Pedoman persediaan sebelum henti kerja dan berniaga

By | 09/11/2012
chinatown-bangkok-1500x1000Sudah agak lama dari blog ini, saya cuba membakar semangat mereka yang makan gaji untuk berhenti kerja dan berniaga.

Saya rasa tentu ramai yang menggigil untuk melakukannya namun masih tidak yakin.

Keyakinan yang kurang untuk berhenti kerja dan berniaga biasanya disebabkan persediaan diri bagi melepaskan keselesaan yang ada tidak begitu rapi atau mungkin langsung tidak ada.

Untuk anda yang ada hasrat nak berhenti kerja dan berniaga, berikut saya berikan sedikit pedoman sebagai persediaan diri sebelum terus melakukan langkah berani meletakkan jawatan makan gaji.

Ini sebenarnya cukup penting agar anda tidak menyiksa diri ke tahap yang parah dan seterusnya merasa kesal dengan tindakan anda melepaskan jawatan berhenti kerja.

Langkah berhenti kerja dan berniaga

Sila baca dan cuba laksanakan segala langkah yang saya berikan di bawah ini sebelum anda berhenti kerja dan berniaga:

  1. Pastikan anda sudah ada idea untuk menjalankan perniagaan apa. Ini cukup penting. Malah merupakan satu syarat utama untuk menjadi usahawan. Anda perlu faham bahawa, sebab utama anda berniaga adalah kerana anda ada sesuatu yang mahu ditawarkan. Jika tiada tawaran berbentuk sesuatu nilai yang pelanggan boleh dapatkan, maka tidak akan ada perniagaan.
  2. Mula kumpulkan maklumat secara aktif terhadap idea perniagaan anda. Saya tidak maksudkan menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman. Apa yang perlu disediakan adalah maklumat jaringan, kedudukan pesaing, apa yang ditawarkan oleh pesaing dan apakah peluang yang masih kosong untuk anda mencelah.
  3. Mula buat persedian untuk melepaskan komitmen kewangan yang tinggi. Ini anda boleh lakukan dengan menyenaraikan kesemua komitmen yang anda ada. Berapa tanggungan anda sebulan. Ringkaskan kesemuanya sehingga kepada hanya perkara asas seperti:
    1. Perlindungan asas. Jika sewa rumah mahal, mula urus untuk pindah ke rumah yang mahal. Jika anda sudah beli rumah, bincang untuk penjadualan semula dengan bank agar bayaran bulanan lebih rendah.
    2. Kesihatan dan makan minum asas. Mula berhemah dalam bab makan. Satu jenis lauk dan sejenis sayur sudah mencukupi. Pilih makan dirumah daripada diluar. Fikirkan bekal ke sekolah atau ke tempat kerja. Berhenti merokok, penjimatan berbaloi!.
    3. Pendidikan asas. Jika anak-anak ke sekolah swasta, mula pindahkan ke sekolah kerajaan yang lebih murah. Fikirkan semula kelas tambahan anak-anak dan juga kelas lain seperti seni dan sebagainya perlu dihentikan.
  4. Biasakan diri berbelanja dengan kedekut dengan tinggalkan segala yang tidak perlu. Ini adalah asas menjalani kehidupan serba ringkas. Berbelanja hanya pada perkara yang mendatangkan faedah untuk mencapai matlamat saja. Jangan berbelanja hanya sekadar untuk kepuasan diri.
  5. Simpan segala lebihan duit yang ada. Dengan kembali kepada kehidupan asas, anda mampu mempunyai lebihan wang yang banyak. Jangan gunakannya, sebaliknya simpan sebagai persediaan payung di masa hari hujan nanti.
  6. Cari tilam pelindung untuk sebagai penyelamat jika anda terjatuh. Maksudnya adalah dapatkan kenalan rapat yang banyak duit dan juga sumber lain. Mereka boleh ditawarkan sebagai rakan niaga atau pelabur, apabila anda sudah bersedia untuk menjadi usahawan secara sepenuh masa.
  7. Cuba cari syarikat untuk dijual. Jika anda mahu berniaga sesuatu yang mana ada syarikat dalam bidang sama untuk dijual, usahakan untuk membelinya. Ini lebih mudah daripada memulakan perniagaan dari kosong. Bawa cadangan pada’tilam’ anda di atas dan yakinkan bahawa anda mampu pulihkan syarikat tersebut hingga berjaya.
  8. Berikan tempoh muktamad bila anda akan berhenti. Jangan sekadar berangan-angan tanpa penetapkan masa bila anda akan mula berniaga. Biasanya anda akan terus makan gaji jika tidak ada tempoh yang ditetapkan. Gunakan tempoh tersebut untuk menyesuaikan diri dengan pendapatan yang minimum dan simpan slebihnya.
  9. Aktif menghadiri seminar perniagaan atau kepimpinan. Ini membantu meluaskan jaringan anda. Aktiviti membina jaringan ini amat penting bila anda mula berniaga secara sepenuh masa nanti.
  10. Sentiasa minta pada yang Maha Kuasa. Berdoa dan berdoa jangan putus. Minta apa yang anda mahu dengan terperinci. Tulis skrip doa tersebut dan sering amalkan setiap kali selepas solat dan sebelum tidur.

Demikianlah 10 pedoman yang boleh anda lakukan sebagai persediaan untuk berhenti kerja dan berniaga.

Semua yang saya kongsikan di atas adalah perkara-perkara yang saya lakukan dahulu sebelum berhenti kerja dan berniaga.

Moga ada manfaatnya !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge