besarkan perniagaanUntuk mereka yang dah berniaga tak kisah samada baru memulakan perniagaan atau sudah lama berniaga, sudah tentu soalan penting yang sentiasa berlegar dalam kepala adalah,

“Bagaimana nak kembangkan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang?”

Persoalan yang sama tetap berlaku samada anda baru atau dah lama berniaga. Itu antara persoalan yang paling banyak mengisi benak kepala saya sejak mula berniaga dahulu.

Siapa yang tak mahu kembangkan perniagaan menjadi lebih baik dari apa yang ada sekarang, betul tak?.

Usahawan baru nak kembangkan perniagaan

Kalau baru berniaga, lumrahnya usahawan baru sentiasa teruja nak berkembang cepat, sebab itu ramai yang sering terkena sampai tersandar.

Maklumlah masih belum banyak pengalaman.

Menurut sebuah buku yang saya baca, usahawan baru biasanya akan buat salah dalam 90% daripada keputusan yang mereka buat !. Dari pengalaman, saya rasa memang ada kebenarannya kenyataan itu.

Tinggi tu !, jadi berhati-hatilah supaya tidak terbawa-bawa dengan keterujaan yang tinggi di awal perniagaan. Pastikan anda ada mentor atau coach atau penasihat yang boleh mengkritik pendapat atau keputusan yang nak dibuat.

Usahawan otai juga nak kembangkan perniagaan

Kalau anda dah lama berniagapun, persoalan ini jugalah yang sering menghantui pemikiran. Bagaimana nak kembangkan perniagaan ?.

Usahawan otai akan rasa dah terlalu lama berada di dalam kedudukan yang sama sahaja tak berubah-ubah. Terasa macam dah buat berbagai pendekatan, tapi hasilnya masih ditakuk yang lama juga.

Bagi usahawan otai, mereka biasanya lebih berhati-hati, sebab dah banyak pengalaman. Itupun dalam masih berhati-hati, masih tetap terkena sekali sekala.

Tapi keinginan untuk kembangkan perniagaan masih tetap ada selagi perniagaan masih berjalan dan belum gulung tikar.

Asas utama kembangkan perniagaan

Untuk kembangkan perniagaan ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Dan ianya memerlukan masa yang mencukupi, bukan boleh dibuat dalam masa sebulan atau dua bulan sahaja.

Antara perkara-perkara penting yang perlu dilihat jika usahawan nak kembangkan perniagaan adalah seperti pengurusan kewangan, pengurusan pekerja, pengurusan jualan dan pemasaran, pembinaan sistem dan lain-lain lagi seumpamanya.

Tapi, sebelum anda melakukan semua itu, ada satu perkara asas yang paling penting yang perlu dibetulkan sebelum aktiviti lain dapat dilaksanakan untuk kembangkan perniagaan.

Perkara tersebut adalah berkenaan diri peribadi usahawan itu sendiri.

Jangan harap anda dapat bina naik perniagaan, tanpa anda terlebih dahulu membina naik diri anda sendiri.

Secara ringkasnya,

“Untuk perniagaan ada peningkatan, anda sendiri terlebih dahulu perlu ada peningkatan !”

Ada banyak petua yang diberikan oleh para pakar bagaimana nak majukankan diri seseorang individu menjadi lebih baik. Boleh pergi kedai buku dan lihat sudut motivasi diri, jenuh nak beli dan baca !.

Ada yang kata tujuh tabiat penting, ada yang kata lapan dan macam-macam lagi.

Tapi di sini, untuk mereka yang nak kembangkan perniagaan, saya hanya sarankan 3 perkara penting sahaja.

Hanya ada 3 perkara penting yang ringkas dan berkesan, perlu anda perhatikan dalam proses nak kembangkan perniagaan menjadi lebih baik daripada kedudukan sekarang.

3 asas penting kembangkan perniagaan

Berikut adalah 3 perkara penting yang anda perlu dapatkan, amalkan terhadap diri sendiri jika mahu kembangkan perniagaan menjadi lebih maju.

  1. Kembalikan aura hebat anda – Berusaha untuk kembali bertenaga. Juga punyai kualiti daya penarik yang mampu membuatkan orang tertarik pada anda, sehingga memudahkan anda untuk berjaya.
  2. Jelas hala tuju dan punyai daya tumpuan yang tinggi – Tahu membezakan mana yang paling penting diantara perkara-perkara penting yang perlu dilaksanakan. Juga berupaya mengelakkan diri daripada cubaan dan gangguan yang mahu membuatkan anda terpesong daripada menuju ke matlamat yang disasarkan.
  3. Membina jaringan kenalan dan bantuan – Berusaha untuk merapatkan diri dan membina rangkaian kawan dan kenalan yang dapat membantu anda mencapai matlamat. Samada mereka dari kalangan sama industri mahupun diluar industri yang anda ceburi. Kawan dan kenalan mestilah yang dapat membantu memberikan nasihat, motivasi, idea dan semangat apabila diperlukan.

Jika diperhatikan 3 perkara penting di atas, ia melibatkan pengurusan terhadap diri anda sendiri. Untuk saya terangkan kesemua 3 perkara tersebut secara lebih panjang, akan membuatkan artikel ini menjadi sebuah buku.

Oleh itu, saya hanya akan terangkan perkara pertama sahaja secara lebih mendalam sedikit untuk anda cuba amalkan. Untuk perkara kedua dan ketiga, lain kali saja.

#1. Kembalikan aura hebat

Mungkin ini adalah sebab paling utama ramai orang berjaya memberikan nasihat pada yang baru nak mula berniaga, agar memilih perniagaan yang mereka benar-benar minat nak buat.

Dengan melakukan sesuatu yang memang dah disukai, tidak terasa penat atau putus asa. Mata bersinar ketika buat kerja, peluh meleleh tak terasa. Memang akan terasa aura hebat keluar dari orang yang menghayati kerja yang dia suka.

Oleh itu, jika ada peluang, ada pilihan, ada masa, memang disarankan supaya anda memilih satu perniagaan yang membuatkan aura anda tersembul keluar tanpa perlu dipaksa.

Pilih aktiviti yang sesuai

Kalau dah terbabit berniaga, dan rasa macam bosan dan terfikir-fikir macam tak suka, nak buat macam mana ?.

Bagi orang yang tidak dilahirkan dengan segala kemudahan macam saya, dan lambat pula buat keputusan nak jadi usahawan, maka masa tak mengizinkan untuk membuat pencarian perniagaan yang disukai.

Malah nak mencari perniagaan yang perlu dilakukan, tanpa meletakkan minat sebagai salah satu syarat pun, dah susah !.

Oleh itu biasanya perniagaan yang rasakan berpotensi untuk maju dan mampu dilaksanakan menjadi pilihan, walaupun tak ada minat sangat.

Jika anda termasuk dalam kategori sebegini, saya sarankan anda untuk ambil masa yang mencukupi, seorang diri untuk melakukan muhasabah diri.

Pergilah ke lokasi yang nyaman dan tenang untuk fikirkan aspek yang ada dalam perniagaan yang sedang dijalankan, yang anda suka. Anda tak perlu suka pada keseluruhan perniagaan tersebut, sebahagian sahaja sudah cukup.

Contohnya anda mungkin suka berinteraksi dengan orang, jadi aktiviti pemasaran dan jualan dalam perniagaan boleh membuatkan anda teruja.

Anda mungkin suka mereka perkara baru, jadi aktiviti Business Development boleh membuatkan anda teruja.

Yang pentingnya, perlu cari satu aktiviti yang ada dalam perniagaan anda sekarang yang mampu membuatkan anda teruja. Jika dah jumpa, berikan tumpuan sepenuhnya pada aktiviti tersebut sebagai tugas penting anda selain dari menerajui keseluruhan perniagan secara makro.

Kekalkan tahap kesihatan

Selain dari mencari aspek kerja yang anda suka, untuk kekalkan aura hebat anda perlu jaga kesihatan.

Tahap kesihatan anda memainkan peranan penting untuk menimbulkan aura hebat dari dalaman. Bagaimana sukapun anda pada perniagaan yang sedang dijalankan, jika tubuh badan lembik tak segar dan tak sihat, tidak dapat membangkitkan aura semangat dari dalam diri anda.

Oleh itu, pergi tuntut segala ilmu kesihatan diri yang perlu untuk kekal sihat. Baca buku berkenaan kesihatan yang mudah untuk diamalkan.

Dengan mendalami ilmu tentang menjaga kesihatan, anda akan rasa lebih bersemangat untuk mengamalkannya.

Perkara paling mudah untuk jaga kesihatan adalah dengan memberikan perhatian pada 3 perkara berikut,

  • Jaga makan – Jangan makan makanan yang tak bagus untuk kesihatan seperti gula-gula, kek potong kaki, jajan dan lain-lain seumpamanya. Jangan juga sibuk lupa diri sampai tak makan. Amalkan puasa isnin atau khamis atau kedua-duanya. Makan banyak buah, sayur, dan kekacang dan minum banyak air.
  • Jaga tidur – Tidur yang mencukupi dalam tempoh 6 ke 8 jam sehari. Jangan tidur lewat atau layan borak sampai tak tidur. Berikan perhatian pada kualiti tidur dan bukannya kuantiti.
  • Bersenam – Kalau boleh berdiri, jangan baring. Kalau boleh berjalan jangan berdiri. Kalau boleh berlari jangan jalan. Kurangkan berkenderaan banyakkan berjalan. Jadikan senaman brisk walk atau jogging sekurang-kurangnya 3 kali seminggu sebagai amalan wajib.

Pergi dapatkan petua atau beli buku panduan bagaimana cara makan, tidur dan bersenam yang paling minimum untuk kekalkan tahap kesihatan tubuh badan anda.

Amalkan secara rutin sampai ianya menjadi tabiat anda atau orang tua kata, jadi darah daging diri yang sukar untuk dipisahkan.

Berfikiran positif dan bertindak

Bila badan sihat secara fizikal, mental juga perlu sihat.

Untuk pastikan mental anda sihat, anda hanya perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku pada diri anda.

Jangan salahkan orang lain. Sebaliknya berusahalah mencari jalan untuk mendapatkan apa yang anda mahu dalam keadaan serba kekurangan.

Buat senarai 3 ke 5 perkara kecil yang boleh dilakukan segera. Berusaha laksanakan sampai siap dan buat senarai selanjutnya pulak.

Bergerak ke depan sedikit demi sedikit dan pecahkan rintangan yang ada. Kejayaan yang kecil yang dikecapi secara konsisten bakal membawa kejayaan yang amat besar, insyaallah.

Anda perlu bergerak sendiri dan bertindak mengatasi segala rintangan tanpa perlu mengeluh atau mengadu domba.

Jika begitu sikap anda, sah bahawa anda punya tahap kesihatan mental yang amat tinggi.

Aura hebat bantu kembangkan perniagaan

Saya dah kongsikan hanya satu perkara asas penting sahaja di atas untuk anda segera amalkan.

Jangan tangguh dan berikan seribu alasan untuk berusaha laksanakannya jika anda benar-benar mahu kembangkan perniagaan yang sedang anda jalankan sekarang.

Jika semuanya berjaya djadikan gaya hidup anda, usaha untuk kembangkan perniagaan menjadi lebih mudah lancar dan berkesan.

Semoga kita semua dapat melakukannya, Insyaallah !

Total
78
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Terima kasih En. Shubhi,

    JANGAN BACA BAGI YANG TIDAK MINAT BISNES!!

    Nasihat kepada diri sendiri dan kepada bakal atau yang sudah bergelar usahawan. Sebelum kita memulakan bisnes, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian (saya berkongsi berdasarkan pengalaman saya di dalam bidang minuman dan makanan) :-

    1. Peralatan
    Perkara utama sebelum kita pergi lebih jauh di dalam bisnes kita, pastikan peralatan atau kelengkapan yang betul. Jangan ulangi kesilapan yang sendiri saya lakukan di mana saya membeli peralatan yang bukan menjadi keperluan di dalam bisnes saya. Jadi kos sudah bertambah.

    2. Pengiraan kos
    Pengiraan kos adalah perkara yang jangan dipandang remeh. Pastikan anda mengira dengan betul kos yang akan anda laburkan. Menyentuh berkenaan kos, banyak kategori kos yang akan terlibat, jadi saranan saya sebelum anda membuat keputusan terburu-buru, eloklah anda rujuk dulu kepada orang yang sudah terbukti berjaya dalam bisnes.

    3. Resepi
    Ini perkongsiaan berdasarkan bidang saya, nadi sesebuah bisnes minuman dan makanan adalah rasa minuman atau makanan yang anda sediakan adalah menepati citarasa pelanggan anda. Pastikan rasa minuman atau makanan yang anda sediakan adalah sama bila pelanggan datang kali ke 2, 3, 4 dan seterusnya. Terdapat cara bagaimana kita boleh pastikan resepi kita adalah sama setiap kali kita menyediakannya.

    4. Marketing
    Marketing adalah penting untuk memastikan survival bisnes anda. Tanpa marketing adalah sangat sukar bagi bisnes anda untuk bertahan. Bagi saya marketing adalah perhubungan anda dengan pelanggan anda, di samping itu juga marketing adalah untuk memberitahu pelanggan bahawa bisnes kita wujud.

    Apa-apa pun tindakan yang kita ambil, pastikan ia adalah betul. Carilah guru atau mentor yang boleh membimbing anda menunjukkan cara yang betul di dalam bisnes.

    Selamat maju jaya kepada semua.

    Terima kasih kepada En. Shubhi.
    Azlan Ahmad recently posted…Hello world!My Profile

  2. Nota ini datang tepat pada masanya.
    “Tingkatkan kualiti diri sendiri dahulu, sebelum bercita-cita mengembangkan bisnes”

    Terima kasih tuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge