Perlukah rancangan perniagaan?

By | 24/09/2012
Adakah usahawan perlu sediakan rancangan perniagaan?

Bacalah mana saja buku panduan perniagaan. Ikutilah mana-mana kursus perniagaan dan tanyalah mana-mana kawan yang berniaga atau belum berniaga, samada perlu untuk kita sediakan kertas kerjaRancangan Perniagaan” sebelum berniaga, jawapan yang akan anda dapat sudah tentu:

“YA!”

Berbagai alasan orang berikan kenapa anda perlu sediakan rancangan perniagaan terlebih dulu, antaranya adalah:

  1. Untuk mudah mendapatkan bantuan kewangan
  2. Untuk mendalami selok belok perniagaan
  3. Untuk menyediakan berbagai rancangan alternatif atau penyelamat
  4. Untuk mendapat gambaran jelas terhadap apa yang perlu dilakukan
  5. Untuk mendapatkan gambaran jelas terhadap hala tuju
  6. Untuk menarik pelabur
  7. Untuk menarik rakan kongsi
  8. Untuk dijadikan panduan rujukan agar tidak terpesong

Macam-macam lagi yang saya dengar daripada ‘pakar-pakar’ juru perunding perniagaan samada dari buku, radio atau TV. Mereka semua memberikan alasan yang sama dan amat bersetuju bahawa antara punca orang gagal dalam perniagaan adalah kerana tidak menyediakan rancangan perniagaan terlebih dahulu.

Rancangan perniagaan hanyalah idea juru perunding perniagaan

Kebanyakan daripada mereka yang mengajar bakal usahawan bagaimana mahu buat rancangan perniagaan biasanya berkongsi satu pengalaman yang sama:

“Mereka tidak pernah berniaga melainkan menjalankan pekerjaan juru perunding atau pengajar yang mengajar orang bagaimana nak berniaga

Begitulah juga para pegawai bank, pegawai MARA, pegawai PUNB dan juga mana-mana institusi kerajaan lain yang kerjanya membantu dan menggalakkan usahawan atau bakal usahawan untuk berniaga. Mereka belajar tinggi tetapi hanyalah berkenaan segala teori tentang keusahawanan.

Para pegawai tersebut akan merujuk pada rancangan perniagaan yang terpaksa di sediakan oleh usahawan atau bakal usahawan sebagai syarat meluluskan pinjaman.

Yang lucunya adalah, mereka yang mengkritik kertas kerja rancangan perniagaan berdegar-degar, itu dan ini tentang aktiviti perniagaan yang mahu dijalankan pada hakikatnya tidak pernah berniaga!.

Ada di kalangan usahawan yang bertungkus lumus menyediakan rancangan perniagaan dan kemudian dengan penuh harapan membentangkan pada para pegawai tersebut. Malangnya dia telah ditolak mentah-mentah tanpa belas kasihan siap dengan komen yang cukup memedihkan.

Usahawan itu kemudiannya mencampakkan saja kertas kerjanya dan dengan gigih meneruskan usaha niaganya itu lalu berjaya. Dia berjaya tanpa merujuk pada kertas kerja rancangan perniagaan, dan tanpa bantuan kewangan daripada para pegawai yang tak pernah berniaga tersebut.

Ada ramai dikalangan mereka yang menyediakan kertas kerja rancangan perniagaan dengan hebat dan menakjubkan para pegawai. Mereka terus termakan dengan kehebatan rancangan perniagaan itu lalu meluluskan pinjaman yang besar. Akhirnya usahawan itu menjadi tidak ketahuan. Perniagaan yang hebat dalam kertas kerja itu lingkup. Cuba tanya pegawai MARA statistik lulus pinjaman dan peratusan yang berjaya.

Majoriti yang berjaya, mula tanpa rancangan perniagaan

Hampir kesemua rakan usahawan saya yang berjaya memulakan perniagaan tanpa menyediakan rancangan perniagaan terlebih dahulu. Mereka terjun berniaga berbekalkan apa yang ada di dalam kepala sahaja. Kesilapan dibaiki tanpa kenal erti putus asa. Mereka akhirnya berjaya.

Kesemua orang paling kaya di setiap bandar Amerika yang saya baca yang berjaya dalam perniagaan mereka masing-masing memulakan perniagaan tersebut tanpa menyediakan rancangan perniagaan.

Bagi mereka, sedang anda sibuk menyediakan rancangan perniagaan, orang lain sudah terlebih dulu mendahului idea anda. Oleh itu mereka tidak pernah membuang masa menyediakan rancangan perniagaan.

Adakah saya sediakan rancangan perniagaan masa mula nak berniaga dulu?

Bagaimana pula saya yang menjalankan perniagaan Pest Control ini, adakah saya menyediakan rancangan perniagaan terlebih dulu sebelum terjun berniaga dan berjaya menjana berjuta-juta ringgit?

“Tidak!”

Saya tak pernah buat rancangan perniagaan untuk perniagaan pest control saya.

Rancangan perniagaan bagi saya adalah, keyakinan tinggi untuk berjaya serta yakin dengan keupayaan diri sendiri. Jika kita punya tabiat bertanya, berfikir, berlajar dan buat pembaikan kita sebenarnya sedang membuat kertas kerja rancangan perniagaan di dalam kepala. Dalam bisnes, buat dulu, perbaiki kemudian.

Habis bila kita perlu buat rancangan perniagaan?

Rancangan perniagaan hanya perlu jika anda mengambil sijil atau diploma keusahawan. Atau apabila anda nak mulakan perniagaan dengan cara mendapatkan pinjaman sepenuhnya daripada institusi bantuan kerajaan seperti MARA, PUNB, atau mana-mana bank perniagaan.

Selain daripada itu, anda hanya perlu sediakan rancangan perniagaan hanya di dalam buku 555 yang kecil sahaja.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Perlukah rancangan perniagaan?

  1. Intellect Starr

    Bila pihak bank mintak tambah dan baiki yg bukan2 dlm buss.plan kita itu maknannya dia takmo bagi pinjam.So takyah baiki buat sakit hati je.Sebabnya kalau dia nak bagi dia akan bagi tanpa susah payahkan kita.Betul tak?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge