kereta Audi baru depan rumah 7 bilik dan sebagainya, untuk war-warkan pada dunia yang anda dah berjaya. Tak perlu semua itu.

Kejayaan ada di dalam dada dan bukannya pada segala kemewahan yang ramai kaki tipu boleh buat untuk kelabukan mata manusia. Kalau memang kayapun, duduk diam-diam dan arahkan kebaikan anda tanpa perlu ada promosi meriakkan diri jika tiada keperluan.

Sepanjang saya berniaga, memang banyak broker air sejuk yang dah saya temui. Kalau nak cerita satu persatu, tentu tak akan habis artikel ini. Biarlah saya pendamkan saja dan sampaikan moral ceritanya sahaja kat sini.

Anda ada pengalaman berurusan dengan broker air sejuk tak?

Kongsikanlah sedikit kat bawah kalau sudi. Jaga diri dengan hidup berprinsip, insyallah anda akan selamat.

Total
7
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. setuju… mmg tidak jalan mudah @ jalan ringkas utk berjaya.. elakkan dari berurusan dgn broker air sejuk ni.. mengarut ja..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge