Macam mana nak mula buat bisnes“Saya memang nak buat bisnes sangat-sangat! tapi pening sikit bila fikirkan bagaimana. Tak ada idea nak mula kat mana!”.

Itu soalan yang sama berlegar di dalam kepala anda?

Soalan yang sama sering diutarakan oleh ramai ahli yang sertai Kelab Usahawan Hidupringkas, yang saya tubuhkan. Kelab Usahawan Hidupringkas atau singkatannya KUHR, bukan sebuah kelab yang formal. Ianya hanya kumpulan yang mengumpulkan pengguna Facebook di negara kita ini. Ada juga yang dari Indonesia dan Brunei turut sama sertainya.

Kalau anda pun rasa nak jadi usahawan dan mahu dapatkan sedikit gambaran apa yang para usahawan kongsikan kat dalam kelab tersebut boleh turut serta. Tapi tolong patuh peraturan tak boleh jadikan kumpulan itu sebagai wadah tempat anda lambakkan iklan. Tujuan utamanya adalah untuk membina jaringan sahaja.

Pening nak buat bisnes

Bab pening nak buat bisnes itu biasanya hanya ada pada mereka yang langsung tak pernah berbisnes. Bila dah tak pernah laluinya, sudah tentu tak akan ada idea langsung apa yang dikatakan buat bisnes.

Rasanya dah puas saya tuliskan apa itu bisnes kat dalam blog ini.

Tapi masih tetap ada yang bertanya macam mana nak mula buat bisnes, kat mana nak mula dan berbagai lagi soalan yang sama sepertinya. Mungkin mereka dah baca berbagai tulisan tentang apa itu bisnes, tapi, maklumlah, bisnes ni bukan perkara yang anda boleh faham dan rasakannya hanya dari pembacaan teori.

Macam naik basikal, macam berenang dan ilmu praktikal yang lain-lain lagi, anda hanya akan mula mengerti apabila terjun melibatkan diri buat secara praktikal sahaja. Tak perlu tunggu nak faham baru nak cuba, insyaallah, anda tak akan fahampun selagi tak beraksi.

Tak kenal maka tak cinta

Biasa dengar ayat kat atas itu kan?

Orang kata, kena kenal dahulu barulah akan timbu rasa cinta. Biasanya ia mudah berlaku pada pasangan lelaki dan wanita. Masa tak kenal, punyalah benci. Tapi bila dah terjebak saling kenal mengenali, jatuh cinta lah pulak. Ramai yang saya saksikan masa zaman cinta monyet kat sekolah dan universiti dahulu.

Tapi bila masuk bab bisnes ini, ada sedikit pelik. Ramai sangat yang tak kenal apa itu bisnes, tapi boleh pulak jatuh cinta. Tergedik-gedik nak jadi usahawan. Yakin yang dia suka sangat nak buat bisnes tapi tak tahu nak mula kat mana!

Soalan mula yang saya tertanya-tanya pada mereka yang seperti itu adalah, kenapa anda rasa yang anda memang minat sangat nak buat bisnes?

10 orang masuk hanya 2 yang keluar

Bagi yang sedang hadapi masalah yang sama, tak tahu nak mula binses macam mana, cuba jawab soalan itu sebentar. Fikir masak-masak, dari mana datangnya idea nak buat bisnes tersebut. Betul kah anda memang amat berminat dan suka sangat nak jadi usahawan.

Atau ianya sekadar harapan sahaja. Harapan itu pulak datangnya dari gambaran keseronokkan melihat para usahawan yang telah berjaya.

Kalau itulah sebab munculnya idea nak mula bisnes, apakah anda masih akan tetap nak teruskan jika saya katakan hanya 2 dari 10 orang sahaja yang berjaya meloloskan dirinya, bertahan kekal dalam perniagaan yang dia jalankan lebih dari setahun. Yang 8 orang lagi itu dah mula menghilangkan dirinya dari tatapan umum. Kalau dahulu aktif tonjolkan diri dalam FB, tiba-tiba dah terasa nak delete akaun FB itu.

Sebab utama orang berniaga

Ada berbagai sebab yang membuatkan orang jadi usahawan dengan menjalankan perniagaan.

Tapi sebab yang paling besar adalah atas faktor desakan hidup. Bukannya sebab mereka rasa suka sangat nak buat bisnes. Kalau ada pilihan lain, mungkin bisnes bukan pilihan utama mereka.

Saya ada berikan statistik negara di mana rakyatnya paling ramai jadi usahawan dalam artikel kat sini. Jika anda pergi baca statistik kat artikel itu, tentu akan terkejut dan tak sangka bahawa negara kat dunia ini yang rakyatnya paling ramai jadi usahawan adalah negara Uganda.

Mereka tak ada pilihan lain untuk cari makan. Tak ada peluang lain untuk dapatkan duit melainkan terpaksa berdikari untuk buka bisnes yang mampu menjana duit demi sesuap nasi untuk keluarga dan diri sendiri.

Kalau pergi tanya para usahawan kat Uganda macam mana nak mulakan perniagaan, tentu mereka akan renung tajam kat mata anda. Apa hal pulak mamat ni tanya soalan macam tu?

Soalan yang muncul dalam kepalanya selama ini adalah apa yang dia boleh buat yang orang lain sanggup bayar untuk dapatkannya. Soalan mudah itu sudah cukup untuk dia mula bergerak dan berusaha.

Kalau dalam senarai kemahiran atau pemilikannya tak ada satupun yang orang sanggup bayar, ertinya dia perlu cari dan belajar sesuatu supaya ilmu dan kemahiran yang dia ada nanti, akan ada orang yang sanggup bayar untuk mendapatkan darinya.

Buat saja, tak payah tanya lagi

Bagi yang masih terus bertanya dan sampai sekarang masih tak buat apapun, elok hentikan saja dari bertanya kat mana nak mula.

Apa agaknya yang anda ada, kemahiran atau barang, yang ada orang sanggup bayar pada anda? Itulah soalan yang paling betul. Dari soalan itu akan menyusul pula soalan, macam mana nak tahu samada ada orang sanggup bayar atau tidak?

Nak tahu samada orang sanggup atau tidak, pergilah tanya kat orang. Samada secara berdepan, atau melalui telefon, atau melalui facebook tu. DEngan mula berbuat semua itu anda akan mula belajar dengan banyak sekali makna perniagaan.

Barulah faham nanti bila baca buku teori pasal sales & marketing.

Bagi yang hadapi masalah tak tahu kat mana nak mula tu, saya harap artikel ini dapat memberikan sedikit idea kat mana nak mula. Cuma pesan saya adalah agar terus bergerak ke depan. Bayangkan anda seorang bayi yang tengah belajar berjalan.

Akan ambil masa, dan perlu melalui proses yang berperingkat-peringkat. Yang pentingnya jangan putus asa seperti mana zaman anda jadi bayi dahulu. Mula-mula hanya kayuh kaki ke atas, lepas itu mula cuba alihkan badan, lepas tu cuba angkat punggung ke atas, lepas itu cuba angkat badan bertongkatkan tangan dan kaki… dan begitulah seterusnya akhirnya anda boleh berdiri dan melangkah sedikit demi sedikit.

Masa itu anda tak tahu langsung apa itu putus asa, tak tahu apa itu susah dan tak tahu apa itu berhenti mencuba. Yang anda tahu adalah buat terus sampai jadi.

Total
33
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

  1. saya adalah salah seorang yang berhenti kerja dan takde peluang lain untuk cari makan selain menyediakan lukisan-lukisan kejuruteraan untuk makan-minum hari-hari.

    mcm tuan cakap, pada awalnya saya bukannya mahu bisnes sangat. saya cuma mahu jual lukisan itu untuk menampung perbelanjaan harian saya.

    lama ke lamaan, saya belajar merangkak-rangkak hal perakaunan, resit dan masih dalam peringkat pelajaran yang masih minimum.

    tujuan asalnya, saya cuma mahu jual lukisan itu saja.

    jadi, dalam “keterdesakan” itu juga saya teruskan. dan sedang bergiat-usaha lagi.
    Rapunzeel Cikilolo recently posted…tin kosong (29) : kata-kata dari twidderMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge